Persidangan Umum
Mencari Kedamaian Peribadi
Persidangan Umum April 2023


Mencari Kedamaian Peribadi

Saya doakan anda temui kedamaian, membantu orang lain mencarinya, dan berkongsikannya.

Saudara dan saudari yang dikasihi, kita diberkati dengan ajaran berilham dan muzik yang menyentuh kita dalam sesi pembukaan persidangan umum ini. Kami berterima kasih atas penglibatan dan iman anda.

Hari ini saya akan berucap tentang apa yang saya telah pelajari tentang mukjizat mencari kedamaian peribadi, tidak kira apa pun keadaan kita. Juruselamat tahu semua anak Bapa Syurgawi inginkan kedamaian, dan Dia berfirman bahawa Dia boleh berikannya kepada kita. Anda ingat firman Yesus Kristus dalam kitab Yohanes: “Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu, kesejahteraan yang Aku berikan kepada kamu bukan seperti yang diberikan oleh dunia. Janganlah kamu risau dan janganlah takut.”1

Apa yang Dia maksudkan dengan kedamaian dan bagaimana Dia dapat berikannya melalui mereka yang telah mendengar firman Dia. Dengarkan laporan dalam Yohanes tentang kemuncak pelayanan Kristus. Kuasa kejahatan menimpa-Nya dan akan menyerang para pengikut-Nya.

Berikut ialah firman Juruselamat:

“Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan mentaati perintah-perintah-Ku.

“Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan memberi kamu Penolong lain, yang akan bersama-sama kamu selama-lamanya.

“Dia Roh Tuhan, yang menunjukkan apa yang benar tentang Tuhan. Dunia tidak dapat menerima Dia, kerana dunia tidak dapat melihat Dia ataupun mengenal Dia. Tetapi kamu mengenal Dia, kerana Dia tinggal dengan kamu dan bersatu dengan kamu.

“Aku tidak akan meninggalkan kamu sendirian seperti yatim piatu; Aku akan kembali kepada kamu.

“Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat Aku lagi, tetapi kamu akan melihat Aku. Kerana Aku hidup, kamu pun akan hidup.

“Apabila hari itu tiba, barulah kamu tahu bahawa Aku bersatu dengan Bapa, kamu bersatu dengan Aku, dan Aku pun bersatu dengan kamu.

“Sesiapa yang menerima dan melakukan perintah-perintah-Ku, mengasihi Aku. Bapa-Ku akan mengasihi sesiapa yang mengasihi Aku. Aku pun akan mengasihi orang itu dan menunjukkan diri kepadanya.

“Yudas (bukan Yudas Iskariot) berkata kepada Yesus, “Tuhan, mengapa Tuhan menunjukkan diri kepada kami dan bukan kepada dunia?

“Yesus menjawab, “Sesiapa mengasihi Aku akan mentaati ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihi dia. Bapa-Ku dan Aku akan datang kepada orang itu dan tinggal dengan dia.

“Sesiapa yang tidak mengasihi Aku, tidak mentaati ajaran-Ku. Ajaran yang kamu dengar ini bukan daripada Aku, tetapi daripada Bapa yang mengutus Aku.

“Aku memberitahu kamu semua ini semasa Aku masih bersama-sama kamu.

“Tetapi Roh Tuhan, Penolong yang akan diutus oleh Bapa demi nama-Ku, akan mengajar kamu segala-galanya dan akan mengingatkan kamu segala yang telah Aku katakan kepada kamu.

“Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu; kesejahteraan-Ku sendiri yang Aku berikan kepada kamu. Janganlah kamu risau dan janganlah takut.”2

Saya telah belajar lima kebenaran dari ajaran Juruselamat ini.

Pertama, kurnia kedamaian diberikan setelah kita beriman untuk mentaati perintah-Nya. Bagi ahli perjanjian Gereja Tuhan, kepatuhan adalah sesuatu yang telah kita janji untuk lakukan.

Kedua, Roh Kudus akan datang dan tinggal bersama kita. Tuhan berfirman, semasa kita terus setia, Roh Kudus akan tinggal di dalam kita. Itulah janji dalam doa sakramen bahawa Roh akan menjadi teman kita dan kita akan rasa penghiburan-Nya dalam hati dan minda.

Ketiga, Juruselamat berjanji semasa kita mentaati perjanjian, kita dapat rasakan kasih Bapa dan Putera untuk satu sama lain dan untuk kita. Kita boleh merasa Mereka dekat dalam kehidupan fana kita, sama seperti apabila kita diberkati untuk bersama Mereka selamanya.

Keempat, mentaati perintah Tuhan memerlukan lebih daripada kepatuhan. Kita harus mengasihi Tuhan dengan sepenuh hati, kekuatan, minda dan jiwa kita.3

Orang yang tidak mengasihi Dia tidak mentaati perintah-Nya. Jadi, mereka tidak akan ada kurnia kedamaian dalam kehidupan ini dan di dunia yang akan datang.

Kelima, jelasnya Tuhan cukup mengasihi kita sehingga sanggup membayar harga dosa supaya kita boleh—melalui iman kepada Dia dan pertaubatan, melalui kesan Korban Tebusan-Nya memperoleh—kurnia kedamaian yang “tidak mungkin difahami oleh manusia,”4 dalam kehidupan ini dan bersama-Nya secara abadi.

Sesetengah anda, mungkin ramai, tidak merasai kedamaian yang Tuhan janjikan. Anda mungkin telah berdoa untuk kedamaian peribadi dan penghiburan rohani. Namun anda mungkin rasa bahawa syurga tidak menjawab mohonan kedamaian anda.

Terdapat musuh jiwa yang tidak mahu anda, dan orang yang anda kasihi, menemui kedamaian. Dia tidak dapat menikmatinya. Dia berusaha untuk menghalang anda dari menemukan kedamaian yang Juruselamat dan Bapa Syurgawi janjikan.

Usaha Setan untuk menabur kebencian dan pertikaian di sekeliling kita semakin bertambah. Kita melihat bukti di kalangan negara dan bandar, di kawasan kejiranan, dalam media elektronik dan di seluruh dunia.

Tetapi ada sebab untuk optimisme: Cahaya Kristus ada dalam setiap anak yang baru dilahirkan. Dengan kurnia universal itu datanglah satu perasaan tentang apa yang benar, hasrat untuk mengasihi dan dikasihi. Terdapat perasaan keadilan dan kebenaran dalam setiap anak Tuhan apabila dia datang ke kefanaan.

Optimisme kita untuk kedamaian peribadi anak-anak itu terletak pada penjaga mereka. Jika penjaga mendidik dan melayan mereka berusaha untuk menerima kurnia kedamaian Juruselamat, mereka akan, melalui teladan dan usaha peribadi, menggalakkan iman anak itu untuk melayakkan diri bagi kurnia kedamaian ilahi.

Ini adalah janji tulisan suci, “Ajarilah anak cara hidup yang betul, maka sampai tua pun dia akan hidup demikian.”5 Ia akan memerlukan orang yang diamanahkan untuk menjaga dan memelihara anak-anak supaya layak menerima kurnia kedamaian.

Namun, kita berasa pilu apabila anak-anak yang dibesarkan dengan iman dan kedamaian sepanjang hidup oleh ibu bapa soleh—atau ibu bapa tunggal—kemudian mengambil jalan lain.

Walaupun kesedihan itu berlaku, optimisme saya terletak pada kurnia Tuhan yang lain. Tahulah ini: Tuhan membangkitkan banyak pendamai di kalangan pengikut-Nya yang dipercayai. Mereka telah merasai kedamaian dan kasih Tuhan. Mereka memiliki Roh Kudus dalam hati, dan Tuhan boleh membimbing mereka untuk menjangkau kepada domba-domba yang sesat.

Saya telah melihatnya sepanjang hidup dan di seluruh dunia. Anda juga telah melihatnya. Kadangkala, apabila anda dituntun untuk menyelamat, ia mungkin kelihatan kebetulan.

Satu hari, saya bertanya seseorang yang saya temui dalam perjalanan, “Bolehkan kamu beritahu saya sedikit tentang keluarga kamu?” Perbualan itu mendorong saya untuk meminta lihat gambar anak perempuan dewasanya, yang bergelut. Saya tertarik kepada kebaikan pada wajah anak perempuan dalam gambar. Saya terdorong untuk bertanya jika saya boleh dapatkan alamat e-melnya. Anak itu keliru buat seketika dan tertanya jika Tuhan ada pesanan untuknya. Tuhan ada. Iaitu: “Tuhan mengasihi anda. Sentiasa. Tuhan mahu anda kembali. Berkat-berkat yang dijanjikan masih ada.”

Ahli-ahli Gereja telah merasakan kurnia kedamaian peribadi Tuhan. Dia menggalakkan semua untuk membantu orang lain datang kepada-Nya dan menjadi layak untuk kedamaian itu. Mereka akan mencari ilham untuk tahu bagaimana mereka boleh sampaikan kurnia itu kepada orang lain.

Generasi muda akan menjadi pemelihara generasi seterusnya. Kesan berganda akan menghasilkan mukjizat. Ia akan merebak dan berkembang dari masa ke masa, dan kerajaan Tuhan di bumi akan disediakan dan bersedia untuk menerima Tuhan dengan laungan hosana. Akan ada kedamaian di bumi.

Saya bersaksi bahawa Juruselamat hidup dan Dia memimpin Gereja ini. Saya telah merasai kasih-Nya dalam kehidupan saya dan kasih dan keprihatinan-Nya terhadap anak-anak Bapa Syurgawi. Jemputan Juruselamat untuk datang kepada-Nya adalah tawaran kedamaian.

Presiden Russell M. Nelson ialah nabi Tuhan yang hidup di bumi. Dia berkata, “Saya memberi jaminan bahawa tidak kira keadaan dunia dan keadaan peribadi anda, anda boleh menghadapi masa depan dengan optimisme dan sukacita.”6

Saya ungkapkan kasih saya kepada anda. Iman dan kasih anda menjangkau orang dan membenarkan Tuhan untuk mengubah hati dan berhasrat untuk menawarkan orang lain kurnia kedamaian yang melebihi segala pemahaman.

Saya doakan anda temui kedamaian, membantu orang lain mencarinya, dan berkongsikannya. Akan adanya seribu tahun kedamaian yang menakjubkan apabila Tuhan datang lagi. Saya bersaksi dengan gembira dalam nama Yesus Kristus, amin.