Persidangan Umum
Maju Ke Depan Dengan Iman
Persidangan Umum April 2020


Maju Ke Depan Dengan Iman

Saya memberkati anda dengan kedamaian dan peningkatan iman kepada Tuhan.

Para saudara dan saudari yang dikasihi, kini tiba di penghujung persidangan yang bersejarah ini, kami mengungkapkan kesyukuran kami kepada Tuhan. Muzik yang sangat indah dan pesanan yang mengilhamkan.

Semasa persidangan ini, telah banyak peristiwa penting dialami. Dalam ulang tahun kedua ratus ini, kami telah memperkenalkan perisytiharan kepada dunia yang menyatakan tentang Pemulihan Injil Yesus Kristus yang genap.

Kita memperingati Pemulihan dengan Sorakan Hosana.

Kami mengungkapkan lambang baru yang menandakan iman kita kepada Tuhan Yesus Kristus dan untuk pengesahan visual bagi maklumat dan bahan-bahan Gereja yang rasmi.

Kami mengadakan hari berpuasa dan doa sedunia, agar wabak ini dapat dikawal, pegawai perubatan dilindungi, ekonomi diperkuat, dan kehidupan kembali kepada asal. Puasa ini akan diadakan pada Jumaat Agung ini, 10 April. Itu akan menjadi Jumaat yang hebat!

Ahad depan adalah Hari Easter, waktu untuk kita sekali lagi memperingati Korban tebusan dan Kebangkitan Tuhan kita Yesus Kristus. Kerana Korban tebusan-Nya, kurnia kebangkitan-Nya datang kepada semua yang pernah hidup. Dan kurnia kehidupan abadi-Nya akan datang kepada semua yang layak dengan kepatuhan terhadap tatacara dan perjanjian yang dibuat di bait suci kudus-Nya.

Komponen yang banyak mengilhami persidangan umum bulan April 2020 ini—dan minggu kudus yang kita mulakan—boleh diringkaskan dengan dua perkataan ini: “Dengarkanlah Dia.”1 Kami berdoa agar tumpuan anda kepada Bapa Syurgawi, yang mengucapkan firman itu, dan kepada Putera Terkasih-Nya, Yesus Kristus, akan membesar dalam ingatan anda tentang semua yang telah terjadi. Kami berdoa agar anda akan mula benar-benar mendengar dan mengendahkan firman Juruselamat.2 Saya berjanji ketakutan akan berkurang, dan iman akan meningkat.

Terima kasih atas hasrat anda untuk menjadikan rumah anda tempat perlindungan untuk iman, tempat untuk Roh Tuhan berdiam. Kurikulum pembelajaran injil kita, Ikutlah Aku, akan terus memberkati kehidupan anda. Usaha konsisten anda dalam usaha ini—walaupun pada saat-saat ketika anda merasa bahawa anda tidak berhasil—akan mengubah hidup anda, keluarga anda, dan dunia ini. Kita akan dikuatkan semasa kita menjadi pengikut Tuhan yang lebih berani, berdiri dan berpihak kepada Dia, di mana sahaja kita berada.

Sekarang, mari kita bercakap tentang bait suci. Kita memiliki 168 bait suci yang telah dibaktikan di seluruh dunia. Yang lain dalam peringkat perancangan dan pembinaan. Ketika rancangan mendirikan bait suci baharu diumumkan, ia menjadi sejarah kudus kita.

Mungkin agak ganjil untuk mengumumkan bait suci baharu ketika semua bait suci ditutup untuk sementara.

Lebih dari satu abad yang lalu, Presiden Wilford Woodruff meramalkan keadaan seperti zaman kita ini, seperti yang dicatatkan dalam doa pembaktian untuk Bait Suci Salt Lake, pada tahun 1893. Sesetengah anda mungkin baru-baru ini telah melihat petikan dari doa yang luar biasa ini di media sosial.

Dengarkan rayuan dari nabi Tuhan ini: “Ketika umat–Mu tidak mempunyai kesempatan untuk memasuki rumah kudus ini … dan mereka tertindas dan dalam kesusahan, diselubungi dengan kesukaran … dan akan memalingkan muka mereka ke arah rumah kudus–Mu dan meminta–Mu pembebasan, bantuan, kuasa–Mu untuk menjangkau bagi pihak mereka, kami merayu kepada Engkau, untuk memandang umat-Mu dengan belas kasihan … dan mendengar seruan mereka. Atau ketika anak-anak umat–Mu, dalam tahun-tahun akan datang, akan dipisahkan, kerana banyak sebab, dari tempat ini, … dan mereka akan berseru kepada–Mu dari kesengsaraan dan dukacita mereka untuk menjangkau kelegaan dan pembebasan untuk mereka, kami dengan rendah hati merayu kepada–Mu untuk … mendengar seruan mereka, dan memberikan berkat yang mereka minta.”3

Saudara dan saudari, dalam masa kesedihan kita ketika bait suci ditutup , anda masih boleh mempunyai kuasa perjanjian bait suci dan anugerahan anda semasa anda mematuhi perjanjian anda. Sila gunakan masa ketika bait suci ditutup ini untuk terus menjalani kehidupan yang layak atau menjadi layak ke bait suci.

Berkongsi tentang bait suci dengan keluarga dan kawan-kawan anda. Kerana Yesus Kristus berada di tengah-tengah semua yang kita lakukan di bait suci, semasa anda fikir lebih banyak tentang bait suci anda akan memikirkan lebih banyak tentang Dia. Kaji dan berdoalah untuk mengetahui lebih lanjut tentang kuasa dan pengetahuan yang anda telah dikurniakan—atau dengan apa yang akan anda dikurniakan.

Hari ini, kami dengan senang mengumumkan rancangan untuk membina lapan bait suci baharu di lokasi berikut: Bahía Blanca, Argentina; Tallahassee, Florida; Lubumbashi, Republik Demokratik Congo; Pittsburgh, Pennsylvania; Benin City, Nigeria; Syracuse, Utah; Dubai, Emiriah Arab Bersatu; dan Shanghai, Republik Rakyat China.

Dalam semua lapan lokasi, arkitek Gereja akan bekerjasama dengan pegawai-pegawai tempatan agar bait suci itu akan selaras dan menjadi indah bagi setiap komuniti.

Rancangan untuk bait suci di Dubai datang hasil daripada jemputan mereka yang ramah, yang kami terima dengan sukacitanya.

Konteks rancangan bagi Shanghai sangat penting. Selama lebih dari dua dekad, ahli-ahli yang layak ke bait suci di Republik Rakyat China telah menghadiri Bait suci Hong Kong China. Tetapi pada bulan Julai 2019, bait suci itu ditutup untuk pengubahsuaian yang telah lama dirancang dan sangat diperlukan.

Di Shanghai, tempat pertemuan serba guna yang sederhana akan memberi laluan kepada ahli-ahli untuk terus mengambil bahagian dalam tatacara bait suci—di Republik Rakyat China—bagi mereka dan nenek moyang mereka.4

Dalam setiap negara, Gereja mengajar para ahlinya untuk menghormati, mematuhi, dan menjunjung undang-undang.5 Kita mengajar kepentingan keluarga, menjadi ibu bapa yang baik dan warganegara teladan. Kerana kita menghormati undang-undang dan peraturan Republik Rakyat China, Gereja tidak menghantar penginjil di sana; dan tidak juga kita akan hantar sekarang.

Umat perantau dan ahli Gereja China tempatan akan teruskan pertemuan secara terpisah. Status Gereja yang sah kekal tidak berubah. Pada fasa awal penggunaan kemudahan, kemasukan hanya melalui temu janji. Bait suci Tuhan di Shanghai bukanlah sebuah tempat kunjungan untuk pelancong dari negara lain.

Lapan bait suci ini akan memberkati kehidupan banyak orang di kedua-dua belah tirai. Bait suci adalah bahagian agung dalam Pemulihan kegenapan Injil Yesus Kristus. Dengan kebaikan dan kemurahan hati Tuhan, Dia membawa berkat bait suci lebih dekat kepada anak-anak-Nya di seluruh tempat.

Semasa Pemulihan terus berlangsung, saya tahu bahawa Tuhan akan mengungkapkan banyak hal-hal yang besar dan penting berkaitan dengan Kerajaan-Nya di bumi.6 Kerajaan itu adalah Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.

Saudara dan saudari, saya ungkapkan kasih saya kepada anda. Dalam masa cemas dan tidak menentu ini, dengan wewenang yang diberikan kepada saya, saya ingin menganugerahkan anda berkat kerasulan.

Saya memberkati anda dengan kedamaian dan peningkatan iman kepada Tuhan.7

Saya memberkati anda dengan hasrat untuk bertaubat dan menjadi lebih seperti Kristus setiap hari.8

Saya memberkati anda untuk mengetahui bahawa Nabi Joseph Smith adalah nabi Pemulihan Injil Yesus Kristus yang genap.

Jika ada yang sakit di antara anda atau orang yang dikasihi, saya tinggalkan berkat kesembuhan, konsisten dengan kehendak Tuhan.

Saya juga memberkati anda dengan kasih saya, dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.