Jiwa yang Rendah Hati Berlutut di Altar
Semasa kita membuat dan menghormati perjanjian kita, kita mengikat diri kepada Juruselamat, memperoleh akses yang lebih besar kepada belas kasihan, perlindungan, pengudusan, penyembuhan, dan istirahat.
Terima kasih, koir, untuk kesaksian melalui lagu rohani baharu.
Lagu rohani sakramen baharu “Bread of Life, Living Water” memenuhi jiwa saya. Satu baris dalam lagu rohani itu berkata, “Now I come before the altar, off’ring Him my broken heart.”
Pemahaman saya tentang kata-kata itu bertambah tidak lama selepas keluarga kami meninggalkan Newbury Park, California, untuk melayani di Misi Utah Ogden pada tahun 2015. Saya menerima jemputan ke lawatan Pangkalan Tentera Udara Hill berdekatan Layton, Utah. Saya tidak pernah berada di pangkalan tentera, bertemu dengan seorang paderi tentera atau mereka yang bekerja memberi keselamatan dan perlindungan untuk negara mereka.
Paderi Harp, seperti ribuan paderi sukarelawan dan profesional lain yang berkhidmat di penjara, hospital, dan pangkalan tentera di seluruh dunia, mengilhami dan mengangkat saya. Hentian terakhir kami di pangkalan itu adalah tempat ibadat. Saya bertanya kepada paderi jika dia melayani semua orang yang ingin beribadat. Dia pergi ke dinding depan gereja dan dia menarik keluar kayu salib dari belakang langsir. Dia berkata dia gunakan kayu salib untuk pertemuan Protestan dan Katolik. Saya bertanya apa yang dia gunakan untuk saudara dan saudari Yahudi kita, dan dia pergi ke dinding depan di sebelah, dan menarik keluar bintang Daud.
Saya kemudian bertanya, “Apakah yang anda lakukan untuk pertemuan Orang Suci Zaman Akhir?” Dia menolak lambang-lambang itu dan menunjuk ke altar kayu yang besar di tengah-tengah rumah ibadat. Dia berkata bahawa para ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir menyediakan dan memberkati roti dan air di atas altar. Saya bertanya jika altar yang besar dan kelihatan kekal itu dikeluarkan sebelum pertemuan saudara dan saudari Yahudi, Islam, Katolik, atau Protestan kita. Dia berkata altar itu kekal di tempatnya, kerana beberapa agama tersebut juga menggunakannya dengan cara tersendiri.
Abraham membina altar, mengikat Ishak, dan hampir mengorbankan anaknya, tetapi tangannya ditahan, dan dia isytiharkan, seperti Tuhan, “Aku di sini”! Berapa kalikah Tuhan yang Agung atau salah seorang nabi-Nya secara sukarela berkata, “Aku di sini”?
Semasa Khutbah-Nya di atas Bukit, Juruselamat menjemput kita untuk berdamai dengan saudara dan saudari kita sebelum kita mendekati altar. Paulus mengajar bahawa kita “disucikan” di altar melalui Korban Tebusan Yesus Kristus.
Nabi Lehi “meninggalkan rumahnya … dan benda berharganya. … [Kemudian] dia membina sebuah altar … dan membuat suatu persembahan … , dan memberi syukur kepada Tuhan.”
Alkitab dan Kitab Mormon mengajar kita untuk menyembah Putera Tuhan di altar. Mengapa?
Ibu bapa pertama kita, Adam dan Hawa, membina dan menyembah di altar. Selepas mereka diusir dari Taman Eden dan telah menyembah selama “berhari-hari,” seorang malaikat berkunjung dan tanya soalan yang memilukan yang boleh ditanyakan kepada setiap kita: “Mengapakah engkau mempersembahkan korban-korban kepada Tuhan?”
Adam menjawab, “Aku tidak tahu.”
Jawapan malaikat terhadap pengakuan Adam yang rendah hati itu sangat menakjubkan: “Ini … merupakan suatu kemiripan akan pengorbanan Anak Tunggal Bapa. … Kerana itu, engkau haruslah melakukan semua yang engkau lakukan dalam nama Putera, dan engkau harus bertaubat dan meminta kepada Tuhan dalam nama Putera sepanjang masa.”
Meja sakramen dan altar bait suci melambangkan pengorbanan Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya yang tidak terhingga.
Semasa kita membuat dan menghormati perjanjian kita, menerima tatacara sakramen di gereja dan anugerahan dan pemeteraian di bait suci, kita mengikat diri kepada Juruselamat, memperoleh akses yang lebih besar kepada belas kasihan, perlindungan, pengudusan, penyembuhan, dan istirahat.
Belas Kasihan dan Perlindungan Melalui Perjanjian
Sebagai pemuda berumur 15 tahun, saya bertanya kepada ayah jika saya boleh untuk tidak hadir pertemuan sakramen—hanya satu hari Ahad pada bulan Januari untuk satu perlawanan bola sepak Amerika. Dia kata saya cukup umur untuk buat pilihan sendiri dan minta saya untuk pertimbangkan satu nasihat. Dia kata, “Jika anda pilih untuk terlepas sakramen sekali, ia nya lebih mudah untuk pilih tidak hadir sekali lagi.”
Jika Juruselamat ialah penyambung yang hebat, maka musuh adalah pemisah. Dia, Setan, menggoda kita untuk memisahkan diri kita daripada tempat penyembahan dan daripada perlindungan Yesus Kristus. Apabila kita menyembah Juruselamat, kita menerima “kuasa untuk melawan aliran duniawi.” Apabila kita meluangkan masa berkomunikasi dengan-Nya, kita dijanjikan untuk “dibebaskan dari Setan.” “Kemudian, semasa kita taati perjanjian kita, Dia menganugerahi kita dengan … kuasa pengukuhan-Nya.” Betapa saya menghargai pengalaman berkomunikasi dengan Juruselamat melalui perjanjian yang dibuat di altar kudus.
Membina pemahaman tentang Korban Tebusan abadi Juruselamat baris demi baris, ajaran demi ajaran, menyediakan perlindungan rohani terhadap musuh. Elder Jaggi yang muda di Mexico, Zuster [Sister] Jaggi di Belgium, dan para misionari lain di seluruh dunia lebih cenderung untuk melihat rakan mereka menerima berkat pembaptisan dan kurnia Roh Kudus jika rakan mereka menghadiri pertemuan sakramen dalam minggu pertama setelah berjumpa.
Seorang belia di Tonga atau Samoa lebih cenderung untuk dimeteraikan di rumah Tuhan jika mereka telah bersedia untuk menerima anugerahan mereka tidak lama selepas tamat sekolah. Dalam anugerahan, ahli dijemput untuk menjalani, mematuhi, dan mentaati lima hukum yang memberi kuasa dan perlindungan dalam kehidupan mereka. Semasa kita membuat perjanjian dengan Tuhan, satu hubungan dua hala terbentuk. Kita menunjukkan kesetiaan dan kasih kita kepada-Nya. Kekuatan dan kuasa kita berkembang dengan setiap janji yang dibuat dan ditaati.
Renungan dan Pengudusan
Apabila kita berlutut di altar Tuhan dengan rendah hati, ia adalah peluang untuk merenung, “sehubungan dengan keangkuhan hati [kita], … [merendahkan hati kita] di hadapan Tuhan.” Sebelum keluar bersama kawan-kawan saya semasa remaja, ibu saya sering berkata, “Ingat siapa diri kamu, dan beritahu bila sampai di rumah.” Ada malam saya terlepas untuk memberitahu kerana saya tiba di rumah terlalu lewat. Saya menyesal kehilangan hubungan penting itu dengan Ibu.
Hari ini saya berharap untuk berhubung dengan Bapa Syurgawi. Dalam pola penyembahan peribadi saya, saya berlutut dalam doa, di sebelah katil atau berkumpul dengan keluarga, dan saya membayangkan diri berlutut di altar, merenung dan memeriksa hidup saya. Saya berfikir tentang sakramen, bahkan kepingan roti, dipatah dan dikoyak untuk kita, setiap lambang tubuh Juruselamat kita yang terluka. Saya diingatkan tentang pengajaran Presiden Dallin H. Oaks bahawa “each piece of bread is unique, just as the individuals who partake of it are unique.” Apabila saya berlutut dalam doa, saya berfikir bagaimana saya boleh menyerahkan kehendak saya kepada Tuhan.
Elder David A. Bednar mengajar bahawa: “tatacara sakramen adalah satu jemputan kudus yang berulang-ulang untuk bertaubat dan dibaharui secara rohani. Tindakan mengambil sakramen tidak menghapuskan dosa. Tetapi semasa kita bersedia dengan sedar dan mengambil bahagian dalam tatacara kudus ini dengan satu hati yang hancur dan jiwa yang menyesal, kita dijanji bahawa kita akan selalu memiliki Roh Tuhan bersama kita. Dan dengan kuasa Roh Kudus sebagai teman kita, kita boleh selalu mengekalkan pengampunan dosa-dosa kita.”
Apabila Amy dan saya melihat pengalaman hidup kami dengan teliti, kita meraikan kurnia kasih dan pengorbanan Yesus Kristus yang sempurna. Kita juga melihat bagaimana kemurkaan neraka telah dilepaskan. Bagaimanakah kita dapat mengatasi penghakiman, kebimbangan, kemurungan, penyakit, buli dalam talian, identiti yang dicuri, keguguran, kehilangan anak, atau ahli keluarga? Kerana Yesus mengambil cawan kegetiran yang pahit, cawan kemurkaan—untuk saya, untuk keluarga saya, untuk kita semua!
Gethsemane [Getsemani], oleh Adam Abram, ihsan daripada altusfineart.com © 2025
“Cawan pahit” Dia minum di Taman Getsemani dan penderitaan-Nya “bertambah hebat” di atas kayu di Kalvari membolehkan kita meletakkan yang keras, sombong, ganas, marah, dan gementar di atas altar Tuhan dan “dikuduskan melalui penerimaan Roh Kudus,” selalu.
Sister Patricia Holland berkata, “Doa saya yang paling mendalam untuk anda dan diri saya hari ini adalah kita akan beri sepenuhnya diri kita di altar janji dan kedamaian Tuhan tidak kira di mana kita berada dan apa yang telah dilakukan.”
Tempat Penyembuhan dan Peristirahatan
Apabila kita sampai ke altar, kita tidak mendapat ganjaran; kita belajar tentang Pemberi Kurnia. Dalam pembelajaran dan pengikat perjanjian itu datanglah penyembuhan. Nefi berkata. “Dia telah memenuhiku dengan kasih-Nya, bahkan sehingga menyelubungi dagingku.” Juruselamat menjemput “Tidakkah kamu akan kembali kepada-Ku sekarang, dan bertaubat dari dosa-dosamu, dan bertukar hati, agar Aku boleh menyembuhkanmu?”
Ketika dua anak perempuan sulung kami, Mackenzie dan Emma, masih kecil, cerita kegemaran mereka adalah The Chronicles of Narnia: The Lion, the Witch and the Wardrobe. Kami semua suka dengan singa, Aslan. Salah satu malam yang paling kami ingati ketika membaca buku itu adalah apabila singa hebat itu mengorbankan nyawanya untuk Edmund. Tidak dapat dilupakan kerana kami berdua dan anak-anak menangis ketika kehidupan singa diambil di Meja Batu oleh Penyihir. Tidak dapat dilupakan kerana harapan yang berterusan, walaupun tragedi berlaku, sehingga sesuatu menakjubkan berlaku. Jeritan kegembiraan bergema di bilik tidur kecil itu apabila Aslan dibangkitkan dan berkata, “Jika [Penyihir tahu maksud sebenar pengorbanan], … dia akan [tahu] bahawa [apabila] seorang yang rela dan tidak bersalah [mati] menggantikan seorang pengkhianat, Meja [Batu] akan retak dan Kematian itu sendiri [mula dileraikan].”
Yesus Kristus menyembuhkan semua luka. Yesus Kristus membolehkan untuk hidup semula.
Dalam ucapan persidangan umum Oktober 2022, Presiden Russell M. Nelson menggambarkan sekumpulan pelawat yang datang semasa rumah terbuka bait suci. Seorang budak lelaki berada di sana. Presiden Nelson telah ajarkan:
“Apabila kumpulan itu memasuki bilik anugerahan, budak lelaki itu tunjuk altar, di mana orang berlutut untuk membuat perjanjian dengan Tuhan, dan berkata, ‘Oh, itu bagus. Ini tempat untuk orang rehat dalam perjalanan bait suci mereka.’
“… Dia mungkin tidak tahu tentang kaitan langsung antara membuat perjanjian dengan Tuhan di bait suci dan janji Juruselamat yang menakjubkan:
“‘Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu.
“‘Ikutlah perintah-Ku dan terimalah ajaran-Ku; … kamu akan mendapat kesejahteraan.
“‘Perintah yang Aku berikan kepada kamu mudah diturut, dan beban yang Aku berikan mudah dipikul.’ [Matius 11:28–30; penekanan ditambah].”
“Putera Manusia tidak mempunyai tempat untuk meletakkan kepala-Nya,” namun Dia menjemput para pengikut-Nya, saya dan anda, ke meja sakramen untuk beristirahat bersama-Nya di sana. Apabila “jiwa-jiwa yang rendah hati berlutut di altar,” kedamaian melimpah. Lengan Juruselamat kita dihulurkan; meja-Nya tersedia. Datanglah menyembah Putera Tuhan di altar kudus-Nya. Dalam nama Yesus Kristus, amin.