Persidangan Umum
Mereka Tidak Dapat Menang; Kita Tidak Dapat Jatuh
Persidangan Umum April 2021


Mereka Tidak Dapat Menang; Kita Tidak Dapat Jatuh

Jika kita membina landasan di atas Yesus Kristus, kita tidak dapat jatuh!

Nabi terkasih kita, Presiden Russell M. Nelson, berkata dalam persidangan umum terakhir: “Dalam masa kesusahan yang dinubuat oleh Rasul Paulus ini, Setan tidak lagi cuba untuk menyembunyikan serangannya terhadap rancangan Tuhan. Banyak kejahatan di sekeliling kita. Oleh itu, satu-satunya cara untuk terus hidup secara rohani adalah bertekad untuk membiarkan Tuhan menang dalam hidup kita, belajar mendengar suara-Nya, dan menggunakan tenaga kita untuk membantu mengumpulkan Israel.”1

Apabila kita mempertimbangkan jemputan nabi untuk belajar untuk mendengar suara Tuhan, adakah hati kita bertekad atau keras hati? Marilah kita mengingati nasihat yang diberikan dalam Yakub 6:6: “Ya, hari ini, jika kamu mahu mendengar suara-Nya, janganlah mengeraskan hatimu; kerana mengapa kamu mahu mati?” Marilah kita bertekad untuk membiarkan Tuhan menang dalam hidup kita.

Bagaimanakah kita membiarkan Tuhan menang dalam hidup kita dan bukan musuh? Dalam Ajaran dan Perjanjian 6:34 kita membaca, “Oleh kerana itu, janganlah takut, kawanan kecil; lakukanlah kebaikan; biarlah bumi dan neraka bergabung menentangmu, kerana jika kamu dibangunkan di atas batu-Ku, mereka tidak dapat berjaya.” Itulah perjanjian penting. Walaupun bumi dan neraka bergabung menentang kita, mereka tidak dapat berjaya jika kita memilih membiarkan Tuhan menang dengan menubuhkan hidup kita ke atas batu-Nya.

Bercakap kepada para pengikut-Nya, Yesus Kristus mengajar tentang orang bijaksana dan orang bodoh, tercatat dalam Matius bab 7 dari Perjanjian Baru. Kebanyakan daripada anda telah mendengar lagu sekolah Primer “Orang Bijaksana Dan Orang Bodoh.”2 Jika anda telah mengambil masa untuk membandingkan empat ayat dalam lagu ini, anda akan menjumpai ayat 1 dan 2 adalah sangat serupa dengan ayat 3 dan 4. Kedua-dua orang bijaksana dan bodoh membina rumah. Mereka ingin menyediakan keluarga mereka dengan rumah selamat dan selesa. Mereka ingin hidup gembira bersama sebagai keluarga selama-lamanya, seperti anda dan saya. Keadaan mereka adalah sama—“Hujan yang lebat serta banjir pun datang.” Kita menyanyi ayat itu enam kali apabila kita menyanyi lagu itu. Satu-satunya perbezaan ialah orang bijaksana membangun rumahnya di atas batu dan rumah tetap tegak menjuang, manakala orang bodoh membangun rumahnya di atas pasir dan rumahnya dihanyutkan air. Oleh kerana itu, di mana landasan kita berada adalah sangat penting betul-betul bermakna, dan ini sangat berkesan pada keputusan pada akhirnya.

Saya berharap dan berdoa bahawa kita semua akan mendapat dan tinggal di atas landasan tetap apabila kita menubuhkan hidup kita pada masa depan. Kita diingati dalam Helaman 5:12, “Dan sekarang, anak-anakku, ingatlah, ingatlah bahawa adalah di atas batu Penebus kita, iaitu Kristus, Putera Tuhan, bahawa kamu mesti membina landasanmu; agar ketika iblis akan menghantarkan anginnya yang kuat, ya, panahan petirnya dalam puting beliung, ya, ketika semua hujan batunya dan badainya yang kuat akan melanda ke atas dirimu, ia tidak akan berkuasa ke atas dirimu untuk menyeretmu turun ke dalam jurang kegetiran dan kecelakaan tanpa akhir, kerana di atas batu yang kamu dibangunkan, yang merupakan suatu landasan yang kukuh, landasan yang mana jika manusia dibangunkan di atasnya mereka tidak dapat jatuh.”

Itulah perjanjian daripada Tuhan! Jika kita membina landasan di atas Yesus Kristus, kita tidak dapat jatuh! Apabila kita bertahan sampai akhir dengan beriman, Tuhan akan menolong kita membina hidup kita di atas batu-Nya, dan pintu-pintu gerbang neraka tidak akan berjaya melawan [kita]” (Ajaran dan Perjanjian 10:69). Kita mungkin tidak boleh mengubah semua hal yang akan datang, tetapi kita boleh memilih cara kita bersedia bagi apa yang datang.

Beberapa daripada kita mungkin berfikir, “Injil adalah baik, jadi kita perlu memasukkannya ke dalam hidup kita, mungkin sekali seminggu.” Hanya pergi ke gereja sekali seminggu tidak cukup untuk membina di atas batu. Keseluruhan hidup kita sepatutnya dipenuhi dengan injil Yesus Kristus. Injil bukan sebahagian hidup kita, tetapi sebenarnya hidup kita sebahagian injil Yesus Kristus. Fikirkannya. Tidakkah itu benar? Hidup fana kita hanya sebahagian rancangan keselamatan dan permuliaan.

Tuhan ialah Bapa Syurgawi kita. Dia mengasihi kita semua. Dia mengetahui potensi kita lebih baik daripada kita mengenali diri kita. Dia tidak hanya mengetahui butiran-butiran hidup kita. Tuhan mengetahui butiran dalam butiran dalam butiran hidup kita.

Sila ikuti nasihat bijak daripada nabi kita, Presiden Nelson. Seperti tercatat dalam Ajaran dan Perjanjian 21:5–6:

“Kerana perkataan akan kamu terima, seolah-olah dari mulut-Ku sendiri, dalam segala kesabaran dan iman.

“Kerana dengan melakukan hal-hal ini pintu-pintu gerbang neraka tidak akan berjaya melawanmu; ya, dan Tuhan Raja akan menyelerakkan kuasa kegelapan dari hadapanmu, dan menyebabkan langit bergoncang demi kebaikanmu, dan kemuliaan nama-Nya.”

Oleh kerana itu, mereka tidak dapat menang dan kita tidak dapat jatuh!

Saya bersaksi kepada anda bahawa Kristus akan datang kali kedua seperti kali pertama, tetapi kali ini dengan kemuliaan besar dan keagungan. Saya berharap dan berdoa bahawa saya akan bersedia menerima Dia, baik di sini atau sebelah tirai. Apabila kita menyambut musim Easter indah ini, saya berharap, melalui Korban Tebusan Yesus Kristus dan kuasa Kebangkitan-Nya (lihat Moroni 7:41), Saya akan dapat pergi dan bertemu dengan Pencipta saya dan berkata, “Terima kasih.” Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Russell M. Nelson, “Membiarkan Tuhan Menang,” Liahona, Nov. 2020, 95.

  2. “Orang Bijaksana Dan Orang Bodoh,” Buku Nyanyian Anak-Anak, 132.