Persidangan Umum
Harapan dalam Kristus
Persidangan Umum April 2021


Harapan dalam Kristus

Kami ingin membantu semua yang merasa sendirian atau merasa tidak tergolong. Izinkan saya menyebut, khususnya, mereka yang masih bujang.

Saudara dan saudari, pada waktu Easter ini kita tertumpu pada Kebangkitan Tuhan dan Juruselamat kita, Yesus Kristus. Kita ingati jemputan penuh kasih-Nya untuk “Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu.

“Ikutlah perintah-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana aku ini lemah lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan.

“Perintah yang Aku berikan kepada kamu mudah diturut, dan beban yang Aku berikan mudah dipikul.”1

Jemputan Juruselamat untuk datang kepada Dia adalah jemputan kepada semua orang tidak saja datang kepada-Nya, tetapi untuk tergolong ke dalam Gereja-Nya.

Sebelum jemputan penuh kasih ini, Yesus mengajarkan ini terjadi melalui usaha mengikuti-Nya. Dia berkata, “Tidak seorang pun mengenal Anak kecuali Bapa, dan tidak seorang pun mengenal Bapa kecuali Anak dan mereka yang diberitahu oleh Anak tentang Bapa.”2

Yesus ingin kita tahu Tuhan adalah Bapa Syurgawi yang penuh kasih.

Mengetahui bahawa kita dikasihi oleh Bapa Syurgawi akan membantu kita kenali diri kita dan tahu bahawa kita tergolong dalam keluarga abadi-Nya.

Klinik Mayo baru-baru ini menyatakan: “Memiliki rasa tergolong sangat penting. … Hampir setiap aspek kehidupan kita tergolong kepada sesuatu.” Laporan ini menambah, “Kita tidak dapat memisahkan kepentingan rasa tergolong daripada kesihatan jasmani dan mental kita.”3.—dan saya menambah, kesihatan rohani kita.

Malam sebelum penderitaan-Nya di Getsemani dan mati di kayu salib, Juruselamat bertemu dengan para pengikut-Nya untuk Jamuan Terakhir. Dia berkata kepada mereka, “Di dunia kamu akan menderita: tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia!”4 Sebelum matahari terbenam keesokannya, Yesus Kristus telah menderita dan “mati [di atas salib] kerana dosa kita.”5

Saya tertanya betapa sunyinya para wanita dan lelaki setia yang mengikuti Dia di Yerusalem ketika matahari terbenam dan kegelapan dan ketakutan menyelimuti mereka.6

Seperti para pengikut hampir 2,000 tahun yang lalu, anda mungkin merasa kesunyian dari masa ke masa. Saya alami kesunyian ini sejak kematian isteri terkasih saya, Barbara, lebih dua tahun setengah yang lalu. Saya tahu perasaan dikelilingi oleh ahli keluarga, kawan-kawan, dan kenalan tetapi masih merasa sunyi—kerana buah hati saya tidak lagi di sisi saya.

Pandemik COVID-19 telah menonjolkan rasa pengasingan dan kesunyian ini bagi banyak orang. Meskipun cabaran dalam hidup, kita boleh, seperti pagi Easter pertama, jalani kehidupan baru dalam Kristus dengan peluang dan realiti baru semasa kita berpaling kepada Tuhan untuk harapan dan tergolong.

Saya secara peribadi merasakan keperitan mereka yang tidak rasa tergolong. Semasa menonton berita sedunia, saya lihat banyak orang yang alami kesunyian ini. Saya rasa, mungkin mereka tidak tahu bahawa mereka dikasihi oleh Bapa Syurgawi dan kita semua tergolong dalam keluarga abadi-Nya. Percaya bahawa Tuhan mengasihi kita dan kita adalah anak-anak-Nya memberi penghiburan dan jaminan.

Kerana kita adalah anak-anak roh Tuhan, setiap orang mempunyai asal usul, sifat, dan potensi ilahi. Setiap kita “adalah anak rohani lelaki atau anak rohani perempuan kepada ibu bapa syurgawi.”7 Inilah identiti kita! Inilah siapa kita sebenarnya!

Identiti rohani kita ditingkatkan ketika kita memahami identiti fana kita, termasuk warisan etnik, budaya, atau negara.

Identiti rohani dan budaya, kasih, dan rasa tergolong ini dapat mengilhami harapan dan kasih kepada Yesus Kristus.

Saya berbicara tentang harapan dalam Kristus dan bukan angan-angan. Sebaliknya, saya bercakap tentang harapan yang dapat direalisasikan. Harapan ini penting untuk atasi kesulitan, memupuk ketahanan dan kekuatan rohani, dan tahu bahawa kita dikasihi oleh Bapa Abadi dan kita adalah anak-anak-Nya ,yang tergolong dalam keluarga-Nya.

Ketika kita miliki harapan dalam Kristus, kita tahu perlunya membuat dan mematuhi perjanjian kudus, hasrat dan impian kita yang paling indah dapat dipenuhi melalui Dia.

Kuorum Dua Belas Rasul berunding bersama dalam berdoa dan berhasrat untuk fahami bagaimana membantu semua yang merasa sendirian atau tidak tergolong. Kami ingin membantu semua yang merasa sedemikian. Izinkan saya menyebut, khususnya, mereka yang masih bujang.

Saudara dan saudari, lebih separuh orang dewasa di Gereja hari ini adalah janda, telah bercerai, atau belum berkahwin. Ada yang tertanya-tanya tentang peluang dan tempat mereka dalam rancangan Tuhan dan di Gereja. Kita harus fahami bahawa kehidupan abadi bukan hanya tentang status perkahwinan sekarang tetapi tentang penganutan dan menjadi “berani dalam kesaksian tentang Yesus.”8 Harapan bagi semua orang bujang adalah sama seperti semua anggota Gereja Tuhan—akses kepada rahmat Kristus melalui “kepatuhan pada hukum-hukum dan tatacara-tatacara Injil.”9

Izinkan saya mencadangkan beberapa asas penting yang perlu kita fahami.

Pertama, tulisan suci dan para nabi zaman akhir menegaskan bahawa setiap orang yang setia dalam mematuhi perjanjian injil akan memiliki peluang permuliaan. Presiden Russell M. Nelson mengajar: “Dalam cara dan waktu Tuhan sendiri, tidak ada berkat yang akan ditahan dari Orang Suci-Nya yang setia. Tuhan akan menilai dan memberi ganjaran kepada setiap individu mengikut hasrat dan perbuatan yang tulus.”10

Kedua, waktu dan cara tepat berkat-berkat permuliaan diberikan tidak semuanya diungkapkan, tetapi telah dijamin.11 Presiden Dallin H. Oaks menjelaskan beberapa keadaan “kefanaan akan diselesaikan di Zaman Seribu Tahun, yang merupakan masa untuk memenuhi semua yang tidak lengkap dalam rencana kegembiraan agung bagi semua anak Bapa yang layak.”12

Itu tidak bermaksud setiap berkat ditangguhkan sehingga Zaman Seribu Tahun; ada yang telah diterima dan yang lain akan terus diterima sehingga hari itu.13

Ketiga, menunggu Tuhan melibatkan kepatuhan dan kemajuan rohani yang berterusan terhadap-Nya. Menunggu Tuhan tidak melibatkan waktu seseorang. Anda tidak harus merasa seperti dalam ruang menunggu.

Menunggu Tuhan melibatkan tindakan. Saya telah belajar selama ini bahawa harapan kita dalam Kristus meningkat apabila kita melayani orang ramai. Melayani sebagaimana Yesus melayani, kita meningkatkan harapan dalam-Nya.

Perkembangan peribadi yang dapat dicapai sekarang sambil menunggu Tuhan dan janji-janji-Nya adalah elemen rancangan-Nya yang tidak ternilai dan kudus untuk kita. Sumbangan yang dapat dibuat sekarang untuk membangun Gereja di bumi dan mengumpulkan Israel sangat diperlukan. Status perkahwinan tidak ada kaitan dengan keupayaan seseorang untuk melayani. Tuhan menghormati mereka yang melayani dan menanti Dia dengan kesabaran dan iman.14

Keempat, Tuhan menawarkan kehidupan abadi kepada semua anak-Nya. Semua yang menerima kurnia pertaubatan Juruselamat dan menjalankan perintah-perintah-Nya akan menerima kehidupan abadi, walaupun mereka tidak mencapai semua ciri dan kesempurnaan itu dalam kefanaan. Mereka yang bertaubat akan alami pengampunan seperti yang Tuhan jamin: “Ya, dan sekerap umat-Ku bertaubat akanlah Aku ampuni mereka bagi pelanggaran mereka terhadap-Ku.”15

Dalam penilaian terakhir, kemampuan, hasrat, dan peluang seseorang tentang hak pilihan dan pilihan, termasuk kelayakan untuk berkat abadi, adalah hal yang hanya dapat dinilai oleh Tuhan.

Kelima, keyakinan kita terhadap jaminan ini berakar pada iman kita kepada Yesus Kristus yang melalui rahmat-Nya segala hal tentang kefanaan akan dibetulkan.16 Semua berkat yang dijanjikan dimungkinkan melalui Dia, dengan Korban tebusan-Nya, “telah turun di bawah segalanya”17 dan telah “mengalahkan dunia!”18 Dia “telah duduk di sebelah tangan kanan Tuhan, untuk menuntut daripada Bapa hal-hak belas kasihan-Nya yang Dia miliki ke atas anak-anak manusia … ; oleh itu dia membela anak-anak manusia.”19 Pada akhirnya, “para orang suci akan dipenuhi dengan kemuliaan-Nya, dan menerima warisan mereka”20 dan “bersama dengan Kristus.”21

Hasrat kami agar asas-asas ini dapat bantu semua memiliki harapan yang tinggi kepada Kristus dan merasa tergolong.

Jangan pernah lupa anda adalah anak Tuhan, Bapa Abadi kita, sekarang dan selamanya. Dia mengasihi anda, dan Gereja mahu dan perlukan anda. Ya, kami perlukan anda! Kami perlukan suara, bakat, kemahiran, kebaikan, dan kesolehan anda.

Bertahun kami telah membincangkan tentang “dewasa muda”, “dewasa bujang,” dan “orang dewasa.” Sebutan itu membantu secara pentadbiran tetapi kadang-kadang dapat mengubah cara kami melihat orang lain.

Adakah cara untuk mengelak kecenderungan ini yang dapat pisahkan kita dan satu sama lain?

Presiden Nelson meminta agar kita menyebut diri kita sebagai anggota Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Bukankah itu merangkumi kita semua?

Injil Yesus Kristus berkuasa untuk menyatukan kita. Kita lebih serupa daripada berbeza. Sebagai anggota keluarga Tuhan, kita sememangnya saudara dan saudari. Paulus menyatakan, “[Tuhan] menjadikan semua bangsa dan menyuruh mereka mendiami seluruh bumi.”22

Kepada presiden pancang, uskup, dan pemimpin kuorum dan saudari, saya meminta anda untuk pertimbangkan setiap anggota sebagai anggota yang dapat menyumbang dan melayani dalam panggilan dan mengambil bahagian dalam banyak cara.

Setiap anggota di kuorum, organisasi, bahagian, dan pancang kita memiliki kurnia dan bakat yang Tuhan berikan yang dapat membantu membangunkan kerajaan-Nya sekarang.

Marilah kita memanggil anggota bujang kita untuk melayani, mengangkat, dan mengajar. Abaikan fikiran dan idea lama yang secara tidak sengaja menyumbang kepada kesunyian mereka dan merasa mereka tidak tergolong atau tidak dapat melayani.

Saya bersaksi pada hujung minggu Easter ini tentang Juruselamat kita, Yesus Kristus, dan harapan abadi yang Dia berikan saya dan semua yang percaya dalam nama-Nya. Dan saya memberi kesaksian ini dalam nama-Nya yang suci, Yesus Kristus, amin.