Persidangan Umum
Jalan Perjanjian: Jalan ke Kehidupan Abadi
Persidangan Umum April 2022


Jalan Perjanjian: Jalan ke Kehidupan Abadi

Jalan ke kesempurnaan adalah jalan perjanjian, dan Yesus Kristus ialah pusat semua tatacara dan perjanjian.

Seorang raja yang berkuasa inginkan puteranya untuk memerintah salah satu kerajaannya. Putera itu perlu belajar dan membesar dalam kebijaksanaan untuk duduk di atas takhta. Suatu hari, raja bertemu dengan putera itu dan berkongsi rancangannya. Mereka bersetuju putera akan pergi ke kota lain dan memperoleh pengalaman. Dia akan menghadapi cabaran dan juga menikmati banyak perkara baik di sana. Raja kemudian menghantarnya ke kota, di mana putera itu diharapkan akan membuktikan kesetiaannya kepada raja dan menunjukkan bahawa dia patut menerima hak istimewa dan tanggungjawab yang raja ingin berikannya. Putera diberikan hak pilihan untuk menerima hak istimewa dan tanggungjawab ini atau tidak, bergantung kepada hasrat dan kesetiaannya. Pastinya anda ingin tahu apa yang terjadi kepada putera itu. Adakah dia kembali untuk mewarisi kerajaan itu?

Saudara dan saudari yang dikasihi, setiap kita ialah seorang putera atau puteri. Kita telah dihantar ke kefanaan oleh Bapa Syurgawi yang penyayang untuk menikmati berkat badan yang akan jadi baqa melalui Korban Tebusan dan Kebangkitan Yesus Kristus. Kita diharapkan untuk bersedia kembali ke hadirat Tuhan dengan membuktikan bahawa kita akan “melakukan segala hal apa pun yang Tuhan Raja [kita] akan perintahkan kepada [kita]” (Abraham 3:25).

Bagi membantu kita, Juruselamat datang untuk menebus kita dan menunjukkan jalan kembali kepada Tuhan. Anak-anak Tuhan dijemput untuk datang kepada Juruselamat dan disempurnakan di dalam Dia. Dalam tulisan suci, kita mendapati jemputan untuk datang kepada Tuhan lebih daripada 90 kali, dan lebih daripada separuh daripada ini ialah jemputan peribadi daripada Tuhan Sendiri. Menerima jemputan Juruselamat bermaksud mengambil bahagian dalam tatacara-tatacara-Nya dan mentaati perjanjian kita dengan Dia. Yesus Kristus ialah “ jalan untuk mengenal Tuhan dan untuk mendapat hidup” (Yohanes 14:6), dan Dia menjemput kita “semua datang kepada Dia dan mengambil bahagian dalam kebaikan-Nya; dan Dia tidak menolak sesiapa pun yang datang kepada dia” (2 Nefi 26:33).

Pembelajaran dan pengajaran injil kita memperdalamkan penukaran hati kita terhadap Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus dan membantu kita menjadi lebih seperti Mereka. Walaupun tidak semua hal telah diungkapkan berkenaan “waktu dan cara tepat berkat-berkat permuliaan diberikan [akan] diungkapkan,” tetapi telah dijamin, kita yakin terhadapnya. (M. Russell Ballard, “Harapan dalam Kristus,” Liahona, Mei 2021, 55).

Alma, imam tinggi, mengajar di negeri Zarahemla, melaporkan jemputan hebat Yesus Kristus:

“Lihatlah, Dia mengirimkan ajakan kepada semua orang, kerana lengan belas kasihan dihulurkan kepada mereka, dan Dia berfirman: Bertaubatlah, dan Aku akan menerimamu.

“Ya, Dia berfirman: Datanglah kepada-Ku dan kamu akan makan buah dari pokok kehidupan” (Alma 5:33–34).

Juruselamat Sendiri menjemput kita untuk datang kepada-Nya dan mengambil kuk-Nya ke atas diri kita agar kita boleh beristirahat dalam dunia yang gamat ini.(lihat Matius 11:28–29). Kita datang kepada Kristus dengan “menjalankan iman kepada-[Nya], bertaubat setiap hari, membuat perjanjian dengan Tuhan semasa kita menerima tatacara penyelamatan dan permuliaan, bertahan sampai akhir dengan mentaati perjanjian tersebut” (Buku Panduan Umum: Melayani dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, 1.2.1, ChurchofJesusChrist.org). Jalan ke kesempurnaan adalah jalan perjanjian, dan Yesus Kristus ialah pusat semua tatacara dan perjanjian.

Raja Benyamin mengajar bahawa kerana perjanjian yang kita buat, kita menjadi putera dan puteri Kristus, yang telah memperanakkan kita secara rohani, dan di bawah kepala-Nya kita dijadikan bebas, kerana “tidak ada nama lain diberikan yang melaluinya keselamatan datang” (lihat Mosia 5:7–8). Kita diselamatkan apabila kitabertahan sampai akhir dengan “mengikuti teladan Putera Tuhan yang hidup” (2 Nefi 31:16). Nefi menasihatkan bahawa semua hal tidak lengkap dengan hanya memasuki lorong sempit dan kecil; kita harus “maju terus dengan ketabahan di dalam Kristus, memiliki kecerahan harapan yang sempurna, dan kasih bagi Tuhan dan bagi semua manusia.” (lihat 2 Nefi 31:19–20).

Ajaran Kristus membantu kita temui dan kekal pada jalan perjanjian, dan injil diaturkan sedemikian supaya berkat-berkat yang dijanjikan Tuhan diterima melalui tatacara dan perjanjian kudus. Nabi Tuhan, Presiden Russell M. Nelson menasihati kita dalam siaran televisyen pada 16 Januari 2018 untuk “kekal pada jalan perjanjian. Tekad anda untuk ikut Juruselamat dengan membuat perjanjian bersama Dia dan mematuhi perjanjian-perjanjian itu akan membuka pintu kepada setiap berkat dan hak istimewa rohani yang ada untuk para lelaki, wanita, dan anak-anak di merata-rata tempat. … Pengakhiran yang setiap kita inginkan adalah untuk dianugerahi dengan kuasa di dalam bait suci Tuhan, dimeterai bersama keluarga, setia kepada perjanjian-perjanjian yang dibuat di dalam bait suci yang melayakkan kita untuk kurnia Tuhan yang paling besar—iaitu kehidupan abadi.” (“As We Go Forward Together,” Liahona, Apr. 2018).

Tuhan tidak akan mengabaikan hubungan-Nya dengan, atau menahan berkat kehidupan abadi yang dijanjikan dari orang yang setia pada perjanjian. Dan semasa kita menghormati perjanjian-perjanjian kudus, kita mendekati kepada Juruselamat. Elder David A. Bednar mengajar kita semalam bahawa perjanjian dan tatacara injil berfungsi dalam hidup kita seperti sebuah kompas, yang memberi panduan untuk mendekati Kristus dan menjadi seperti Dia.

Perjanjian menandakan jalan kembali kepada Tuhan. Tatacara pembaptisan dan penerimaan kurnia Roh Kudus, pentahbisan imamat, dan sakramen, membawa kita ke bait suci Tuhan untuk mengambil bahagian dalam tatacara-tatacara permuliaan-Nya.

Saya ingin menyebut dua perkara yang Juruselamat kita tekankan untuk membantu kita mentaati perjanjian dengan beriman:

  1. Roh Kudus boleh mengajar kita, mengingatkan kita tentang ajaran-ajaran Juruselamat, dan tinggal bersama kita selamanya (lihat Yohanes 14:16, 26). Dia boleh jadi teman kita yang berterusan untuk membimbing kita pada jalan perjanjian. Presiden Russell M. Nelson mengajar bahawa “di hari-hari yang mendatang, ia akan menjadi mustahil untuk bertahan secara rohani tanpa bimbingan, arahan, galakkan, dan pengaruh yang tetap dari Roh Kudus” (“Wahyu untuk Gereja, Wahyu untuk Kehidupan Kita,” Liahona, Mei 2018, 96).

  2. Juruselamat memperkenalkan tatacara sakramen agar kita boleh selalu mengingati-Nya dan memiliki Roh-Nya bersama kita. Pembaptisan membuka pintu gerbang kepada kehidupan abadi, dan sakramen membantu kita untuk terus maju sepanjang jalan perjanjian. Apabila kita mengambil sakramen ia akan menjadi kesaksian kepada Bapa bahawa kita selalu mengingati Putera-Nya. Dan apabila kita selalu mengingati-Nya dan mematuhi perintah-perintah-Nya, kita akan memiliki Roh-Nya bersama kita. Bersama janji ini, Tuhan memperbaharui pengampunan dosa yang dijanjikan apabila kita dengan rendah hati bertaubat dari dosa-dosa kita.

Dalam kesetiaan kita kepada perjanjian-perjanjian, kita harus berusaha untuk sentiasa memiliki Roh untuk menyediakan kita mengambil sakramen dengan layak, dan dengan demikian, kita sering mengambil sakramen supaya kita sentiasa memiliki Roh.

Ketika anak perempuan kami berumur lima tahun, dia mempunyai satu model kereta janaan bateri yang dia suka memandukan di sekeliling rumah. Satu petang, dia datang kepada saya dan berkata, “Ayah, kereta saya tidak berjalan. Boleh kita gunakan minyak dari kereta ayah supaya kereta dapat berjalan semula? Mungkin ia perlukan minyak seperti kereta kamu untuk memandu.”

Saya perhatikan bahawa kuasa bateri habis, jadi saya berkata kereta akan memandu dalam satu jam. Dengan gembiranya, dia berkata, “Ya! Kita akan membawanya ke stesen minyak.” Seterusnya saya sambungkan bateri kepada sumber elektrik, dan selepas satu jam dia dapat memandu kereta, dikuasai oleh bateri yang dicas. Selepas itu, dia belajar kepentingan untuk sentiasa cas semula bateri dengan menyambungkannya kepada sumber elektrik.

Sepertimana anak perempuan kami belajar hubungan antara bateri dan tenaga untuk memandu keretanya, kita juga belajar hubungan Yesus Kristus, sakramen dan Roh. Kita memerlukan Roh untuk membantu kita mengemudi kefanaan dengan mentaati perjanjian dan perlunya sakramen untuk memberi tenaga kepada kerohanian kita. Memperbaharui perjanjian pembaptisan kita dan mengambil sakramen mendorong kesetiaan kepada semua perjanjian lain. Pengakhiran yang gembira dijamin apabila kita mengkaji dengan penuh doa dan menyanjung jemputan Juruselamat dan menikmati berkat-berkat yang dijanjikan-Nya. Dia berfirman, “Dan agar engkau boleh lebih sepenuhnya menghindarkan dirimu tidak bernoda dari dunia ini, engkau akan pergi ke rumah doa dan mempersembahkan sakramenmu pada hari kudus-Ku” (Ajaran dan Perjanjian 59:9).

Saya bersaksi orang yang mentaati perjanjian dijanjikan “kedamaian di dunia ini dan kehidupan abadi di dunia yang akan datang”. (Ajaran dan Perjanjian 59:23). Saya bersaksi bahawa apabila anda sentiasa mengambil lambang Juruselamat melalui sakramen, anda akan mempunyai Roh-Nya untuk membimbing anda di jalan perjanjian dan kekal setia kepada perjanjian anda. Dalam nama Yesus Kristus, amin.