Persidangan Umum
Kuasa Momentum Rohani
Persidangan Umum April 2022


Kuasa Momentum Rohani

Saya ingin cadangkan lima tindakan khas yang kita boleh lakukan untuk bantu kekalkan momentum rohani yang positif.

Saudara dan saudari sekalian, saya kasihi anda. Saya hargai peluang untuk berbicara kepada anda hari ini. Saya berdoa setiap hari agar anda akan dilindungi dari serangan musuh dan miliki kekuatan untuk maju ke hadapan melalui cabaran yang anda hadapi.

Beberapa percubaan adalah beban peribadi yang orang lain tidak dapat lihat. Percubaan lain dimainkan di pentas dunia. Konflik bersenjata di Eropah Timur adalah salah satu percubaan itu. Saya telah melawat Ukraine dan Rusia banyak kali. Saya suka negara, rakyat dan bahasa mereka. Saya menangis dan berdoa kepada semua yang terjejas oleh konflik ini. Sebagai sebuah gereja, kami sedang lakukan segala usaha untuk bantu mereka yang menderita dan berjuang untuk hidup. Kami jemput setiap orang untuk terus berpuasa dan berdoa bagi semua orang yang terjejas oleh malapetaka ini. Sebarang peperangan adalah pelanggaran yang menggerunkan terhadap segala yang Tuhan Yesus Kristus membela dan ajar.

Tiada di antara kita yang boleh mengawal negara, atau tindakan orang lain, atau bahkan ahli keluarga kita sendiri. Tetapi kita boleh mengawal diri kita. Seruan saya hari ini, saudara dan saudari yang dikasihi, adalah untuk mengakhiri konflik yang meradang dalam hati anda, rumah anda dan kehidupan anda. Lupakan sebarang perasaan untuk melukai orang lain—jika perasaan itu marah, lancang mulut atau rasa geram terhadap orang yang menyakiti anda. Juruselamat memerintahkan kita untuk memaling pipi yang lain,1 untuk mengasihi musuh kita dan berdoa bagi mereka yang menganiaya kita.2

Ia mungkin susah untuk melepas kemarahan yang berasa sungguh berpatutan. Ia mungkin nampak mustahil untuk mengampuni mereka yang telah membuat jahat terhadap orang yang tidak bersalah. Namun, Juruselamat menegur kita untuk “mengampuni semua orang.”3

Kita adalah pengikut Putera Kedamaian. Kini lebih daripada sebelumnya, kita perlukan kedamaian yang hanya Dia boleh berikan. Bagaimanakah kita boleh harapkan kedamaian untuk wujud dalam dunia apabila, kita tidak cari kedamaian dan harmoni secara peribadi? Saudara dan saudari, saya tahu apa yang saya cadangkan tidak mudah. Tetapi para pengikut Yesus Kristus harus jadi teladan bagi seluruh dunia. Saya mohon kepada anda untuk lakukan segala yang boleh untuk akhiri konflik peribadi yang sedang meradang dalam hati dan kehidupan anda.

Saya ingin menekankan seruan ini dengan membincangkan satu konsep yang saya diingatkan baru-baru ini ketika menonton satu permainan bola keranjang.

Dalam perlawanan itu, bahagian pertama merupakan satu pertempuran yang sengit, berundur dan ke depan. Kemudian, dalam lima saat terakhir bahagian pertama, seorang pengawal dari pasukan memasukkan bola ke dalam gelung, memberikan mereka tiga mata. Dengan hanya satu saat tertinggal, rakan sepasukannya sempat menyambut bola semula dan berjaya memasuki bola lagi! Pasukan itu masuk ke bilik loker dengan empat mata di hadapan dan dengan lonjakan momentum yang boleh dirasai. Mereka dapat membawa momentum itu ke bahagian kedua dan menangi perlawanan itu.

Momentum adalah satu konsep sangat berkuasa. Kita semua telah mengalaminya dalam satu bentuk atau yang lain—contohnya, dalam kenderaan yang kelajuan meningkat atau perselisihan yang berubah menjadi pertengkaran.

Jadi saya bertanya, apakah yang boleh mulakan momentum rohani?” Kita telah melihat contoh-contoh momentum positif dan negatif. Kita tahu para pengikut Yesus Kristus yang bertukar hati dan berkembang dalam iman mereka. Tetapi kita juga tahu tentang pengikut yang dahulunya percaya tetapi kini tidak lagi. Momentum boleh berubah arah.

Kita perlukan momentum rohani positif lebih daripada sebelumnya, untuk atasi kelajuan kejahatan dan tanda-tanda zaman yang semakin meningkat. Momentum rohani yang positif akan memastikan kita maju ke hadapan di kala ketakutan dan ketidakpastian yang terbentuk oleh wabak, tsunami, letupan gunung berapi dan permusuhan bersenjata. Momentum rohani dapat bantu kita tahan serangan musuh yang bertubi dan halang usahanya untuk menghakis landasan rohani peribadi kita.

Banyak perbuatan yang boleh cetuskan momentum rohani yang positif. Kepatuhan, kasih, kerendahan hati, pelayanan dan kesyukuran4 adalah hanya beberapa.

Hari ini, saya ingin cadangkan lima tindakan khas yang kita boleh lakukan untuk bantu kekalkan momentum rohani yang positif.

Pertama: Pergilah ke jalan perjanjian dan kekal di sana.

Baru-baru ini, saya mempunyai mimpi yang jelas di mana saya bertemu dengan sekumpulan orang yang besar. Mereka mempunyai banyak soalan, dan yang sering ditanya ialah tentang jalan perjanjian dan mengapa ia penting.

Dalam mimpi saya, saya jelaskan bahawa kita memasuki jalan perjanjian dengan dibaptis dan membuat perjanjian pertama anda dengan Tuhan.5 Setiap kali kita mengambil sakramen, kita berjanji semula untuk mengambil nama Juruselamat ke atas diri kita, mengingati-Nya dan mematuhi perintah-perintah-Nya.6 Sebagai balasan, Tuhan meyakinkan bahawa kita akan sentiasa memiliki Roh Tuhan bersama kita.

Kemudian, kita membuat perjanjian tambahan di bait suci, di mana kita menerima janji-janji yang lebih besar. Tatacara dan perjanjian memberi kita akses kepada kuasa ketuhanan. Jalan perjanjian adalah satu-satunya jalan yang membawa kepada permuliaan dan kehidupan abadi.

Dalam mimpi saya, seorang wanita bertanya bagaimana seseorang yang telah melanggar perjanjian mereka kembali pada jalan itu. Jawapan saya kepada soalan wanita ini membawa kepada cadangan kedua saya:

Temui kebahagiaan dalam pertaubatan harian.

Betapa pentingnya pertaubatan? Alma mengajar bahawa kita harus “tidak mengkhutbahkan apa pun kecuali pertaubatan dan iman kepada Tuhan.”7 Pertaubatan diperlukan dari setiap orang yang boleh bertanggungjawab dan menghasratkan kemuliaan abadi.8 Tiada pengecualian. Dalam wahyu kepada Nabi Joseph Smith, Tuhan memarahi para pemimpin Gereja awal kerana tidak mengajar injil kepada anak-anak mereka.9 Pertaubatan ialah kunci ke kemajuan. Iman yang murni memastikan kita maju di jalan perjanjian.

Sila jangan takut atau menangguhkan pertaubatan. Setan bersukacita dalam kesengsaraan anda. Putuslah pengaruhnya. Halau pengaruhnya dari kehidupan anda! Mulakan hari ini dengan mengalami kebahagiaan dari menanggalkan manusia alamiah.10 Juruselamat sentiasa mengasihi kita tetapi terutamanya apabila kita bertaubat. Dia berjanji bahawa walaupun “gunung dan bukit runtuh … Aku tidak akan berhenti mengasihi kamu.”11

Jika anda rasa anda telah menjauhi atau meninggalkan jalan perjanjian terlalu lama dan tidak boleh kembali, itu tidak benar.12 Sila hubungi uskup atau presiden cabang anda. Dia ialah wakil Tuhan dan akan bantu anda alami kebahagiaan dan kelegaan dari pertaubatan.

Sekarang, satu amaran: Pengembalian ke jalan perjanjian tidak bermaksud kehidupan akan menjadi mudah. Jalan ini ketat dan kadangkala akan berasa seperti pendakian curam.13 Namun, pendakian ini direka untuk uji dan ajar kita, untuk menyempurnakan sifat kita dan bantu kita untuk jadi orang suci. Ia adalah satunya jalan yang menuju ke permuliaan. Seorang nabi14 menjelaskan “keadaan diberkati dan bahagia orang yang mentaati perintah-perintah Tuhan. Kerana lihatlah, mereka diberkati dalam segala hal, baik duniawi mahupun rohani dan jika mereka bertahan setia sampai akhir mereka diterima ke dalam syurga … [dan] berdiam bersama Tuhan dalam suatu keadaan kebahagiaan yang tak akan berakhir.”15

Berjalan di jalan perjanjian, bersama pertaubatan harian, memberi kuasa kepada momentum rohani yang positif.

Cadangan ketiga saya: Belajar tentang Tuhan dan bagaimana Dia bekerja.

Salah satu cabaran terbesar kita hari ini adalah membezakan kebenaran Tuhan dan pemalsuan Setan. Itulah sebabnya Tuhan menasihati kita untuk “berdoalah selalu, … agar [kita] boleh menakluki Setan dan … terlepas daripada tangan para hamba Setan yang menyokong pekerjaannya.”16

Musa memberi teladan tentang cara membezakan di antara Tuhan dan Setan. Ketika Setan datang untuk menggoda Musa, Musa mengesan penipuan itu kerana dia baru saja bersemuka dengan Tuhan. Musa dengan cepat menyedari siapa Setan dan memerintahkannya untuk pergi.17 Apabila Setan berterusan, Musa tahu bagaimana untuk meminta bantuan Tuhan. Musa menerima kekuatan ilahi dan menegur Setan semula, berkata, “Pergilah daripadaku, Setan, kerana hanya kepada satu Tuhan ini yang aku sembah.”18

Kita harus ikut teladan itu. Halau pengaruh Setan dari hidup anda! Sila jangan ikut dia ke “jurang kegetiran dan kecelakaan tanpa akhir.”19

Dengan kelajuan menakutkan, kesaksian yang tidak dipelihara setiap hari “oleh firman Tuhan yang baik”20 akan remuk. Jadi, penawar kepada rancangan Setan adalah jelas: kita perlu alami penyembahan Tuhan dan mengkaji injil-Nya setiap hari. Saya merayu kepada anda untuk membiarkan Tuhan menang dalam hidup anda. Berikan Tuhan satu bahagian masa anda yang saksama. Jika anda lakukannya, perhatikan apa yang berlaku kepada momentum rohani anda yang positif.

Cadangan nombor 4: Cari dan harapkan mukjizat.

Moroni menjamin kita bahawa “Tuhan tidak berhenti menjadi seorang Tuhan mukjizat.”21 Setiap kitab suci menunjukkan betapa relanya Tuhan bercampur tangan dalam kehidupan mereka yang percaya kepada-Nya.22 Dia telah pisahkan Laut Merah untuk Musa, bantu Nefi peroleh kepingan-kepingan loyang dan pulihkan Gereja-Nya melalui Nabi Joseph Smith. Setiap mukjizat ini ambil masa dan mungkin tidak menepati apa yang diminta oleh individu-individu tersebut daripada Tuhan.

Dalam cara yang sama, Tuhan akan memberkati anda dengan mukjizat-mukjizat jika anda percaya kepada-Nya, “tidak ragu-ragu apa pun.”23 Lakukan kerja rohani untuk mencari mukjizat. Dengan penuh doa minta Tuhan untuk bantu anda menjalankan iman seperti itu. Saya berjanji bahawa anda dapat alami bagi diri anda sendiri bahawa Yesus Kristus “menguatkan orang yang lemah dan memberikan kekuatan kepada orang yang tidak berdaya.”24 Tidak banyak perkara yang akan mempercepatkan momentum rohani anda selain kesedaran bahawa Tuhan boleh bantu gerakkan gunung dalam hidup anda.

Cadangan nombor 5: Akhirkan konflik dalam hidup anda.

Saya ulangi seruan saya untuk akhirkan konflik dalam hidup anda . Amalkan kerendahan hati, keberanian dan kekuatan yang diperlukan untuk mengampuni dan mencari keampunan. Juruselamat telah berjanji bahawa “jika [kita] mengampuni orang yang bersalah terhadap [kita], Bapa … akan mengampunkan kesalahan [kita].”25

Dua minggu dari hari ini kita menyambut Hari Easter. Di antara sekarang dan kemudian, saya jemput anda untuk akhirkan konflik peribadi yang membebani anda. Apakah lagi perbuatan kesyukuran yang lebih sesuai kepada Yesus Kristus untuk Korban Tebusan-Nya? Jika keampunan kelihatan mustahil, rayulah untuk kuasa melalui darah penebusan Yesus Kristus untuk bantu anda. Apabila anda berbuat demikian, saya janjikan kedamaian peribadi dan satu cetusan momentum rohani.

Apabila Juruselamat menebus bagi seluruh umat manusia, Dia buka satu cara agar mereka yang ikuti-Nya boleh ada akses kepada penyembuhan, kekuatan dan kuasa penebusan-Nya. Hak-hak istimewa rohani ini tersedia untuk semua yang ingin dengar dan ikuti-Nya.

Saudara dan saudari yang dikasihi, dengan segala rayuan hati saya, saya gesa anda untuk berada di jalan perjanjian dan kekal di sana. Alamilah kebahagiaan dari pertaubatan harian. Belajar tentang Tuhan dan cara Dia bekerja. Cari dan harapkan mukjizat. Berusaha untuk akhirkan konflik dalam hidup anda.

Apabila anda bertindak atas matlamat-matlamat ini, saya berjanji kepada anda keupayaan untuk maju ke hadapan di jalan perjanjian dengan momentum yang meningkat, walaupun apa pun halangan yang anda hadapi. Dan saya berjanji kepada anda kekuatan yang lebih besar untuk menentang godaan, kedamaian minda lebih, kebebasan dari ketakutan dan perpaduan yang lebih besar dalam keluarga anda.

Tuhan hidup! Yesus ialah Kristus! Dia hidup! Dia kasihi kita dan akan bantu kita. Saya bersaksikan semua ini dalam nama kudus Penebus kita, Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat 3 Nefi 12:39.

  2. Lihat 3 Nefi 12:44.

  3. Ajaran dan Perjanjian 64:10; lihat juga ayat 9.

  4. Sepertimana rasul Paulus katakan, “bersyukur dalam segala keadaan” (1 Thesalonika 5:18). Salah satu penawar yang pasti untuk kesedihan, kekecewaan dan keletihan rohani adalah kesyukuran. Apakah beberapa perkara yang kita boleh bersyukur kepada Tuhan? Bersyukurlah kepada-Nya atas keindahan bumi, untuk Pemulihan injil, dan untuk pelbagai cara Dia dan Putera-Nya menjadikan kuasa Mereka tersedia bagi kita di bumi ini. Bersyukurlah kepada Dia untuk tulisan suci, untuk para malaikat yang menjawab rayuan bantuan kita kepada Tuhan, untuk wahyu dan untuk keluarga abadi. Dan yang paling penting, bersyukurlah kepada Tuhan atas kurnia Putera-Nya dan Korban Tebusan Yesus Kristus, yang membolehkan kita memenuhi misi-misi bumi.

  5. Untuk memahami jalan perjanjian, ia adalah penting untuk memahami bahawa perjanjian melibatkan komitmen dua hala di antara Tuhan dan salah seorang anak-Nya. Dalam satu perjanjian, Tuhan menetapkan syaratnya dan kita bersetuju kepada syarat-syarat itu. Sebagai ganti, Tuhan membuat janji-janji kepada kita. Banyak perjanjian disertai dengan tanda-tanda luaran—atau tatacara-tatacara kudus—di mana kita mengambil bahagian dengan saksi-saksi yang hadir. Contohnya, pembaptisan adalah tanda kepada Tuhan bahawa orang yang dibaptiskan telah membuat perjanjian untuk mentaati perintah-perintah Tuhan.

  6. Lihat Moroni 4:3; 5:2; Ajaran dan Perjanjian 20:77, 79.

  7. Mosia 18:20.

  8. Lihat Musa 6:50, 57.

  9. Lihat Ajaran dan Perjanjian 93:40–48.

  10. Lihat Mosia 3:19.

  11. Yesaya 54:10; penekanan ditambah; lihat juga 3 Nefi 22:10. Baik hati diterjemahkan dari istilah Ibrani hesed, satu kata berkuasa dengan maksud mendalam yang merangkumi kebaikan hati, belas kasihan, kasih perjanjian dan banyak lagi.

  12. Ia adalah mungkin untuk membuat pemulihan bagi beberapa dosa tetapi bukan dosa lain. Jika seseorang mendera atau mengganggu orang lain, atau jika seseorang membunuh, ganti rugi penuh tidak dapat dibuat. Pendosa dalam kes-kes tersebut hanya dapat melakukan sedemikian banyak dan baki hutang besar bergantung. Kerana kerelaan Tuhan untuk mengampuni baki yang terhutang, kita boleh datang kepada-Nya tanpa mengira sejauh mana kita telah sesat. Apabila kita bertaubat dengan ikhlas, Dia akan mengampuni kita. Sebarang baki yang terhutang di antara dosa-dosa kita dan keupayaan kita untuk membuat pemulangan penuh hanya boleh dibayar dengan mengaplikasikan Korban Tebusan Yesus Kristus, yang boleh memberi kurnia belas kasihan. Kerelaan-Nya untuk mengampuni baki yang terhutang adalah kurnia yang tidak terhingga.

  13. Lihat 2 Nefi 31:18–20.

  14. Nabi bangsa Nefi Raja Benyamin.

  15. Mosia 2:41.

  16. Ajaran dan Perjanjian 10:5; penekanan ditambah.

  17. Lihat Lukas 1:16; lihat juga ayat 1–20.

  18. Musa 1:20.

  19. Helaman 5:12.

  20. Moroni 6:4.

  21. Mormon 9:15; lihat juga ayat 19.

  22. Rasul Yohanes mengisytiharkan bahawa dia mencatat mukjizat Juruselamat supaya “[kita] percaya bahawa Yesus Anak Tuhan” (Yohanes 20:31).

  23. Mormon 9:21.

  24. Yesaya 40:29.

  25. Matius 6:14.