Persidangan Umum
Penganutan yang Berani di Zaman Akhir
Persidangan Umum April 2022


Penganutan yang Berani di Zaman Akhir

Marilah kita yakin, tidak rasa sesal, berani, tidak takut, setia, tidak gentar semasa kita memegang cahaya Tuhan pada zaman akhir ini.

Hak pilihan moral adalah kurnia berharga Tuhan kepada setiap anak-anak-Nya.1 Kita “bebas untuk memilih kemerdekaan dan kehidupan abadi, melalui Pengantara agung bagi semua manusia, atau untuk memilih penawanan dan kematian, menurut penawanan dan kuasa iblis.”2 Tuhan tidak akan paksa kita lakukan kebaikan, dan iblis tidak dapat paksa kita lakukan kejahatan.3 Walaupun sesetengah orang mungkin berfikir bahawa kefanaan adalah pertandingan antara Tuhan dan musuh, satu perkataan daripada Juruselamat “dan Setan diam dan diusir. … Ia adalah kekuatan [kita] yang sedang diuji, bukan kekuatan Tuhan.”4

Akhirnya kita akan tuai apa yang telah ditabur oleh pilihan sepanjang hidup kita.5 Jadi apakah fikiran, hasrat, kata-kata, dan pekerjaan kita tunjukkan tentang kasih kita kepada Juruselamat, para hamba pilihan-Nya, dan Gereja-Nya yang dipulihkan? Adakah perjanjian pembaptisan, imamat, dan bait suci lebih bermakna kepada kita daripada pujian dunia atau bilangan “suka” di media sosial? Adakah kasih kita terhadap Tuhan dan perintah-perintah-Nya lebih kuat daripada kasih kita terhadap apa-apa atau sesiapa pun dalam kehidupan ini?

Musuh dan para pengikutnya sentiasa berusaha untuk musnahkan pekerjaan Kristus dan para nabi-Nya. Perintah-perintah Juruselamat, jika bukan diabaikan, telah dirasionalkan menjadi tidak bermakna oleh ramai orang di dunia hari ini. Utusan-utusan Tuhan yang ajar kebenaran “menyusahkan” sering kali disingkirkan. Bahkan Juruselamat sendiri dipanggil “rakus, pemabuk, sahabat pemungut cukai, dan sahabat orang berdosa,”6 dituduh mengganggu sentimen awam dan memecahbelahkan. Jiwa yang lemah dan licik “pergi dan berkomplot untuk memerangkap Yesus dengan pertanyaan,”7 dan “saudara” Kristian awal “di serata tempat … [dicela].”8

Juruselamat dan para pengikut awal-Nya hadapi pertentangan dalaman dan luaran yang serius, dan kita alami pertentangan yang sama. Hari ini, adalah hampir mustahil untuk jalani iman kita dengan berani tanpa kadangkala dituding jari secara berdepan dan secara maya oleh dunia. Mengikuti Juruselamat dengan yakin adalah sangat memuaskan, tetapi ada kalanya kita mungkin terperangkap dalam pilihan falsafah yang menyokong “Makan, minum, dan bersukacitalah”9, di mana iman kepada Kristus, kepatuhan, dan pertaubatan digantikan dengan ilusi bahawa Tuhan akan benarkan dosa kecil kerana Dia sangat mengasihi kita.

Berucap “melalui suara [Dia] atau melalui suara para hamba [Dia],”10 tidakkah Juruselamat berkata tentang zaman kita “akan tiba masanya apabila orang tidak mahu mendengar ajaran yang benar. Mereka akan menuruti keinginan sendiri dan mengumpulkan banyak guru yang mahu mengajar perkara-perkara yang ingin didengar” dan ramai “akan menutup telinga terhadap apa yang benar, tetapi menumpukan perhatian kepada cerita dongeng”?11 Tidakkah Dia merungut “sia-sialah mereka menyembah Aku, kerana peraturan manusia diajarkan oleh mereka seolah-olah peraturan itu hukum Tuhan”?12 Tidakkah dia beri amaran “beberapa orang di kalangan kamu sendiri akan memberitakan berita yang tidak betul untuk menyesatkan pengikut Yesus sehingga mengikut mereka”?13 Tidakkah Dia telah ramalkan “yang jahat [dipanggil] yang baik, memutarbalikkan yang baik dan yang jahat,”14 dan “musuh terbesar seseorang ialah anggota keluarganya sendiri”?15

Bagaimana dengan kita? Haruskah kita gentar atau takut? Patutkah kita jalani agama kita tanpa diketahui umum? Sudah tentunya tidak! Dengan iman kepada Kristus, kita tidak perlu takut akan teguran manusia atau penghinaan mereka.16 Dengan Juruselamat di kepala pimpinan dan nabi yang hidup untuk pimpin dan bimbing kita, “siapa boleh lawan kita?”17 Marilah kita yakin, tidak rasa sesal, berani, tidak takut, setia, tidak gentar semasa kita memegang cahaya Tuhan pada zaman akhir ini.18

Juruselamat jelaskan “Sesiapa mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, Aku pun akan mengakui dia di hadirat Bapa-Ku. … Tetapi sesiapa menyangkal Aku di hadapan umum, Aku pun akan menyangkal dia di hadirat Bapa-Ku.”19

Akibatnya, walaupun sesetengah orang lebih suka Tuhan tanpa perintah, marilah kita dengan berani bersaksi dalam kata-kata Elder D. Todd Christofferson bahawa “Tuhan yang tidak menuntut adalah setara dengan Tuhan yang tidak wujud.”20

Walaupun sesetengah orang lebih suka untuk memilih perintah yang mereka ikuti, marilah kita dengan gembira terima jemputan Juruselamat untuk “hidup dengan setiap firman yang keluar daripada mulut Tuhan.”21

Walaupun ramai yang percaya Tuhan dan Gereja-Nya benarkan perbuatan “apa pun yang hati [kita] hasratkan,”22 marilah kita dengan berani nyatakan bahawa adalah salah untuk “terikut-ikut kebanyakan orang apabila mereka melakukan kejahatan,”23 kerana “orang ramai tidak boleh betulkan apa yang telah dinyatakan oleh Tuhan sebagai salah.”24

“Ya, ingatlah, ingatlah … betapa ketatnya [tetapi membebaskan] perintah-perintah Tuhan.”25 Mengajar mereka dengan jelas kadang-kala boleh dilihat sebagai tindakan tidak bertoleransi. Oleh itu, marilah kita dengan hormat tunjukkan bahawa bukan sahaja ia boleh berlaku tetapi penting untuk kasihi anak Tuhan yang peluk kepercayaan yang berbeza daripada kepercayaan kita.

Kita boleh terima dan hormati orang lain tanpa sokong kepercayaan atau tindakan mereka yang tidak selaras dengan kehendak Tuhan. Tidak perlu mengorbankan kebenaran di atas altar kerelaan dan keinginan sosial.

Sion dan Babilon tidak serasi. “Tidak seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan.”26 Marilah kita semua ingat soalan Juruselamat yang mendalam, “Mengapa kamu memanggil Aku, ‘Tuhan, Tuhan,’ tetapi tidak menurut kata-kata-Ku?”27

Marilah kita tunjukkan kasih kita kepada Tuhan melalui kepatuhan yang sepenuh hati dan sukarela.

Jika anda rasa terperangkap di antara penganutan anda dan dunia, sila ingat bahawa Juruselamat anda yang penuh kasih “mengirimkan ajakan … , kerana lengan belas kasihan dihulurkan kepada [anda], dan Dia berfirman: Bertaubatlah, dan Aku akan menerimamu.”28

Presiden Nelson ajarkan bahawa “Yesus Kristus, akan melaksanakan pekerjaan-pekerjaan agung-Nya di antara masa sekarang dan ketika Dia akan datang lagi.”29 Tetapi dia juga ajarkan “mereka yang pilih jalan Tuhan kemungkinan besar akan alami penganiayaan.”30 Menjadi “layak menanggung hukuman bagi Yesus”31 mungkin ada kalanya adalah situasi yang kita perlu hadapi semasa kita “biarkan suara-Nya diutamakan daripada yang lain.”32

Berbahagialah orang,” Juruselamat katakan, “yang tidak mempunyai keraguan terhadap Aku.”33 Di tempat lain kita pelajari “orang yang mencintai Taurat-Mu, mendapat kesejahteraan, mereka tidak akan ditimpa malapetaka.”34 Tidak! Jadi mari kita tanya diri kita, “Adakah saya bertahan sekejap, tetapi apabila saya menderita kesusahan atau penganiayaan oleh sebab perkhabaran itu, segera saya tidak lagi percaya?35 Adakah saya membina kukuh pada batu Yesus Kristus dan para hamba-Nya?”

Relativis moral menyokong kebenaran hanyalah pembinaan sosial, bahawa tidak ada moral mutlak. Apa yang mereka sebenarnya katakan adalah tidak ada dosa,36 bahawa “apa pun yang seseorang lakukan bukanlah jenayah,”37 falsafah ini yang musuh bangga mendakwa dia yang menciptanya! Oleh itu, marilah kita berhati-hati terhadap serigala berupa domba yang sentiasa merekrut dan “sering guna ketetapan intelek mereka untuk tutup kelemahan tingkah laku mereka sendiri.”38

Jika kita benar-benar ingin menjadi pengikut Kristus yang berani, kita akan mencari jalan. Jika tidak, musuh menawarkan alternatif yang menarik. Tetapi sebagai pengikut beriman, “kita tidak perlu minta maaf atas kepercayaan kita atau undur dari apa yang kita tahu adalah benar.”39

Kesimpulannya, sedikit tentang 15 orang hamba Tuhan yang duduk di belakang saya. Walaupun dunia “menyuruh para nabi menutup mulut. Mereka berkata, ‘Jangan katakan hal yang benar’,”40 yang beriman “akan dimahkotai dengan berkat-berkat dari syurga, ya, dan dengan perintah-perintah yang bukannya sedikit, dan dengan wahyu-wahyu pada waktunya yang tepat.”41

Tidak hairanlah, para hamba Tuhan ini sering menjadi tarikan bagi mereka yang tidak berpuas hati dengan firman Tuhan sebagaimana yang para nabi nyatakan. Mereka yang tolak nabi tidak sedar bahawa “tidak seorang pun dapat mentafsirkan nubuat di dalam Alkitab menurut pendapat sendiri” atau hasil kehendak manusia, “Tetapi Roh Tuhan menguasai orang semasa mereka menyampaikan perkhabaran yang datang daripada Tuhan.”42

Seperti Paulus, hamba Tuhan ini “[tidak] … malu memberikan kesaksian tentang Tuhan kita” dan “dipenjarakan kerana Kristus”43 dalam erti kata bahawa ajaran yang mereka ajarkan bukanlah milik mereka tetapi Dia yang memanggil mereka. Seperti Petrus, mereka “tidak dapat berhenti berkata-kata tentang apa yang sudah [mereka] lihat dan dengar.”44 Saya bersaksi bahawa Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas adalah para lelaki yang baik dan jujur yang mengasihi Tuhan dan anak-anak-Nya serta yang dikasihi oleh-Nya. Kata-kata mereka harus kita terima seolah-olah daripada mulut Tuhan sendiri, “dalam segala kesabaran dan iman. Kerana dengan melakukan hal-hal ini pintu-pintu gerbang neraka tidak akan berjaya melawan [kita]; … dan Tuhan Raja akan menyelerakkan kuasa kegelapan dari hadapan [kita].”45

“Tiada tangan yang tidak suci boleh halang kerja daripada maju”;46 ia akan berarak dengan penuh kemenangan dengan atau tanpa anda atau saya, jadi “tentukanlah sekarang kepada siapa kamu hendak mengabdi.”47 Jangan tertipu atau gentar dengan suara kuat musuh yang dilontarkan dari bangunan yang besar dan lapang itu. Desibel [suara] mereka yang terdesak tidak dapat menandingi pengaruh tenang dari suara yang tenang dan lembut ke atas hati yang hancur dan roh yang menyesal.

Saya bersaksi bahawa Kristus hidup, Dia ialah Juruselamat dan Penebus kita, dan Dia memimpin Gereja-Nya melalui Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul, dengan itu memastikan bahawa kita tidak “ diumbang-ambingkan dan ditiup ke sana sini oleh angin ajaran orang licik.”48

“Pengikut-pengikut sebenar Yesus Kristus” Presiden Nelson ajarkan, “sudi untuk menonjol, bersuara, dan menjadi berbeza daripada rakyat dunia. Mereka adalah tidak terjejas, setia, dan berani.”49

Saudara dan saudari, inilah hari yang baik untuk menjadi baik! Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.