Persidangan Umum
Perbualan Penting
Persidangan Umum April 2021


Perbualan Penting

Kita tidak boleh menunggu penukaran hati berlaku kepada anak-anak kita. Penukaran hati secara tidak sengaja bukanlah satu asas Injil Yesus Kristus.

Pernahkah anda tertanya mengapa kita panggil Sekolah Primer sebagai “Primer”? Nama itu merujuk kepada pembelajaran rohani kanak-kanak terima semasa kecil, tetapi bagi saya ia juga merupakan peringatan kebenaran yang berkuasa. Kepada Bapa Syurgawi kita, kanak-kanak tidak pernah menjadi kedua—mereka selalunya di tempat “pertama.”1

Dia percayakan kita untuk hargai, hormati dan lindungi mereka sebagai anak-anak Tuhan. Ini bermaksud kita tidak mencederakan mereka secara jasmani, lisan, atau emosi dalam cara apa pun, walaupun tegangan dan tekanan meningkat. Sebaliknya kita menghargai kanak-kanak dan kita melakukan segala daya untuk memerangi kejahatan penderaan. Penjagaan mereka ialah keutamaan kita—dan juga bagi Tuhan.2

Seorang ibu dan bapa muda duduk di meja dapur memikirkan hari mereka. Tiba-tiba mereka terdengar bunyi jatuh. Ibu bertanya, “Apakah itu?”

Kemudian kedengaran suara tangisan datang dari bilik anak lelaki mereka yang berumur empat tahun. Dengan segera mereka masuk ke bilik. Anak itu terbaring di lantai di sebelah katilnya. Ibu mengangkat anaknya dan bertanya apa yang telah berlaku.

Anak itu berkata, “Saya jatuh dari katil.”

Ibu berkata, “Mengapa kamu jatuh dari katil?”

Dia mengangkat bahunya dan berkata, “Saya tidak tahu. Mungkin kerana saya tidak masuk lebih dalam.”

Ia adalah tentang frasa “masuk lebih dalam” yang saya ingin ucapkan pagi ini. Adalah hak istimewa dan tanggungjawab kita untuk membantu kanak-kanak “masuk lebih dalam“ dalam Injil Yesus Kristus. Dan ia tidak terlalu awal untuk kita mulakan.

Terdapat masa istimewa dalam kehidupan kanak-kanak di mana mereka dilindungi daripada pengaruh Setan. Ia adalah masa mereka tidak bersalah dan tidak berdosa.3 Ia adalah masa kudus untuk ibu bapa dan anak. Kanak-kanak harus diajar, melalui kata-kata dan teladan, sebelum dan selepas mereka “mencapai umur pertanggungjawaban di hadapan Tuhan.”4

Presiden Henry B. Eyring mengajar: “Peluang terbesar kita adalah dengan kanak-kanak. Masa yang terbaik untuk mengajar adalah pada awalnya, ketika kanak-kanak masih dilindungi daripada godaan musuh, sebelum firman kebenaran menjadi sukar untuk mereka dengar di dalam kebisingan pergelutan peribadi mereka.”5 Pengajaran seperti ini akan membantu mereka menyedari identiti ilahi mereka, tujuan mereka, dan berkat-berkat yang menunggu semasa mereka membuat perjanjian kudus dan menerima tatacara sepanjang jalan perjanjian.

Kita tidak boleh menunggu penukaran hati berlaku kepada anak-anak kita. Penukaran hati tidak sengaja bukanlah satu asas Injil Yesus Kristus. Menjadi seperti Juruselamat kita tidak akan berlaku secara rawak. Usaha baik dalam mengasihi, mengajar, dan bersaksi boleh membantu kanak-kanak mula pada umur yang muda untuk merasa pengaruh Roh Kudus. Roh Kudus penting dalam kesaksian dan penukaran hati anak-anak kepada Yesus Kristus; kita berhasrat mereka untuk “selalu mengingati-Nya, agar mereka boleh memiliki Roh-Nya bersama mereka.”6

Imej
Perbualan keluarga

Pertimbangkan nilai perbualan keluarga tentang Injil Yesus Kristus sebagai perbualan penting untuk menjemput Roh. Apabila kita mempunyai perbualan seperti ini dengan anak-anak kita, kita membantu mereka mencipta, “suatu landasan yang kukuh, landasan yang mana jika [mereka] dibangunkan di atasnya mereka tidak dapat jatuh.”7 Apabila kita memperkuatkan seorang anak, kita memperkuatkan keluarga.

Perbincangan penting seperti ini boleh membimbing kanak-kanak untuk:

  • Memahami ajaran pertaubatan.

  • Mempunyai iman dalam Kristus, Putera Tuhan yang hidup.

  • Memilih pembaptisan dan kurnia Roh Kudus apabila berumur lapan tahun.8

  • Dan berdoa dan “berjalan dengan lurus di hadapan Tuhan.”9

Juruselamat mendesak, “Oleh kerana itu Aku memberi kepadamu sebuah perintah, untuk mengajarkan hal-hal ini dengan bebas kepada anak-anakmu.”10 Dan apakah yang Dia ingin kita ajarkan dengan bebas?

  1. Kejatuhan Adam

  2. Korban Tebusan Yesus Kristus

  3. Kepentingan dilahirkan semula11

Elder D. Todd Christofferson berkata, “Musuh kita pasti gembira apabila ibu bapa gagal mengajar dan melatih anak-anak mereka untuk punyai iman terhadap Kristus, dan dilahirkan semula secara rohani.”12

Sebaliknya, Juruselamat ingin kita membantu kanak-kanak “letaklah kepercayaan [mereka] kepada Roh itu yang menuntun untuk melakukan kebaikan.13 Untuk membuat demikian, kita boleh membantu kanak-kanak mengenali ketika mereka merasai Roh dan memahami tindakan apa yang menyebabkan Roh pergi. Dengan itu mereka belajar bertaubat dan kembali ke cahaya melalui Korban Tebusan Yesus Kristus. Ini membantu menggalakkan ketahanan rohani.

Kita boleh bergembira dalam membantu anak-anak kita membina ketahanan rohani pada usia berapa pun. Ia tidak perlu rumit atau mengambil banyak masa. Perbualan yang mudah dan prihatin boleh membantu kanak-kanak mengetahui apa yang mereka percaya, dan, mengapa mereka mempercayainya. Perbualan prihatin yang semula jadi dan konsisten, boleh membawa kepada pemahaman dan jawapan yang lebih baik. Jangan membiarkan kemudahan alat elektronik menjauhkan kita dari mengajar dan mendengar anak-anak kita dan memandang ke dalam mata mereka.

Imej
Perbualan ibu dan anak perempuan

Peluang tambahan untuk perbualan penting boleh berlaku melalui lakon peranan. Ahli keluarga boleh melakonkan situasi mereka tergoda atau rasa tertekan untuk membuat pilihan tidak baik. Latihan seperti ini boleh memperkukuhkan kanak-kanak untuk bersedia dalam keadaan mencabar. Contohnya, kita boleh lakonkan dan kemudian bincang dengan anak-anak tentang apa yang mereka akan lakukan:

  • Jika mereka tergoda untuk melanggar Kata-Kata Bijaksana.

  • Jika mereka terdedah kepada pornografi.

  • Jika mereka tergoda untuk berbohong, mencuri, atau menipu.

  • Jika mereka dengar sesuatu dari seorang kawan atau guru di sekolah yang mempersoalkan kepercayaan atau nilai mereka.

Apabila mereka melakonkan dan berbincang dan bukannya dalam keadaan tidak bersedia, kanak-kanak dapat dipersenjatai dengan “perisai iman yang dengannya [mereka] akan dapat memadamkan segala panah-panah berapi dari yang jahat.”14

Seorang kawan rapat mempelajari ajaran penting ini semasa dia berusia18 tahun. Dia mendaftar di tentera Amerika Syarikat semasa konflik antara Amerika Syarikat dan Vietnam. Dia ditugaskan ke latihan asas di infantri untuk menjadi askar berjalan kaki. Dia menjelaskan bahawa latihan itu sungguh melelahkan. Dia gambarkan jurulatihnya sebagai seorang yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Suatu hari, pasukannya berpakaian lengkap dan mendaki dalam cuaca terik. Tiba-tiba jurulatih mula menjerit perintah untuk rebah ke tanah dan tidak bergerak. Jurulatih memerhati bahkan pergerakan yang sedikit. Sebarang pergerakan akan menyebabkan akibat yang serius kemudiannya. Pasukan itu menderita lebih dari dua jam dalam cuaca terik dengan kemarahan dan kebencian terhadap ketua mereka.

Beberapa bulan kemudian, kawan kami memimpin pasukannya melalui hutan di Vietnam. Ini kejadian yang benar, bukan hanya latihan. Tembakan mula berdering dari pokok sekitarnya. Seluruh pasukan segera rebah ke tanah.

Apakah yang musuh perhatikan? Pergerakan. Sebarang gerakan akan menyebabkan tembakan. Kawan saya berkata semasa dia berbaring berpeluh dan tidak bergerak di tanah, menunggu gelap selama berjam, fikirannya kembali ke latihan asasnya. Dia teringat perasaan bencinya terhadap jurulatihnya. Kini dia bersyukur—untuk ajaran jurulatihnya dan bagaimana dia mempersiapkannya untuk menghadapi situasi kritikal ini. Jurulatih itu dengan bijak telah melengkapi kawan kami dan pasukannya dengan kemampuan untuk tahu apa yang harus dilakukan ketika pertempuran sedang berlangsung. Dia telah menyelamatkan nyawa kawan kami.

Bagaimanakah kita boleh lakukan yang sama untuk anak-anak kita secara rohani? Lama sebelum mereka memasuki medan perang kehidupan, bagaimana kita boleh berusaha mengajar, memperkukuhkan, dan menyediakan mereka?15 Bagaimana kita boleh menjemput mereka untuk “masuk dengan lebih dalam”? Bukankah lebih baik untuk mereka “berpeluh” di persekitaran pembelajaran yang selamat di rumah berbanding berdarah di medan perang kehidupan?

Ada masa ketika suami dan saya rasa seperti jurulatih dalam usaha kami untuk membantu anak-anak kami menjalankan Injil Yesus Kristus. Nabi Yakub berperasaan sama semasa dia berkata: “Aku menghasratkan kesejahteraan jiwa-jiwamu. Ya, kerisauanku adalah besar bagimu; dan kamu sendiri tahu bahawa ianya telah senantiasa demikian.”16

Apabila kanak-kanak belajar dan berkembang, kepercayaan mereka akan dicabar. Tetapi jika mereka dilengkapi dengan betul, mereka boleh berkembang dalam iman, keberanian, keyakinan, bahkan dalam pertentangan yang kuat.

Alma mengajar kita untuk “menyediakan fikiran anak-anak.”17 Kita sedang menyediakan generasi muda untuk menjadi pembela iman masa depan, untuk memahami “bahawa [mereka] bebas untuk bertindak bagi [diri mereka]—untuk memilih jalan kematian kekal atau jalan kehidupan abadi.”18 Kanak-kanak berhak memahami kebenaran besar ini: keabadian adalah hal penting untuk difahami dengan betul.

Semoga perbualan mudah dan penting dengan anak-anak kita membantu mereka untuk “menikmati firman-firman kehidupan abadi” sekarang supaya mereka boleh menikmati “kehidupan abadi di dalam dunia yang akan datang, bahkan kemuliaan baqa.”19

Semasa mendidik dan menyediakan anak-anak, kita benarkan hak pilihan mereka, kasihi mereka dengan seluruh hati kita, ajar mereka perintah-perintah Tuhan dan kurnia pertaubatan-Nya, dan tidak akan, sekali-kali, berhenti menyokong mereka. Bukankah ini cara Tuhan untuk kita?

Marilah kita terus maju dengan ketabahan dalam Kristus, dengan pengetahuan kita boleh mempunyai “kecerahan harapan yang sempurna”20 melalui Juruselamat.

Saya bersaksi bahawa Dia stntiasa ialah jawapan kita. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat 3 Nefi 17:23–24.

  2. Lihat Michaelene Grassli, “Behold Your Little Ones,” Ensign, Nov. 1992, 93: “Bagi saya perkataan lihatlah (behold) sangat penting. Ia bermakna lebih daripada sekadar memandang seketika. Apabila Tuhan mengarahkan Orang Nefi untuk lihatlah anak-anak kecil mereka, saya percaya Dia meminta mereka untuk memberikan perhatian kepada anak-anak mereka, merenung mereka, memandang ke masa depan dan melihat kemungkinan abadi mereka.”

    Lihat Russell M. Nelson, “Listen to Learn,” Ensign, Mei 1991, 22: “Mengajar kanak-kanak secara paksa ialah teknik Setan, bukannya teknik Juruselamat. Tidak, anak-anak kita bukan hak milik kita. Hak istimewa kita sebagai ibu bapa adalah untuk menyayangi mereka, memimpin mereka, dan melepaskan mereka.”

  3. Lihat Ajaran dan Perjanjian 29:46–47.

  4. Ajaran dan Perjanjian 20:71.

  5. Henry B. Eyring, “The Power of Teaching Doctrine,” Ensign, Mei 1999, 87.

  6. Ajaran dan Perjanjian 20:79.

  7. Helaman 5:12.

  8. Lihat Ajaran dan Perjanjian 68:25; lihat juga Fasal-Fasal Kepercayaan 1:4.

  9. Ajaran dan Perjanjian 68:28.

  10. Musa 6:58; penekanan ditambah.

  11. Lihat Musa 6:59; lihat juga Ajaran dan Perjanjian 20:29–31.

  12. D. Todd Christofferson, “Mengapa Kahwin dan Punyai Keluarga,” Liahona, Mei 2015, 52.

  13. Lihat Ajaran dan Perjanjian 11:12–13; lihat juga Ajaran dan Perjanjian 93.

  14. Ajaran dan Perjanjian 27:17; penekanan ditambah; lihat juga Marion G. Romney, “Home Teaching and Family Home Evening,” Improvement Era, Jun 1969, 97: “Setan, musuh kita, sedang menyerang kesolehan dengan bersungguh-sungguh. Kuasa pengaruhnya sangat besar. Kanak-kanak dan remaja kita adalah sasaran serangannya. Mereka terdedah kepada propaganda yang jahat dan keji di merata tempat. Di setiap tempat mereka berpaling, mereka diserang dengan kejahatan, dengan licik dirancang untuk menipu dan memusnahkan setiap hal kudus dan setiap asas yang soleh. … Jika anak-anak kita hendak menentang serangan setan dengan tabah dan kuat, mereka mesti diajar dan dilatih di rumah, seperti diarahkan oleh Tuhan.”

  15. Lihat Russell M. Nelson, “Children of the Covenant,” Ensign, Mei 1995, 32:

    “Bertahun-tahun yang lalu sebagai seorang pelajar perubatan muda, saya melihat banyak pesakit diserang penyakit yang kini boleh dicegah. Hari ini, individu menerima imunisasi melawan keadaan yang sebelum ini melumpuhkan—malah membawa maut. Satu kaedah perubatan yang memberi imuniti adalah inokulasi. Istilah inoculate (menyuntik) sungguh menarik. Ia datang dari dua perkataan bahasa Latin: in, bermaksud ‘dalam’; dan oculus, bermaksud ‘satu mata.’ Kata kerja untuk inoculate (menyuntik), bermakna ‘untuk meletakkan satu mata di dalam’—untuk mengawasi bahaya.

    “Penderitaan seperti polio boleh melumpuhkan atau merosakkan badan. Penderitaan seperti dosa boleh melumpuhkan atau menghancurkan roh. Kerosakan polio kini dapat dicegah dengan imunisasi, tetapi kerosakan dosa memerlukan cara pencegahan lain. Doktor tidak dapat melakukan imunisasi melawan kejahatan. Perlindungan rohani hanya datang dari Tuhan—dan dalam cara-Nya sendiri. Yesus memilih untuk tidak menyuntik, tetapi untuk mengajar ajaran. Kaedahnya tidak menggunakan vaksin; ia menggunakan pengajaran ajaran ilahi—’mata di dalam’ yang memerintah—untuk melindungi roh abadi anak-anak-Nya.”

  16. 2 Nefi 6:3.

  17. Alma 39:16.

  18. 2 Nefi 10:23.

  19. Musa 6:59; penekanan ditambah.

  20. 2 Nefi 31:20.