Mengingati Domba-Domba
Asas pengiraan dan kerja-kerja pelaporan. Itulah cara Tuhan.
Kristus ialah Gembala yang Baik. Setiap satu daripada kawanan amat berharga bagi-Nya. Dia mencorakkan penggembalaan dan mengajar kita melalui perkataan dan tindakan tentang sifat gembala yang baik, termasuk mengenali domba dengan nama, mengasihi, mencari yang hilang, memberi makan, dan membawa mereka kembali. Dia harapkan kita melakukan perkara yang sama seperti para gembala-Nya.
Kita boleh belajar banyak tentang pelayanan cara Tuhan daripada nabi zaman purba—dan gembala yang luar biasa—Moroni. Dia hidup pada masa yang sangat sukar, tidak mempunyai telefon bimbit, komputer, dan internet. Tetapi dia berjaya menjaga domba-domba itu. Bagaimanakah ini dilakukan? Kita mendapat gambaran tentang cara-Nya di Moroni 6. Kita baca bahawa ahli-ahli baharu “dihitung di kalangan umat gereja Kristus; dan nama mereka telah dicatat, agar mereka boleh diingati dan dipelihara oleh firman Tuhan yang baik, untuk memelihara mereka di dalam jalan yang benar. … Gereja sering bertemu bersama, untuk berpuasa dan berdoa, dan untuk berbicara antara satu sama lain tentang kesejahteraan jiwa mereka” (Moroni 6:4–5; penekanan ditambah).
Bagi Moroni, yang paling penting ialah orang—nama mereka! Dia amalkan asas mengira dan melaporkan supaya semua akan diingati. Sesiapa yang bergelut atau tersasar dapat dikenal pasti, agar para Orang Suci boleh bincangkan kesejahteraan mereka dalam majlis. Seperti gembala yang meninggalkan sembilan puluh sembilan (selamat dan terpelihara, saya yakin) dan pergi mencari seekor yang hilang (lihat Lukas 15:4–7), kita diminta untuk peka dengan domba kita—perhatikan dan ingat, kemudian pergi dan lakukan hal yang sama.
Sebagai pemimpin misi di India, saya pernah tanya seorang presiden cabang muda tentang matlamatnya untuk tahun akan datang: “Berapa ramai lelaki akan anda sediakan untuk menerima Imamat Melkisedek?” Jawapannya adalah “Tujuh!”
Saya tertanya-tanya dari mana dia mendapat nombor yang begitu khusus itu! Sebelum saya menjawab, dia keluarkan kertas dengan nombor satu hingga tujuh ditulis di bahagian tepi. Lima baris pertama mempunyai nama—orang sebenar yang dia dan kuorum penatuanya akan jemput dan galakkan untuk memperoleh berkat imamat dalam kehidupan mereka. Sudah tentu, saya perlu tanya tentang baris enam dan tujuh yang kosong. “Oh, Presiden,” katanya, sambil menggelengkan kepala dengan penuh simpati “pasti kami akan membaptis sekurang-kurangnya dua lelaki pada awal tahun untuk menerima imamat sebelum akhir tahun ini.” Pemimpin yang hebat ini fahami asas pengiraan dan pelaporan.
Kristus telah mengatur Gereja-Nya sedemikian rupa sehingga sukar untuk melupakan satu jiwa pun, kerana setiap jiwa berharga bagi-Nya. Setiap individu dalam bahagian, tidak kira umur atau jantina, mempunyai banyak pengawas—iaitu gembala—yang ditugaskan untuk jaga mereka, dengan mengingati. Sebagai contoh, seorang remaja putera ditugaskan kepada lembaga uskup, saudara pelayanan, penasihat remaja dewasa, pengajar seminari, presidensi kuorum, dan orang lain—semuanya berperanan sebagai jaring keselamatan yang sedia menyambutnya jika dia terjatuh. Bahkan jika satu jaring sahaja diletakkan dengan betul, remaja itu akan selamat, diperhati, dan diingati. Namun, kerap kali kita tidak menemui jaring di tempatnya. Orang ramai sering tersesat ke dalam kabus—dan tiada siapa yang perasan. Bagaimanakah kita boleh menjadi gembala yang lebih baik? Kita boleh belajar untuk mengira dan melaporkan.
Gereja memberi kita laporan dan alat untuk melakukan itu—untuk mengingat. Laporan Suku Tahunan adalah contoh utama. Ia membenarkan kita untuk mengira dan melaporkan setiap ahli beberapa kali dan untuk menyedari mereka yang hilang atau memerlukan bantuan dan kasih kita. Senarai Tindakan dan Temu Duga mengenal pasti mereka yang memerlukan perhatian kita sekarang, seperti laporan Status Kad Rekomen Bait Suci dan lain-lain. Pengiraan dan alat pelaporan ini menumpukan kita pada orang. Siapakah yang memerlukan panggilan, kemajuan imamat, atau bantuan membawa nama keluarga ke bait suci? Siapakah yang kita boleh bantu bagi bersedia untuk misi sepenuh masa? Siapakah yang hilang bulan ini? Alat-alat ini membantu kita mengingati orang.
Saya kenal sebuah keluarga dari Amerika Syarikat yang mengambil tugasan di Afrika. Pada hari Ahad pertama, mereka masuk ke satu-satunya unit Gereja di negara itu, di mana mereka disapa dengan semangat. Menjelang tengahari, isteri lelaki itu telah dipanggil sebagai presiden Lembaga Pertolongan dan lelaki itu sebagai pemimpin Remaja Putera! Dia bertanya kepada presiden cabang yang kelihatan letih, berapa ramai remaja putera yang ada. Pemimpin generasi pertama yang setia ini menunjuk ke belakang dewan sakramen dan berkata, “Mereka berdua di sana.” Lelaki itu ragu-ragu, lalu dia mengambil senarai ahli cabang, melihat bahawa sebenarnya terdapat 20 remaja putera dalam senarai itu. Dia kembali kepada presiden cabang dan meminta dua orang belia yang dinamik dan dwibahasa untuk melayani sebagai penasihatnya, kemudian duduk bersama mereka dan dua remaja putera itu untuk menyemak senarai nama.
Kemudian para remaja yang tekun ini pergi bekerja. Dalam beberapa bulan, mereka menemui setiap remaja putera yang disenaraikan. Nama demi nama, domba-domba yang hilang itu dialu-alukan kembali oleh rakan-rakan mereka dan dijamu secara rohani dan jasmani! Dalam tempoh setahun, pada setiap hari Ahad, purata kehadiran remaja putera adalah 21 orang. Kami bersyukur kepada para remaja putera yang membuat pengiraan dan pelaporan.
Seorang rakan yang saya kasihi, sebagai pelajar siswazah muda, dia berpindah bersama keluarganya ke kota Amerika untuk meneruskan pendidikan. Dia segera dipanggil untuk mengetuai kuorum penatua. Sedikit gementar tentang temu duga pertamanya dengan presiden pancang, dia bertekad untuk bersedia. Dia memberitahu presiden pancang bahawa dia mempunyai tiga matlamat untuk tahun akan datang: (1) 90 peratus pelayanan, (2) pelajaran injil setiap minggu, dan (3) aktiviti kuorum yang dirancang dengan baik setiap bulan.
Tersenyum kepada rakan saya, presiden pancang yang bijak ini bertanya, “Bolehkah kamu namakan seorang ahli kuorum yang kurang aktif yang kamu boleh bantu pergi ke bait suci bersama keluarganya tahun ini?” Ini mengejutkan rakan saya. Dia berfikir dengan teliti dan mencadangkan satu nama. “Tuliskan nama itu,” arah presiden pancang. Kemudian pemimpin berpengalaman ini bertanya soalan yang sama tiga kali lagi—dan temu duga itu tamat. Lelaki muda ini keluar dari temu duga setelah mempelajari salah satu pengajaran terbesarnya tentang kepimpinan dan pelayanan. Dia pergi ke temu duga dengan program, pelajaran, dan aktiviti. Dia berjalan keluar dengan senarai nama! Empat nama itu kemudiannya menjadi tumpuan utama pelayanannya dan kuorumnya.
Sebagai pemimpin misi, saya melawat salah satu cabang suatu pagi Ahad. Saya perhatikan presiden cabang itu menyimpan kad dari poketnya dan menulis di atasnya. Saya ingin bertanya kepadanya tentang itu selepas doa penutup. Setelah pertemuan berakhir dan sebelum saya bertanya tentang kad itu, pemimpin misi cabang pergi ke podium, di mana kertas itu diserahkan. Saya dengan cepat mengikuti pemimpin bersemangat ini ke pertemuan penyelarasan misionari cabang mingguan. Sebelum bermula, dia mengambil kertas itu dari poketnya. Ia dipenuhi dengan nama-nama ahli yang tidak menghadiri pertemuan sakramen. Dalam beberapa minit, setiap ahli majlis memilih satu atau dua nama, membuat komitmen untuk melawat mereka pada hari itu untuk pastikan bahawa mereka OK dan beritahu bahawa mereka dirindui. Itulah yang dinamakan pengiraan dan pelaporan.
Saya teringat akan satu daerah, tempatnya jauh dari bait suci terdekat, di mana mengekalkan kad rekomen semasa adalah keutamaan yang tinggi, walaupun ia mungkin tidak akan digunakan. Hari Ahad pertama setiap bulan, para pemimpin menggunakan alat pengiraan mereka untuk menghitung ahli-ahli yang telah dianugerahi. Jika mereka mendapati satu kad rekomen tidak lama lagi akan tamat tempoh, setiausaha eksekutif akan menjadualkan temu duga pembaharuan. Mereka yang tamat tempoh kad rekomen diberi nasihat, kemudian dihubungi untuk dibantu kembali ke jalan perjanjian. Saya bertanya berapa ramai ahli yang dianugerahi mempunyai kad rekomen semasa. Jawapannya mengagumkan, sebanyak 98.6 peratus. Apabila ditanya tentang enam orang yang tempoh sah kad rekomen telah luput, para pemimpin dapat mengenal pasti mereka dengan nama dan gambarkan kepada saya usaha yang dibuat untuk membawa mereka kembali!
Beberapa tahun yang lalu, keluarga saya berpindah kembali ke Amerika Syarikat. Kami teruja untuk menghadiri gereja di sini selepas 26 tahun dalam unit-unit yang lebih kecil dan terpencil. Saya dipanggil sebagai misionari bahagian. Kami ada seorang pemimpin misi bahagian yang hebat dan melakukan hal-hal yang menarik serta mengajar orang ramai yang menakjubkan. Saya minta untuk hadiri pertemuan majlis bahagian untuk memerhati dan mendapatkan bantuan mereka dengan rakan yang kami sedang usahakan. Saya terkejut apabila semua yang dibincangkan adalah aktiviti bahagian yang akan datang. Saya mendekati pemimpin misi bahagian selepas itu dan berpendapat bahawa dia tiada peluang untuk kembali dan melapor tentang orang tugasan kami. Jawapannya? “Oh, saya tidak pernah dapat melaporkannya.”
Saya bandingkan pertemuan itu dengan pertemuan majlis cabang di Lahore, Pakistan, yang saya hadiri beberapa minggu sebelumnya. Kumpulan kecil ini duduk di sekeliling meja kecil bersama, dan semua yang mereka bincangkan ialah tentang orang. Nama-nama orang. Setiap pemimpin melaporkan tentang pengawasan mereka dan individu dan keluarga yang mereka ambil berat. Semua berpeluang untuk menambah fikiran dengan cara terbaik yang mereka boleh memberkati orang yang dibincangkan. Rancangan dibuat dan tugasan diberikan. Ini pengajaran yang baik dalam pengiraan dan pelaporan dengan nama saudara dan saudari generasi pertama kita.
Dalam Gereja Yesus Kristus, kita telah diarahkan oleh para nabi masa lalu dan para nabi yang hidup—dan melalui pola yang ditetapkan oleh Juruselamat kita—bagaimana untuk melayani. Kita mengambil nama, kita ingat, dan kita berunding tentang kesejahteraan jiwa-jiwa. Para pemimpin yang melakukan ini tidak akan kehabisan perkara dalam agenda pertemuan majlis mereka! Asas pengiraan dan kerja-kerja pelaporan. Itulah cara Tuhan. Kita boleh lakukannya dengan lebih baik. Bagi Tuhan, yang mencipta alam semesta dan memerintah ke atas semuanya, pekerjaan ini— pekerjaan dan kemuliaan-Nya—adalah sangat peribadi. Dan begitu juga untuk setiap kita, sebagai alat dalam tangan-Nya dalam pekerjaan keselamatan dan permuliaan-Nya yang menakjubkan. Mukjizat-mukjizat dalam kehidupan orang sebenar akan berlaku. Dalam nama Yesus Kristus, amin.