Persidangan Umum
Mempertahankan Perlembagaan Kita Yang Diilhamkan
Persidangan Umum April 2021


Mempertahankan Perlembagaan Kita Yang Diilhamkan

Kepercayaan kita dalam ilham ketuhanan memberikan Orang Suci Zaman Akhir tanggungjawab unik untuk menegakkan dan mempertahankan Perlembagaan Amerika Syarikat dan prinsip-prinsip perlembagaan.

Dalam masa bermasalah ini, saya terdorong untuk berucap tentang Perlembagaan Amerika Syarikat yang diilhamkan. Perlembagaan ini mempunyai kepentingan istimewa bagi ahli-ahli kita yang di Amerika Syarikat, tetapi ia juga merupakan warisan bersama perlembagaan-perlembagaan di seluruh dunia.

I.

Suatu perlembagaan ialah asas kerajaan. Ia memberi struktur dan had untuk penggunaan kuasa-kuasa kerajaan. Perlembagaan Amerika Syarikat ialah perlembagaan tertua yang masih digunakan sekarang. Walaupun pada mulanya hanya diterima oleh beberapa tanah jajahan, tidak lama kemudian ia menjadi model bagi seluruh dunia. Hari ini, setiap negara kecuali tiga telah menerima pakai perlembagaan-perlembagaan bertulis.1

Dalam ucapan ini saya tidak berucap untuk sebarang parti politik atau kumpulan lain. Saya berucap untuk Perlembagaan Amerika Syarikat, yang saya telah kajikan selama 60 tahun lebih. Saya berucap daripada pengalaman saya sebagai kerani undang-undang kepada ketua hakim Mahkamah Tertinggi Amerika Syarikat. Saya berucap daripada 15 tahun sebagai profesor undang-undang dan daripada 3.5 tahun sebagai hakim di Mahkamah Tertinggi Utah. Terutamanya, saya berucap dari 37 tahun sebagai Rasul Yesus Kristus, yang bertanggungjawab mengkaji makna Perlembagaan Amerika Syarikat yang diilhamkan terhadap pekerjaan Gereja-Nya yang dipulihkan.

Perlembagaan Amerika Syarikat unik kerana Tuhan mengungkapkan bahawa Dia “menegakkannya “demi hak-hak dan perlindungan semua manusia” (Ajaran dan Perjanjian 101:77; lihat juga ayat 80). Oleh itulah perlembagaan ini sesuatu yang istimewa bagi ahli-ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir di seluruh dunia. Sama ada atau bagaimana prinsip-prinsipnya patut digunakan di negara dunia yang lain terpulang kepada mereka.

Apakah tujuan Tuhan dalam menegakkan Perlembagaan Amerika Syarikat? Kita melihat tujuan-Nya dalam ajaran hak pilihan moral. Dalam dekad pertama Gereja yang dipulihkan, ahlinya di sempadan barat dianiaya secara peribadi dan awam. Sebahagiannya ialah kerana mereka menolak perhambaan manusia yang wujud pada masa itu di Amerika Syarikat. Dalam ketika malang itu, Tuhan mengungkapkan melalui Nabi Joseph Smith kebenaran-kebenaran abadi tentang ajaran-Nya.

Tuhan telah memberikan anak-anak-Nya hak pilihan moral—kuasa untuk memutuskan dan bertindak. Keadaan yang terbaik untuk menggunakan hak pilihan itu ialah kebebasan maksimum untuk para lelaki dan wanita bertindak menurut pilihan-pilihannya sendiri. Selepas itu, wahyu itu menjelaskan, “setiap orang boleh bertanggungjawab atas dosa-dosanya sendiri pada hari penghakiman” (Ajaran dan Perjanjian 101:78). “Oleh kerana itu,” Tuhan mewahyukan, “tidaklah betul bahawa sesiapapun harus saling menghambakan satu sama lain” (Ajaran dan Perjanjian 101:79). Jelasnya ini bermaksud bahawa perhambaan manusia ialah salah. Dan menurut prinsip yang sama, adalah salah jika warganegara tidak mempunyai suara dalam pemilihan pemerintah mereka atau pembuatan undang-undang mereka.

II.

Kepercayaan kita bahawa Perlembagaan Amerika Syarikat ialah diilhamkan tidak bermaksud bahawa wahyu menentukan setiap kata dan ayat, seperti bahagian yang memperuntukkan nombor wakil dari setiap negeri atau umur minimum mereka.2 Perlembagaan bukan “surat yang sudah berkembang sepenuhnya,” kata Presiden J. Reuben Clark. “Sebaliknya,” dia menjelaskan, “kita percaya ia mesti tumbuh dan berkembang untuk menghadapi keperluan-keperluan yang berubah di dunia yang maju.”3 Contohnya, pindaan-pindaan yang diilhamkan menghapuskan perhambaan dan memberikan wanita hak mengundi. Namun, kita tidak melihat ilham dalam setiap keputusan Mahkamah Tertinggi yang mentafsirkan Perlembagaan.

Saya percaya Perlembagaan Amerika Syarikat mengandungi sekurang-kurangnya lima prinsip yang diilhamkan.4

Yang pertama ialah prinsip bahawa sumber kuasa kerajaan ialah rakyatnya. Pada ketika kuasa berdaulat dianggap datang dari hak ketuhanan raja-raja atau kuasa tentera, untuk menganggap kuasa berdaulat kepunyaan rakyat merupakan satu revolusi. Para ahli falsafah telah menganjurkan ini, tetapi Perlembagaan Amerika Syarikatlah yang pertama untuk menggunakannya. Kuasa berdaulat dalam rakyat tidak bererti bahawa gerombolan perusuh atau kumpulan yang lain boleh campur tangan atau menakut-nakutkan atau memaksa tindakan kerajaan. Perlembagaan menegakkan sebuah republik demokratik berperlembagaan, di mana rakyat menggunakan kuasa mereka melalui wakil-wakil terpilih mereka.

Prinsip kedua yang diilhamkan ialah pembahagian kuasa perwakilan di antara negara dan negeri-negerinya. Dalam sistem persekutuan kita, prinsip ini yang belum pernah terjadi sebelumnya kadang-kadang telah diubah oleh pindaan yang diilhamkan, seperti yang menghapuskan perhambaan dan memberikan hak mengundi kepada wanita, yang dikatakan sebelumnya. Perlembagaan Amerika Syarikat mengehadkan kerajaan negara kepada penggunaan kuasa yang diberikan secara tentu atau oleh implikasi, dan ia memberi semua kuasa kerajaan yang lain “kepada Negeri-Negeri atau kepada rakyat.”5

Satu lagi prinsip yang diilhamkan ialah pemisahan kuasa. Lebih daripada satu abad sebelum Perhimpunan Perlembagaan 1787 kita, Parlimen Inggeris memulakan pemisahan wewenang perundangan dan eksekutif apabila mereka mengambil kuasa-kuasa tertentu dari raja. Ilham dalam perhimpunan Amerika ialah untuk mewakilkan kuasa eksekutif, perundangan, dan kehakiman yang berasingan supaya tiga cabang ini dapat melakukan pemeriksaan antara satu sama lain.

Prinsip keempat yang diilhamkan berada dalam kumpulan jaminan penting hak-hak individu dan had-had tertentu kuasa kerajaan dalam Rang Undang-undang Hak Asasi, yang diterima pakai olah pindaan hanya tiga tahun selepas Perlembagaan berkuatkuasa. Rang Undang-undang Hak Asasi bukan baru. Di sini ilhamnya berada dalam penggunaan prinsip-prinsip yang dimulakan di England, bermula dengan Magna Carta. Para penulis Perlembagaan sudah biasa dengan prinsip-prinsip ini kerana beberapa penjajah kolonial mengandungi jaminan yang demikian.

Tanpa Rang Undang-undang Hak Asasi, Amerika tidak dapat menjadi negara di mana Pemulihan Injil terjadi, yang bermula tiga dekad kemudian. Peruntukan asal mengandungi ilham ilahi bahawa ujian agama tidak diperlukan untuk pejabat awam,6 tetapi tambahan kebebasan beragama dan jaminan anti penubuhan dalam Pindaan Pertama ialah sangat penting. Kita juga melihat ilham ilahi dalam Pindaan Pertama untuk bebas bersuara dan akhbar dan dalam perlindungan peribadi yang dikandungi dalam pindaan lain, seperti untuk pendakwaan jenayah.

Imej
Kita rakyat

Yang kelima dan terakhir, saya melihat ilham ilahi dalam tujuan penting seluruh Perlembagaan. Kita diperintah oleh undang-undang dan bukan oleh individu-individu, dan kesetiaan kita ialah kepada Perlembagaan dan prinsip-prinsip dan proses-prosesnya, bukannya kepada sesiapa pemegang jawatan. Dalam cara ini, semua orang sama di hadapan undang-undang. Prinsip-prinsip ini menghalang cita-cita autokratik yang telah merosakkan demokrasi di beberapa negara. Prinsip-prinsip ini juga bererti bahawa tidak satu pun dari tiga cabang kerajaan patut menjadi dominan dari yang lain atau menghalang yang lain dari melaksanakan fungsi perlembagaan betul mereka iaitu untuk memeriksa satu sama lain.

III.

Walaupun Perlembagaan Amerika Syarikat mengandungi prinsip-prinsip yang diilhamkan, kesannya yang diniatkan tidak selalu dicapai bila ia dilaksanakan oleh orang fana yang tidak sempurna. Topik-topik penting pembuatan undang-undang, seperti undang-undang yang memerintahi hubungan keluarga, telah diambil dari negeri-negeri oleh kerajaan persekutuan. Jaminan kebebasan bersuara Pindaan Pertama kadang-kadang dicairkan oleh penyekatan pertuturan yang tidak popular. Prinsip pemisahan kuasa selalu menghadapi tekanan dengan pasang surut salah satu cabang kerajaan yang menggunakan atau menghalang kuasa yang diwakilkan kepada cabang lain.

Terdapat ancaman lain yang melemahkan prinsip-prinsip terilham Perlembagaan Amerika Syarikat. Kebesaran Perlembagaan direndahkan oleh usaha-usaha untuk mengganti trend sosial kini sebagai sebab untuk pengasasannya, dan bukan kebebasan dan pemerintahan diri. Kuasa Perlembagaan diremehkan apabila calon atau pegawai mengabaikan prinsip-prinsipnya. Maruah dan kekuatan Perlembagaan direndahkan oleh orang yang merujuk kepadanya seperti ujian kesetiaan atau slogan politik, dan bukan taraf tingginya sebagai sumber untuk kekuasaan dan had pada kuasa kerajaan.

III.

Kepercayaan kita dalam ilham ketuhanan memberikan Orang Suci Zaman Akhir tanggungjawab unik untuk menegakkan dan mempertahankan Perlembagaan Amerika Syarikat dan prinsip-prinsip perlembagaan di mana sahaja kita berada. Kita patut percaya kepada Tuhan dan bersikap positif tentang masa depan negara ini.

Apakah lagi yang Orang Suci Zaman Akhir patut lakukan? Kita mesti berdoa untuk Tuhan membimbing dan memberkati semua negara dan pemimpinnya. Ini ialah sebahagian daripada fasal kepercayaan kita. Penundukan kepada presiden atau para pemerintah7 tidak menjadi halangan untuk kita menentang undang-undang atau polisi individu. Ia memerlukan bahawa kita menggunakan pengaruh kita dengan sopan dan aman di dalam rangka perlembagaan-perlembagaan kita dan undang-undang yang berkaitan. Dengan isu-isu yang dipertandingkan, kita patut berusaha menyerderhanakan dan bersatu.

Terdapat tugas lain yang merupakan sebahagian daripada mempertahankan Perlembagaan yang diilhamkan. Kita patut belajar dan menganjurkan prinsip-prinsip terilham Perlembagaan. Kita patut mencari dan menyokong orang bijak dan baik yang akan menyokong prinsip-prinsip itu dalam tindakan awam mereka.8 Kita patut menjadi warganegara berpengetahuan yang aktif dalam memastikan pengaruh kita berkesan dalam urusan awam.

Di Amerika Syarikat dan negara demokratik lain, pengaruh politik digunakan dengan menjadi calon untuk jawatan awam (yang kita galakkan), dengan mengundi, dengan sokongan kewangan, dengan keahlian dan pelayanan dalam parti politik, dan dengan komunikasi berterusan bersama para pegawai, parti, dan para calon. Untuk berfungsi dengan baik, sebuah demokrasi memerlukan semua ini, tetapi warganegara berhemat tidak perlu memberi semuanya.

Terdapat banyak isu politik, dan tidak ada satu parti, platform, atau calon individu yang dapat memuaskan semua pilihan peribadi. Oleh itu, setiap warganegara mesti memutuskan isu-isu yang terpenting baginya pada bila-bila masa. Kemudian ahli-ahli patut mencari ilham mengenai bagaimana untuk menggunakan pengaruhnya menurut keutamaan peribadi mereka. Proses ini tidak akan jadi mudah. Ia mungkin memerlukan penukaran sokongan parti atau pilihan calon, bahkan dari pilihan raya ke pilihan raya.

Tindakan bebas yang demikian kadang-kadang akan memerlukan pengundi untuk menyokong calon atau parti atau platform politik yang posisi lainnya tidak dapat diterima.9 Itu salah satu sebab kita menggalakkan ahli-ahli untuk menahan diri dari menilai satu sama lain dalam perkara-perkara politik. Kita tidak patut berfikir bahawa seorang ahli Orang Suci Zaman Akhir yang beriman tidak dapat tergolong kepada sesuatu parti tertentu atau mengundi untuk calon tertentu. Kami mengajar prinsip-prinsip betul dan membiarkan ahli-ahli kita memilih bagaimana untuk mengutamakan dan menggunakan prinsip-prinsip itu untuk isu-isu yang disampaikan dari masa ke masa. Kami juga menuntut, dan kami minta para pemimpin tempatan untuk menuntut, agar pilihan dan gabungan politik tidak menjadi topik ajaran atau anjuran dalam mana-mana pertemuan Gereja kita.

Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir akan menggunakan haknya untuk menyokong atau menentang cadangan undang-undang tertentu yang kami percaya akan mengesankan kebebasan beragama atau kepentingan-kepentingan organisasi Gereja.

Saya bersaksi akan Perlembagaan Amerika Syarikat yang diilhamkan dan berdoa agar kita yang mengenali Makhluk Ilahi yang mengilhamkannya akan selalu menegakkan dan mempertahankan prinsip-prinsipnya yang sungguh baik. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat Mark Tushnet, “Constitution,” dalam Michel Rosenfeld dan András Sajó, eds., The Oxford Handbook of Comparative Constitutional Law (2012), 222. Tiga negara dengan perlembagaan tidak bertulis ialah United Kingdom, New Zealand, dan Israel. Setiap negara ini mempunyai tradisi perlembagaan kuat, tetapi peruntukan-peruntukan pemerintahan tidak dikumpulkan dalam satu surat.

  2. Lihat Perlembagaan Amerika Syarikat, artikel 1, bahagian 2.

  3. J. Reuben Clark Jr., “Constitutional Government: Our Birthright Threatened,” Vital Speeches of the Day, Jan. 1, 1939, 177, dipetik dalam Martin B. Hickman, “J. Reuben Clark, Jr.: The Constitution and the Great Fundamentals,” dalam Ray C. Hillam, ed., By the Hands of Wise Men: Essays on the U.S. Constitution (1979), 53. Brigham Young mempunyai pandangan sama tentang Perlembagaan, mengajar bahawa para pengasas “meletakkan asas, dan generasi-generasi yang akan datang ditugaskan mengembangkan negara di atasnya” (Discourses of Brigham Young, sel. John A. Widtsoe [1978], 359).

  4. Lima prinsip ini hampir sama tetapi tidak serupa dengan prinsip yang dicadangkan dalam J. Reuben Clark Jr., Stand Fast by Our Constitution (1973), 7; “Our Divine Constitution,” Ensign, Nov. 1987, 4–7; dan Ezra Taft Benson, “The Constitution—A Glorious Standard,” Ensign, Sept. 1987, 6–11. Lihat, secara umum, Noel B. Reynolds, “The Doctrine of an Inspired Constitution,” dalam By the Hands of Wise Men, 1–28.

  5. Perlembagaan Amerika Syarikat, pindaan 10.

  6. Lihat Perlembagaan Amerika Syarikat, artikel 6.

  7. Lihat Fasal-Fasal Kepercayaan 1:12.

  8. Lihat Ajaran dan Perjanjian 98:10.

  9. Lihat David B. Magleby, “The Necessity of Political Parties and the Importance of Compromise,” BYU Studies, vol. 54, no. 4 (2015), 7–23.