Persidangan Umum
“Lihat! Aku adalah seorang Tuhan Mukjizat”
Persidangan Umum April 2021


“Lihat! Aku adalah seorang Tuhan Mukjizat”

Mukjizat, tanda, dan keajaiban banyak terdapat di kalangan pengikut Yesus Kristus hari ini, dalam kehidupan anda dan saya.

Saudara dan saudari yang dikasihi, ia satu keistimewaan besar dapat berucap kepada anda hari ini. Bersatu dengan mereka yang telah berucap dalam persidangan ini, saya bersaksi bahawa Yesus Kristus hidup. Dia mengarahkan Gereja-Nya; Dia berbicara kepada nabi-Nya Presiden Russell M. Nelson, dan Dia mengasihi semua anak Bapa Syurgawi.

Pada hari Ahad Easter ini, kita memperingati Kebangkitan Yesus Kristus, Juruselamat dan Penebus kita,1 Tuhan Yang Perkasa, 2 Putera Kedamaian.2 Korban tebusan-Nya, kemuncak dengan Kebangkitan-Nya selepas tiga hari di kubur, berdiri sebagai satu mukjizat terbesar dalam sejarah manusia. “Lihatlah,” Dia isytiharkan, “Aku adalah seorang Tuhan mukjizat.”3

“Adakah mukjizat telah berhenti kerana Kristus telah naik ke syurga, dan telah duduk di sebelah tangan kanan Tuhan,”4 soal nabi Mormon dalam Kitab Mormon. Dia menjawab, “Tidak; para malaikat juga tidak berhenti melayani anak-anak manusia.”5

Setelah penyaliban, seorang malaikat Tuhan muncul kepada Maria dan bersama beberapa wanita lain yang pergi ke makam untuk mengurapi jasad Yesus. Malaikat berkata:

“Mengapa kamu mencari orang yang hidup, di antara orang mati?”6

“Dia tidak ada di sini. Dia sudah bangkit.”7

Nabi Abinadi dalam Kitab Mormon mengisytiharkan mukjizat itu:

“Jika Kristus tidak bangkit dari yang mati, … tidak dapatlah ada kebangkitan.

“Tetapi ada suatu kebangkitan, oleh kerana itu kubur tidak memperoleh kemenangan, dan sengat kematian ditelan di dalam Kristus.”8

Tindakan Yesus Kristus menyebabkan para pengikut awal-Nya berseru: “Siapakah orang ini, sehingga angin dan ombak taat kepada perintahnya?”9

Semasa para Rasul awal mengikuti Yesus Kristus dan mendengar Dia mengajar injil, mereka menyaksikan banyak mukjizat. Mereka nampak bahawa “orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang berpenyakit kulit yang mengerikan sembuh, orang tuli mendengar, orang mati dibangkitkan semula, dan Berita Baik daripada Tuhan dikhabarkan kepada orang miskin.”10

Mukjizat, tanda, dan keajaiban banyak terdapat di kalangan pengikut Yesus Kristus hari ini, dalam kehidupan anda dan saya. Mukjizat adalah tindakan ilahi, pernyataan, dan ungkapan kuasa Tuhan yang tidak terbatas dan penegasan bahawa Dia ialah “yang sama kelmarin, hari ini, dan selamanya.”11 Yesus Kristus, yang menciptakan laut, dapat menenangkannya; Dia yang memberi penglihatan kepada orang buta dapat mengangkat pandangan kita ke syurga; Dia yang membersihkan kusta dapat memperbaiki kelemahan kita; Dia yang menyembuhkan lelaki lumpuh itu dapat memanggil kita bangkit dengan “Ikutlah aku.”12

Ramai di antara anda telah menyaksikan mukjizat, lebih daripada yang anda sedari. Ia mungkin kelihatan kecil jika dibandingkan dengan Yesus membangkitkan orang mati. Keagungan tidak bermaksud mukjizat, melainkan ia datang daripada Tuhan. Ada yang cadangkan mukjizat hanyalah kebetulan atau bernasib baik. Tetapi nabi Nefi mengutuk mereka yang “menghina kuasa dan mukjizat-mukjizat daripada Tuhan, dan mengkhutbahkan kepada diri mereka kebijaksanaan dan pembelajaran diri mereka sendiri, agar mereka boleh memperoleh keuntungan.”13

Mukjizat didatangkan dengan kuasa ilahi oleh Dia yang “berkuasa untuk menyelamatkan.”14 Mukjizat adalah lanjutan rancangan abadi Tuhan; mukjizat adalah talian hayat dari langit ke bumi.

Musim luruh yang lalu Sister Rasband dan saya dalam perjalanan ke Goshen, Utah, untuk acara Bersua Muka seluruh dunia yang disiarkan kepada lebih 600,000 orang dalam 16 bahasa yang berbeza.15 Program ini bertujuan untuk fokus pada peristiwa Pemulihan injil Yesus Kristus dengan pertanyaan yang diajukan oleh dewasa muda dari seluruh dunia. Sister Rasband dan saya telah melihat soalan itu; ia memberi kami peluang untuk bersaksi tentang Joseph Smith sebagai seorang nabi Tuhan, kuasa wahyu dalam hidup kita, Pemulihan injil Yesus Kristus yang sedang berlangsung, serta kebenaran dan perintah yang kami hargai. Ramai yang mendengar hari ini adalah sebahagian daripada acara menakjubkan itu.

Siaran itu asalnya dari Sacred Grove di bahagian utara New York, di mana Joseph Smith memberi kesaksian: “Aku melihat dua Lembaga, yang mana keterangan dan kemuliaan Mereka tidak dapat digambarkan, berdiri di atasku di udara. Salah seorang daripada Mereka berfirman kepadaku, memanggil namaku, dan berfirman, sambil menunjuk kepada yang seorang lagi—Inilah Putera-Ku yang Ku kasihi. Dengarkanlah Dia!16 Itulah, saudara dan saudari, sebuah mukjizat.

Imej
Set Yerusalem di Goshen, Utah

Pandemik telah memaksa kami untuk memindahkan siaran ke Goshen, Utah, tempat Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir telah mencipta semula, untuk penggambaran, sebahagian dari Yerusalem lama. Sister Rasband dan saya berada dalam jarak beberapa batu dari Goshen pada petang Ahad itu ketika kami melihat asap tebal datang dari arah tuju kami. Kebakaran liar terjadi di kawasan itu, dan kami bimbang siaran tersebut mungkin berisiko. Dalam 20 minit sebelum pukul 6:00, waktu siaran kami, elektrik di seluruh kompleks terpadam. Tiada elektrik! Tiada siaran. Ada satu penjana yang kami sangka dapat hidupkannya, tetapi tidak jamin ia dapat menyokong peralatan canggih yang ada.

Imej
Asap dari api

Kami semua dalam program ini, termasuk pencerita, pemuzik, dan juruteknik—bahkan 20 orang dewasa muda daripada keluarga besar kami—menyerah sepenuhnya dengan apa yang akan berlaku. Saya menyepi dari mereka dan memohon kepada Tuhan untuk mukjizat. “Bapa Syurgawi,” saya berdoa, “Saya jarang meminta mukjizat, tetapi saya meminta satu sekarang. Pertemuan ini mesti berjalan untuk semua dewasa muda kita di seluruh dunia. Kami memerlukan elektrik untuk meneruskan program ini jika ia kehendak-Mu.”

Tujuh minit selepas pukul 6:00, bekalan elektrik kembali serta merta. Semuanya mula berfungsi, dari muzik dan mikrofon hingga video dan semua peralatan penghantaran. Kami teruskan program itu serta merta. Kami telah mengalami mukjizat.

Imej
Persembahan muzik semasa acara Bersua Muka

Ketika Sister Rasband dan saya berada dalam kereta dalam perjalanan pulang ke rumah pada petang itu, Presiden dan Sister Nelson menghantar pesanan ini kepada kami: “Ron, sebaik sahaja kami dengar bekalan elektrik terputus, kami berdoa untuk mukjizat.”

Dalam tulisan suci zaman akhir tertulis, “Kerana Aku, Tuhan, telah menghulurkan tangan-Ku untuk mengerahkan kuasa syurga; kamu tidak dapat melihatnya sekarang, tetapi tidak lama lagi dan kamu akan melihatnya, dan mengetahui bahawa Aku ada, dan bahawa Aku akan datang dan memerintah bersama umat-Ku.”17

Inilah yang terjadi. Tuhan telah menghulurkan tangan-Nya dan kuasa itu datang.

Mukjizat bekerja melalui kuasa iman, seperti diajar dengan hebat oleh Presiden nelson di sesi sebelum ini. Nabi Moroni menggesa orang ramai, “Kerana jika tidak ada iman di antara anak-anak manusia Tuhan tidak dapat melakukan mukjizat di antara mereka; oleh itu, Dia tidak memperlihatkan diri-Nya sehinggalah setelah iman mereka.”

Dia berkata:

“Lihatlah, iman Alma dan Amuleklah yang menyebabkan penjara runtuh ke atas tanah.

“Lihatlah, iman Nefi dan Lehilah yang melakukan perubahan ke atas bangsa Laman, sehingga mereka telah dibaptiskan dengan api dan dengan Roh Kudus.

Lihatlah, iman Amon dan saudara-saudaranyalah yang mengerjakan mukjizat yang begitu besar di kalangan bangsa Laman. …

“Dan tiada orang pada bila-bila masa pun yang mengerjakan mukjizat sehinggalah setelah iman mereka; oleh itu mereka terlebih dahulu percaya kepada Putera Tuhan.”18

Saya menambah ke dalam tulisan suci itu, “Itu adalah iman para dewasa muda, penghibur, pakar penyiaran, pemimpin dan ahli Gereja, rasul, dan nabi Tuhan yang bersungguh-sungguh mencari mukjizat sehingga bekalan itu dipulihkan ke siaran Goshen, Utah.”

Mukjizat terjadi sebagai jawapan kepada doa. Ia tidak selalu terjadi seperti yang kita minta atau harapkan, tetapi ketika kita percaya kepada Tuhan, Dia akan ada, dan Dia akan membuat apa yang benar. Dia memberi mukjizat sesuai pada saat kita memerlukannya.

Tuhan melaksanakan mukjizat untuk mengingatkan kita tentang kuasa-Nya, kasih-Nya, jangkauan-Nya dari syurga ke pengalaman fana kita, dan hasrat-Nya untuk mengajar apa yang paling bernilai. “Dia yang memiliki iman kepada-Ku untuk disembuhkan,” firman Dia kepada Orang suci pada 1831, dan janji itu berterusan hari ini, “dan tidak ditetapkan pada kematian, akan disembuhkan.”19 Ada hukum yang ditetapkan di syurga, dan kita sentiasa tunduk kepadanya.

Ada kalanya kita mengharapkan mukjizat penyembuhan orang yang dikasihi, untuk menterbalikkan tindakan yang tidak adil, atau untuk melembutkan hati yang pahit atau kecewa. Melihat ini melalui mata fana, kita ingin campur tangan Tuhan, untuk memperbaiki apa yang rosak. Melalui iman, mukjizat akan datang, walaupun tidak semestinya mengikut waktu kita atau apa yang kita hasratkan. Apakah itu bermaksud kita kurang setia atau tidak layak mendapat campur tangan-Nya? Tidak. Kita dikasihi Tuhan. Dia memberikan nyawa-Nya, dan Korban tebusan-Nya membebaskan kita dari bebanan dan dosa semasa kita bertaubat dan mendekati-Nya.

Tuhan mengingatkan kita, “Jalan-Ku bukan seperti jalan kamu.”20 Dia menawarkan, “Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu.”21.—bebas daripada keresahan, kekecewaan, ketakutan, ketidakpatuhan, risau bagi orang yang dikasihi, untuk impian yang hilang atau hancur. Kedamaian di tengah kekacauan atau dukacita adalah mukjizat. Ingatlah firman Tuhan: “Tidakkah Aku memfirmankan kedamaian pada fikiranmu tentang hal ini? Apakah kesaksian yang lebih besar yang dapat kamu peroleh daripada Tuhan?”22 Mukjizat itu adalah Yesus Kristus, Yehovah Agung, Putera Tertinggi, memberi kedamaian.

Sama seperti Dia muncul kepada Maria di taman, memanggil nama Maria, Dia memanggil kita untuk menjalankan iman kita. Maria ingin melayani-Nya dan menjaga-Nya. Kebangkitan-Nya bukanlah yang Maria harapkan, tetapi itu sesuai dengan rancangan kebahagiaan yang agung.

“Turunlah dari salib,”23 orang-orang yang tidak percaya mengejek-Nya di tempat yang dipanggil “Tengorak”. Dia boleh melakukan mukjizat itu. Tetapi Dia tahu akhir dari permulaan, dan Dia berhasrat untuk setia kepada rancangan Bapa-Nya. Kita tidak boleh gagal memahami contoh ini.

Dalam masa cabaran kita, Dia berfirman, “Lihatlah luka-luka yang menusuk sisi tubuh-Ku, dan juga bekas paku di tangan dan kaki-Ku; setialah, taatilah perintah-perintah-Ku, dan kamu akan mewarisi kerajaan syurga.”24 Saudara dan saudari, itu adalah mukjizat yang dijanjikan kepada kita.

Pada hari Ahad Easter ini ketika kita meraikan mukjizat Kebangkitan Tuhan kita, sebagai seorang Rasul Yesus Kristus, saya doa agar anda akan merasakan kuasa Penebus dalam hidup anda, agar rayuan anda kepada Bapa Syurgawi kita akan dijawab dengan kasih dan komitmen yang Yesus Kristus tunjukkan sepanjang pelayanan-Nya. Saya doa anda tetap tabah dan beriman dalam semua hal yang akan datang. Dan saya berkati anda agar mukjizat akan menemani anda seperti yang kami alami di Goshen—jika itu kehendak Tuhan. Carilah berkat-berkat syurga ini semasa anda “mencari Yesus ini yang telah ditulis oleh para nabi dan rasul tentangnya, agar rahmat Tuhan Bapa, dan juga Tuhan Yesus Kristus, dan Roh Kudus, yang memberikan kesaksian tentang Mereka, boleh berada dan tinggal di dalam dirimu selamanya.”25 Dalam nama Yesus Kristus, amin.