Persidangan Umum
Kagum Pada Kristus dan Injil-Nya
Persidangan Umum April 2022


Kagum Pada Kristus dan Injil-Nya

Semoga ingatan akan apa yang telah mata kita lihat, dan hati kita telah rasakan meningkatkan kekaguman pada korban tebusan Juruselamat.

Saya mempunyai seorang kawan baik yang bijak, seorang profesor universiti yang cemerlang, pengarang, dan terutamanya seorang pengikut Yesus Kristus yang komited. Dia sering melawat Tanah Kudus untuk mengambil bahagian dalam persidangan, menjalankan penyelidikan akademik, dan mengetuai lawatan. Menurutnya, setiap kali dia mengunjungi negeri di mana Yesus berjalan, dia kagum kerana mempelajari sesuatu yang baharu, menakjubkan, dan menarik tentang Juruselamat, pelayanan fana-Nya, dan tanah air terkasih-Nya. Rasa kagum yang kawan saya itu tunjukkan ketika dia bercakap tentang segala yang dia pelajari di Tanah Suci amat menarik, ketakjuban ini telah menjadi asas dalam pencapaian dan usaha akademiknya dalam hidupnya.

Setelah mendengar pengalaman dan merasa semangatnya, saya merenung pada betapa banyak keajaiban rohani, kita boleh dan dapat merasa tentang injil Yesus Kristus dan perbezaan ia dapat buat dalam penganutan dan perjalanan kita menuju kehidupan abadi. Keajaiban yang saya rujukkan adalah sensasi emosi, rasa kagum, atau ketakjuban yang biasanya dirasai oleh semua orang yang memusatkan kehidupan mereka pada Juruselamat dan ajaran-ajaran-Nya dengan rendah hati dan mengenali kehadiran-Nya dalam kehidupan mereka. Perasaan kagum ini, diilhami oleh pengaruh Roh Kudus, merangsang semangat untuk mematuhi ajaran Kristus dengan gembira.1

Tulisan suci mempunyai contoh-contoh bagaimana sensasi ini dinyatakan. Contohnya, nabi Yesaya menyatakan kesyukuran mendalam kepada Tuhan melalui bersukacita dalam-Nya.2 Mereka yang mendengar Yesus berkhutbah di saumaah di Kapernaum tercengang dengan ajaran-Nya dan kekuatan yang Dia ajarkan.3 Perasaan inilah yang menembusi setiap serat hati Joseph Smith yang muda ketika dia membaca dari bab pertama kitab Yakobus dari Alkitab, mendorongnya mencari kebijaksanaan Tuhan.4

Saudara dan saudari sekalian, apabila kita benar-benar kagum dengan Yesus Kristus dan injil-Nya, kita lebih gembira, lebih bersemangat untuk pekerjaan Tuhan, dan mengenali tangan Tuhan dalam segala hal. Tambahan pula, pengkajian firman Tuhan kita lebih bermakna; doa-doa kita, lebih tulus; penyembahan kita, lebih takzim; pelayanan kita dalam kerajaan Tuhan, lebih tekun. Semua tindakan ini menyumbang kepada pengaruh Roh Kudus yang lebih kerap dalam hidup kita.5 Oleh itu, kesaksian kita tentang Juruselamat dan injil-Nya akan diperkuatkan, kita akan memastikan Kristus hidup dalam diri kita,6 dan kita akan “berakar umbi dalam Dia. [Membina] hidup … dengan Kristus sebagai asasnya … hati [kita] penuh kesyukuran.”7 Apabila kita hidup dalam cara ini, kita menjadi lebih berdaya tahan secara rohani dan dilindungi daripada jatuh ke dalam perangkap apati rohani.

Sikap apati [endah tak endah] seperti itu digambarkan dengan beransur hilangnya rasa teruja untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam injil Tuhan. Ia biasanya bermula apabila kita telah memperoleh semua pengetahuan dan berkat-berkat untuk kegembiraan dalam hidup kita. Sikap leka ini, menyebabkan kita mengambil remeh kurnia-kurnia injil yang diberikan, dan sejak itu, kita menghadapi risiko mengabaikan pembaktian kita dalam keperluan injil Yesus Kristus8 dan perjanjian-perjanjian yang kita telah buat. Akibatnya, kita menjauhkan diri secara ansuran daripada Tuhan; melemahkan kemampuan kita untuk “dengarkanlah Dia,”9 sehingga lalai dan tidak sensitif terhadap keagungan pekerjaan-Nya. Keraguan mengenai kebenaran yang kita telah terima mula menembusi minda dan hati kita, menjadikan kita terdedah kepada godaan musuh.10

Pastor Aiden Wilson Tozer, seorang penulis dan penganut Kristian yang berani, menulis, “Sikap leka adalah musuh yang mematikan semua perkembangan rohani.”11 Bukankah ini apa yang berlaku kepada bangsa Nefi tidak lama selepas kelahiran Kristus? Mereka “mula semakin lama semakin kurang terpegun terhadap tanda atau keajaiban dari langit, “[tidak mempercayai] semua yang telah mereka dengar dan lihat.” Demikianlah Setan “membutakan mata mereka dan menyesatkan mereka untuk percaya bahawa ajaran Kristus adalah suatu hal yang bodoh dan sia-sia.”12

Saudara dan saudari sekalian, dalam kasih-Nya yang sempurna dan tidak terhingga dan mengetahui sifat alamiah kita,13 Juruselamat telah menetapkan jalan bagi kita untuk mengelak daripada jatuh ke dalam perangkap apati rohani. Jemputan Juruselamat memberi kita perspektif luas, terutamanya mempertimbangkan dunia yang rumit yang kita hidup: “Belajarlah daripada-Ku, dan dengarkanlah firman-Ku; berjalanlah dalam kelembutan hati Roh-Ku, dan kamu akan merasakan kedamaian di dalam Aku.”14 Apabila kita menerima jemputan Juruselamat, kita menunjukkan kerendahan hati kita, hasrat kita untuk diajar, dan harapan kita untuk menjadi lebih seperti Dia.15 Jemputan ini juga termasuk melayani Dia dan anak-anak Tuhan “dengan sepenuh hati, daya, fikiran dan kekuatan [kita].”16 Sememangnya, teras usaha kita dalam perjalanan ini, ialah dua perintah yang utama: [iaitu] untuk mengasihi Tuhan Raja dan mengasihi sesama manusia seperti diri kita sendiri.17

Tingkah laku seperti ini adalah sebahagian sifat Yesus yang ilahi dan terbukti dalam semua yang Dia lakukan semasa pelayanan-Nya di bumi.18 Oleh itu, apabila kita tulus dan benar-benar membaktikan diri kita untuk melihat kepada-Nya dan belajar dari teladan sempurna-Nya,19 kita mengenali Dia dengan lebih baik. Kita berkembang dalam semangat dan hasrat untuk menggabungkan ke dalam kehidupan kita standard utama bagaimana kita harus hidup, teladan yang kita perlu tetapkan, dan perintah-perintah yang kita harus ikuti. Kita juga memperoleh pemahaman, kebijaksanaan, sifat ilahi, dan rahmat tambahan terhadap Tuhan dan sesama manusia.20 Saya meyakinkan anda bahawa keupayaan kita merasai pengaruh dan kasih Juruselamat akan diperkuatkan hidup, mengembangkan iman, hasrat untuk bertindak dengan soleh, dan motivasi kita untuk melayani Dia dan orang lain.21 Selain itu, kesyukuran untuk berkat-berkat dan cabaran yang kita alami dalam kefanaan akan mengukuhkan dan menjadi sebahagian penyembahan sejati kita.22

Kawan-kawan sekalian, semua hal ini memperkuatkan keajaiban rohani injil dan menggerakkan kita untuk mematuhi perjanjian dengan gembira yang kita buat dengan Tuhan—bahkan di tengah-tengah percubaan dan cabaran yang kita alami. Sudah tentu untuk ini terjadi, kita perlu membaktikan diri kita dengan iman dan maksud yang bersungguh-sungguh dalam ajaran-ajaran Juruselamat,23 berusaha untuk masukkan sifat-sifat-Nya ke dalam cara kita.24 Sebagai tambahan, kita perlu mendekati Dia melalui pertaubatan,25 mencari keampunan-Nya dan kuasa penebusan-Nya dalam kehidupan kita dan mematuhi perintah-perintah-Nya. Tuhan sendiri berjanji bahawa Dia akan mengarahkan jalan kita jika kita percaya kepada-Nya dengan sepenuh hati, mengakui Dia dalam segala hidup kita dan tidak bergantung kepada pengertian sendiri.26

Imej
Elder Jones bersama Wes

Seorang lelaki yang saya jumpa baru-baru ini, bernama Wes dan dia hadir dalam persidangan hari ini, menerima jemputan Kristus untuk belajar tentang Dia dan injil-Nya dan mula kagum pada kasih-Nya selepas 27 tahun menjauhkan diri dari jalan perjanjian. Dia memberitahu saya bahawa pada suatu hari dia dihubungi oleh seorang misionari melalui Facebook, Elder Jones, yang ditugaskan sementara ke kawasan Wes sebelum pergi ke misi asalnya di Panama. Apabila Elder Jones terlihat profil Wes, dia tidak tahu Wes sudah menjadi ahli Gereja, dia merasakan bimbingan Roh Kudus dan tahu bahawa dia harus segera menghubungi Wes. Dia dengan cepat bertindak atas tanggapan ini. Wes kagum dengan panggilan yang tidak dijangka ini dan mula sedar bahawa Tuhan peka terhadapnya walaupun dia jauh dari jalan perjanjian.

Sejak itu, Wes dan para misionari mula kerap berkomunikasi. Elder Jones dan rakannya menyediakan tindakan pelayanan dan pesanan rohani mingguan yang membantu Wes sekali lagi merasa kagum pada Juruselamat dan injil-Nya. Ia menyalakan semula kesaksiannya tentang kebenaran dan kasih Juruselamat terhadapnya. Wes merasa kedamaian yang datang dari Sang Penghibur dan memperoleh kekuatan yang dia perlukan untuk kembali ke kawanan itu. Dia memberitahu saya bahawa pengalaman ini membawa dia kembali hidup secara rohani dan emosi dan membantunya menghapuskan perasaan pahit yang terkumpul selama bertahun-tahun kerana pengalaman sukar yang dia alami.

Seperti yang kawan saya di awal cerita tadi perhatikan, sentiasa ada sesuatu yang indah dan menarik untuk dipelajari tentang Yesus Kristus dan injil-Nya.27 Tuhan memberi janji-janji menakjubkan kepada semua orang, termasuk kita, yang berusaha untuk belajar tentang Dia dan menerapkan firman-Nya ke dalam kehidupan mereka. Kepada Henokh Tuhan berfirman, “Lihatlah Roh-Ku berada padamu, kerana itu semua perkataanmu akan Aku persolehkan; dan gunung-ganang akan lenyap dari hadapanmu, dan sungai akan beralih dari alirannya; dan engkau akan tinggal di dalam Aku, dan Aku di dalam kamu.”28 Melalui hamba-Nya Raja Benyamin, Tuhan berfirman, “Kamu akan disebut anak-anak Kristus, para putera-Nya, dan para puteri-Nya; kerana lihatlah, hari ini Dia telah secara rohani memperanakkanmu; kerana kamu berkata bahawa hatimu diubah melalui iman pada nama-Nya; oleh kerana itu, kamu dilahirkan daripada-Nya dan telah menjadi para putera-Nya dan para puteri-Nya.”29

Oleh itu, apabila kita berusaha untuk belajar tentang Juruselamat dan mengikut teladan-Nya, saya berjanji kepada anda, dalam nama-Nya, bahawa sifat-sifat ilahi-Nya akan tertulis dalam minda dan hati kita,30 agar kita akan menjadi lebih seperti Dia, dan kita akan berjalan bersama-Nya.31

Saudara dan saudari sekalian, saya berdoa agar kita akan sentiasa berdiri kagum pada Yesus Kristus dan kasih-Nya yang lengkap, tidak terhingga, dan sempurna. Semoga ingatan akan apa yang telah mata kita lihat dan hati kita telah rasakan meningkatkan kekaguman pada korban tebusan Juruselamat, yang dapat menyembuhkan kita dari luka rohani dan emosi dan membantu kita mendekati Dia. Semoga kita kagum pada janji-janji agung yang Bapa miliki dalam tangan-Nya dan yang dia telah sediakan untuk mereka yang setia:

“Kerajaan adalah milikmu dan berkat-berkat darinya adalah milikmu, dan kekayaan keabadian adalah milikmu.

“Dan dia yang menerima segala hal dengan rasa terima kasih akan dijadikan mulia.”32

Yesus ialah Penebus dunia, dan inilah Gereja-Nya. Saya bersaksi tentang kebenaran-kebenaran ini dalam nama Juruselamat kita, Yesus Kristus yang megah, kudus, dan menakjubkan, amin.