Persidangan Umum
Ingat Jalan Anda Kembali ke Rumah
Persidangan Umum April 2021


Ingat Jalan Anda Kembali ke Rumah

Kita ada teladan sempurna Yesus Kristus untuk diikuti, dan perjalanan menuju rumah abadi kita hanya terjadi kerana ajaran-ajaran-Nya, kehidupan-Nya, dan korban tebusan-Nya.

Pada tahun 1946, penyelidik muda Arthur Hasler mendaki di sepanjang sungai gunung yang terletak dekat rumah masa kecilnya ketika dia mendapat penemuan penting tentang bagaimana ikan dapat kembali ke aliran kelahiran mereka.

Mendaki gunung, namun tidak kelihatan air terjun kegemarannya, Hasler dibawa kembali pada ingatan yang samar. Dia berkata, “Seperti angin sejuk, yang ada aroma lumut dan kolumbin, menyapu sekitar batu-batu, perincian air terjun ini dan pemandangannya di muka gunung tiba-tiba mencetus idea dalam fikiranku.”1

Bau ini menghidupkan kembali kenangan masa kecilnya dan mengingatkannya tentang rumah.

Jika bau dapat membangkitkan kenangannya, dia rasa bau mungkin membantu ikan salmon yang, setelah bertahun-tahun berada di lautan luas, kembali ke aliran kelahiran mereka untuk bertelur.

Berdasarkan pengalaman ini, Hasler, disertai penyelidik lain, menunjukkan bahawa ikan salmon mengingati aroma yang akan membantu mereka mengemudi ribuan batu untuk mencari jalan pulang dari laut.

Laporan ini membuat saya terfikir bahawa salah satu hal terpenting yang dapat kita lakukan dalam hidup ini adalah mengenali dan mengingati jalan kembali kepada Bapa Syurgawi dan setia serta penuh ketabahan di sepanjang perjalanan.

Saya terfikir empat hal, apabila digunakan dan diterapkan secara konsisten, dapat menghidupkan kembali perasaan rumah syurgawi kita.

Pertama, Kita Boleh Ingat Bahawa Kita Adalah Anak-anak Tuhan

Kita mempunyai warisan ilahi. Mengetahui bahawa kita adalah anak-anak Tuhan dan Dia ingin kita kembali ke hadirat-Nya adalah langkah pertama dalam perjalanan kembali ke rumah syurgawi kita.

Ingatkan diri anda tentang warisan ini. Kerap luangkan masa untuk tingkatkan sistem kekebalan rohani anda dengan mengingati berkat-berkat Tuhan yang anda terima. Percaya bimbingan yang Dia telah berikan, dan bukannya berpaling kepada dunia semata-mata untuk mengukur nilai peribadi anda dan mencari jalan anda.

Baru-baru ini saya mengunjungi orang yang dikasihi setelah dia berada di hospital. Dia memberitahu saya bahawa ketika dia terlantar di katil hospital, yang dia mahukan adalah seseorang menyanyikan lagu “Aku Anak Tuhan” kepadanya. Memikirkan itu sahaja, katanya, memberi kedamaian yang dia perlukan semasa kesengsaraan itu.

Mengetahui siapa anda mengubah perasaan dan tindakan anda.

Memahami identiti anda mempersiapkan anda untuk mengenali dan mengingati jalan kembali ke rumah syurgawi dan keinginan berada di sana.

Kedua, Kita Dapat Ingat Landasan yang Melindungi Kita

Kekuatan datang ketika kita kekal soleh, benar, dan setia kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus, bahkan ketika orang lain mengabaikan perintah dan asas-asas keselamatan.2.

Dalam Kitab Mormon, Helaman mengajarkan anak-anaknya untuk ingat bahawa mereka mesti bina landasan pada Yesus Kristus agar mempunyai kekuatan untuk menahan godaan musuh. Angin dan ribut Setan yang kuat menimpa kita, tetapi ia tidak mempunyai kekuatan untuk menyeret kita ke bawah jika kita letakkan kepercayaan pada tempat paling selamat—Penebus kita.3

Saya tahu dari pengalaman peribadi bahawa ketika kita pilih untuk dengar suara-Nya dan ikuti-Nya, kita akan terima bantuan-Nya. Kita akan memperoleh perspektif yang lebih luas tentang keadaan kita dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai tujuan hidup. Kita akan merasakan dorongan rohani yang akan membimbing kita kembali ke rumah syurgawi kita.

Ketiga, Kita Boleh Ingat untuk Berdoa

Kita hidup dalam masa ketika dengan satu sentuhan atau suara, kita boleh mula mencari jawapan kepada hampir semua topik dalam banyak data yang disimpan dan disusun dalam rangkaian komputer yang luas dan kompleks.

Sebaliknya, kita mempunyai kesederhanaan jemputan untuk mula mencari jawapan dari syurga. “Berdoalah selalu, dan Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas dirimu,” Kemudian Tuhan berjanji, “dan akan besarlah berkatmu—ya, bahkan lebih daripada sekiranya kamu mendapat harta dari bumi.”4

Tuhan kenali kita dengan sepenuhnya dan bersedia mendengar doa kita. Ketika kita ingat untuk berdoa, kita temui kasih-Nya yang berkekalan, dan semakin kita kerap berdoa kepada Bapa Syurgawi dalam nama Kristus, semakin kita membawa Juruselamat ke dalam hidup kita dan kita semakin mengenali jalan yang Dia tandakan ke rumah syurgawi kita.

Keempat, Kita Boleh Ingat untuk Melayani Orang Lain

Semasa kita berusaha mengikuti Yesus Kristus melalui pelayanan dan kebaikan kepada orang lain, kita menjadikan dunia tempat yang lebih baik.

Tindakan kita boleh memberkati kehidupan orang lain dan kita juga. Pelayanan penuh kasih menambah makna kepada pemberi dan penerima.

Jangan rendahkan potensi yang anda miliki untuk mempengaruhi orang lain demi kebaikan, melalui pelayanan tindakan dan teladan anda.

Pelayanan penuh kasih membimbing kita sepanjang jalan menuju rumah syurgawi kita—jalan untuk menjadi seperti Juruselamat kita.

Pada tahun 1975, akibat perang saudara, Arnaldo dan Eugenia Teles Grilo serta anak-anak mereka terpaksa meninggalkan rumah dan semua kerja keras yang mereka telah bina selama puluhan tahun. Di negara asal mereka Portugal, Brother dan Sister Teles Grilo menghadapi cabaran untuk mula dari awal. Tetapi bertahun kemudian, setelah menyertai Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, mereka berkata, “Kami kehilangan semuanya, tetapi itu adalah perkara baik kerana itu memaksa kami untuk pertimbangkan kepentingan berkat abadi.”5

Mereka kehilangan rumah duniawi mereka, tetapi menemui jalan kembali ke rumah syurgawi mereka.

Apa sahaja anda harus tinggalkan untuk ikuti jalan kembali ke rumah syurgawi anda, suatu hari nanti ia tidak terasa seperti suatu pengorbanan.

Kita ada teladan sempurna Yesus Kristus untuk diikuti, dan perjalanan menuju rumah abadi kita hanya terjadi kerana ajaran-ajaran-Nya, kehidupan-Nya, dan korban tebusan-Nya—termasuk kematian dan Kebangkitan-Nya yang mulia.

Saya menjemput anda untuk ingat bahawa kita adalah anak-anak Tuhan dan Dia sangat mengasihi dunia sehingga mengutus Putera-Nya6 untuk tunjukkan kita jalannya. Saya menjemput anda untuk setia, dan palingkan kehidupan anda kepada Juruselamat dan bina landasan anda pada-Nya. Ingat untuk berdoa dalam perjalanan anda dan melayani orang lain sepanjang jalan.

Saudara dan saudari, pada Ahad Easter ini, saya bersaksi Yesus Kristus adalah Penebus dan Juruselamat dunia. Dialah yang dapat bawa kita ke meja kehidupan yang menggembirakan dan membimbing kita dalam perjalanan kita. Semoga kita ingat dan ikuti-Nya kembali. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Arthur Davis Hasler, dalam Gene E. Likens, “Arthur Davis Hasler: January 5, 1908–March 23, 2001,” dalam National Academy of Sciences, Biographical Memoirs, vol. 82 (2003), 174–75.

  2. Lihat Book of Mormon Student Manual (2009), 268–73.

  3. Lihat Helaman 5:6–12.

  4. Ajaran dan Perjanjian 19:38.

  5. Lihat Don L. Searle, “Discovering the Gospel Riches of Portugal,” Ensign, Okt. 1987, 15.

  6. Lihat Yohanes 3:16.