Persidangan Umum
Uskup—Gembala Kawanan Tuhan
Persidangan Umum April 2021


Uskup—Gembala Kawanan Tuhan

Uskup berperanan penting dalam melayani sebagai gembala untuk membimbing generasi muda kepada Yesus Kristus.

Para saudara imamat saya, salah satu baris yang paling tak dapat dilupakan dalam lagu rohani yang sangat disukai, “Ragukah teruna Sion?”1 Pengisytiharan saya yang tulus dan bergema untuk jawab soalan itu adalah “Tidak!”

Untuk pastikan jawapan itu benar, saya bersaksi bahawa menyokong generasi muda dalam masa cabaran dan godaan yang luar biasa adalah tanggungjawab penting yang Bapa Syurgawi berikan kepada ibu bapa dan lembaga uskup.2 Izinkan saya gambarkan kepentingan lembaga uskup dengan pengalaman peribadi.

Semasa saya seorang diaken, keluarga saya berpindah ke rumah baharu di bahagian yang berbeza. Saya mula sekolah menengah junior, jadi saya hadiri sekolah baharu. Terdapat sekumpulan remaja putera yang menakjubkan dalam kuorum diaken. Kebanyakan ibu bapa mereka adalah ahli aktif. Ibu saya aktif sepenuhnya; ayah saya hebat dalam segala hal tetapi bukan ahli aktif.

Penasihat kedua dalam lembaga uskup,3 Brother Dean Eyre, adalah pemimpin yang setia. Ketika saya masih menyesuaikan diri di bahagian baharu, acara ayah-anak diumumkan untuk Bear Lake—sekitar 40 batu (65 km) jauhnya. Saya tidak rasa saya akan hadir tanpa ayah saya. Tetapi Brother Eyre memberi jemputan khas untuk saya pergi bersamanya. Dia berbicara dengan sangat hormat tentang ayah saya dan menekankan betapa pentingnya peluang saya untuk bersama ahli kuorum diaken yang lain. Oleh itu, saya pergi bersama Brother Eyre, dan saya alami pengalaman menakjubkan.

Brother Eyre adalah contoh kasih Kristus yang luar biasa dalam memenuhi tanggungjawab lembaga uskup untuk menyokong ibu bapa dalam mengawasi dan mengasuh remaja. Dia berikan saya permulaan yang baik di bahagian baharu ini dan menjadi mentor saya.

Beberapa bulan sebelum saya ke misi pada tahun 1960, Brother Eyre meninggal dunia akibat barah pada usia 39 tahun. Dia meninggalkan seorang isteri dan lima anak mereka, semuanya di bawah usia 16 tahun. Saya bersyukur anak-anak sulungnya, Richard dan Chris Eyre, memberitahu saya bahawa tanpa ayah mereka, lembaga uskup terus menyokong dan mengawasi mereka dan adik beradik dengan kasih seperti Kristus.

Ibu bapa sentiasa mempunyai tanggungjawab utama untuk keluarga mereka.4 Presidensi kuorum juga berikan sokongan dan bimbingan penting kepada ahli kuorum dengan membantu mereka dalam mengangkat tugas dan kuasa Imamat Harun menjadi pusat kehidupan mereka.5

Imej
Gembala bersama domba

Tujuan saya hari ini adalah tertumpu pada para uskup dan penasihat mereka, turut dipanggil sebagai “gembala kawanan Tuhan”—dengan penekanan menjadi gembala bagi generasi muda.6 Rasul Petrus merujuk Yesus Kristus sebagai “Gembala dan Pemelihara[Uskup] jiwa kamu.”7

Uskup ada lima tanggungjawab utama untuk memimpin bahagian:

  1. Dia ialah imam tinggi yang memimpin dalam bahagian.8

  2. Dia ialah presiden Imamat Harun.9

  3. Dia ialah hakim umum.10

  4. Dia mengatur pekerjaan keselamatan dan permuliaan, termasuk menjaga mereka yang memerlukan.11

  5. Dan dia mengawasi catatan, kewangan, dan penggunaan bangunan pertemuan.12

Dalam peranannya sebagai imam tinggi yang memimpin, uskup ialah “pemimpin rohani.”13 Dia ialah “pengikut beriman Yesus Kristus.”14

Tambahannya, “uskup mengatur pekerjaan keselamatan dan permuliaan dalam bahagian.”15 Uskup harus tugaskan tanggungjawab harian untuk berkongsi injil, memperkuatkan ahli baharu dan yang baru kembali, pelayanan, dan pekerjaan bait suci dan sejarah keluarga kepada presiden kuorum penatua dan Lembaga Pertolongan.16 Uskup mengatur pekerjaan ini dalam majlis bahagian dan majlis remaja bahagian.

Uskup berperanan penting dalam melayani sebagai gembala untuk membimbing generasi muda, termasuk dewasa muda, kepada Yesus Kristus.17 Presiden Russell M. Nelson telah menekankan peranan penting uskup dan penasihatnya. Dia ajarkan “tanggungjawab [uskup] yang pertama dan paling utama ialah untuk menjaga para remaja putera dan puteri bahagian [mereka].”18 Lembaga uskup menyokong ibu bapa dalam mengawasi dan mengasuh kanak-kanak dan remaja dalam bahagian. Uskup dan presiden Remaja Puteri bahagian berunding bersama. Mereka berusaha untuk bantu remaja menjalani standard dalam Untuk Kekuatan Remaja, jadi layak untuk menerima tatacara, serta membuat dan mematuhi perjanjian kudus.

Anda mungkin bertanya, “Mengapa uskup diarahkan untuk luangkan banyak masa dengan para remaja?” Tuhan telah mengatur Gereja-Nya untuk mencapai keutamaan penting. Oleh itu, organisasi Gereja-Nya mempunyai struktur di mana uskup ada dua tanggungjawab. Dia ada tanggungjawab ajaran untuk bahagian secara keseluruhan, tetapi dia turut bertanggungjawab ajaran khusus bagi kuorum imam.19

Remaja putera yang merupakan imam dan remaja puteri yang berusia sama berada pada tahap yang sangat penting dalam kehidupan dan perkembangan mereka. Dalam tempoh singkat, mereka membuat keputusan yang mempunyai implikasi penting sepanjang hayat. Mereka putuskan jika mereka akan layak untuk bait suci, melayani misi,20 berkahwin di bait suci, dan bersedia untuk pekerjaan hidup mereka. Keputusan ini, setelah dibuat, mempunyai implikasi rohani dan praktikal yang mendalam untuk sepanjang hidup mereka. Para uskup, sila tahu bahawa waktu singkat yang diluangkan dengan imam muda, remaja puteri atau dewasa muda dapat bantu mereka fahami kuasa yang tersedia bagi mereka melalui Korban tebusan Yesus Kristus. Ini menyediakan visi yang akan memberi pengaruh besar dalam sepanjang hidup mereka.

Imej
Uskup Moa Mahe dan penasihat-penasihatnya

Satu contoh terbaik yang pernah saya lihat tentang uskup yang bantu memberi visi untuk remajanya adalah Uskup Moa Mahe. Dia dipanggil menjadi uskup pertama di Bahagian Tongan San Francisco.21 Dia adalah imigran dari Vava‘u, Tonga. Bahagiannya terletak berhampiran lapangan terbang San Francisco, California, tempat dia bekerja.22

Imej
Bahagian jemaah Tonga

Bahagian ini mempunyai sebilangan besar remaja, kebanyakan dari keluarga yang baru saja berhijrah ke Amerika Syarikat. Uskup Mahe bukan saja mengajar dengan kata-kata dan teladan menjadi pengikut Yesus Kristus yang soleh, tetapi dia turut beri mereka visi tentang apa mereka boleh jadi dan bantu mereka mempersiapkan diri untuk bait suci, misi, pendidikan, dan pekerjaan. Dia melayani hampir lapan tahun, dan impian dan hasratnya untuk remaja menjadi kenyataan.

Hampir 90 peratus remaja putera di kuorum Imamat Harun melayani misi. Lima belas remaja putera dan remaja puteri adalah ahli pertama dalam keluarga mereka yang menghadiri kolej.23 Uskup Mahe bertemu dengan pengetua sekolah menengah tempatan (bukan dari agama kita), dan menjalin persahabatan dan bekerjasama membantu setiap anak muda untuk mencapai matlamat dan mengatasi masalah. Pengetua itu berkata Uskup Mahe membantunya bekerja dengan imigran dari semua agama yang sedang bergelut. Orang-orang muda ini tahu bahawa uskup mengasihi mereka.

Sedihnya, Uskup Mahe meninggal dunia semasa melayani sebagai uskup. Saya tidak akan lupa pengebumiannya yang menyentuh hati dan mengilhami. Ramai yang menghadiri. Koir terdiri daripada lebih 35 ahli muda beriman yang telah melayani misi atau menghadiri kolej dan remaja semasa dia melayani sebagai uskup. Seorang pembicara menyatakan penghargaan yang mendalam daripada para remaja dan orang dewasa muda di bahagian. Dia memberi penghormatan kepada Uskup Mahe atas visi yang diberikan dalam persediaan hidup dan pelayanan yang soleh. Paling penting, Uskup Mahe telah bantu mereka membina iman kepada Tuhan Yesus Kristus sebagai landasan kehidupan mereka.

Sekarang, para uskup, di mana saja anda melayani, dalam temu duga dan interaksi anda yang lain, anda dapat berikan visi sedemikian dan bina iman kepada Yesus Kristus. Anda dapat memberikan jemputan yang kuat untuk mengubah tingkah laku, mempersiapkan mereka untuk hidup dan mengilhami mereka untuk kekal berada di jalan perjanjian

Tambahan, anda boleh bantu sebilangan remaja yang ada percanggahan dengan ibu bapa tentang perkara tidak penting.24 Pada saat orang muda ada percanggahan maksimum dengan ibu bapa mereka, pemimpin kuorum mereka dan pengawas hal-hal gereja merupakan orang yang ibu bapa mereka akan jumpa untuk kad rekomen bait suci. Ini meletakkan uskup dalam kedudukan yang unik untuk menasihati remaja dan ibu bapa mereka apabila perselisihan telah menimbulkan perpecahan. Uskup dapat bantu mereka melihat sesuatu dengan perspektif abadi dan selesaikan masalah. Kami cadangkan agar para uskup tidak menugaskan keluarga pelayan rohani sehingga mereka dapat fokus waktu dan tenaga mereka melayani para remaja dan keluarga mereka dalam situasi seperti ini.25

Saya kenali seorang uskup yang menyelesaikan perselisihan serius antara remaja lelaki dan ibu bapanya, membawa keharmonian ke rumah dan meningkatkan komitmen kepada injil. Uskup membantu ibu bapa fahami usaha menjadi pengikut Yesus Kristus adalah lebih penting daripada bagaimana dan bila kerja rumah keluarga dilaksanakan.

Bagi luangkan lebih banyak masa dengan remaja di mana pun, termasuk di acara atau aktiviti sekolah, lembaga uskup telah diberi nasihat untuk agihkan pertemuan dan waktu berunding yang sesuai dengan orang dewasa. Meskipun para uskup dapat menasihati tentang hal-hal yang serius dan mendesak, kami cadangkan agar pengagihan nasihat tentang perkara-perkara kronik dan kurang mendesak yang tidak melibatkan penilaian tentang kelayakan ditugaskan kepada ahli kuorum penatua atau Lembaga Pertolongan—biasanya presidensi atau pelayan saudara dan saudari. Roh akan membimbing para pemimpin26 untuk memilih ahli yang tepat untuk menjalankan nasihat ini. Mereka yang menerima agihan tugas menasihat ini berhak mendapat wahyu. Sudah tentu mereka mesti menjaga kerahsiaan sulit.

Pemimpin yang bertimbang rasa selalu berkorban untuk generasi muda. Di sinilah ahli lembaga uskup luangkan sebahagian besar masa pelayanan Gereja mereka.

Saya ingin katakan beberapa perkara secara langsung kepada para remaja dan kemudian kepada para uskup kita.

Ramai di antara anda anak muda mungkin tidak ada visi yang jelas tentang siapa anda dan siapa anda boleh menjadi. Namun anda berada di ambang keputusan terpenting yang anda akan buat dalam hidup anda. Sila berunding dengan ibu bapa dan uskup anda tentang pilihan penting yang ada di hadapan anda. Izinkan uskup menjadi rakan dan penasihat anda.

Kami sedar bahawa anda ada cubaan dan godaan yang datang kepada anda dari setiap arah. Kita semua perlu bertaubat setiap hari seperti diajar oleh Presiden Nelson. Sila berbincang dengan uskup anda tentang hal-hal yang hakim umum dapat bantu anda uruskan kehidupan anda dengan Tuhan sebagai persiapan untuk “pekerjaan yang besar” yang Dia ada untuk anda dalam zaman keagamaan akhir ini.27 Seperti yang Presiden Nelson telah jemput anda, silakan layak untuk menjadi sebahagian dari batalion remaja Tuhan!28

Sekarang untuk para uskup berharga bagi pihak kepimpinan dan ahli Gereja. Kami nyatakan kesyukuran yang mendalam kepada anda. Dengan pelarasan yang anda diminta lakukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, para uskup yang dikasihi, sila ketahui betapa kami mengasihi dan menghargai anda. Sumbangan anda kepada kerajaan hampir tidak dapat digambarkan. Gereja ada 30,900 uskup dan presiden cabang yang melayani di seluruh dunia.29 Kami menghormati anda semua.

Beberapa perkataan dan panggilan kudus yang mereka gambarkan dipenuhi dengan makna rohani dan luar biasa. Panggilan uskup sudah pastinya berada di peringkat teratas kata-kata seperti itu. Untuk melayani Tuhan dalam kemampuan ini adalah sangat luar biasa dalam banyak cara. Panggilan, sokongan, dan penetapan seorang uskup adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan. Bagi saya, ia disenaraikan dengan sebilangan kecil peristiwa yang sukar untuk digambarkan perasaannya. Ia sama dengan acara seperti perkahwinan dan kebapaan yang tidak dapat digambarkan dengan beberapa perkataan.30

Uskup, kami menyokong anda! Uskup, kami kasihi anda! Anda sememangnya gembala kawanan Tuhan. Juruselamat tidak akan meninggalkan anda dalam panggilan kudus ini. Tentang ini saya bersaksi, pada hujung minggu Easter ini, dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. “Teguh pada Iman,” Nyanyian Rohani, no. 121

  2. Pemimpin remaja, presidensi kuorum dan kelas, dan pemimpin Gereja lain berkongsi tanggungjawab ini.

  3. Uskup adalah presiden kuorum imam. Penasihat pertamanya bertanggungjawab untuk kuorum pengajar, dan penasihat keduanya bertanggungjawab untuk kuorum diaken. (Lihat General Handbook: Serving in The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints, 10.3, ChurchofJesusChrist.org.)

  4. Lihat Ajaran dan Perjanjian 68:25–28.

  5. Lihat Quentin L. Cook, “Pelarasan untuk Menguatkan Remaja,” Liahona, Nov. 2019, 40.

  6. Penggunaan perkataan uskup juga digunakan untuk presiden cabang beriman kita.

  7. 1 Petrus 2:25.

  8. Lihat General Handbook, 6.1.1.

  9. Lihat General Handbook, 6.1.2.

  10. Lihat General Handbook, 6.1.3.

  11. Lihat General Handbook, 6.1.4.

  12. Lihat General Handbook, 6.1.5.

  13. General Handbook, 6.1.1; Lihat juga General Handbook, 6.1.1.1–6.1.1.4.

  14. General Handbook, 6.1.1.

  15. General Handbook, 6.1.4.

  16. Lihat General Handbook, 21.2; 23.5; 25.2.

  17. Lihat General Handbook, 6.1; 14.3.3.1; lihat juga Quentin L. Cook, “Pelarasan untuk Menguatkan Remaja,” 40–43. Uskup juga digalakkan untuk luangkan lebih banyak masa bersama isteri dan keluarganya. Fokus sedemikian terjadi apabila pembimbing (adviser) dan pakar dewasa Remaja Putera yang berkebolehan akan dipanggil untuk membantu presidensi kuorum Imamat Harun dan lembaga uskup dalam tugas mereka.

  18. Russell M. Nelson, “Witnesses, Aaronic Priesthood Quorums, and Young Women Classes,” Liahona, Nov. 2019, 39.

  19. Lihat Ajaran dan Perjanjian 107:87–88.

  20. “Tuhan mengharapkan setiap remaja putera yang mampu [ untuk melayani misi] (lihat Doctrine and Covenants 36:1, 4–7). Ahli remaja puteri dan senior yang berhasrat untuk melayani haruslah mempersiapkan diri. Bahagian penting dalam persiapan ialah berusaha untuk menerima penukaran hati kepada Yesus Kristus dan injil–Nya. Mereka yang berharsat untuk melayan juga persiapkan diri secara jasmani, mental, emosi dan kewangan” (General Handbook, 24.0).

  21. Bahagian ini dibentuk pada 17 Disember 1980. Elder John H. Groberg dari kuorum Pertama Tujuh Puluh membantu mengatur bahagian berbahasa Tonga ini. (Lihat Gordon Ashby, chairman, dan Donna Osgood, ed., The San Francisco California Stake: The First 60 years, 1927–1987 [1987], 49–52.)

  22. Uskup Mahe telah naik ke jawatan pengurusan dengan Pan American Airways di lapangan terbang antarabangsa San Francisco, California.

  23. Lihat The San Francisco California Stake, 49.

  24. Mereka juga mungkin memberontak terhadap perkara-perkara yang sangat penting.

  25. Lihat General Handbook, 21.2.1.

  26. Uskup akan mengatur dengan presidensi kuorum penatua dan Lembaga Pertolongan tentang siapa yang harus ditugaskan dan bagaimana tindakan lanjut yang penuh kasih dan prihatin harus dicapai.

  27. Ajaran dan Perjanjian 64:33.

  28. Lihat Russell M. Nelson “Harapan Israel” (pertemuan rohani remaja sedunia, 3 Jun 2018), HopeofIsrael.ChurchofJesusChrist.org.

  29. Pada 19 Februari 2021, terdapat 24,035 uskup dan 6,865 presiden cabang yang melayani di seluruh dunia.

  30. Saya dipanggil sebagai uskup Bahagian Burlingame di California pada tahun 1974 oleh Presiden David B. Barlow dan ditetapkan pada 15 September 1974, oleh Elder Neal A. Maxwell, yang baru-baru ini dipanggil sebagai Penolong Kuorum Dua Belas Para rasul.