Persidangan Umum
Rumah Yang Terbaik
Persidangan Umum April 2020


Rumah Yang Terbaik

Juruselamat ialah jurutera, pembina dan pereka bentuk dalaman yang sempurna. Projek-Nya adalah kesempurnaan dan kegembiraan abadi jiwa kita.

Baru-baru ini satu papan iklan di Salt Lake City menarik perhatian saya. Ia diiklankan oleh sebuah syarikat perabot dan reka bentuk dalaman. Ia berkata, “Melayani Rumah Terbaik di Salt Lake City.”

Mesej mereka amat menarik—apakah “rumah terbaik”? Saya berfikir tentang soalan tersebut, terutamanya tentang anak-anak saya dan isteriku, Kathy yang kami besarkan dan anak-anak yang anak kami besarkan hari ini. Seperti semua ibu bapa, kami bimbang dan berdoa untuk keluarga kami. Kami masih melakukan itu. Kami inginkan yang terbaik untuk mereka. Bagaimana mereka dan anak-anak mereka boleh tinggal dalam rumah yang terbaik? Saya merenung kembali rumah ahli Gereja yang Kathy dan saya berpeluang untuk lawat. Kami pernah dijemput ke rumah di Korea dan Kenya, di Filipina dan Peru, di Laos dan Latvia. Benarkan saya berkongsi empat pemerhatian tentang rumah terbaik.

Pertama, dari sudut pandangan Tuhan, membina rumah terbaik terdiri daripada kualiti peribadi orang-orang yang tinggal di dalamnya. Rumah ini tidak menjadi terbaik keranaa perabot, kekayaan mereka atau status yang mereka miliki. Sebaliknya, ciri rumah terbaik adalah imej Kristus yang dicerminkan oleh penghuni rumah itu. Yang pentingnya ialah reka bentuk dalaman jiwa penghuni dan bukan bangunan tersebut.

Sifat Kristus ini diperoleh seiring “peredaran waktu”1 dengan kemajuan yang dilakukan di sepanjang jalan perjanjian. Sifat Kristus menghiasi hidup mereka yang berusaha hidup dalam kebaikan. Mereka memenuhi rumah dengan cahaya injil, tanpa mengira keadaan rumah mereka. Walaupun anda adalah satu-satunya dalam keluarga anda yang mengikuti ayat untuk “carilah kamu perkara ini,”2 anda boleh menyumbang kepada hiasan rohani rumah keluarga anda.

Kita mengikuti nasihat Tuhan untuk “aturlah dirimu; sediakanlah setiap hal yang diperlukan; dan tubuhkanlah sebuah rumah” dengan menyusun, mempersiapkan, dan menubuhkan kehidupan rohani kita, bukan hartanah kita. Apabila kita sabar meneruskan jalan perjanjian Juruselamat, rumah kita menjadi “rumah kemuliaan, rumah ketertiban, [dan] rumah Tuhan.”3

Kedua, penghuni rumah terbaik meluangkan masa untuk belajar tulisan suci dan ajaran nabi setiap hari. Presiden Russell M. Nelson telah menjemput kita untuk “mengubah” dan “membentuk semula” rumah kita melalui pembelajaran injil.4 Jemputannya mengajar bahawa rumah terbaik mempunyai pekerjaan penting untuk mengembangkan diri kita dan memperbaiki kelemahan kita. Pertaubatan harian adalah alat transformasi yang membolehkan kita menjadi lebih baik, lebih penuh kasih, dan lebih memahami. Mempelajari tulisan suci membawa kita lebih dekat kepada Juruselamat, kasih dan rahmat-Nya yang melimpahi akan menolong kita dalam perkembangan kita.

Alkitab, Kitab Mormon, dan Mutiara yang Sangat Berharga menceritakan tentang keluarga, jadi ia tidak mengejutkan bahawa kitab-kitab ilahi itu adalah buku panduan yang tiada tandingan dalam membina rumah-rumah terbaik. Ia mencatatkan kerisauan ibu bapa, bahaya godaan, kemenangan kesolehan, percubaan tentang kebuluran dan kelimpahan, dan hal-hal dahsyat tentang perang dan ganjaran keamanan. Berulang kali tulisan suci menunjukkan kita bagaimana keluarga berjaya kerana hidup secara soleh dan bagaimana mereka gagal kerana mengikuti jalan yang lain.

Ketiga, rumah terbaik mengikut pelan yang direka oleh Tuhan untuk rumah-Nya yang terbaik, iaitu bait suci. Pembinaan bait suci bermula dengan langkah asas—membersihkan tapak dan meratakan tanah. Usaha permulaan untuk menyediakan tapak boleh dibandingkan dengan mematuhi perintah asas. Perintah-perintah adalah landasan bagi pembinaan penganutan. Penganutan yang mantap membawa kita untuk menjadi teguh, tabah dan tidak tergoyah,5 seperti rangka keluli bait suci. Rangka keluli yang mantap membolehkan Tuhan untuk menghantar Roh-Nya untuk mengerjakan perubahan dalam hati kita.6 Mengalami perubahan besar dalam hati seumpama menambahkan ciri-ciri indah kepada bahagian dalaman bait suci.

Apabila kita maju dalam iman, Tuhan akan mengubah kita secara berperingkat. Kita menerima rupa-Nya dalam wajah kita dan mula mencerminkan kasih dan keindahan peribadi-Nya.7 Apabila kita menjadi lebih seperti Dia, kita akan rasa selesa di rumah-Nya, dan Dia akan rasa yang sama di rumah kita.

Kita boleh mengekalkan hubungan antara rumah kita dan rumah Tuhan dengan melayakkan diri dan menggunakan kad rekomen bait suci dengan kerap selagi keadaan membenarkan. Apabila kita melakukan ini, kekudusan rumah Tuhan akan berada dalam rumah kita juga.

Bait Suci Salt Lake yang agung berhampiran. Dibina oleh perintis dengan alat asas, bahan tempatan, dan kerja keras yang tidak henti, bait suci itu dibina dari 1853 ke 1893. Kemahiran terbaik yang ditawarkan ahli gereja awal dalam kejuruteraan, senibina dan reka bentuk dalaman membentuk satu karya agung yang diiktiraf berjuta-juta orang.

Hampir 130 tahun sudah berlalu sejak bait suci itu dibaktikan. Seperti dinyatakan oleh Elder Gary E. Stevenson kelmarin, asas kejuruteraan yang digunakan untuk merekabentuk bait suci telah diganti oleh piawaian lebih baru dan selamat. Kegagalan untuk meningkatkan kejuruteraan dan membaiki kelemahan struktur bait suci akan mengkhianati keyakinan para perintis, yang melakukan segala yang mereka boleh lakukan dan menyerahkan penjagaan bait suci kepada generasi seterusnya.

Gereja telah memulakan projek pemulihan tempoh empat tahun untuk memperbaiki struktur bait suci dan kekuatan seismik.8 Bahagian landasan, lantai, dan dinding akan diperkuatkan. Pengetahuan kejuruteraan yang terkini akan membawa bait suci kepada piawaian moden. Kita tidak boleh melihat perubahan struktur tersebut, tetapi kesannya adalah nyata dan penting. Dalam semua kerja ini, reka bentuk dalaman bait suci akan dipelihara.

Kita harus mengikut contoh yang diberi kepada kita tentang pengubahsuaian Bait Suci Salt Lake dan mengambil masa untuk menilai seismik rohani kita sendiri dan pastikan ia terkini. Penilaian diri secara berkala, ditambah pertanyaan kepada Tuhan, “Adakah lagi yang harus saya lakukan?”9 boleh membantu kita menyumbang kepada pembinaan rumah terbaik.

Keempat, rumah terbaik ialah tempat perlindungan daripada ribut kehidupan. Tuhan telah berjanji bahawa mereka yang patuh kepada perintah Tuhan akan “menjadi makmur di negeri.”10 Kemakmuran Tuhan ialah kuasa untuk terus maju walaupun terdapat masalah kehidupan.

Pada tahun 2002, saya pelajari satu perkara penting tentang masalah. Semasa berada di Asunción, Paraguay, saya bertemu dengan presiden pancang bandar itu. Pada masa itu, Paraguay menghadapi krisis kewangan yang teruk, dan banyak ahli Gereja menderita dan tidak mampu memenuhi keperluan mereka. Saya tidak pernah melawat Amerika Selatan sejak misi saya dan tidak pernah ke Paraguay. Saya hanya melayani sebagai Presidensi Kawasan tersebut untuk beberapa minggu. Bimbang tentang kebolehan saya untuk memberi nasihat kepada presiden pancang tersebut, saya menanya mereka apakah pekara baik yang berlaku dalam pancang mereka. Presiden pancang pertama memberitahu saya tentang perkara baik yang berlaku. Yang seterusnya beritahu saya tentang perkara baik yang berlaku dan beberapa masalah. Apabila giliran presiden pancang yang terakhir, dia hanya memberitahu tentang cabaran yang amat susah. Semasa presiden pancang ini menerangkan besarnya situasi tersebut, saya semakin bimbang tentang apa yang harus saya katakan.

Semasa presiden pancang terakhir mengakhiri komennya, suatu fikiran memasuki minda saya: “Elder Clayton, tanya mereka soalan ini: ‘Para presiden, dalam kalangan ahli pancang anda yang membayar persepuluhan, membayar sumbangan puasa, mengembangkan panggilan mereka dalam Gereja, melawat sebagai pengajar keluarga atau pengajar berkunjung11 setiap bulan, yang mengadakan malam keluarga, mengkaji tulisan suci, dan berdoa secara keluarga setiap hari, berapa ramai daripada mereka mempunyai masalah yang mereka tidak boleh tangani tanpa campur tangan Gereja?’”

Bertindak atas tanggapan yang saya terima, saya menanyakan mereka soalan tersebut.

Mereka melihat saya dengan terkejut dan berkata, “Pues, ninguno,” bererti, “Tidak ada sesiapa.” Kemudian mereka beritahu saya bahawa tidak seorang ahli yang melakukan semua perkara tersebut yang tidak boleh menyelesaikan masalah mereka sendiri. Mengapa? Kerana mereka tinggal di dalam rumah yang terbaik. Kehidupan penuh iman mereka telah memberi kekuatan, penglihatan, dan pertolongan syurga yang diperlukan dalam kemelut ekonomi yang berlaku.

Ini tidak bererti bahawa mereka yang soleh tidak akan sakit, menghadapi kemalangan, masalah perniagaan atau kesusahan hidup. Kefanaan selalu membawa cabaran, tetapi setiap kali saya melihat mereka yang cuba untuk patuhi perintah diberkati untuk mencari jalan ke hadapan dengan kedamaian dan harapan. Berkat itu boleh didapati bagi semua orang.12

Daud mengisytiharkan, “Jika bukan Tuhan yang mendirikan rumah, sia-sialah usaha orang yang mendirikannya.”13 Di mana pun anda tinggal, bagaimana pun rupa rumah anda, dan apa sahaja komposisi keluarga anda, anda boleh bantu membina rumah terbaik untuk keluarga anda. Injil Yesus Kristus yang dipulihkan menyediakan pelan untuk rumah tersebut. Juruselamat ialah jurutera, pembina dan pereka bentuk dalaman yang sempurna. Projek-Nya adalah kesempurnaan dan kegembiraan abadi jiwa anda. Dengan pertolongan-Nya yang penuh kasih, jiwa anda boleh menjadi segala yang Dia hasratkan dan anda boleh menjadi versi terbaik diri anda, bersedia untuk membangunkan dan tinggal dalam rumah terbaik.

Saya dengan kesyukuran bersaksi bahawa Tuhan dan Bapa kita hidup. Putera-Nya, Tuhan Yesus Kristus adalah Juruselamat dan Penebus bagi umat manusia. Mereka mengasihi kita dengan sempurna. Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir ialah kerajaan Tuhan di bumi. Nabi dan rasul hidup memimpin kita pada hari ini. Kitab Mormon adalah benar. Injil Yesus Kristus yang dipulihkan ialah pelan sempurna untuk membangunkan rumah terbaik. Dalam nama Yesus Kristus, amin.