Persidangan Umum
Dia Memimpin Kita
Persidangan Umum April 2020


Dia Memimpin Kita

Tuhan memimpin Pemulihan injil dan Gereja-Nya. Dia ketahui masa depan dengan sempurna. Dia menjemput anda untuk bekerja.

Saudara dan saudari terkasih, saya amat bersyukur dapat bersama anda di persidangan umum Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Dalam jemputan dia untuk merenungkan cara Pemulihan Gereja Tuhan ketika zaman keagamaan ini telah memberkati kita dan mereka yang kita kasihi, Presiden Russell M. Nelson menjanjikan bahawa pengalaman kita bukan sahaja akan amat dikenang tetapi juga tidak mudah dilupakan.

Pengalaman saya amat dikenang, dan saya pasti anda juga. Bagaimanakah ia akan menjadi suatu yang tidak mudah dilupakan bergantung kepada setiap kita. Ia amat penting bagi saya kerana pengalaman dalam persediaan untuk persidangan ini telah mengubah saya dalam cara saya inginkan ia untuk kekal. Biarlah saya jelaskan.

Persediaan saya membawa saya untuk membaca catatan peristiwa Pemulihan. Saya telah membaca peristiwa itu banyak kali, tetapi ia sentiasa merupakan satu laporan pertemuan penting yang melibatkan Joseph Smith, nabi Pemulihan. Tetapi kali ini saya belajar bagaimana Tuhan membimbing kita, para pengikut-Nya, dalam Gereja-Nya. Saya pelajari apa maksudnya bagi kita yang fana dibimbing oleh Juruselamat dunia, Pencipta—yang ketahui segala hal, yang lalu, kini, dan yang akan datang. Dia mengajar kita langkah demi langkah dan membimbing kita, tidak pernah memaksa.

Pertemuan yang saya huraikan merupakan detik yang amat penting dalam Pemulihan. Ia merupakan satu pertemuan hari Sabat yang diadakan pada 3 April 1836, di Bait Suci Kirtland, Ohio, tujuh hari selepas ia telah dibaktikan. Joseph Smith menggambarkan detik hebat ini dalam sejarah dunia dengan cara yang mudah. Kebanyakan laporan ini dicatat dalam Ajaran dan Perjanjian bahagian 110:

“Pada waktu tengah hari, saya membantu para Presiden yang lain mengedarkan Perjamuan Tuhan kepada Gereja, menerimanya daripada Dua Belas, yang mempunyai hak istimewa untuk bertugas di meja yang kudus hari ini. Setelah melaksanakan pelayanan ini kepada saudara-saudaraku, saya mengundurkan diri ke mimbar, dengan tirai diturunkan, dan membongkokkan diri saya, bersama Oliver Cowdery, dalam doa yang khusyuk dan senyap. Setelah bangkit daripada doa, penglihatan berikut dibukakan kepada kami berdua.”1

“Tirai diambil dari minda kami, dan mata pemahaman kami dibukakan.

“Kami melihat Tuhan berdiri di atas sandaran mimbar itu, di hadapan kami; dan di bawah kaki-Nya terdapat turapan berlapiskan emas murni, dengan warna seperti kuning jingga.

“Mata-Nya bagaikan nyalaan api; rambut kepala-Nya putih bagaikan salji yang murni; air muka-Nya bersinar melebihi keterangan matahari; dan suara-Nya bagaikan bunyi deru perairan yang luas, bahkan suara Yehova, memfirmankan:

“Akulah yang pertama dan yang terakhir; Akulah Dia yang hidup, Akulah Dia yang dibunuh; Akulah pembelamu dengan Bapa.

“Lihatlah, dosa-dosamu diampuni bagimu; kamu bersih di hadapan-Ku; oleh kerana itu, angkatlah kepalamu dan bersukacitalah.

“Biarlah hati saudara-saudaramu bersukacita, dan biarlah hati seluruh umat-Ku bersukacita, yang telah, dengan daya mereka, membangunkan rumah ini demi nama-Ku.

“Kerana lihatlah, Aku telah menerima rumah ini, dan nama-Ku akan berada di sini; dan Aku akan menyatakan diri-Ku kepada umat-Ku dengan belas kasihan di dalam rumah ini.

“Ya, Aku akan menampakkan diri kepada para hamba-Ku, dan berfirman kepada mereka dengan suara-Ku sendiri, jika umat-Ku akan mentaati perintah-perintah-Ku, dan tidak mencemarkan rumah kudus ini.

“Ya beribu dan berpuluh ribu hati manusia akan bersukacita dengan besar disebabkan berkat-berkat yang akan dicurahkan, dan penganugerahan yang dengannya para hamba-Ku telah dianugerahi di dalam rumah ini.

“Dan kemasyhuran rumah ini akan tersebar ke negeri-negeri asing; dan inilah permulaan bagi berkat yang akan dicurahkan ke atas umat-Ku. Demikianlah. Amin.

“Setelah penglihatan ini ditutup, syurga dibukakan lagi kepada kami; dan Musa menampakkan diri di hadapan kami, dan menganugerahkan kepada kami kunci-kunci pengumpulan Israel dari empat bahagian bumi, dan pimpinan sepuluh suku dari negeri utara.

“Selepas itu, Elias menampakkan diri, dan menganugerahkan zaman keagamaan Injil Abraham, mengatakan bahawa melalui kami dan keturunan kami semua generasi selepas kami akan diberkati.

“Setelah penglihatan ini ditutup, satu lagi penglihatan besar dan mulia muncul kepada kami; kerana Nabi Elia, yang diambil ke syurga tanpa merasakan kematian, berdiri di hadapan kami, dan berkata:

“Lihatlah, waktunya telah sepenuhnya datang, yang telah dibicarakan oleh mulut Maleakhi—bersaksi bahawa dia [Elia] akan diutus, sebelum hari Tuhan yang agung dan mengerikan datang—

“Untuk memalingkan hati nenek moyang kepada anak-anak, dan anak-anak kepada nenek moyang, agar seluruh bumi tidak dihentam dengan kutukan—

“Oleh kerana itu, kunci-kunci zaman keagamaan ini dianugerahkan ke dalam tanganmu; dan dengan ini kamu boleh tahu bahawa hari Tuhan yang agung dan mengerikan sudah dekat, bahkan berada di depan pintu.”2

Saya telah membaca laporan itu banyak kali. Roh Kudus telah mengesahkan kepada saya bahawa laporan itu benar. Tetapi apabila saya mengkaji dan bersedia bagi persidangan ini, saya dapat melihat dengan lebih jelas kuasa Tuhan dalam bimbingan terperinci bagi para pengikut-Nya dalam pekerjaan-Nya.

Tujuh tahun sebelum Musa memberikan kepada Joseph kunci-kunci pengumpulan Israel di Bait Suci Kirtland, “Joseph pelajari daripada halaman judul Kitab Mormon bahawa tujuannya adalah untuk ‘memperlihatkan kepada bani Israel yang selebihnya … agar mereka boleh mengetahui perjanjian-perjanjian Tuhan, agar mereka tidak disingkirkan untuk selamanya.’ Pada tahun 1831, Tuhan berfirman kepada Joseph bahawa pengumpulan Israel akan bermula di Kirtland, ‘Dan dari sana [Kirtland], barang siapa yang Aku kehendaki akan pergi ke kalangan segala bangsa … kerana Israel akan diselamatkan, dan Aku akan menuntun mereka.’”3

Walaupun pekerjaan penginjil diperlukan untuk pengumpulan Israel, Tuhan telah mengilhami pemimpin-pemimpin Dia untuk mengajar Dua Belas, yang menjadi penginjil-penginjil awal kita, “Ingatlah kamu tidak boleh pergi ke kalangan segala bangsa, kecualilah anda menerima anugerahan anda.”4

Nampaknya Bait Suci Kirtland penting secara langkah demi langkah dalam rancangan Tuhan kerana dua sebab: Pertama, Musa menunggu sehingga bait suci siap dibina untuk memulihkan kunci-kunci pengumpulan Israel. Dan kedua, Presiden Joseph Fielding Smith mengajarkan bahawa “Tuhan memerintahkan Orang Suci untuk membina satu bait suci [Bait Suci Kirtland] di mana dia boleh mengungkapkan kunci-kunci hak kuasa dan di mana rasul-rasul boleh dianugerahkan dan disediakan untuk memangkas ladang anggurnya buat kali terakhir.”5 Walaupun anugerahan bait suci yang kita ketahui hari ini tidak diberikan di Bait Suci Kirtland, dalam pengenapan nubuat, tatacara-tatacara persediaan bait suci mula diperkenalkan di sana, berserta dengan suatu pencurahan pernyataan rohani yang melengkapkan mereka yang dipanggil untuk melayani misi dengan janji anugerahan “kuasa dari syurga”6 yang menghasilkan satu pengumpulan hebat melalui pelayanan penginjil.

Setelah kunci-kunci pengumpulan Israel telah diberikan kepada Joseph, Tuhan mengilhami Nabi untuk menghantar ahli-ahli Dua Belas untuk melayani misi. Dalam pengkajian saya, ia menjadi jelas bagi saya bahawa Tuhan telah menyediakan cara yang terperinci untuk Dua Belas pergi ke misi luar negara di mana orang ramai telah disediakan untuk mempercayai dan menyokong mereka. Lambat laun, beribu-ribu orang, melalui mereka, di bawa masuk ke dalam Gereja Tuhan yang dipulihkan.

Menurut catatan-catatan kita, ia dianggarkan antara 7,500 dan 8,000 orang telah dibaptiskan ketika dua misi Dua Belas di Kepulauan Britain. Ini membentuk landasan bagi pekerjaan penginjil di Eropah. Pada akhir abad ke-19, seramai 90,000 ahli telah berkumpul untuk ke Amerika, yang mana kebanyakannya datang dari Kepulauan Britain dan Skandinavia.7 Tuhan telah mengilhami Joseph dan penginjil-penginjil beriman yang telah pergi bekerja untuk memperoleh hasil yang, pada ketika itu, nampak mustahil. Tetapi Tuhan, bersama wawasan sempurna dan persediaan Dia, membolehkan ia terjadi.

Anda ingat bahasa mudah dan hampir puitis dari bahagian 110 dalam Ajaran dan Perjanjian:

“Lihatlah, waktunya telah sepenuhnya datang, yang telah dibicarakan oleh mulut Maleakhi—bersaksi bahawa dia [Elia] akan diutus, sebelum hari Tuhan yang agung dan mengerikan datang—

“Untuk memalingkan hati nenek moyang kepada anak-anak, dan anak-anak kepada nenek moyang, agar seluruh bumi tidak dihentam dengan kutukan—

“Oleh kerana itu, kunci-kunci zaman keagamaan ini dianugerahkan ke dalam tanganmu; dan dengan ini kamu boleh tahu bahawa dari Tuhan yang agung dan mengerikan sudah dekat, bahkan berada di depan pintu.”8

Saya bersaksi bahawa Tuhan melihat jauh ke masa hadapan dan bagaimana Dia akan membimbing kita untuk membantu Dia mencapai tujuan-tujuan Dia di hari-hari terakhir.

Ketika saya melayani dalam Uskup Utama bertahun yang lalu, saya ditugaskan untuk menyelia kumpulan rekaan dan pembangunan yang menciptakan apa yang kita kini panggil FamilySearch. Saya dengan berhati-hati katakan saya “menyelia” penciptaannya dan bukan “mengarahkan” nya. Ramai orang bijak yang telah meninggalkan kerjaya lain dan datang untuk membina apa yang dikehendaki Tuhan.

Presidensi Utama telah menetapkan satu matlamat untuk mengurangkan pertindihan tatacara-tatacara. Kebimbangan utama kita adalah tidak mengetahui jika tatacara seseorang telah dilaksanakan atau tidak. Bertahun-tahun—atau bagaikan bertahun-tahun—Presidensi Utama bertanyakan saya, “Bilakah anda akan siapkannya?”

Dengan doa, ketekunan, dan pengorbanan peribadi mereka yang berkebolehan tinggi, tugas itu dicapai. Ia berlaku secara langkah demi langkah. Tugas pertama adalah untuk membuatkan FamilySearch mesra pengguna bagi mereka yang tidak selesa menggunakan komputer. Lebih banyak perubahan yang berlaku, dan saya tahu ia akan berterusan, kerana apabila kita menyelesaikan satu masalah terilham, kita membuka pintu untuk lebih wahyu bagi kemajuan yang juga penting tetapi belum dijumpai. Termasuklah hari ini, FamilySearch sedang menjadi apa yang Tuhan perlukan bagi sebahagian daripada Pemulihan Dia—dan bukannya hanya untuk mengelak pertindihan tatacara-tatacara.

Tuhan membenarkan kita membuat penambahbaikan untuk membantu orang memperoleh pengetahuan dan juga kasih terhadap nenek moyang mereka dan menyempurnakan tatacara-tatacara bait suci mereka. Kini, sepertimana Tuhan ketahui akan berlaku, pemuda-pemudi menjadi penasihat komputer bagi ibu bapa dan ahli-ahli bahagian mereka. Semua telah memperoleh kebahagiaan hebat dalam pelayanan ini.

Roh Elia sedang mengubah hati mereka yang muda dan tua, kanak-kanak dan ibu bapa, cucu-cucu dan datuk nenek. Bait suci akan sekali lagi dengan sukacitanya menjadualkan peluang-peluang pembaptisan dan tatacara-tatacara kudus yang lain. Keinginan untuk melayani nenek moyang kita dan ikatan hubungan ibu bapa dan anak-anak semakin meningkat.

Tuhan telah melihat semua yang akan datang. Dia telah pun merancangnya, langkah demi langkah, sepertimana Dia telah lakukan dengan perubahan-perubahan lain dalam Gereja-Nya. Dia telah membangkitkan dan menyediakan umat-umat beriman yang memilih untuk melakukan hal-hal yang susah dengan baik. Dia sentiasa dengan penuh kasih dan kesabaran membantu kita belajar “baris demi baris, ajaran demi ajaran, di sini sedikit dan di sana sedikit.”9 Dia tegas dalam pengaturan masa dan turutan hasrat-Nya, namun Dia memastikan pengorbanan sering membawa berkat-berkat berterusan yang kita tidak jangkakan.

Saya mengakhiri dengan menyatakan kesyukuran saya kepada Tuhan—Dia yang mengilhami Presiden Nelson untuk menjemput saya membuat satu pengorbanan untuk bersedia bagi persidangan ini. Setiap jam dan setiap doa dalam persediaan saya membawa suatu berkat.

Saya menjemput semua yang mendengar pesanan atau membaca kata-kata ini untuk percaya bahawa Tuhan sedang membimbing Pemulihan injil-Nyadan Gereja-Nya. Dia memimpin kita. Dia ketahui masa depan dengan sempurna. Dia menjemput anda untuk bekerja. Dia terlibat bersama anda dalam usaha itu. Dia telah pun punyai rancangan bagi pelayanan anda. Dan apabila anda berkorban, anda akan berasa gembira apabila anda membantu orang untuk bangkit dan bersedia bagi kedatangan Dia.

Saya bersaksi kepada anda bahawa Tuhan Bapa hidup. Yesus ialah Kristus. Inilah Gereja-Nya. Dia kenali dan kasihi anda. Dia membimbing anda. Dia telah menyediakan jalan untuk anda. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.