Persidangan Umum
Dia Boleh Menyembuhkan Saya!
Persidangan Umum April 2023


Dia Boleh Menyembuhkan Saya!

Kuasa penyembuhan dan penebusan Juruselamat boleh digunakan untuk kesilapan tidak sengaja, keputusan tidak baik, cabaran, percubaan setiap jenis—dan juga dosa-dosa kita.

Moroni berjanji bahawa jika kita membaca Kitab Mormon dan tanya Tuhan Bapa Yang Abadi, dengan hati yang tulus, dengan niat yang bersungguh-sungguh, beriman kepada Kristus jika ia benar, Tuhan akan nyatakan kebenarannya melalui kuasa Roh Kudus.1 Berjuta-juta orang telah menerapkan janji ini dan menerima kesaksian yang meyakinkan tentang Pemulihan kegenapan injil Yesus Kristus.

Moroni mendorong kita, semasa membaca Kitab Mormon, untuk “mengingati betapa Tuhan telah penuh berbelas kasihan kepada anak-anak manusia, sejak dari penciptaan Adam bahkan sehingga tiba masa [ini], … dan untuk merenungkannya di dalam hati [kita].”2 Cerita dan ajaran dalam Kitab Mormon mengingatkan kita dan bersaksi tentang kasih, rasa kasihan dan belas kasihan Juruselamat.

Ayah saya meninggal dunia pada April 2013. Semasa saya bersedia untuk berucap di pengebumiannya, saya diberkati untuk tahu dan suka tulisan suci kegemarannya. Dia kongsinya dalam pengumpulan keluarga, dan dia bacanya dengan saya apabila saya perlukan nasihat, bimbingan atau memperkuatkan iman saya. Saya dengar dia kongsinya dalam ucapan dan tugasan. Saya tidak hanya kenalinya, tetapi masih ingat suaranya dan perasaan rohani semasa dia kongsinya. Melalui perkongsian tulisan suci dan perasaan, bapa saya membantu saya untuk menubuhkan landasan kukuh iman kepada Tuhan Yesus Kristus.

Bapa saya suka kisah kunjungan Juruselamat kepada bangsa Nefi.3 Kisah ini berkenaan Tuhan Yesus Kristus yang dibangkit dan dimuliakan. Dia telah minum dari cawan pahit dan menderita segala hal supaya kita tidak akan menderita jika kita akan bertaubat.4 Dia telah mengunjungi dunia roh dan mengaturkan injil dikhutbahkan di sana.5 Dia telah bangkit dari yang mati, Dia telah bersama dan menerima perintah daripada Bapa untuk berkongsi ayat suci dengan bangsa Nefi yang akan memberkati generasi akan datang.6 Dia dimuliakan dan memiliki semua kuasa dan keupayaan abadi-Nya. Kita boleh belajar dari setiap butiran ajaran-Nya.

Dalam 3 Nefi 11, kita baca bagaimana Juruselamat turun dari syurga untuk ajar bangsa Nefi bahawa Dia ialah Yesus Kristus, yang para nabi bersaksi akan datang ke dunia. Dia mengisytiharkan bahawa Dia ialah Cahaya Dunia dan Dia memuliakan Bapa dengan mengambil dosa-dosa dunia. Dia jemput orang ramai untuk letakkan tangan mereka ke sisi-Nya dan rasakan bekas paku di tangan dan kaki-Nya. Dia ingin mereka tahu bahawa Dia ialah Tuhan Israel yang dibunuh untuk dosa-dosa dunia. Mereka menjawab dengan riang, pergi satu demi satu sehingga semua telah lihat dan rasakan bahawa ianya benar-benar Dia, yang para nabi bersaksi akan datang ke dunia.7

Yesus ajar bangsa Nefi tentang kepentingan pertaubatan, tentang menjadi seperti seorang anak kecil dan tentang perlunya dibaptis oleh orang yang memiliki wewenang-Nya. Kemudian Dia ajarkan banyak ajaran yang kita sedang kaji tahun ini dalam Perjanjian Baru.

Dalam 3 Nefi 17, kita baca bahawa Yesus beritahu orang ramai, sudah tiba masanya untuk Dia pergi kepada Bapa dan memperlihatkan diri-Nya kepada suku-suku Israel yang hilang.8 Apabila Dia memandang orang ramai di sana, Dia menyedari bahawa mereka sedang menangis, memandang-Nya seolah-olah mereka akan meminta-Nya untuk tinggal lebih lama.9

Balasan Juruselamat kepada bangsa Nefi menyentuh hati dan memberi pengajaran. Dan Dia berfirman, “Lihatlah, hati-Ku dipenuhi dengan rasa kasihan terhadapmu.”10

Saya percaya rasa kasihan-Nya adalah lebih daripada balasan kepada air mata orang ramai. Dia dapat lihat mereka melalui pandangan korban tebusan-Nya. Dia telah lihat setiap kesakitan, kesengsaraan dan godaan mereka. Dia telah lihat penyakit mereka. Dia telah lihat kelemahan mereka, dan Dia tahu cara untuk menolong menurut kelemahan mereka dari penderitaan-Nya di Getsemani dan Golgota.11

Begitu juga, apabila Juruselamat, Yesus Kristus, memandang kita, Dia lihat dan fahami kesakitan dan beban dosa-dosaa kita. Dia lihat ketagihan dan cabaran kita. Dia lihat kesusahan dan kesengsaraan kita—dan Dia dipenuhi dengan rasa kasihan terhadap kita.

Jemputan-Nya kepada bangsa Nefi menyusul: “Adakah sesiapa yang sakit di kalanganmu? Bawalah mereka ke mari. Adakah kamu mempunyai sesiapa pun yang lumpuh, atau buta, atau tempang, atau kudung, atau berpenyakit kusta, atau yang mati rasa, atau yang tuli, atau yang sengsara dalam apa cara sekali pun? Bawalah mereka ke mari dan Aku akan menyembuhkan mereka, kerana Aku memiliki rasa kasihan kepadamu; hati-Ku dipenuhi dengan belas kasihan.”12

Dan orang ramai maju “dengan mereka semua yang sengsara dalam apa cara sekali pun; dan Dia telah menyembuhkan setiap orang daripada mereka apabila mereka dibawa kepada-Nya.”13

Pada tahun 1990, kami tinggal di kota kecil Sale, di Victoria, Australia. Kami sangat sibuk dengan keluarga, Gereja dan komitmen kerja. Pada musim panas sebelum Krismas, kami memutuskan untuk lawat beberapa taman dan pantai kegemaran kami. Selepas menikmati hari dan bermain sebagai keluarga, kami mengemas dan menuju ke rumah. Semasa memandu, saya tertidur seketika dan menyebabkan kemalangan kereta. Selepas tersedar buat sementara, saya lihat di sekeliling kenderaan. Isteri saya, Maxine, patah kaki dan sukar untuk bernafas. Tulang sternum dia patah. Tiga anak perempuan kami terkejut tetapi syukurnya nampak OK. Saya alami kecederaan kecil. Tetapi anak lelaki kami yang berusia lima bulan tidak bergerak.

Di tengah-tengah tekanan dan kekeliruan kejadian kemalangan itu, anak sulung kami, Kate berumur 11 tahun, berkata, “Ayah, kamu perlu memberi Jarom satu berkat.” Dengan daya upaya, anak-anak perempuan saya dan saya berjaya keluar dari kereta. Maxine tidak boleh bergerak. Saya angkat Yarom dengan hati-hati; kemudian saya berbaring di atas jalan, saya meletakkan dia di atas dadaku dan berinya sebuah berkat imamat. Pada masa ambulans tiba kira-kira 40 minit kemudian, Yarom sudah sedar.

Malam itu, saya meninggalkan tiga ahli keluarga di hospital dan mengambil teksi pulang dengan dua anak perempuan saya. Sepanjang malam, saya mohon kepada Bapa Syurgawi supaya keluarga saya dan orang lain yang tercedera dari kemalangan itu akan pulih. Syukurnya, doa saya dan doa banyak orang telah dijawab. Semua telah disembuh dari itu, ia satu berkat dan belas kasihan yang besar.

Namun, saya masih ada perasaan bersalah dan menyesal kerana mengakibatkan kemalangan buruk itu. Saya akan terbangun dari tidur dan ulangi peristiwa yang ngeri itu dalam minda. Saya sudah bertahun-tahun bergelut untuk mengampuni diri saya dan cari kedamaian. Kemudian, sebagai pemimpin imamat, semasa membantu orang lain untuk bertaubat dan merasakan belas kasihan, rasa kasihan, dan kasih Juruselamat, saya sedar bahawa Dia boleh menyembuhkan saya.

Kuasa penyembuhan dan penebusan Juruselamat boleh digunakan untuk kesilapan yang tidak sengaja, keputusan tidak baik, cabaran, percubaan setiap jenis—dan juga dosa-dosa kita. Semasa saya berpaling kepada-Nya, perasaan bersalah dan sesal saya digantikan dengan kedamaian dan keamanan.

Presiden Russell M. Nelson mengajar: “Apabila Juruselamat menebus bagi umat manusia, Dia membuka jalan agar mereka yang ikuti-Nya boleh mempunyai akses kepada penyembuhan, kekuatan dan kuasa penebusan-Nya. Hak-hak istimewa rohani ini tersedia bagi semua yang ingin dengar dan ikuti-Nya.”14

Saudara dan saudari, sama ada anda sedang pikul beban dosa yang belum diselesaikan, menderita kerana kesalahan yang dilakukan terhadap anda lama dahulu, atau berjuang untuk mengampuni diri kerana kesilapan yang tidak sengaja, anda mempunyai akses kepada kuasa penyembuhan dan penebusan Juruselamat Yesus Kristus.

Saya bersaksi bahawa Dia hidup. Dialah Juruselamat dan Penebus kita. Dia mengasihi kita. Dia peka terhadap perasaan kita, Dia dipenuhi dengan belas kasihan dan Dia akan menyembuh anda. Dalam nama Yesus Kristus, amin.