Persidangan Umum
Mengajar dengan Cara Juruselamat
Persidangan Umum April 2021


Mengajar dengan Cara Juruselamat

Setiap daripada kita bertanggungjawab untuk mengikuti teladan Sang Guru dan mengajar seperti Dia.

Pengajar Berbakat

Beberapa bulan lalu, seorang bekas rakan kelas dari kampung saya di Overton, Nevada, mencadangkan kami mengumpulkan hadiah Krismas bagi guru tadika kami, yang baru-baru ini meraikan hari jadi ke-98. Dia mengajar kita untuk menjadi baik, kepentingan tidur siang yang baik, dan kenikmatan susu dan biskut graham, dan mengasihi satu sama lain. Terima kasih, Sister Davis, kerana menjadi guru yang luar biasa.

Imej
Sister Davis

Ada seorang lagi guru luar biasa semasa saya menghadiri Ricks College bertahun lalu. Saya bersedia untuk melayani misi dan berfikir bahawa mengikuti kelas persediaan penginjil akan sangat membantu. Apa yang saya alami telah mengubah hidup saya.

Dari hari pertama kelas, saya menyedari saya berhadapan dengan seorang pengajar berbakat. Pengajar itu ialah Brother F. Melvin Hammond. Saya tahu Brother Hammond mengasihi Tuhan dan dia menyayangi saya. Saya dapat melihat kasih sayang itu pada wajah dan suaranya. Apabila dia mengajar, Roh menerangi minda saya. Dia mengajar ajaran, tetapi dia juga menjemput saya untuk mempelajarinya sendiri. Jemputan itu membantu saya melihat tanggungjawab sendiri untuk mengkaji ajaran Tuhan. Pengalaman itu mengubah saya selama-lamanya. Terima kasih, Brother Hammond, kerana mengajar dengan cara Juruselamat.

Saudara dan saudari, setiap orang berhak mempunyai pengalaman pembelajaran ini di rumah dan gereja.

Pengenalan kepada Ikutlah Aku menjelaskan potensi yang dapat dicapai melalui pengajaran seperti Kristus. “Matlamat segala pembelajaran dan pengajaran,” ia berkata, “adalah untuk memperdalamkan penukaran hati kita terhadap Yesus Kristus dan membantu kita menjadi lebih seperti Dia. … Pembelajaran injil yang memperkukuhkan iman kita dan membimbing kepada mukjizat penukaran hati tidak berlaku sekali gus. Ia meluas dari bilik kelas ke hati dan rumah individu.”1

Tulisan suci menunjukkan pelayanan Juruselamat di Amerika memberi kesan besar sehingga “semua orang itu telah berpaling kepada Tuhan, di seluruh permukaan negeri, baik bangsa Nefi dan juga bangsa Laman, dan tidak terdapat pertikaian dan perselisihan di antara mereka, dan setiap orang berurusan dengan adil di antara satu sama lain.”2

Bagaimanakah pengajaran kita mempunyai kesan yang sama terhadap orang yang kita kasihi? Bagaimanakah kita boleh mengajar seperti Juruselamat dan membantu penukaran hati orang lain lebih mendalam? Benarkan saya menawarkan anda beberapa cadangan.

Mencontohi Juruselamat

Paling utama, belajar semua yang anda boleh tentang Sang Guru? Bagaimanakah Dia menunjukkan kasih kepada orang lain? Apakah mereka rasa semasa Dia mengajar? Apakah yang Dia ajarkan? Apakah jangkaan Dia terhadap mereka yang Dia ajari? Selepas meneroka soalan ini, nilai dan ubah cara anda mengajar untuk menjadi lebih seperti Dia.

Gereja menyediakan banyak sumber mengajar di aplikasi Gospel Library dan di ChurchofJesusChrist.org. Salah satu sumber bertajuk Teaching in the Savior’s Way (Mengajar dengan Cara Juruselamat). Saya menjemput anda untuk membaca dan mengkaji kandungannya. Asas-asasnya akan membantu usaha anda untuk menjadi lebih seperti Kristus dalam pengajaran anda.

Menyerlah Kuasa Kekeluargaan

Cadangan saya seterusnya boleh digambarkan dengan sebuah pengalaman beberapa bulan lalu apabila saya melawat seorang kawan. Saya dengar suara isterinya sedang bercakap dengan seseorang jadi saya cepat-cepat balik agar kawan saya boleh bersama keluarganya.

Sejam atau lebih kemudian saya menerima mesej dari isterinya: “Brother Newman, terima kasih kerana datang. Kami sepatutnya menjemput kamu masuk, tetapi saya ingin kongsikan apa yang kami lakukan. Sejak pandemik kami telah membincangkan Ikutlah Aku dengan anak-anak dewasa kami setiap hari Ahad melalui Zoom. Ia sememangnya suatu mukjizat. Ini kali pertama anak perempuan saya membaca Kitab Mormon sendiri. Hari ini ialah pelajaran terakhir mengenai Kitab Mormon dan kami baru selesai semasa anda datang. … Saya fikir anda mungkin berminat mendengar bagaimana Ikutlah Aku, Zoom dan pandemik telah membuka peluang tepat untuk mengubah hati. … Ini membuat saya merenung betapa banyak mukjizat kecil telah berlaku semasa waktu ini.”

Ini kedengaran seperti pengenapan janji yang Presiden Russell M. Nelson buat pada Oktober 2018. Dia berkata pelajaran injil yang berpusat pada keluarga dan disokong oleh Gereja “ada potensi untuk melepaskan kuasa kekeluargaan, apabila setiap keluarga melaksanakan ia dengan teguh dan cermat untuk mengubahkan rumah mereka kepada satu tempat perlindungan iman. Saya berjanji apabila anda tekun membentuk semula rumah anda kepada satu pusat pembelajaran injil, pada akhirnya hari Sabat anda akan menjadi satu kegembiraan. Anak-anak anda akan suka belajar dan mematuhi ajaran-ajaran Juruselamat. … Perubahan dalam keluarga anda akan menjadi dramatik dan berterusan.”3 Betapa indah janji itu!

Untuk benar-benar mengubah hidup, penukaran hati kepada Yesus Kristus harus melibatkan seluruh jiwa kita dan meresap ke setiap aspek kehidupan kita. Itulah sebabnya penukaran hati harus tertumpu pada pusat hidup kita—keluarga dan rumah kita.

Ingatlah Penukaran Hati Adalah Peribadi

Cadangan terakhir saya adalah ingat bahawa penukaran hati harus datang dari dalam. Seperti digambarkan dalam perumpamaan sepuluh gadis, kita tidak dapat memberi minyak penukaran hati kita kepada orang lain, walaupun kita ingin melakukannya. Seperti Elder David A. Bednar mengajar: “Minyak berharga ini diperoleh setitik pada satu masa … dengan sabar serta berterusan. Tiada jalan pintas, tiada persediaan yang digegaskan.”4

Ikutlah Aku berdasarkan pada kebenaran itu. Saya membandingkannya dengan malaikat yang membantu Nefi mempelajari tentang Yesus Kristus dengan berkata, “Lihatlah!”5 Seperti malaikat itu, Ikutlah Aku menjemput kita untuk membaca tulisan suci dan kata-kata nabi zaman moden untuk mencari Juruselamat dan mendengar Dia. Seperti Nefi, kita secara peribadi diajar oleh Roh semasa membaca dan merenungkan firman Tuhan. Ikutlah Aku membuka peluang yang menolong setiap kita menyelami air hidup ajaran Kristus.

Tanggungjawab ibu bapa adalah serupa dalam banyak cara. Anak-anak mewarisi banyak hal daripada ibu bapa mereka, tetapi bukan kesaksian. Kita tidak dapat memberi kesaksian kepada anak-anak kita sama seperti kita tidak dapat memaksa sebiji benih untuk tumbuh. Tetapi kita boleh menyediakan persekitaran yang memelihara, dengan tanah yang baik, tiada duri yang akan membuat perkhabaran itu “tidak berbuah.” Kita boleh berusaha mencipta keadaan yang ideal supaya anak-anak kita—dan orang yang kita kasihi—boleh mendapat , “[mendengar] perkhabaran itu, dan [memahami] ia”6 dan mendapat “benih itu baik” bagi diri mereka.7

Imej
Brother Newman dan anaknya Jack

Beberapa tahun lalu, anak lelaki saya Jack dan saya berpeluang bermain golf di tempat asal permainan golf wujud iaitu Old Course di St. Andrews, Scotland. Ia sangat menakjubkan! Selepas pulang, saya cuba menggambarkan keindahan pengalaman itu. Tetapi saya tidak dapat. Foto, video dan penerangan terbaik saya tidak langsung mencukupi. Akhirnya, saya menyedari satu-satunya cara untuk seseorang memahami keagungan St. Andrews adalah untuk mengalaminya—melihat lembah luas, menghirup udara, merasakan angin di muka mereka dan cuba bermain golf, yang kita lakukan dengan kecekapan yang hebat.

Itu sama dengan firman Tuhan. Kita boleh mengajarkannya, mengkhutbahkannya dan menjelaskannya. Kita boleh bercakap tentang firman, menggambarkannya dan juga bersaksi tentang ia. Tetapi jika seseorang tidak merasakan firman kudus Tuhan meresap ke dalam jiwanya bagaikan embun dari langit melalui kuasa Roh,8 firman itu hanya kelihatan seperti poskad atau gambar percutian seseorang. Anda mesti mengalaminya bagi diri anda. Penukaran hati merupakan perjalanan peribadi—suatu perjalanan pengumpulan.

Setiap pengajar di rumah dan gereja boleh menawarkan orang lain peluang untuk mempunyai pengalaman rohani mereka sendiri. Melalui semua pengalaman ini, mereka akan dapat “mengetahui kebenaran tentang semua hal” bagi diri mereka.9 Presiden Nelson mengajar, “jika anda mempunyai soalan-soalan ikhlas mengenai injil atau Gereja, anda memilih untuk membiarkan Tuhan menang, anda akan dipimpin untuk menemui dan memahami kebenaran kekal, yang akan membimbing hidup anda dan membantu anda tetap teguh di jalan perjanjian.”10

Meningkatkan Pengajaran Secara Mendadak

Saya menjemput para pemimpin dan pengajar dalam setiap organisasi Gereja untuk berunding bersama ibu bapa dan para remaja untuk meningkatkan pengajaran di setiap peringkat—dalam pancang, bahagian dan rumah. Ini akan dicapai melalui pengajaran ajaran dan perbincangan penuh dengan Roh tentang kebenaran yang Roh Kudus telah ajarkan kepada kita semasa merenung dalam pengkajian peribadi.

Rakan-rakan saya dalam Kristus, setiap daripada kita bertanggungjawab untuk mengikuti teladan Sang Guru dan mengajar seperti Dia. Cara-Nya ialah cara yang benar! Semasa kita mengikuti Dia “apabila Dia akan memperlihatkan diri-Nya kita akan kelihatan seperti Dia, kerana kita akan melihat-Nya sebagaimana Dia adanya; agar kita boleh memiliki harapan ini; agar kita boleh disucikan bahkan seperti Dia yang adalah suci.”11 Dalam nama-Nya yang telah bangkit, Sang Guru, Yesus Kristus, amin.