Persidangan Umum
Pesanan Selamat Datang
Persidangan Umum April 2021


Pesanan Selamat Datang

Selamat datang ke persidangan umum dan untuk kesempatan istimewa mendengar suara Tuhan.

Saudara dan saudari, kawan-kawan sekalian di seluruh dunia, saya mengucapkan selamat datang ke persidangan umum ini. Kita berkumpul sebagai keluarga global besar yang ingin menyembah Tuhan dan Juruselamat kita, Yesus Kristus. Terima kasih kerana sertai kami.

Tahun yang lalu merupakan tahun yang sungguh luar biasa. Pastinya setiap kita telah belajar perkara yang kita tidak tahu sebelumnya. Beberapa pelajaran yang saya tahu sebelumnya telah ditulis pada hati saya dalam cara yang baharu dan penuh pengajaran.

Contohnya, saya tahu dengan pasti bahawa Tuhan memimpin urusan-urusan Gereja-Nya. Dia berkata, “Aku akan memperlihatkan kepada [kamu] bahawa Aku sanggup untuk melakukan pekerjaan-Ku sendiri.”1

Kerap kali, para penasihat saya dan saya telah melihat melalui air mata ketika Dia membantu dalam keadaan yang sungguh mencabarkan setelah kami melakukan sedaya upaya dan tidak dapat melakukan apa-apa lagi. Kami betul-betul berdiri dengan kagum.

Saya juga lebih faham sekarang apa yang Dia maksudkan bila Dia berfirman, “Lihatlah, Aku akan mempercepatkan pekerjaan-Ku pada waktunya.”2 Berulang kali saya telah bersukacita ketika Dia memimpin dan mempercepatkan pekerjaan-Nya—bahkan semasa pandemik global.

Saudara dan saudari yang dikasihi, kekuatan Gereja berada dalam usaha dan kesaksian yang terus berkembang daripada ahli-ahlinya. Kesaksian dipupuk dengan terbaik di rumah. Sepanjang tahun yang lalu ini, ramai di antara anda telah meningkatkan pengkajian injil dalam rumah anda. Saya berterima kasih kepada anda, dan anak-anak anda akan berterima kasih kepada anda.

Projek besar untuk mengubah suai Bait Suci Salt Lake diteruskan. Dari pejabat saya, saya ada tempat duduk di barisan hadapan untuk melihat pekerjaan yang sedang berlaku di plaza bait suci.

Imej
Usaha pembinaan di plaza bait suci

Ketika saya melihat para pekerja mengorek keluar akar pokok tua, paip, wayar, dan sebuah air pancut yang rosak, saya telah berfikir tentang keperluan bagi setiap kita untuk membuang, halangan lama dalam kehidupan kita dengan bantuan Juruselamat.

Injil Yesus Kristus adalah injil pertaubatan.3 Oleh kerana Korban tebusan Juruselamat, injil-Nya memberi jemputan untuk terus berubah, berkembang, dan menjadi lebih suci. Ia adalah injil harapan, kesembuhan, dan kemajuan. Jadi, injil ialah satu pesanan kegembiraan! Roh kita bersukacita dengan setiap langkah kecil ke hadapan yang kita ambil.

Sebahagian pengumpulan Israel, dan sebahagian yang sangat penting, ialah perintah untuk kita menjadi layak dan rela untuk membantu menyediakan dunia untuk Kedatangan Kedua Tuhan.

Ketika kita mendengar pesanan-pesanan yang telah disediakan dengan teliti oleh para pemimpin kita di bawah arahan Roh Kudus, saya jemput anda untuk berdoa untuk kenal pasti serpihan yang anda patut buang dari kehidupan anda supaya anda boleh menjadi lebih layak.

Saya mengasihi anda, saudara dan saudari saya, dan bersaksi bahawa Bapa Syurgawi dan Putera-Nya kenal dan kasihi anda secara individu. Mereka sedia membantu anda dalam setiap langkah ke hadapan yang anda ambil. Selamat datang ke persidangan umum dan untuk kesempatan istimewa mendengar suara Tuhan. Dalam nama Yesus Kristus, amin.