Persidangan Umum
Memori Rohani yang Membentuk
Persidangan Umum April 2020


Memori Rohani yang Membentuk

Apabila kesusahan peribadi atau keadaan dunia di luar kawalan kita menggelapkan jalan kita, kenangan rohani yang membentuk dari buku kehidupan kita adalah seperti batu bercahaya yang bantu menyinari jalan hadapan.

Lapan belas tahun selepas Penglihatan Pertama, Nabi Joseph Smith menulis banyak laporan tentang pengalamannya. Dia telah hadapi pertentangan, penganiayaan, gangguan, ancaman, dan serangan kejam.1 Namun dia terus bersaksi dengan berani: “Aku benar-benar telah melihat suatu cahaya, dan di tengah-tengah cahaya itu aku melihat dua Lembaga, dan Mereka dengan nyatanya berfirman kepadaku; dan walaupun aku dibenci dan dianiaya kerana mengatakan bahawa aku telah melihat sebuah penglihatan, namun itu adalah benar. … Aku mengetahuinya, dan aku tahu bahawa Tuhan mengetahuinya, dan aku tidak dapat menyangkalnya”2

Pada masa sukarnya, Joseph teringat kembali dua dekad lalu tentang kasih Tuhan terhadapnya dan peristiwa yang membawa kepada Pemulihan yang telah lama diramalkan. Merenungkan perjalanan rohaninya, Joseph berkata: “Saya tidak salahkan sesiapa kerana tidak mempercayai sejarah saya. Jika saya tidak mengalaminya sendiri, saya tidak akan mempercayainya juga.”3

Tetapi pengalaman itu benar, dan dia tidak pernah lupa atau nafikannya, dengan senyap mengesahkan kesaksiannya ketika dia berpindah ke Carthage. “Aku akan pergi bagaikan seekor anak domba ke penyembelihan; tetapi aku tenang bagaikan suatu pagi di musim panas; aku mempunyai hati nurani yang tidak bersalah terhadap Tuhan, tidak juga terhadap semua orang.”4

Memori Rohani yang Membentuk Anda

Terdapat satu pengajaran bagi kita dalam teladan Nabi Joseph Smith. Berserta arahan yang damai kita terima daripada Roh Kudus, kadangkala, Tuhan secara berkuasa dan peribadi menjamin setiap kita yang Dia kenal dan kasihi kita dan Dia berkati kita secara khusus dan terbuka. Kemudian, pada masa kesukaran kita, Juruselamat mengingatkan kita tentang pengalaman tersebut.

Fikirkan tentang kehidupan anda sendiri. Selama bertahun, saya telah mendengar beribu pengalaman rohani yang mendalam dari Orang Suci Zaman Akhir di seluruh dunia, yang mengesahkan kepada saya tanpa ragu bahawa Tuhan kenal dan kasihi setiap kita dan Dia berhasrat mengungkapkan diri-Nya kepada kita. Pengalaman ini boleh datang pada waktu penting dalam kehidupan kita, atau pada waktu yang kelihatan seperti tidak penting pada mulanya, tetapi ia selalu diiringi dengan pengesahan rohani yang sangat kuat tentang kasih Tuhan.

Mengingati pengalaman rohani yang membentuk ini membawa kita berlutut, memaklumkan seperti Nabi Joseph: “Apa yang saya terima adalah dari syurga. Saya mengetahuinya, dan saya mengetahui Tuhan mengetahui yang saya mengetahuinya.”5

Empat Contoh

Renungkan memori rohani yang membentuk anda sendiri semasa saya berkongsi beberapa contoh daripada orang lain.

Imej
Dr. Russell M. Nelson

Bertahun lalu, seorang bapa bangsa pancang yang tua dengan kegagalan dua injap jantung merayu Dr. Russell M. Nelson untuk membantunya, walaupun ketika itu tiada penyelesaian pembedahan untuk injap kedua yang rosak itu. Dr Nelson akhirnya bersetuju untuk melakukan pembedahan itu. Inilah kata-kata Presiden Nelson:

“Selepas mengurangkan sekatan injap pertama, kami mengkaji injap kedua. Kami mendapati ia tidak rosak tetapi membengkak sehingga ia tidak dapat berfungsi. Semasa memeriksa injap ini, satu pesanan jelas datang pada fikiran saya: Kurangkan saiz bulatan injap itu. Saya memberitahu pesanan tersebut kepada pembantu saya. ‘Tisu injap akan mencukupi jika kita dapat kurangkan injap kepada saiz normalnya.’

“Tetapi bagaimana? … Satu gambaran datang jelas dalam fikiran saya, menunjukkan bagaimana jahitan harus dibuat—untuk membuat lipatan di sini dan pendekkan di sana. … Saya masih ingat lagi gambaran itu—lengkap dengan garis putus-putus di mana jahitan perlu dibuat. Pembaikan itu selesai seperti gambaran dalam fikiran saya. Kami menguji injap dan mendapati kebocoran itu dikurangkan dengan ketara. Pembantu saya berkata, ‘Ini adalah satu mukjizat.’”6 Bapa bangsa itu hidup bertahun lamanya.

Dr. Nelson telah dibimbing. Dan dia tahu Tuhan tahu bahawa Dr. Nelson sedar dia telah dibimbing.

Imej
Beatrice Magré

Kathy dan saya pertama kali bertemu dengan Beatrice Magré di Perancis 30 tahun lalu. Baru-baru ini, Beatrice menceritakan kepada saya pengalaman yang mempengaruhi kehidupan rohaninya sejurus selepas pembaptisannya dimasa remaja. Inilah kata-katanya:

“Remaja cabang kami dan pemimpin mereka ke pantai Lacanau, satu setengah jam dari Bordeaux.

“Sebelum pulang ke rumah, salah seorang pemimpin memutuskan untuk berenang kali terakhir dan terjun ke ombak dengan cermin matanya. Apabila dia keluar dari air, cermin matanya hilang. … Ia telah hilang di laut.

“Kehilangan cermin matanya akan menghalangnya memandu keretanya. Kami tidak akan dapat pulang ke rumah.

“Seorang saudari penuh dengan iman cadangkan kami untuk berdoa.

“Saya merungut yang berdoa itu sia-sia saja, dan saya ragu-ragu menyertai kumpulan untuk berdoa secara terbuka ketika kami berdiri dalam air keruh paras pinggang.

“Setelah doa selesai, saya letak tangan ke dalam air untuk memercik semua orang. Semasa saya menggerakkan tangan dalam permukaan laut, cermin matanya berada di tangan saya. Satu perasaan yang kuat menusuk jiwa saya yang Tuhan benar-benar mendengar dan menjawab doa kami.”7

Empat puluh lima tahun kemudian, ingatan itu masih jelas. Beatrice telah diberkati dan dia tahu Tuhan tahu yang dia sedar dia telah diberkati.

Pengalaman Presiden Nelson dan Sister Magré sangat berbeza, namun, terdapat satu memori rohani yang membentuk yang sukar dilupakan tentang kasih Tuhan yang tertanam dalam hati mereka.

Peristiwa ini sering datang ketika mempelajari tentang injil yang dipulihkan atau dalam berkongsi injil kepada orang lain.

Imej
Floripes Luzia Damasio dan Neil L. Andersen

Gambar ini diambil di São Paulo, Brazil, pada tahun 2004. Floripes Luzia Damasio dari Pancang Ipatinga Brazil berusia 114 tahun. Sister Damasio memberitahu saya bahawa para penginjil di kampungnya telah memberikan berkat imamat kepada bayi yang sakit tenat dan dia sembuh secara mukjizat. Dia mahu ketahui lebih lanjut. Semasa dia berdoa tentang pesanan mereka, kesaksian Roh mengesahkan kepadanya bahawa Joseph Smith adalah seorang nabi Tuhan. Pada umur 103 tahun, dia dibaptiskan, dan, pada 104, dia dianugerahi. Setiap tahun dia naik bas selama 14 jam untuk luangkan seminggu di bait suci. Sister Damasio telah menerima pengesahan dari syurga dan dia tahu Tuhan tahu bahawa dia tahu kesaksian itu benar.

Ini ialah memori rohani dari misi pertama saya di Perancis 48 tahun yang lalu.

Ketika mencari orang untuk diajar, rakan saya dan saya meninggalkan Kitab Mormon kepada seorang wanita berumur. Apabila kami kembali ke pangsapurinya seminggu kemudian, dia membuka pintu. Sebelum berkata apa-apa, saya merasakan kuasa rohani yang berkuasa. Perasaan kuat itu berterusan semasa Sister Alice Audubert jemput kami masuk dan beritahu kami yang dia telah baca Kitab Mormon dan tahu ia benar. Semasa kami meninggalkan pangsapurinya hari itu, saya berdoa, “Bapa Syurgawi, tolong bantu saya untuk tidak pernah lupakan apa yang saya baru rasakan.” Saya tidak pernah lupakannya.

Imej
Elder Andersen sebagai seorang penginjil

Dalam masa yang kelihatan biasa, di pintu yang sama dengan ratusan pintu lain, saya merasakan kuasa syurga. Dan saya tahu Tuhan tahu saya sedar tingkap syurga telah dibuka.

Diperibadikan dan Tidak Dapat Dinafikan

Masa-masa rohani yang membentuk ini datang pada masa yang berlainan dan cara yang berbeza, untuk setiap individu.

Fikirkan contoh kegemaran anda dalam kitab suci Orang yang mendengar Rasul Petrus “mereka sangat gelisah.”8 Wanita bangsa Laman bernama Abis percaya “penglihatan luar biasa ayahnya.”9 Dan datanglah suatu suara ke fikiran Enos.10

Kawan saya, Clayton Christensen menggambarkan pengalaman semasa membaca Kitab Mormon dengan penuh doa: “Roh yang indah, hangat, pengasih … mengelilingi saya dan meresap ke jiwa saya, membalut saya dalam perasaan kasih yang saya tidak bayangkan saya boleh rasa, [dan perasaan ini berterusan malam demi malam].”11

Terdapat masanya ketika perasaan rohani masuk ke hati kita seperti api yang menyinari jiwa kita. Joseph Smith menjelaskan yang kadangkala kita menerima “idea secara tiba-tiba” dan kadangkala kecerdasan murni yang mengalir.12

Presiden Dallin H. Oaks, menjawab seorang lelaki ikhlas yang mendakwa tidak pernah alami pengalaman sedemikian, berkata, “Mungkin doa-doa anda telah dijawab beberapa kali, tetapi anda telah mencari satu tanda yang sangat besar atau suara sangat kuat sehingga anda fikir anda tiada jawapan.”13 Juruselamat Sendiri membicarakan iman yang besar daripada orang yang “telah [diberkati] dengan api dan dengan Roh Kudus, [yang] tidak mengetahuinya.”14

Bagaimanakah Anda Mendengar Dia?

Baru-baru ini kita mendengar Presiden Russell M. Nelson berkata: “Saya menjemput anda untuk berfikir secara mendalam dan kerap mengenai soalan utama ini: Bagaimana anda mendengar Dia? Saya juga menjemput anda untuk mengambil langkah-langkah untuk mendengar Dia lebih baik dan lebih kerap.”15 Dia mengulangi jemputan itu pagi ini.

Kita dengar Dia dalam doa kita, dalam rumah kita, dalam tulisan suci, lagu rohani, sewaktu kita mengambil bahagian dalam sakramen dengan layak, ketika kita mengisytiharkan iman kita, melayani orang lain, dan menghadiri bait suci. Waktu rohani yang membentuk datang ketika kita dengar dengan penuh doa persidangan umum dan ketika kita mematuhi perintah dengan lebih baik. Dan kanak-kanak, pengalaman ini untuk anda juga. Ingatlah, Yesus “mengajar dan melayani anak-anak … dan [anak-anak] telah berbicara … hal-hal yang besar dan menakjubkan.”16 Tuhan berkata:

“[Pengetahuan ini] diberikan melalui Roh-Ku kepadamu, …kecuali melalui kuasa-Ku kamu tidak akan dapat memperolehnya;

“Kerana itu, kamu dapat bersaksi bahawa kamu telah mendengar suara-Ku, dan mengetahui firman-Ku.”17

Kita boleh “dengar Dia” kerana berkat Korban Tebusan Juruselamat yang tiada bandingnya.

Walaupun kita tidak dapat pilih waktu untuk menerima berkat ini, Presiden Henry B. Eyring memberikan nasihat ini dalam persediaan kita: “Malam ini, dan malam esok, anda boleh berdoa dan merenungkan, bertanya soalan: Adakah Tuhan menghantar pesanan hanya untuk saya? Adakah saya melihat tangan-Nya dalam hidup saya atau kehidupan [keluarga] saya?”18 Iman, kepatuhan, kerendahan hati, dan maksud yang bersungguh-sungguh membuka tingkap syurga.19

Suatu Ilustrasi

Imej
Mengemudikan kehidupan
Imej
Memori rohani yang membentuk memberi cahaya
Imej
Membantu orang lain mencari semula cahaya rohani

Anda boleh fikirkan memori rohani anda dengan cara ini. Dengan doa yang berterusan, keazaman untuk mematuhi perjanjian kita, dan kurnia Roh Kudus, kita mengharungi perjalanan kita dalam kehidupan. Apabila kesusahan, keraguan, atau kekecewaan peribadi menyusahkan jalan kita, atau apabila keadaan dunia di luar kawalan kita dan membuat kita tertanya-tanya tentang masa depan, memori rohani yang membentuk dari buku kehidupan kita seperti batu bercahaya yang bantu cerahkan jalan hadapan, menjaminkan kita Tuhan kenal kita, kasihi kita, dan telah menghantar Putera-Nya, Yesus Kristus, untuk bantu kita pulang ke rumah. Dan apabila seseorang ketepikan memori yang membentuk itu dan hilang atau keliru, kita kembalikan mereka kepada Juruselamat ketika kita kongsi iman dan memori dengan mereka, bantu mereka cari kembali memori rohani yang mereka pernah hargai.

Sesetengah pengalaman sangat kudus sehingga kita menjaganya dalam memori rohani kita dan tidak berkongsinya.20

“Para malaikat berbicara melalui kuasa Roh Kudus; oleh kerana itu, mereka mengucapkan firman Kristus.”21

“Para malaikat juga tidak [pernah] berhenti melayani anak-anak manusia.

“Kerana lihatlah, mereka tunduk kepada [Kristus], untuk melayani menurut … perintah-Nya, memperlihatkan diri mereka kepada mereka yang beriman kuat dan berfikiran teguh dalam setiap bentuk kesolehan.”22

Dan “Roh Tuhan, Penolong, … akan mengajar kamu segala-galanya dan akan mengingatkan kamu segala.”23

Ingatlah memori kudus anda. Percayainya. Catatkannya. Berkongsilah dengan keluarga anda. Percayalah yang ia datang kepada anda daripada Bapa Syurgawi dan Putera-Nya yang Dikasihi.24 Biarkan ia membawa kesabaran bagi keraguan anda, dan pemahaman terhadap kesukaran anda.25 Saya berjanji apabila anda sedia mengakui dan menghargai peristiwa rohani yang membentuk hidup anda, semakin banyak ia akan datang kepada anda. Bapa Syurgawi kenal dan mengasihi anda!

Yesus ialah Kristus, injil-Nya telah dipulihkan, dan apabila kita kekal setia, saya bersaksi kita akan menjadi kepunyaan-Nya selamanya, dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat Saints: The Story of the Church of Jesus Christ in the Latter Days, vol. 1, The Standard of Truth, 1815–1846 (2018), 150–53; lihat juga Joseph Smith, “History, 1838–1856, volume A-1 [23 December 1805–30 August 1834],” 205–9, josephsmithpapers.org; Saints, 1:365–66.

  2. Joseph Smith—Sejarah 1:25.

  3. Teachings of Presidents of the Church: Joseph Smith (2007), 525.

  4. Ajaran dan Perjanjian 135:4.

  5. Saya sentiasa kagum dengan kata-kata dalam Joseph Smith—Sejarah: “Aku telah melihat suatu penglihatan; aku mengetahuinya, dan aku tahu bahawa Tuhan mengetahuinya” (Joseph Smith—Sejarah 1:25). Dia berdiri di hadapan Tuhan dan mengakui bahawa peristiwa-peristiwa di Sacred Grove sebenarnya berlaku dalam hidupnya dan bahawa hidupnya tidak akan sama kerananya. Sekitar 25 tahun yang lalu, saya mula-mula mendengar variasi frasa ini oleh Elder Neal A. Maxwell. Dia memberikan contoh ini: “Lama dahulu pada bulan Mei 1945 terdapat waktu untuk saya di pulau Okinawa pada usia lapan belas tahun. Tiada keperwiraan di pihak saya melainkan satu berkat bagi saya dan orang lain semasa kejatuhan bom oleh artileri Jepun. Setelah kejatuhan bom berulang yang tersasar dari kedudukan kami, artileri musuh akhirnya tembak di arah yang betul. Mereka sepatutnya tembak dengan berkesan, tetapi ada tindak balas ilahi kepada sekurang-kurangnya satu doa yang ketakutan dan mementingkan diri sendiri. Bom berhenti. … Saya telah diberkati, dan saya tahu yang Tuhan tahu yang saya sedar” (“Becoming a Disciple,” Ensign, Jun 1996, 19).

    Elder Maxwell menambah bukan hanya dia tahu, dan bukan hanya Tuhan tahu, tetapi Tuhan tahu yang dia tahu dia telah diberkati. Secara simbolik bagi saya ini meningkatkan pertanggungjawaban satu langkah yang lebih tinggi. Ada kalanya, Bapa Syurgawi kita mengiringi suatu berkat yang diberikan kepada kita dengan pengesahan rohani yang kuat bahawa syurga campur tangan bagi pihak kita. Tiada penafian kepada itu. Ia kekal bersama kita, dan jika kita jujur dan setia, ia akan membentuk kehidupan kita pada tahun-tahun akan datang. “Saya telah diberkati, dan saya tahu yang Tuhan tahu yang saya tahu yang saya telah diberkati.”

  6. Russell M. Nelson, “Sweet Power of Prayer,” Liahona, Mei 2003, 8.

  7. Kisah peribadi daripada Beatrice Magré dikongsi bersama Elder Andersen pada 29 Oktober 2019; e-mel susulan pada 24 Jan. 2020.

  8. Kisah Rasul-Rasul 2:37.

  9. Alma 19:16.

  10. Lihat Enos 1:5.

  11. Clayton M. Christensen, “The Most Useful Piece of Knowledge,” Liahona, Jan. 2009, 23.

  12. Lihat Teachings: Joseph Smith, 132.

  13. Dallin H. Oaks, Life’s Lessons Learned: Personal Reflections (2011), 116.

  14. 3 Nefi 9:20.

  15. Russell M. Nelson, “‘How Do You #HearHim?’ A Special Invitation,” Feb. 26, 2020, blog.ChurchofJesusChrist.org.

  16. 3 Nefi 26:14.

  17. Ajaran dan Perjanjian 18:35–36. Perasaan selalunya diiringi oleh pengetahuan rohani. “Engkau cepat melakukan kederhakaan tetapi lambat mengingati Tuhanmu. Engkau telah nampak seorang malaikat dan dia telah berbicara kepadamu; ya, engkau telah mendengar suara-Nya dari semasa ke semasa; dan Dia telah berbicara kepadamu dengan suara tenang lembut, tetapi engkau tidak lagi berperasaan, sehingga engkau tidak dapat merasakan firman-Nya” (1 Nefi 17:45).

  18. Henry B. Eyring, “O Remember, Remember,” Liahona, Nov. 2007, 69.

  19. Lihat 2 Nefi 31:13; Moroni 10:4. Presiden Dallin H. Oaks mengunjung misi kami di Bordeaux, France, pada 1991. Dia menjelaskan kepada para penginjil kami bahawa maksud yang bersungguh-sungguh bererti bahawa orang yang berdoa itu berkata kepada Tuhan seperti ini: “Saya tidak bertanya kerana rasa ingin tahu, tetapi dengan penuh keikhlasan untuk bertindak atas jawapan doa saya. Jika Engkau akan memberi saya jawapan ini, saya akan bertindak untuk mengubah hidup saya. Saya akan bertindak.”

  20. “Diberikanlah kepada banyak orang untuk mengetahui misteri-misteri Tuhan; walaupun demikian mereka diberikan perintah yang ketat bahawa mereka tidak akan memberi kecuali menurut bahagian firman-Nya yang Dia berikan kepada anak-anak manusia, menurut perhatian dan ketekunan yang mereka berikan kepada-Nya.” (Alma 12:9).

    Elder Neal A. Maxwell berkata: “Ia memerlukan ilham untuk mengetahui masa untuk berkongsi [pengalaman rohani]. Saya masih ingat Presiden Marion G. Romney, yang menggabungkan akal dan kebijaksanaan, berkata, ‘Kita akan mempunyai lebih banyak pengalaman rohani jika kita tidak banyak bercakap tentangnya’” (“Called to Serve” [pertemuan rohani Brigham Young University , 27 Mac 1994], 9, speeches.byu.edu).

  21. 2 Nefi 32:3.

  22. Moroni 7:29–30.

  23. Yohanes 14:26.

  24. Kebenaran injil tersedia untuk semua orang. Pada minggu sebelum persidangan, selepas ucapan saya selesai, saya didorong secara rohani kepada buku yang bertajuk Divine Signatures: The Confirming Hand of God (2010), ditulis oleh Gerald N. Lund, yang melayani sebagai Penguasa Umum Tujuh Puluh dari tahun 2002 to 2008. Saya gembira kerana kata-kata Brother Lund adalah saksi kedua yang indah kepada asas-asas yang dikongsi dalam ucapan persidangan ini dan akan dinikmati oleh sesiapa yang ingin mempelajari lebih lanjut tentang kenangan rohani yang membentuk.

  25. Salah satu petikan kegemaran Presiden Thomas S. Monson adalah dari penyair Scotland James M. Barrie: “Tuhan memberi kita memori, agar kita boleh mempunyai mawar bulan Jun pada bulan Disember hidup kita” (dalam Thomas S. Monson, “Think to Thank,” Liahona, Jan. 1999, 22). Begitu juga dengan memori rohani. Mereka sangat membantu dalam masa-masa yang sukar dalam kehidupan kita apabila kita memerlukan memori rohani “bulan Jun.”