Persidangan Umum
Pulang Dengan Selamat
Persidangan Umum April 2023


Pulang Dengan Selamat

Kita berada dalam kedudukan unik untuk mengumpulkan Israel di kedua belah tirai menurut rancangan Bapa.

Presiden Russell M. Nelson, nabi terkasih kita, menekankan tanggungjawab unik kita adalah untuk bantu mengumpulkan bangsa Israel yang tercerai-berai dan menyediakan dunia untuk Kedatangan Kedua Yesus Kristus.1 Bapa roh kita mahu anak-anak-Nya pulang dengan selamat.

Rancangan Bapa Syurgawi untuk mengumpulkan anak-anak-Nya ke syurga dengan selamat tidak berdasarkan kejayaan duniawi, status ekonomi, pendidikan, bangsa atau jantina. Rancangan Bapa berdasarkan kesolehan, mematuhi perintah-Nya, menerima tatacara kudus dan mentaati perjanjian yang kita buat.2

Ajaran ilahi kita iaitu kita semua saudara dan saudari dan “semua adalah sama bagi Tuhan” mendasari kerja pengumpulan yang besar ini. Ajaran ini selaras dengan mereka yang berhasrat membantu orang dari pelbagai status ekonomi dan kaum untuk kehidupan yang lebih baik. Kita bersukacita dan menyertai usaha seperti itu. Tambahan lagi, kita ingin semua anak Tuhan datang kepada-Nya dan menerima berkat abadi yang Dia tawarkan melalui injil-Nya.3 Kata pendahuluan Tuhan dalam Ajaran dan Perjanjian mengisytiharkan, “Dengarlah, kamu orang-orang dari jauh; dan kamu yang berada di atas pulau-pulau di laut, dengarkanlah.4

Saya suka ayat pertama dalam Ajaran dan Perjanjian yang menyatakan yang berada di “pulau-pulau di laut.” Saya telah ada tiga panggilan khusus untuk melayani dan hidup di kawasan kepulauan. Pertama, saya melayani sebagai misionari muda di Kepulauan Inggeris, kedua sebagai Penguasa Umum baru di Kepulauan Filipina, dan kemudian sebagai Presiden Kawasan di Kepulauan Pasifik, yang termasuk banyak kepulauan Polinesia.

Ketiga-tiga kawasan ini telah berjaya mengumpulkan orang yang percaya kepada injil Yesus Kristus yang dipulihkan. Misionari pertama kali tiba di Kepulauan Inggeris pada tahun 1837. Ini setahun selepas Joseph Smith membaktikan Bait Suci Kirtland, di mana Musa memberi “kunci-kunci pengumpulan Israel dari empat bahagian bumi, dan pimpinan sepuluh suku dari negeri utara.”5 Kejayaan awal di Kepulauan Inggeris adalah legenda. Pada tahun 1851, separuh daripada jumlah ahli Gereja adalah penganut baru di Kepulauan Inggeris.6

Pada tahun 1961, Elder Gordon B. Hinckley melawat dan memulakan usaha misionari sepenuh masa di Kepulauan Filipina. Pada masa itu hanya ada seorang pemegang Imamat Melkisedek Filipina. Menakjubkannya, kini ada lebih daripada 850,000 ahli Gereja di Kepulauan Filipina. Saya mengagumi orang Filipina; mereka ada kasih yang mendalam dan berkekalan terhadap Juruselamat.

Mungkin kurang terkenal ialah usaha misionari berterusan di Kepulauan Polinesia. Ia bermula pada tahun 1844 apabila Addison Pratt tiba ke Polinesia Perancis.7 Ramai orang Polinesia percayai keluarga abadi dan menerima Yesus Kristus sebagai Juruselamat mereka. Hari ini hampir 25 peratus orang Polinesia, di Kepulauan Polinesia, adalah ahli Gereja.8

Saya temui seorang gadis berusia 17 tahun di pulau Tahiti yang merupakan ahli generasi ketujuh. Dia memberi penghormatan kepada moyangnya yang dibaptis pada tahun 1845 di Tubuai, dua tahun sebelum ahli Gereja awal tiba di Lembah Salt Lake.9

Ajaran kita adalah jelas bahawa akan ada masa bagi semua orang untuk menerima dan menyahut pesanan injil. Contoh-contoh ini hanya sebahagian dari gambaran keseluruhan. Presiden Nelson berterusan menekankan bahawa “pengumpulan Israel adalah cabaran, … sebab, dan … kerja terbesar di bumi hari ini.”10

Sebelum Pemulihan Gereja Yesus Kristus, termasuk kedatangan Kitab Mormon, wahyu dan kunci-kunci imamat yang diberikan kepada Nabi Joseph Smith, pemahaman tentang pengumpulan Israel adalah sedikit dan terhad.11

Nama “Israel” adalah gelaran yang diberi kepada Yakub.12 Ia mewakili keturunan Abraham hingga Ishak dan Yakub. Janji dan perjanjian asal kepada Bapa Abraham ditunjukkan dalam Abraham 2:9–10, iaitu:

“Dan Aku akan menjadikan engkau sebuah bangsa yang besar, …

“Dan Aku akan memberkati [semua bangsa] melalui namamu; kerana sebanyak mana yang menerima Injil ini akan dipanggil menurut namamu, dan akan dianggap keturunanmu, dan akan bangkit dan memuji engkau, sebagai bapa mereka.”

Semasa Majlis Syurga di kewujudan pra-fana, rancangan keselamatan telah dibincangkan dan disokong. Ia termasuk hukum dan tatacara imamat tertentu yang ditegakkan sebelum pengasasan dunia dan dilandaskan pada pengumpulan.13 Ia juga termasuk prinsip utama hak pilihan.

Selepas beberapa abad sebagai bangsa yang berkuasa, termasuk pemerintahan Saul, Daud dan Salomo, Israel telah terpisah. Suku Yehuda dan sebahagian daripada suku Benyamin menjadi kerajaan Yehuda. Bakinya, dikenali sebagai sepuluh suku, menjadi kerajaan Israel.14 Selepas 200 tahun berasingan, pencerai-beraian Israel pertama berlaku pada tahun 721 SM apabila sepuluh suku Israel ditawan dan dibawa pergi oleh raja Asyur.15 Kemudian mereka pergi ke negara-negara utara.16

Di permulaan Kitab Mormon iaitu 600 SM, Lehi memimpin satu koloni orang Israel ke Benua Amerika. Lehi faham bahawa dia sebahagian daripada pencerai-beraian Israel. Nefi memetik kata-kata Lehi bahawa bani Israel “harus dibandingkan dengan sebatang pokok zaitun, yang cabang-cabangnya akan dipatahkan dan akan dicerai-beraikan ke atas seluruh permukaan bumi.”17

Di Dunia Baru, sejarah bangsa Nefi dan bangsa Laman dalam Kitab Mormon berakhir agak-agak 400 M. Keturunan Lehi tersebar ke seluruh Benua Amerika.18

Mormon jelaskan dalam 3 Nefi 5:20: “Aku adalah Mormon, dan merupakan keturunan kandung daripada Lehi. Aku mempunyai sebab untuk memuji Tuhanku dan Juruselamatku Yesus Kristus, kerana Dia telah membawa nenek moyang kami keluar dari negeri Yerusalem.”19

Jelasnya sejarah kronologi Israel yang paling penting ialah kelahiran, pesanan, pelayanan, dan misi Tuhan dan Juruselamat kita, Yesus Kristus.20

Selepas kematian yang mengubah keabadian dan Kebangkitan-Nya, pencerai-beraian kedua Yehuda berlaku di antara 70 M dan 135 M apabila, akibat penindasan dan penganiayaan Roma, orang Yahudi dicerai-beraikan ke seluruh dunia.

Presiden Nelson mengajarkan, “Kitab Mormon muncul sebagai tanda bahawa Tuhan telah mula mengumpul anak-anak perjanjian.”21 Maka, Kitab Mormon, diterjemahkan oleh Nabi Joseph Smith melalui kurnia dan kuasa Tuhan, ditujukan kepada keturunan Lehi, Israel yang tercerai-berai dan bangsa bukan Israel yang diangkat ke dalam suku-suku Israel. Tajuk pengenalan 1 Nefi 22 tertulis, “Israel akan dicerai-beraikan di seluruh permukaan bumi—Orang bukan Yahudi akan mengasuh dan memelihara Israel dengan Injil pada zaman akhir.” Halaman judul Kitab Mormon catatkan salah satu tujuan kitab ini adalah untuk “meyakinkan bangsa Yahudi dan bangsa Bukan Israel bahawa Yesus ialah Kristus.” Melalui Pemulihan dan Kitab Mormon, konsep pengumpulan Israel telah berkembang.22

Mereka yang menerima injil Yesus Kristus tanpa mengira keturunan menjadi sebahagian daripada pengumpulan Israel.23 Dengan pengumpulan itu dan banyak bait suci yang dibina dan diumumkan, kita berada dalam kedudukan unik untuk mengumpulkan Israel di kedua belah tirai menurut rancangan Bapa.

Presiden Spencer W. Kimball, berkata tentang pengumpulan nyata Israel: “Kini, pengumpulan Israel bermaksud menyertai gereja yang benar dan … memperoleh pengetahuan tentang Tuhan sejati. … Sesiapa pun, yang menerima injil yang dipulihkan, yang berusaha untuk menyembah Tuhan dalam bahasanya sendiri dan bersama Orang Suci di mana dia tinggal, telah mematuhi hukum pengumpulan Israel dan adalah pewaris kepada semua berkat yang dijanjikan kepada para Orang Suci di zaman akhir.”24

“Pengumpulan Israel kini melibatkan penukaran hati.”25

Dengan pemahaman yang jelas, ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir berpeluang untuk kasihi, berkongsi, menjemput dan membantu mengumpul Israel, untuk menerima kegenapan berkat perjanjian Tuhan. Ini termasuk orang Afrika dan Eropah, Amerika Selatan dan Utara, Asia, Australia dan mereka yang berada di pulau-pulau di laut. “Kerana sesungguhnya suara Tuhan adalah kepada semua orang.”26 “Pengumpulan ini akan berterusan sehingga yang soleh dihimpunkan di dalam jemaah Orang Suci di bangsa-bangsa dunia.”27

Tiada yang lebih lantang tentang pengumpulan selain Presiden Nelson: “Apabila anda lakukan sebarang perkara yang membantu sesiapa pun—di kedua-dua belah tirai—maju membuat perjanjian dengan Tuhan dan menerima tatacara pembaptisan dan bait suci, anda sedang membantu mengumpulkan Israel. Ia semudah itu.”28

Apakah keadaan Gereja hari ini? Dalam 62 tahun sejak saya melayani misi pada tahun 1960, jumlah misionari sepenuh masa yang melayani atas panggilan daripada nabi telah meningkat dari 7,683 kepada 62,544. Jumlah misi telah meningkat dari 58 kepada 411. Jumlah ahli telah bertambah dari kira-kira 1,700,000 orang kepada lebih kurang 17,000,000.

Pandemik COVID-19 mengganggu beberapa peluang kita untuk berkongsi injil. Ia memberi pengalaman penggunaan teknologi baru, yang akan meningkatkan pengumpulan. Kami bersyukur kerana ahli dan misionari kini sedang memperluaskan usaha mengumpulkan Israel yang tercerai-berai. Perkembangan berterusan di merata tempat, terutamanya Amerika Selatan dan Afrika. Kami juga menghargai ramai di seluruh dunia yang telah menyahut jemputan Presiden Nelson untuk meningkatkan pelayanan misionari. Walaupun demikian, komitmen kita untuk mengasihi, berkongsi dan menjemput boleh diperluaskan lagi.

Satu bahagian penting dalam usaha misionari ini adalah untuk ahli-ahli menjadi contoh cahaya29 di mana kita tinggal.30 Kita tidak boleh bersembunyi. Teladan baik hati, kesolehan, kebahagiaan dan kasih ikhlas kita kepada semua boleh mewujudkan cahaya bimbingan bagi mereka dan juga pemahaman bahawa adanya tempat yang selamat dalam tatacara keselamatan dan permuliaan injil Yesus Kristus yang dipulihkan.

Fahamilah bahawa terdapat berkat-berkat menakjubkan dalam berkongsi injil Yesus Kristus. Tulisan suci berbicara tentang sukacita dan kedamaian, pengampunan dosa, perlindungan dari godaan dan kuasa sokongan daripada Tuhan.31 Apabila kita lihat melebihi hidup fana ini, kita akan bersedia untuk berkongsi injil dengan mereka “dalam kegelapan dan di bawah penawanan dosa di dalam dunia roh orang mati yang besar.”32

Doa khusus saya adalah untuk setiap anak, remaja putera dan puteri, keluarga, kuorum, Lembaga Pertolongan, dan kelas untuk menyemak bagaimana kita secara individu dan secara kolektif menerima nasihat Tuhan dan nabi kita untuk membantu mengumpul Israel.

Kita menghormati hak pilihan. Di dunia sekular ini, ramai tidak akan menyahut dan terlibat dalam pengumpulan Israel. Tetapi ramai akan, dan Tuhan mengharapkan mereka yang telah menerima injil-Nya untuk segera berusaha untuk menjadi contoh cahaya yang akan membantu orang lain datang kepada Tuhan. Ini membolehkan saudara dan saudari kita di seluruh dunia menikmati berkat ilahi dan tatacara injil Yesus Kristus yang dipulihkan dan dikumpul pulang dengan selamat.

Saya memberi kesaksian kerasulan tentang keilahian Yesus Kristus dan rancangan Bapa Syurgawi bagi kita dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat Russell M. Nelson, “Pesanan Selamat Datang,” Liahona, Mei 2021, 7.

  2. Lihat Ajaran dan Perjanjian 20:37.

  3. Lihat 2 Nefi 26:33.

  4. Ajaran dan Perjanjian 1:1. Dalam Ajaran dan Perjanjian 1:4, Tuhan meneruskan, “Dan suara peringatan adalah kepada semua orang, melalui mulut para pengikut-Ku, yang telah Aku pilih pada zaman akhir ini.”

  5. Ajaran dan Perjanjian 110:11.

  6. Pada tahun 1851, terdapat 52,165 orang ahli Gereja. Menurut rekod Gereja dan “Religious Census of 1851” di England dan Wales terdapat lebih daripada 28,000 ahli di lokasi tersebut (lihat Robert L. Lively Jr., “Some Sociological Reflections on the Nineteenth-Century British Mission,” dalam Mormons in Early Victorian Britain, ed. Richard L. Jensen and Malcolm R. Thorp [1989], 19–20).

  7. Lihat Saints: The Story of the Church of Jesus Christ in the Latter Days, vol. 1, The Standard of Truth, 1815–1846 (2018), 494–95, 514–15, 573.

  8. Tonga: 45 peratus; Samoa: 31 peratus; Samoa Amerika: 22.5 peratus; dan Polinesia Perancis: 7 peratus.

  9. Lihat Saints, 573–74.

  10. Russell M. Nelson, “Harapan Israel” (pertemuan rohani remaja sedunia, 3 Jun 2018), HopeofIsrael.ChurchofJesusChrist.org.

  11. Ajaran unik dan berkuasa ini terkandung dalam Kitab Mormon dan dengan tepat dalam fasal-fasal kepercayaan yang kesepuluh, “Kami percaya kepada pengumpulan harfiah Israel dan kepada pemulihan Sepuluh Suku.” (lihat James E. Talmage, The Articles of Faith, 12th ed. [1924], 314–44).

  12. Seperti tercatat dalam Kejadian 32:28, laporan suci ini berkata, “Namamu bukan Yakub lagi. Engkau telah bergomol dengan Tuhan serta manusia, dan engkau sudah menang; kerana itu sekarang namamu Israel.”

  13. Lihat Joseph Smith, dalam “History, 1838–1856, volume D-1,” 1572, josephsmithpapers.org; lihat juga Joseph Smith, “Discourse, 11 June 1843–A, as Reported by Wilford Woodruff,” [42–43], josephsmithpapers.org; Joseph Smith, “Discourse, 11 June 1843–A, as Reported by Willard Richards,” [241], josephsmithpapers.org.

  14. Lihat Bible Dictionary, “Israel, Kingdom of”; James E. Talmage, The Articles of Faith, 315. Rehabeam dan rakyatnya dikenali sebagai kerajaan Yehuda dan ditempatkan di bahagian selatan Israel moden.

  15. Lihat 2 Raja-Raja 17:23.

  16. Lihat Ajaran dan Perjanjian 133:26; lihat juga Ajaran dan Perjanjian 110:11.

  17. 1 Nefi 10:12. Ammon kemudian berkata, “Terpujilah nama Tuhanku, yang telah mengambil berat terhadap bangsa ini, yang adalah suatu cabang daripada pokok Israel, dan telah hilang daripada tubuhnya di negeri asing” (Alma 26:36).

  18. Presiden Spencer W. Kimball, bercakap tentang Israel bangsa Laman, mengajar bahawa Sion adalah seluruh Amerika. Dia berkata, “Kita berada dalam Israel dan sedang dikumpulkan” (The Teachings of Spencer W. Kimball, ed. Edward L. Kimball [1982], 439).

  19. Apabila Bapa Lehi diarahkan untuk membawa keluarganya berangkat ke padang belantara, sebahagian sebabnya adalah Yerusalem akan dihancurkan (lihat 1 Nefi 2). Kemusnahan Bait Suci Salomo, kejatuhan Yerusalem, dan penawanan suku Yehuda berlaku pada kira-kira 586 tahun SM.

    “Israel ditakluk pada kira-kira 720 tahun S.M.E., dan 10 sukunya dibuang negeri. … [Di Yerusalem,] Bait Suci Salomo menerima beberapa serangan oleh kuasa asing sebelum akhirnya, pada tahun 586 S.M.E., dimusnahkan oleh tentera Nebukadnezar, raja Babilonia” (David B. Green, “The History of the Jewish Temple in Jerusalem,” Haaretz, 11 Ogos 2014, haaretz.com/jewish/.premium-history-of-the-temple-in-jerusalem-1.5256337). Lihat juga 2 Raja-Raja 25:8–9.

  20. Lihat Tad R. Callister, The Infinite Atonement (2000).

  21. Russell M. Nelson, “Children of the Covenant,” Ensign, Mei 1995, 33; lihat juga “Covenants,” Liahona, Nov. 2011, 88.

  22. Lihat Russell M. Nelson, dalam R. Scott Lloyd, “Seminar for New Mission Presidents: ‘Swift Messengers’ to Scattered Israel,” Church News, 13 Julai 2013, thechurchnews.com. Presiden Nelson telah menyatakan bahawa pengumpulan “bukanlah tentang lokasi fizikal; ia adalah tentang komitmen individu. Orang ramai boleh ‘dibawa kepada pengetahuan tentang Tuhan’ [3 Nefi 20 :13] tanpa meninggalkan tanah air mereka” (“The Gathering of Scattered Israel,” Liahona, Nov. 2006, 81). Lihat juga 3 Nefi 21:1–7.

  23. Ajaran kita adalah jelas; Tuhan mencerai-beraikan suku-suku Israel kerana pemberontakan dan ketidaksolehan mereka. Namun, Tuhan juga mencerai-beraikan umat pilihan-Nya di kalangan bangsa-bangsa di dunia untuk memberkati bangsa-bangsa itu. (Lihat Panduan Tulisan Suci, “Israel—Pencerai-beraian Israel,” scriptures.ChurchofJesusChrist.org.)

  24. Spencer W. Kimball, The Teachings of Spencer W. Kimball, 439.

  25. Ringkasan tajuk Spencer W. Kimball, The Teachings of Spencer W. Kimball, 438. Lihat juga “All Are Alike unto God,” ed. E. Dale LeBaron (1990), satu koleksi 23 kisah penukaran hati oleh Orang Suci Zaman Akhir Afrika. Sister Julia N. Mavimbela berkata bahawa sebelum dia menyertai Gereja dan terbaca perkataan Israel, dia akan menolak buku itu dan berkata, “Ia untuk orang putih. Bukan untuk kami. Kami tidak terpilih.’ Sekarang saya tahu saya tergolong dalam satu keluarga diraja, jika saya hidup dengan soleh. Saya orang Israel, dan apabila saya melakukan tatacara di bait suci, saya berasa bahawa kita semua adalah satu keluarga di bumi” (dalam “All Are Alike unto God,” 151).

  26. Ajaran dan Perjanjian 1:2.

  27. Spencer W. Kimball, The Teachings of Spencer W. Kimball, 438.

  28. Russell M. Nelson, “Harapan Israel.”

  29. Rasul Paulus memberitahu kawan mudanya Timotius untuk “menjadi … satu teladan bagi semua orang yang percaya.” (1 Timotius 4:12).

  30. Lihat 3 Nefi 18:24.

  31. Lihat Mosia 18:8–13; 3 Nefi 18:25; Ajaran dan Perjanjian 10–16; 31:5; 62:3.

  32. Ajaran dan Perjanjian 138:57.