Persidangan Umum
“Biarlah Rumah Ini Dibina Demi Nama-Ku”
Persidangan Umum April 2020


“Biarlah Rumah Ini Dibina Demi Nama-Ku”

(Ajaran dan Perjanjian 124:40)

Semua perjanjian yang diterima dan tatacara yang dilaksanakan di bait suci adalah penting untuk menguduskan hati kita dan untuk permuliaan mutlak para putera dan puteri Tuhan.

Di Sacred Grove 200 tahun yang lalu, Joseph Smith telah melihat dan berbicara dengan Tuhan, Bapa yang Abadi, dan Putera-Nya, Yesus Kristus. Dari Mereka, Joseph telah belajar tentang sifat sejati Kesatuan Ketuhanan dan wahyu berterusan dan penglihatan ilahi ini mengalu-alukan zaman akhir keagamaan yang “akan disempurnakan oleh Tuhan pada masa yang ditentukan-Nya.”1

Lebih kurang tiga tahun kemudian, untuk menjawab doa tulus pada malam 21 September 1823, bilik Joseph disinari cahaya sehinggakan ia “lebih terang daripada waktu tengah hari.”2 Satu lembaga muncul di sisi katilnya, memanggilkan nama pemuda itu, dan mengisytiharkan bahawa “dia ialah seorang utusan yang diutus dari hadirat Tuhan … dan bahawa namanya adalah Moroni.”3 Dia memberi arahan kepada Joseph tentang penampilan Kitab Mormon.

Kemudian Moroni memetik dari kitab Maleakhi dalam Perjanjian Lama, dengan sedikit perbezaan penggunaan bahasa dalam versi Raja Yakobus:

“Lihatlah, Aku akan mengungkapkan kepadamu Imamat, melalui tangan Elia si Nabi, sebelum kedatangan hari Tuhan yang besar dan mengerikan. …

“Dan dia akan menanamkan dalam hati anak-anak perjanjian yang dibuat kepada nenek moyang, dan hati anak-anak akan berpaling kepada nenek moyang mereka. Jika tidak demikian, keseluruhan bumi akan sepenuhnya dilenyapkan pada kedatangan-Nya.”4

Paling penting, arahan Moroni kepada Joseph Smith tentang misi Elia memulakan pekerjaan bait suci dan sejarah keluarga di zaman akhir dan memainkan peranan penting dalam memulihkan “semuanya, seperti yang difirmankan oleh Tuhan melalui nabi-nabi-Nya yang suci pada zaman dahulu.”5

Saya doakan bantuan Roh Kudus ketika kita belajar bersama tentang perjanjian, tatacara dan berkat-berkat yang tersedia bagi kita dalam bait suci Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.

Kepulangan Elia

Saya mulakan dengan bertanya satu soalan asas: mengapakah kepulangan Elia penting?

“Kita pelajari dari wahyu zaman akhir bahawa Elia memegang kuasa pemeteraian Imamat Melkisedek”6 dan “merupakan nabi terakhir yang memegang kuasa itu sebelum zaman Yesus Kristus.”7

Nabi Joseph Smith telah menjelaskan: “Roh, kuasa, dan panggilan Elia adalah, supaya anda peroleh kuasa untuk memegang kunci … keseluruhan Imamat Melkisedek … ; dan untuk … memperoleh … segala tatacara kerajaan Tuhan, termasuklah untuk memalingkan hati bapa-bapa kepada anak-anak, dan hati anak-anak kepada bapa-bapa, bahkan mereka yang di syurga.”8

Wewenang pemeteraian kudus ini diperlukan agar “apa pun yang kamu ikat di atas bumi akan terikat di dalam syurga: dan apa pun yang akan kamu lepaskan di atas bumi akan dilepaskan di dalam syurga.”9

Joseph seterusnya menjelaskan: “Bagaimanakah Tuhan akan datang untuk menyelamatkan generasi ini? Dia akan mengutus nabi Elia. … Elia akan mengungkapkan perjanjian-perjanjian untuk memeteraikan hati nenek moyang kepada anak-anak, dan anak-anak kepada nenek moyang.”10

Elia muncul bersama Musa di Gunung Perubahan Rupa dan menganugerahkan wewenang ini kepada Petrus, Yakobus, dan Yohanes.11 Elia juga muncul bersama Musa dan Elias pada 3 April 1836, di Bait Suci Kirtland dan menganugerahkan kunci-kunci imamat yang sama kepada Joseph Smith dan Oliver Cowdery.12

Pemulihan wewenang pemeteraian oleh Elia pada tahun 1836 diperlukan untuk menyediakan dunia bagi Kedatangan Kedua Juruselamat dan memulakan minat yang besar berkenaan penyelidikan sejarah keluarga.

Mengubah, Memalingkan, dan Menyucikan Hati

Perkataan hati telah digunakan lebih daripada 1,000 kali dalam ayat-ayat suci. Perkataan yang mudah tetapi bermakna ini biasanya merujuk kepada perasaan peribadi seseorang. Hati kita—keinginan, kasih, hasrat, niat, dan sikap kita—mendefinisikan siapa kita dan menentukan apa yang kita akan jadi. Dan intipati kerja Tuhan adalah mengubah, memalingkan, dan menyucikan hati melalui semua perjanjian injil dan tatacara imamat.

Kita tidak membina atau memasuki bait suci kudus hanya untuk memperoleh pengalaman individu atau keluarga untuk dikenang. Sebaliknya, semua perjanjian yang diterima dan tatacara yang dilaksanakan di bait suci adalah penting untuk menguduskan hati kita dan untuk permuliaan mutlak para putera dan puteri Tuhan.

Menanamkan ke dalam hati anak-anak janji-janji yang dibuat kepada bapa-bapa—termasuklah Abraham, Ishak, dan Yakub—memalingkan hati anak-anak kepadamoyang mereka, menjalankan penyelidikan sejarah keluarga, dan melakukan pelbagai tatacara bait suci secara perwakilan merupakan pekerjaan yang memberkati individu-individu di dua belah tirai. Apabila kita terlibat dengan bersemangat dalam pekerjaan kudus ini, kita mentaati perintah-perintah untuk mengasihi dan melayan Tuhan dan jiran-jiran kita.13 Pelayanan yang tidak mementingkan diri ini membantu kita untuk benar-benar “Dengarkanlah Dia!”14 dan datang kepada Kristus.15

Perjanjian-perjanjian dan tatacara imamat yang paling kudus hanya diperoleh di dalam bait suci—rumah Tuhan. Segalanya yang dipelajari dan dilaksanakan di bait suci memberi penekanan tentang keilahian Yesus Kristus dan peranan-Nya dalam rancangan kebahagiaan besar Bapa Syurgawi.

Mengubah Dari Dalam

Presiden Ezra Taft Benson menerangkan satu pola penting di mana Penebus “mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi manusia.”16 Dia berkata: “Tuhan mengubah kita dari dalam. Dunia mengubah secara luaran. Dunia akan membawa orang keluar daripada perkampungan setinggan. Kristus mengeluarkan sifat miskin dari orang, dan mereka membawa diri keluar daripada perkampungan setinggan. Dunia mengubah manusia dengan mengubahkan persekitarannya. Kristus mengubah manusia, yang kemudiannya mengubahkan persekitaran mereka. Dunia mempengaruhi sikap manusia, tetapi Kristus mengubah alamiah manusia.”17

Semua perjanjian dan tatacara imamat merupakan asas dalam proses kelahiran rohani dan transformasi yang berterusan; ia merupakan cara Tuhan mengubah setiap kita dari dalam. Perjanjian-perjanjian yang ditaati dengan tabah, diingati sentiasa, dan tertera “dengan Roh Tuhan yang hidup … pada hati manusia”18 menyediakan tujuan dan jaminan berkat-berkat dalam kefanaan dan keabadian. Tatacara-tatacara yang diterima dengan layak dan diingati secara berterusan membuka saluran syurgawi di mana kuasa ketuhanan dapat mengalir ke dalam kehidupan kita.

Kita tidak datang ke bait suci untuk bersembunyi atau melarikan diri daripada kejahatan dunia. Sebaliknya, kita datang ke bait suci untuk mengatasi kejahatan dunia. Apabila kita menjemput “kuasa ketuhanan” ke dalam kehidupan kita19 dengan menerima tatacara-tatacara imamat dan mentaati perjanjian-perjanjian kudus, kita diberkati dengan kuasa yang lebih20 untuk mengatasi godaan dan cabaran kefanaan dan bertindak serta menjadi baik.

Kemasyhuran Rumah Ini Akan Tersebar

Bait suci pertama bagi zaman keagamaan ini telah dibina di Kirtland, Ohio, dan dibaktikan pada 27 Mac 1836.

Dalam satu wahyu kepada Nabi Joseph Smith seminggu selepas pembaktian itu, Tuhan berfirman:

“Biarlah hati seluruh umat-Ku bersukacita, yang telah, dengan daya mereka, membangun rumah ini demi nama-Ku. …

“Ya beribu dan berpuluh ribu hati manusia akan bersukacita dengan besar disebabkan berkat-berkat yang akan dicurahkan, dan penganugerahan yang dengannya para hamba-Ku telah dianugerahi di dalam rumah ini.

“Dan kemasyhuran rumah ini akan tersebar ke negeri-negeri asing; dan inilah permulaan bagi berkat yang akan dicurahkan ke atas umat-Ku.”21

Sila beri perhatian kepada ungkapan beribu dan berpuluh ribu hati manusia akan bersukacita dengan besar dan kemasyhuran rumah ini akan tersebar ke negeri-negeri asing. Ini pengisytiharan yang menakjubkan pada April tahun 1836, ketika Gereja mempunyai bilangan ahli yang sedikit dan hanya ada sebuah bait suci.

Hari ini pada tahun 2020, kita mempunyai 168 bait suci yang sedang beroperasi. Empat puluh sembilan bait suci tambahan yang sedang dibina atau telah diumumkan. Rumah-rumah Tuhan sedang dibina di atas “pulau-pulau di laut”22 dan di negara-negara dan lokasi yang sebelum ini dipercayai mustahil untuk memperoleh bait suci.

Upacara anugerahan kini dipersembahkan dalam 88 bahasa dan akan wujud dalam bahasa-bahasa tambahan lain apabila lebih banyak bait suci di bina untuk memberkati anak-anak Tuhan. Dalam 15 tahun yang akan datang, bilangan bahasa bagi tatacara bait suci akan berganda.

Tahun ini kita akan mengadakan upacara pecah tanah dan memulakan pembinaan bagi 18 bait suci. Ia telah mengambil masa 150 tahun untuk membina 18 bait suci yang pertama, sejak penubuhan Gereja pada tahun 1830 sehingga pembaktian Bait Suci Tokyo Japan oleh Presiden Spencer W. Kimball pada tahun 1980.

Imej
Enam bait suci

Pertimbangkan pekerjaan bait suci yang telah disegerakan hanya dalam jangka hayat Presiden Russell M. Nelson. Ketika Presiden Nelson dilahirkan pada 9 September 1924, Gereja hanya ada enam bait suci yang berfungsi.

Imej
26 bait suci

Apabila dia ditahbiskan sebagai seorang Rasul pada 7 April 1984, 60 tahun kemudian, 26 bait suci sedang beroperasi, penambahan sejumlah 20 bait suci dalam jangka 60 tahun.

Imej
159 bait suci

Apabila Presiden Nelson disokong sebagai Presiden Gereja, 159 bait suci beroperasi, peningkatan berjumlah 133 bait suci dalam jangka 34 tahun dia melayan sebagai ahli Dua Belas Rasul.

Imej
Bait suci yang sedang beroperasi dan diumumkan

Sejak menjadi Presiden Gereja pada 14 Januari 2018, Presiden Nelson telah mengumumkan 35 bait suci baru.

Sembilan puluh enam bait suci yang kini wujud telah dibaktikan dalam jangka hayat Presiden Nelson; 84 peratus telah pun dibaktikan sejak dia ditahbis sebagai seorang Rasul.

Sentiasa Tumpukan pada Hal-hal Yang Paling Penting

Sebagai ahli Gereja Tuhan, kita berdiri kagum akan kadar kepesatan pekerjaan-Nya di zaman akhir. Dan banyak lagi bait suci yang akan datang.

Brigham Young telah menubuatkan, “Untuk menyempurnakan pekerjaan ini, akan memerlukan bukan hanya satu bait suci tetapi beribu lagi, dan berpuluh ribu lelaki dan wanita akan pergi ke bait suci tersebut dan mewakili mereka yang hidup sejauh mana Tuhan akan ungkapkan.”23

Secara umumnya, pengumuman setiap bait suci baharu membawa kegembiraan yang besar dan alasan untuk memberi kesyukuran kepada Tuhan. Namun, tumpuan utama kita haruslah pada perjanjian dan tatacara yang boleh mengubah hati dan mendalamkan kesetiaan kita kepada Juruselamat dan bukan hanya terhadap lokasi atau keindahan bangunan itu.

Kewajipan asas kita sebagai ahli Gereja Tuhan adalah (1) untuk “Dengarkanlah Dia!”24 dan hati kita diubah melalui semua perjanjian dan tatacara dan (2) dengan gembiranya memenuhi tanggungjawab ilahi dengan menawarkan berkat-berkat bait suci kepada seluruh keluarga manusia di dua belah tirai. Melalui arahan dan bantuan Tuhan, kita akan memenuhi tugasan kudus tersebut.

Pembinaan Sion

Nabi Joseph Smith mengisytiharkan:

“Pembinaan Sion merupakan satu perkara yang telah menarik umat Tuhan setiap masa; ia merupakan tema yang dibahas para nabi, imam dan raja dengan kesukaan khusus; mereka telah menanti-nantikan dengan penuh sukacita terhadap zaman ketika kita hidup; dan semangat syurgawi dan harapan gembira mereka telah nyanyikan dan tuliskan serta nubuatkan bagi zaman kita; namun mereka mati tanpa penglihatan; … ia ditinggalkan bagi kita untuk melihat, turut serta dan membantu memajukan kemuliaan Zaman Akhir.”25

“Imamat syurgawi akan bersatu dengan yang di bumi, untuk mendatangkan tujuan-tujuan agung itu; … satu pekerjaan yang Tuhan dan para malaikat telah renungkan dengan gembira bagi generasi yang lalu; yang membakar jiwa para bapa bangsa dan nabi; satu pekerjaan yang ditakdirkan untuk memusnahkan kuasa-kuasa kegelapan, memperbaharui dunia, mendatangkan kemuliaan Tuhan, dan keselamatan umat manusia.”26

Saya bersaksi bahawa Bapa dan Putera muncul kepada Joseph Smith, dan Elia telah memulihkan wewenang pemeteraian. Semua perjanjian dan tatacara kudus bait suci memperkukuhkan kita dan menyucikan hati kita apabila kita “Dengarkanlah Dia!”27 dan menerima kuasa ketuhanan dalam kehidupan kita. Dan saya bersaksi bahawa perkerjaan zaman akhir ini akan memusnahkan kuasa kegelapan dan membawa keselamatan kepada umat manusia. Saya bersaksi tentang kebenaran-kebenaran ini dengan gembiranya di dalam nama kudus Tuhan Yesus Kristus, amin.