Persidangan Umum
Inilah Masa Kita!
Persidangan Umum April 2021


Inilah Masa Kita!

Tuhan telah menghantar kita ke sini, sekarang, pada masa bersejarah ini.

Pada 1978, saya berdiri di padang bola sepak Amerika dalam stadium dipenuhi 65,000 peminat. Di hadapan saya terdapat beberapa pelawan besar yang kelihatan seperti ingin menanggalkan kepala saya. Ini permainan pertama saya sebagai quarterback permulaan di Liga Bola Sepak Amerika Nasional, dan kami bermain menentang juara Super Bowl tahun lepas. Sejujurnya, saya mempersoalkan kebolehan saya sama ada saya berkebolehan untuk bertanding. Saya bersedia melemparkan hantaran pertama saya, dan ketika saya melepaskan bola, saya dihentam dengan kekuatan yang saya tidak pernah rasai sebelum itu. Di saat itu, terbaring di bawah timbunan atlet-atlet besar, saya tertanya apa yang saya lakukan di sana. Saya mesti buat satu keputusan. Adakah saya membiarkan keraguan mengatasi saya, atau adakah saya akan mendapatkan keberanian dan kekuatan untuk meneruskan?

Imej
Hantaran pertama

Associated Press

Ketika itu, saya tidak sedari bagaimana pengalaman ini akan mempersiapkan saya untuk peluang masa depan. Saya perlu belajar bahawa saya boleh menjadi kuat dan berani dalam menghadapi situasi yang sukar.

Permainan bola sepak Amerika mungkin tidak sepenting cabaran yang anda akan hadapi. Dalam kebanyakan situasi, tidak akan terdapat satu stadium yang dipenuhi penonton. Tetapi keputusan berani anda akan mempunyai kepentingan yang abadi.

Mungkin kita tidak selalu rasa dapat menghadapi cabaran. Tetapi Bapa Syurgawi melihat kita sebagai pembina kerajaan-Nya yang berani. Itulah sebab Dia menghantar kita ke sini pada masa yang paling penting dalam sejarah dunia. Inilah masa kita!

Dengarlah kata-kata Presiden Russell M. Nelson setelah menjadi Presiden Gereja: “Juruselamat dan Penebus kita, Yesus Kristus, akan melaksanakan pekerjaan-pekerjaan agung-Nya di antara masa sekarang dan ketika Dia akan datang lagi. Kita akan melihat tanda-tanda menakjubkan bahawa Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus, memimpin Gereja ini dalam kebesaran dan keagungan” (“Wahyu untuk Gereja, Wahyu untuk Kehidupan Kita,” Liahona, Mei 2018, 96).

Pekerjaan-pekerjaan agung? Tanda-tanda menakjubkan? Bagaimanakah ia akan kelihatan? Apakah peranan kita, dan bagaimanakah kita akan memahami apa yang perlu dilakukan? Saya tidak tahu semua jawapannya, tetapi saya tahu bahawa Tuhan memerlukan kita untuk bersedia! Menggunakan kuasa imamat dengan layak kini menjadi lebih penting.

Adakah kita mempercayai nabi Tuhan? Bolehkah kita mencari dan memenuhi takdir kita? Ya, kita boleh, dan ya, kita mesti, kerana inilah masa kita!

Apabila kita mendengar cerita tentang hamba-hamba hebat Tuhan yang datang sebelum kita—seperti Musa, Maria, Moroni, Alma, Ester, Yusuf, dan ramai lagi—mereka kelihatan lebih penting daripada orang lain. Tetapi mereka tidak jauh berbeza dari kita. Mereka orang biasa yang menghadapi cabaran. Mereka mempercayai Tuhan. Mereka membuat pilihan yang soleh pada masa-masa penting. Dan dengan iman dalam Yesus Kristus, mereka melaksanakan pekerjaan-pekerjaan yang diperlukan bagi zaman mereka.

Imej
Nabi Yosua

Goodsalt

Pertimbangkan wira Perjanjian Lama, Yosua. Dia seorang pengikut setia Musa, salah seorang pemimpin yang paling hebat dalam sejarah. Selepas Musa meninggal, ia menjadi masa Yosua. Dia perlu memimpin anak-anak Israel ke negeri yang dijanjikan. Bagaimana dia akan melakukannya? Yosua telah dilahirkan dan dibesarkan dalam perhambaan di Mesir. Dia tidak mempunyai buku panduan atau video arahan untuk menolongnya. Malah dia tidak mempunyai telefon pintar! Tetapi dia mempunyai janji ini dari Tuhan:

“Aku akan menyertai engkau sebagaimana Aku telah menyertai Musa. Aku akan sentiasa menyertai engkau, dan tidak sekali-kali meninggalkan engkau.

“Hendaklah engkau yakin dan berani” (Yosua 1:5–6).

Ketika saya seorang ahli Tujuh Puluh yang baharu, saya menerima satu panggilan dari Pejabat Presidensi Utama, meminta jika saya boleh mewakili nabi untuk melawat seorang lelaki muda di hospital—dengan segera. Lelaki muda ini bernama Zach. Dia sedang bersedia untuk menjadi penginjil tetapi telah terlibat dalam satu kemalangan dan mengalami kecederaan kepala yang serius.

Semasa memandu ke hospital, saya berfikir dengan cepat. Satu tugas untuk nabi—benarkah ini? Apakah yang akan saya hadapi? Bagaimanakah saya boleh menolong lelaki muda ini? Adakah iman saya mencukupi? Doa bersungguh-sungguh dan pengetahuan bahawa saya memiliki wewenang imamat yang kudus menjadi tumpuan saya.

Apabila saya tiba, Zach sedang berbaring di katil hospital. Seorang pembantu hospital bersedia membawanya ke bilik pembedahan supaya doktor boleh melegakan tekanan dalam otaknya. Saya memandang ibunya yang menangis dan rakan mudanya yang takut berdiri berhampiran, dan saya tahu dengan jelas bahawa Zach memerlukan satu berkat imamat. Rakannya baru menerima Imamat Melkisedek, jadi saya memintanya untuk membantu saya. Saya merasai kuasa imamat ketika kami memberi berkat kepada Zach dengan rendah hati. Kemudian dia dibawa pergi untuk dibedah dengan segera, dan satu perasaan damai mengesahkan bahawa Juruselamat akan mengendalikan segala mengikuti kebijaksanaan-Nya.

Pekerja perubatan melakukan satu X-ray terakhir sebelum membuat insisi pertama. Mereka terkejut untuk mendapati pembedahan tidak diperlukan.

Setelah banyak terapi, Zach belajar untuk berjalan dan bercakap sekali lagi. Dia melayani misi yang berjaya dan sekarang sedang membesarkan keluarga yang indah.

Tentunya, kesudahan itu bukan selalu begitu. Saya telah memberi berkat imamat yang lain dengan iman yang sama, dan Tuhan tidak memberi penyembuhan lengkap dalam hidup ini. Kita mempercayai tujuan Tuhan dan tinggalkan kesudahan kepada-Nya. Kita tidak selalu boleh memilih hasil tindakan kita, tetapi kita boleh memilih untuk bersedia bertindak.

Anda mungkin tidak akan dipanggil oleh Presidensi Utama untuk mewakili mereka dalam situasi mengancam nyawa seperti itu. Tetapi kita semua dipanggil untuk melakukan hal-hal yang mengubah hidup sebagai wakil-wakil Tuhan. Dia tidak akan meninggalkan kita. Inilah masa kita!

Petrus, Rasul utama Juruselamat berada di kapal di laut ketika dia melihat Yesus berjalan di atas air. Dia mahu menyertai-Nya, dan Juruselamat berfirman, “Marilah.” Dengan berani dan secara ajaib, Petrus meninggalkan keselamatan kapalnya dan mula berjalan kepada Juruselamat. Tetapi apabila Petrus bertumpu kepada angin kencang, imannya goyah. “Dia takut dan mula tenggelam, lalu Petrus berseru, “Ya Tuhan, selamatkanlah aku!” “Dengan segera Yesus menghulurkan tangan lalu memegang dia.” (Lihat Matius 14:22–33.)

Imej
Yesus menghulur tangan

Apabila angin bertiup dalam hidup kita, di manakah tumpuan kita? Ingatlah, terdapat satu sumber kekuatan dan keberanian yang boleh dipercayai. Yesus menghulurkan tangan-Nya kepada kita, sepertimana mereka dihulurkan kepada Petrus. Apabila kita mencapai kepada-Nya, Dia akan menyelamatkan kita dengan kasih. Kita umat-Nya. Dia berfirman, “Janganlah takut! Aku akan menyelamatkan kamu, Aku telah memanggil kamu dengan nama kamu, kamu milik-Ku” (Yesaya 43:1). Dia akan menang dalam hidup anda jika anda membenarkan-Nya. Ini pilihan anda. (Lihat Russell M. Nelson, “Membiarkan Tuhan Menang,” Liahona, Nov. 2020, 92–95.)

Di akhir hayatnya, Yosua merayu dengan umatnya, “Tentukanlah kepada siapa kamu hendak mengabdi, tetapi bagi aku dan keluargaku, kami hendak mengabdi kepada Tuhan” (Yosua 24:15). Kerana pilihannya untuk mengabdi kepada Tuhan, Yosua menjadi pemimpin yang hebat dalam masanya. Rakan-rakan sekalian, inilah masa kita! Dan pilihan yang kita pilih akan menentukan takdir kita (lihat Thomas S. Monson, “Decisions Determine Destiny” [pertemuan rohani Brigham Young University, Nov. 6, 2005], speeches.byu.edu).

Ketika saya melayan sebagai uskup, kami mempunyai satu cogan kata di bahagian kami: Pilihan baik sejajar dengan kebahagiaan—selamanya. Para remaja akan melihat saya di gereja dan berkata, “Uskup, saya sedang membuat pilihan baik!” Itulah impian seorang uskup!

Apakah maksud “pilihan baik”? Seseorang menanya Yesus, “Perintah manakah yang paling utama dalam Taurat?” Dia menjawab:

“Kasihilah Tuhan, Rajamu, dengan sepenuh hatimu, dan dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.

“Inilah perintah yang terutama dan yang terpenting!

“Perintah kedua sama pentingnya dengan yang pertama: Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri” (Matius 22:36–39).

Saya tidak tahu tentang anda, tetapi ketika saya membaca dua perintah penting ini, saya mengesan perintah ketiga yang tersirat: kasihilah diri sendiri.

Pernahkah anda fikirkan tentang mengasihi diri sendiri sebagai satu perintah? Bolehkah kita benar-benar mengasihi Tuhan dan mengasihi anak-anak-Nya jika kita tidak mengasihi diri kita?

Seorang pemimpin bijak menasihati seorang lelaki yang sedang cuba mengatasi cabaran akibat pilihan buruknya selama bertahun-tahun. Lelaki tersebut berasa malu dan ragu bahawa dia layak dikasihi oleh sesiapapun.

Pemimpinnya berkata kepadanya, “Tuhan mengenali anda, mengasihi anda, dan sangat gembira [dengan] anda dan langkah-langkah berani yang anda sedang ambil.” Kemudian dia menambahkan, “[Anda] perlu mendengar perintah mengasihi diri sendiri supaya anda boleh merasakan kasih [Tuhan] dan mengasihi orang lain.”

Apabila lelaki tersebut mendengar nasihat itu, dia melihat hidup dengan mata baharu. Dia kemudiannya berkata, “Saya telah menghabiskan sepanjang hidup saya untuk mencari kedamaian dan penerimaan. Saya telah mencari hal-hal itu di banyak tempat yang salah. Saya hanya boleh mendapati ketenangan melalui kasih Bapa Syurgawi dan Juruselamat Saya tahu Mereka mahu saya mengasihi diri; ia adalah satu-satunya cara saya boleh merasai kasih Mereka untuk saya.”

Bapa Syurgawi inginkan kita mengasihi diri kita—bukan menjadi angkuh atau pentingkan diri sendiri, tetapi melihat diri kita seperti Dia melihat kita: kitalah anak-anak-Nya yang dikasihi. Apabila kebenaran ini meresapi ke dalam hati kita, kasih anda untuk Tuhan akan berkembang. Semasa kita melihat diri kita dengan penghormatan tulus, hati kita akan terbuka untuk melayan orang lain dalam cara yang sama. Apabila kita lebih mengenali nilai ilahi kita, kita akan lebih memahami kebenaran ilahi ini: bahawa Tuhan telah menghantar kita ke sini, pada masa bersejarah penting ini, supaya anda boleh melakukan kebaikan yang terbaik dengan bakat dan kurnia yang anda miliki. Inilah masa kita! (Lihat Russell M. Nelson, “Becoming True Millennials” [pertemuan rohani sedunia bagi orang dewasa muda, 10 Jan., 2016], broadcasts.ChurchofJesusChrist.org.)

Joseph Smith mengajar bahawa setiap nabi di setiap generasi “menantikan dengan penuh harapan untuk hari di mana kita hidup; … mereka telah menyanyi dan menulis dan bernubuat tentang zaman kita; … kita ialah orang-orang yang Tuhan telah [pilih] untuk membawa kemuliaan Zaman akhir” (Teachings of Presidents of the Church: Joseph Smith [2007], 186).

Apabila anda menghadapi cabaran harian anda, ingatlah jaminan ini yang diberi oleh Elder Jeffrey R. Holland: “Terdapat banyak tanggungjawab di atas bahu kita, tetapi ia akan menjadi pengalaman yang berjaya dan gemilang. … Kemenangan dalam pertandingan akhir ini telah pun dinyatakan. Kemenangan sudah dicatatkan … , kitab suci!” (“Be Not Afraid, Only Believe” [ucapan untuk pengajar keagamaan Church Educational System, 6 Feb., 2015], broadcasts.ChurchofJesusChrist.org).

Pada hujung minggu Ester yang indah ini, izinkan saya menyampaikan jemputan agar kita semua berdoa untuk mengenali dan memeluki peranan individu kita semasa kita bersiap untuk hari yang mulia apabila Juruselamat datang kembali. Tuhan mengasihi kita lebih daripada kita dapat memahami, dan Dia akan menjawab doa-doa kita! Sama ada kita berada di padang bola, di bilik hospital, atau di mana-mana tempat, kita boleh menjadi bahagian penting dalam peristiwa-peristiwa luar biasa ini—kerana inilah masa kita! Dalam nama Yesus Kristus, amin.