Persidangan Umum
Ketidakadilan yang Menggeramkan
Persidangan Umum April 2021


Ketidakadilan yang Menggeramkan

Yesus Kristus memahami ketidakadilan dan mempunyai kuasa untuk menyediakan penawar.

Pada tahun 1994, terjadi pembunuhan beramai-ramai di negara Afrika Timur Rwanda yang sebahagiannya disebabkan oleh ketegangan suku kaum yang mendalam. Anggaran lebih daripada setengah juta orang terbunuh.1 Yang menakjubkannya, orang Rwanda, pada umumnya, telah berdamai,2 namun peristiwa-peristiwa ini masih terus mengesani.

Satu dekad yang lalu, semasa melawat Rwanda, saya dan isteri memulakan perbualan dengan seorang penumpang lain di lapangan terbang Kigali. Dia meratapi ketidakadilan pembunuhan beramai-ramai itu dan bertanya, “Jika Tuhan ada, tidakkah Dia akan melakukan sesuatu?” Bagi lelaki ini—dan kebanyakan dari kita—penderitaan dan ketidakadilan yang kejam nampaknya tidak sesuai dengan realiti Bapa Syurgawi yang baik dan penuh kasih. Namun Dia nyata, Dia baik, dan Dia mengasihi setiap anak-Nya dengan sempurna. Dikotomi ini sama tuanya dengan manusia dan tidak dapat dijelaskan dalam kata-kata yang pendek dan mudah.

Untuk memahami hal ini, marilah kita menerokai pelbagai jenis ketidakadilan. Pertimbangkan setiap anak dalam sebuah keluarga mendapat elaun wang mingguan kerana melakukan kerja rumah. Anak lelaki, [bernama] John, membeli gula-gula; anak perempuan, [bernama] Anna, menyimpan wangnya. Akhirnya, Anna membeli basikal sendiri. John berpendapat ia benar-benar tidak adil kerana Anna mendapat basikal, manakala dia tidak. Tetapi pilihan John yang mencipta ketidaksamaan, bukan tindakan ibu bapa. Keputusan Anna untuk melepaskan kepuasan makan gula-gula langsung tidak menimbulkan ketidakadilan terhadap John kerana John mempunyai peluang yang sama dengan Anna.

Keputusan kita juga dapat menghasilkan kelebihan atau kekurangan jangka panjang. Seperti yang Tuhan ungkapkan, “Dan jika seseorang memperoleh lebih banyak pengetahuan dan kecerdasan dalam kehidupan ini melalui ketekunan dan kepatuhannya berbanding yang lain, dia akan memperoleh begitu banyak kelebihan di dunia yang akan datang.”3 Ketika orang lain menerima kelebihan kerana pilihan tekun mereka, kita tidak boleh menyimpulkan kita telah dilayan secara tidak adil sedangkan kita mempunyai peluang yang sama.

Contoh lain ketidakadilan diambil dari situasi yang dihadapi oleh isteri saya, Ruth semasa kecil. Suatu hari Ruth ketahui bahawa ibunya membawa adik perempuannya, Merla, pergi membeli kasut baru. Ruth mengadu, “Ibu, ini sangat tidak adil! Merla dapat kasut baru yang terakhir tu.”

Ibu Ruth bertanya, “Ruth, adakah kasut masih boleh dipakai?”

Ruth menjawab, “Ya.”

Ibu Ruth kemudian berkata, “Kasut Merla sudah tidak muat.”

Ruth bersetuju bahawa setiap anak dalam keluarga harus mempunyai kasut yang sesuai. Walaupun Ruth menyukai kasut baru, tanggapan dia diperlakukan secara tidak adil hilang ketika dia melihat keadaan itu melalui mata ibunya.

Sesetengah ketidakadilan tidak dapat dijelaskan; ketidakadilan yang tidak dapat dijelaskan menyakitkan hati. Ketidakadilan berlaku kerana badan yang tidak sempurna, cedera, atau berpenyakit. Kehidupan fana sememangnya tidak adil. Sebilangan orang dilahirkan dalam kemakmuran; yang lain tidak. Ada yang mempunyai ibu bapa yang penuh kasih; yang lain tidak. Ada yang hidup bertahun-tahun; yang lain singkat. Dan seterusnya. Sesetengah individu melakukan kesilapan yang teruk meskipun mereka berusaha melakukan kebaikan. Sesetengah memilih untuk tidak mengurangkan ketidakadilan ketika mereka boleh. Menyedihkan, sesetengah individu gunakan hak pilihan yang Tuhan berikan untuk menyakiti orang lain walaupun ia tidak patut.

Berbagai jenis ketidakadilan dapat bergabung, mewujudkan tsunami ketidakadilan yang luar biasa. Contohnya, pandemik COVID-19 secara tidak langsung telah mempengaruhi mereka yang memang sudah terkesan oleh aspek lain. Hati saya pilu bagi mereka yang menghadapi ketidakadilan seperti itu, tetapi saya sepenuh hati nyatakan Yesus Kristus memahaminya dan mempunyai kekuatan untuk memberikan penawar. Tiada yang dapat dibandingkan dengan ketidakadilan yang Dia lalui. Tidak adil bahawa Dia mengalami semua kesakitan dan kesengsaraan umat manusia. Ia tidak adil bahawa Dia telah menderita atas dosa dan kesalahan saya dan anda. Tetapi Dia memilih untuk melakukannya kerana kasih-Nya untuk kita dan Bapa Syurgawi. Dia memahami dengan sempurna apa yang kita alami.4

Tulisan suci mencatatkan orang Israel kuno merungut bahawa Tuhan melayan mereka dengan tidak adil, Yehovah bertanya, “Kerana bolehkah seorang wanita melupakan anaknya yang menyusu, sehingga dia tidak mempunyai rasa kasihan terhadap anak lelaki dari rahimnya?” Tidak mungkin ibu yang penuh kasih melupakan anaknya yang masih kecil, Yehovah menyatakan bahawa pengabdian-Nya lebih teguh. Dia menegaskan: “Ya, mereka mungkin akan lupa, tetapi Aku tidak akan melupakanmu. … Hai Yerusalem, Aku tidak akan melupakan kamu! Aku telah menuliskan nama kamu pada tapak tangan-Ku.”5 Kerana Yesus Kristus telah menanggung pengorbanan yang tidak terhingga, Dia bersimpati terhadap kita.6 Dia sentiasa peka tentang kita dan keadaan kita.

Dalam kefanaan, kita boleh datang “dengan penuh keberanian” kepada Juruselamat dan menerima belas kasihan, penyembuhan, dan bantuan.7 Walaupun kita menderita tanpa penjelasan, Tuhan dapat memberkati kita dalam cara yang mudah, sederhana dan bermakna. Ketika kita belajar mengenali berkat-berkat ini, kepercayaan kita kepada Tuhan akan bertambah. Dalam keabadian, Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus akan menyelesaikan semua ketidakadilan. Kita ingin tahu bagaimana dan bila. Bagaimanakah Mereka akan lakukan itu? Bilakah Mereka akan melakukan itu? Dalam pengetahuan saya, Mereka tidak mengungkapkan bagaimana atau bila.8 Apa yang yang saya tahu adalah Mereka akan.

Dalam keadaan yang tidak adil, tugas kita adalah percaya bahawa “semua yang tidak adil tentang kehidupan boleh dibetulkan melalui Korban tebusan Yesus Kristus.”9 Yesus Kristus telah mengalahkan dunia dan “menyerap” semua ketidakadilan. Kerana Dia, kita boleh memiliki kedamaian dalam dunia ini dan bertabah hati.10 Jika kita membenarkan-Nya, Yesus Kristus akan membaktikan ketidakadilan untuk keuntungan kita.11 Dia bukan sahaja menenangkan kita dan memulihkan apa yang telah hilang;12 Dia akan menggunakan ketidakadilan untuk kebaikan kita. Tentang bagaimana dan bila, kita perlu mengenali dan menerima, seperti Alma lakukan, bahawa ia “tidaklah penting; kerana Tuhan mengetahui segala hal ini; dan cukuplah bagiku untuk mengetahui bahawa inilah keadaannya.”13

Kita boleh simpan soalan tentang bagaimana dan bila , dan tumpukan dalam membentuk iman terhadap Yesus Kristus, Dia memiliki kuasa untuk membetulkan segalanya dan berhasrat untuk lakukan itu.14 Untuk kita bertegas untuk mengetahui bagaimana atau bila adalah tidak produktif dan ia, rabun (myopic).15

Semasa kita membentuk iman terhadap Yesus Kristus, kita harus berusaha menjadi seperti Dia. Kita kemudian mendekati orang lain dengan penuh belas kasihan dan berusaha mengurangkan ketidakadilan jika kita temui;16 kita dapat membuat sesuatu yang betul dalam lingkungan pengaruh kita. Juruselamat mengarahkan kita “hendaknya dengan bersemangat terlibat dalam perkara yang baik, dan melakukan banyak hal dari kehendak bebas [kita] sendiri, dan mendatangkan banyak kebenaran.”17

Seseorang yang sentiasa terlibat dalam memerangi ketidakadilan adalah peguam Bryan Stevenson. Amalan undang-undangnya di Amerika Syarikat didedikasikan untuk mempertahankan yang disalah tuduh, mengakhiri hukuman yang berlebihan, dan melindungi hak asasi manusia. Beberapa tahun yang lalu, Encik Stevenson membela seorang lelaki yang telah dituduh membunuh dan diberi hukuman mati. En. Stevenson meminta sokongan dari gereja Kristian lelaki itu, walaupun lelaki itu tidak aktif di gerejanya dan merasa rendah diri kerana hubungan luar nikahnya diketahui umum.

Untuk memusatkan jemaat pada hal yang benar-benar penting, En. Stevenson berbicara kepada mereka tentang wanita yang dituduh berzina yang dibawa kepada Yesus. Para penuduh ingin melemparkan batu kepadanya, tetapi Yesus berfirman, “Sesiapa … yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia.”18 Para penuduh itu menarik diri. Yesus tidak mengutuk wanita itu tetapi memintanya untuk jangan berdosa lagi.19

Setelah menceritakan ini, En. Stevenson perhati bahwa perasaan diri adalah lebih baik, ketakutan, dan kemarahan telah menyebabkan bahkan orang Kristian melemparkan batu ke arah orang yang tersadung. Dia kemudian berkata, “Kita tidak boleh hanya menyaksikan itu terjadi,” dan dia mendorong para jemaah untuk menjadi “penangkap batu.”20 Saudara dan saudari, tidak melempar batu adalah langkah pertama untuk memperlakukan orang lain dengan belas kasihan. Langkah kedua adalah dengan berusaha menangkap batu yang dilemparkan oleh orang lain.

Cara kita mengatasi kelebihan dan kekurangan adalah sebahagian daripada ujian hidup. Kita tidak akan terlalu dinilai oleh apa yang kita katakan tetapi oleh bagaimana kita memperlakukan orang-orang yang lemah dan kekurangan.21 Sebagai Orang Suci Zaman Akhir, kita berusaha untuk mengikuti teladan Juruselamat, untuk terus melakukan kebaikan.22 Kita menunjukkan kasih kita kepada jiran kita dengan berusaha memastikan martabat semua anak Bapa Syurgawi.

Dengan kelebihan dan kekurangan kita sendiri, merenung adalah baik. Untuk John memahami mengapa Anna mendapat basikal itu mendedahkan tentang sikap John. Untuk Ruth melihat keperluan Merla melalui mata ibunya adalah sangat menerangi. Cuba melihat sesuatu dengan perspektif yang abadi dapat menjelaskan tentang sesuatu hal. Semasa kita menjadi lebih seperti Juruselamat, kita mengembangkan lebih banyak empati, pemahaman, dan kasih ihsan.

Kembali kepada soalan yang diajukan oleh saudara di Kigali yang meratapi ketidakadilan pembunuhan beramai-ramai Rwanda dan bertanya, “Jika Tuhan ada, tidakkah Dia akan melakukan sesuatu?”

Tanpa mengurangkan penderitaan yang disebabkan oleh pembunuhan beramai-ramai, dan setelah mengakui ketidakmampuan kami untuk fahami penderitaan seperti itu, kami menjawab bahawa Yesus Kristus telah melakukan sesuatu tentang ketidakadilan.23 Kami menjelaskan banyak ajaran injil tentang Yesus Kristus dan Pemulihan Gereja-Nya.24

Setelah itu, kenalan kami bertanya, dengan air mata, “Maksud anda ada sesuatu yang dapat saya lakukan untuk ibu bapa dan bapa saudara saya yang sudah meninggal?”

Kami berkata, “Ya!” Kami bersaksi bahawa semua yang tidak adil dalam hidup boleh menjadi adil melalui Korban Tebusan Yesus Kristus dan melalui wewenang-Nya keluarga dapat disatukan selamanya.

Ketika menghadapi ketidakadilan, kita boleh menjauhkan diri dari Tuhan atau kita boleh mendekati-Nya untuk meminta bantuan dan sokongan. Contohnya, peperangan yang berpanjangan antara bangsa Nefi dan bangsa Laman mempengaruhi orang secara berbeza. Mormon perhatikan “banyak yang telah menjadi keras” dan yang lain “dilunakkan kerana kesengsaraan mereka, sedemikian rupa sehingga mereka merendahkan hati mereka di hadapan Tuhan.”25

Jangan biarkan ketidakadilan mengeraskan anda atau merosakkan iman anda kepada Tuhan. Sebaliknya, minta bantuan Tuhan. Tingkatkan penghargaan dan kebergantungan anda terhadap Juruselamat. Daripada menjadi pahit, izinkan Dia membantu anda menjadi lebih baik.26 Izinkan Dia membantu anda bertabah, agar penderitaan anda “tertelan dalam kebahagiaan Kristus.”27 Sertai misi-Nya “untuk menyembuhkan orang yang patah hati,”28 berusaha untuk mengurangkan ketidakadilan, dan menjadi penangkap batu.29

Saya bersaksi bahawa Juruselamat hidup. Dia memahami ketidakadilan. Tanda pada tapak tangan-Nya sentiasa mengingatkan Dia tentang anda dan keadaan anda. Dia melayani anda dalam semua kesusahan anda. Bagi mereka yang datang kepada-Nya, mahkota kecantikan akan menggantikan abu berkabung; kesukaan dan kegembiraan akan menggantikan kesedihan dan dukacita; penghargaan dan pujian akan menggantikan rasa kecewa dan putus asa.30 Iman anda terhadap Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus akan diberi ganjaran lebih dari yang anda bayangkan. Segala ketidakadilan—terutamanya ketidakadilan yang menggeramkan—akan dibaktikan untuk keuntungan anda. Saya bersaksi ini dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat John Reader, Africa: A Biography of the Continent (1999), 635–36, 673–79.

  2. Dengan harapan, perdamaian Rwandan adalah rumit. Ada yang mempersoal kerumitan tersebut. Lihat, sebagai contoh, “The Great Rwanda Debate: Paragon or Prison?,” Economist, 27 Mac 2021, 41–43.

  3. Ajaran dan Perjanjian 130:19; penekanan ditambah.

  4. Lihat Ibrani 4:15.

  5. 1 Nefi 21:15–16.

  6. Lihat Alma 7:11–13.

  7. Lihat Ibrani 4:16; lihat juga Yesaya 41:10; 43:2; 46:4; 61:1–3.

  8. Dengan berhati-hati: Kita harus menahan godaan untuk membuat teori kita sendiri tentang bagaimana dan bila, tanpa mengira seberapa baik akal atau masuk akal. Kita tidak dapat secara adil mengisi kekosongan untuk apa yang belum diungkapkan oleh Tuhan.

  9. Mengkhutbahkan Injil-Ku: Panduan untuk Pelayanan Penginjil (2018), 52; lihat juga Yesaya 61:2–3; Wahyu 21:4. “Semua yang tidak adil dalam hidup boleh menjadi adil” mungkin bermaksud kesan ketidakadilan terhadap kita akan diselesaikan, dikurangi, atau diangkat. Dalam ucapan persidangan umum terakhirnya, “Come What May, and Love It,” Elder Joseph B. Wirthlin berkata: “Setiap air mata hari ini akhirnya akan dikembalikan seratus kali ganda dengan air mata kegembiraan dan rasa kesyukuran. … Asas pampasan akan berlaku” (Liahona, Nov. 2008, 28).

  10. Lihat Yohanes 16:33.

  11. Lihat 2 Nefi 2:2.

  12. Lihat Ayub 42:10, 12–13; Yakub 3:1.

  13. Alma 40:5.

  14. Lihat Mosia 4:9.

  15. Lihat Russell M. Nelson, “Membiarkan Tuhan Menang,” Liahona, Nov. 2020, 93. Myopic bermaksud rabun jauh.

  16. Contohnya, Panglima Moroni menegaskan bahawa adalah salah bagi individu untuk berdiri dan “tidak melakukan apa-apa” ketika mereka dapat menolong orang lain (lihat Alma 60:9–11; lihat juga 2 Korintus 1:3–4).

  17. Ajaran dan Perjanjian 58:27; lihat juga ayat 26, 28–29.

  18. Yohanes 8:7.

  19. Lihat Yohanes 8:10–11; Terjemahan Joseph Smith ayat 11 merangkumi, “Dan wanita itu memuliakan Tuhan sejak saat itu, dan percaya pada namanya,” menunjukkan bahawa Juruselamat kurang menghukum dan perintah-Nya untuk “janganlah berdosa lagi” mempengaruhi kehidupan wanita itu.

  20. Bryan Stevenson, Just Mercy: A Story of Justice and Redemption (2015), 308–9.

  21. Lihat Matius 25:31–46.

  22. Lihat Kisah Rasul-Rasul 10:38; lihat juga Russell M. Nelson, “Perintah Kedua Utama,” Liahona, Nov. 2019, 96–100.

  23. Lihat Ajaran dan Perjanjian 1:17, 22–23.

  24. Ajaran-ajaran ini jelas dinyatakan dalam “Pemulihan Kegenapan Injil Yesus Kristus: Perisytiharan Ulang Tahun Kedua Ratus kepada Dunia,” ChurchofJesusChrist.org.

  25. Alma 62:41.

  26. Lihat Amos C. Brown, dalam Boyd Matheson, “‘It Can Be Well with This Nation’ If We Lock Arms as Children of God,” Church News, July 25, 2019, churchnews.com.

  27. Alma 31:38.

  28. Lihat Lukas 4:16–19. Untuk menyembuhkan yang patah hati adalah memulihkan akal, kehendak, akal budi, atau dalaman diri yang telah tercerai-berai atau hancur (lihat James Strong, The New Strong’s Expanded Exhaustive Concordance of the Bible [2010], Hebrew dictionary section, 139 dan 271).

  29. Lihat, contohnya, Russell M. Nelson, “Membiarkan Tuhan Menang,” Liahona, Nov. 2020, 94; Dallin H. Oaks, “Kasihilah Musuh Kamu,” Liahona, Nov. 2020, 26–29. Presiden Nelson menggesa; “Hari ini, saya menyeru para ahli kita di mana sahaja untuk memimpin dalam meninggalkan sikap dan tindakan prasangka. Saya memohon kepada anda untuk menghormati setiap anak-anak Tuhan.” Ini lebih daripada sekadar menolak sikap dan tindakan prasangka. Presiden Oaks memetik Yang Berhormat Theresa A. Dear: “Perkauman suka kebencian, penindasan, kepasifan, ketidakacuhan dan kesenyapan.” Kemudian dia berkata, “Sebagai warganegara dan sebagai ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, kita harus membasmi perkauman dengan lebih baik.”

  30. Lihat Yesaya 61:3. Menerima mahkota kecantikan bermaksud kita menjadi pewaris-bersama Yesus Kristus dalam kerajaan Tuhan. Lihat juga Donald W. Parry, Jay A. Parry, dan Tina M. Peterson, Understanding Isaiah (1998), 541–43.