2022
Perjanjian Abadi
Oktober 2022


“Perjanjian Abadi,” Liahona, Okt. 2022.

Pesanan Bulanan Liahona, Oktober 2022

Perjanjian Abadi

Semua yang telah membuat perjanjian dengan Tuhan memiliki akses kepada kasih dan belas kasihan yang istimewa.

Imej
potret Yesus Kristus

The Lord Jesus Christ [Tuhan Yesus Kristus], oleh Del Parson

Di dunia yang penuh peperangan dan desas-desus berkenaan peperangan, keperluan untuk kebenaran, cahaya, dan kasih suci Yesus Kristus adalah lebih besar daripada sebelumnya. Injil Kristus adalah mulia, dan kita diberkati untuk mengkajinya dan menjalankan ajaran-ajarannya. Kita bersukacita atas peluang untuk berkongsi—untuk bersaksi tentang kebenarannya di mana pun kita berada.

Saya kerap bercakap tentang kepentingan perjanjian Abraham dan pengumpulan Israel. Apabila kita memeluk injil dan dibaptiskan, kita mengambil ke atas diri kita nama kudus Yesus Kristus. Pembaptisan adalah pintu gerbang yang membawa kepada menjadi pewaris bersama kepada semua janji yang Tuhan berikan pada zaman dahulu kepada Abraham, Ishak, Yakub, dan keturunan mereka.1

“Perjanjian yang baru dan abadi”2 (Ajaran dan Perjanjian 132:6) dan perjanjian Abraham pada dasarnya adalah sama—dua cara frasa perjanjian yang Tuhan buat dengan lelaki dan wanita fana pada zaman yang berlainan.

Adjektif abadi menandakan perjanjian ini wujud sebelum pengasasan dunia! Rancangan yang disampaikan dalam Sidang Raya di Syurga termasuk kesedaran bahawa kita semua akan disingkirkan daripada hadirat Tuhan. Namun, Tuhan berjanji bahawa Dia akan menyediakan seorang Juruselamat yang akan mengatasi kesan Kejatuhan. Tuhan memberitahu Adam selepas pembaptisannya:

“Engkau ada menurut tarekat-Nya yang merupakan tanpa permulaan hari atau pengakhiran tahun, dari kekekalan ke seluruh kekekalan.

“Lihatlah, engkau ialah satu di dalam Aku, seorang anak Tuhan; dan demikianlah semoga semua menjadi anak-anak-Ku” (Musa 6:67–68).

Adam dan Hawa menerima tatacara pembaptisan dan memulakan proses menjadi satu dengan Tuhan. Mereka telah memasuki jalan perjanjian.

Apabila anda dan saya memasuki jalan itu, kita mempunyai cara hidup yang baharu. Dengan demikian kita mencipta hubungan dengan Tuhan yang membenarkan Dia memberkati dan mengubah kita. Jalan perjanjian membawa kita kembali kepada-Nya. Jika kita membiarkan Tuhan menang dalam hidup kita, perjanjian itu akan membawa kita lebih dekat kepada-Nya. Semua perjanjian bertujuan untuk mengikat. Ia mencipta perhubungan yang kekal.

Kasih dan Belas Kasihan Yang Istimewa

Apabila kita membuat perjanjian dengan Tuhan, kita meninggalkan kehidupan sambil lewa selamanya. Tuhan tidak akan tinggalkan hubungan-Nya dengan mereka yang menjalin ikatan itu dengan-Nya. Semua yang telah membuat perjanjian dengan Tuhan memiliki akses kepada kasih dan belas kasihan yang istimewa. Dalam bahasa Ibrani, kasih perjanjian itu dipanggil hesed (חֶסֶד).3

Hesed tidak mempunyai makna bahasa Inggeris yang setaraf dengannya. Penterjemah Alkitab versi Raja James semestinya telah bergelut untuk menterjemah hesed dalam bahasa Inggeris. Mereka sering memilih “kasih.” Ini memberi gambaran luas tetapi tidak seluruh makna hesed. Terjemahan lain juga diberi, seperti “belas kasihan” dan “kebaikan.” Hesed adalah istilah unik yang menggambarkan hubungan perjanjian di mana kedua-dua pihak terikat untuk setia dan beriman kepada satu sama lain.

Perkahwinan selestial adalah hubungan perjanjian sedemikian. Seorang suami dan isteri membuat perjanjian dengan Tuhan dan dengan satu sama lain untuk setia dan beriman kepada satu sama lain.

Hesed adalah kasih dan belas kasihan istimewa yang Tuhan rasakan dan berikan kepada mereka yang membuat perjanjian dengan-Nya. Dan kita membalas dengan hesed kepada-Nya.

Imej
pasangan yang baru berkahwin di luar bait suci

Apabila anda dan saya membuat perjanjian dengan Tuhan, hubungan kita dengan Dia menjadi lebih dekat daripada sebelum perjanjian kita. Kini, kita diikat bersama.

Foto oleh Jerry L. Garns

Kerana Tuhan ada hesed kepada mereka yang telah berjanji dengan-Nya, Dia akan mengasihi mereka. Dia akan terus bekerja bersama dan menawarkan mereka peluang untuk berubah. Dia akan mengampuni mereka apabila mereka bertaubat. Dan jika mereka sesat, Dia akan membantu mereka mencari jalan kembali kepada-Nya.

Apabila anda dan saya membuat perjanjian dengan Tuhan, hubungan kita dengan Dia menjadi lebih dekat daripada sebelum perjanjian kita. Kini, kita diikat bersama. Kerana perjanjian kita dengan Tuhan, Dia tidak akan pernah hentikan usaha-Nya untuk membantu kita, dan kita tidak akan menghabiskan kesabaran-Nya terhadap kita. Setiap kita mempunyai tempat istimewa dalam hati Tuhan. Dia mempunyai harapan yang tinggi untuk kita.

Anda tahu tentang perisytiharan bersejarah yang Tuhan berikan kepada Nabi Joseph Smith. Ia datang melalui wahyu. Tuhan berfirman kepada Joseph, “Janji ini adalah milikmu juga, kerana kamu adalah dari Abraham, dan janji itu dibuat kepada Abraham” (Ajaran dan Perjanjian 132:31).

Oleh itu, perjanjian abadi ini telah dipulihkan sebagai sebahagian daripada Pemulihan kegenapan injil yang agung. Fikirkanlah! Perjanjian perkahwinan yang dibuat dalam bait suci terikat langsung kepada perjanjian Abraham. Dalam bait suci, pasangan diperkenalkan kepada semua berkat yang tersedia untuk keturunan Abraham, Ishak, dan Yakub yang beriman.

Seperti Adam, anda dan saya secara peribadi memasuki jalan perjanjian semasa pembaptisan. Kemudian kita memasukinya dengan lebih lengkap dalam bait suci. Berkat-berkat perjanjian Abraham diberikan dalam bait suci. Berkat-berkat ini membenarkan kita, apabila dibangkitkan, untuk “mewarisi takhta, kerajaan, kuasa, pemerintahan, dan kekuasaan, sehingga ke ‘permuliaan dan kemuliaan dalam segala hal’ [Ajaran dan Perjanjian 132:19].”4

Dalam teks penutup Perjanjian Lama, kita baca tentang janji Maleakhi bahawa Elia akan “menyebabkan bapa dan anak bersatu hati” (Maleakhi 4:6). Pada zaman Israel kuno, rujukan tentang para bapa akan termasuk Abraham, Ishak, dan Yakub. Janji ini dijelaskan apabila kita membaca versi ayat yang dipetik Moroni kepada Nabi Joseph Smith: “Dia [Elia] akan menanamkan dalam hati anak-anak janji-janji yang dibuat kepada para bapa nenek moyang, dan hati anak-anak akan berpaling kepada para bapa nenek moyang mereka” (Joseph Smith—Sejarah 1:39). Para bapa itu semestinya termasuk Abraham, Ishak, dan Yakub. (Lihat Ajaran dan Perjanjian 27:9–10.)

Imej
imej Yesus Kristus

Mereka yang membuat perjanjian kudus dan mentaatinya dijanjikan kehidupan abadi dan permuliaan. Yesus Kristus adalah penjamin perjanjian-perjanjian itu.

Butiran dari Christ and the Rich Young Ruler [Kristus dan Pemerintah Muda yang Kaya], oleh Heinrich Hofmann

Yesus Kristus: Pusat Perjanjian

Korban tebusan Juruselamat membolehkan Bapa memenuhi janji-janji-Nya kepada anak-anak-Nya. Kerana Yesus Kristus adalah “jalan untuk mengenal Tuhan dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui [Dia]” (Yohanes 14:6). Penggenapan perjanjian Abraham boleh dilaksanakan kerana Korban Tebusan Juruselamat kita, Tuhan Yesus Kristus. Yesus Kristus adalah pusat perjanjian Abraham itu.

Perjanjian Lama bukan sahaja sebuah kitab suci; ia juga sebuah kitab sejarah. Anda baca tentang perkahwinan Sarai dan Abram. Kerana mereka tidak mempunyai anak, Sarai memberikan hambanya, Hagar, untuk menjadi isteri Abram, menurut arahan Tuhan. Hagar melahirkan Ismael.5 Abram mengasihi Ismael, tetapi dia bukanlah anak yang perjanjian itu akan terjadi. (Lihat Kejadian 11:29–30; 16:1, 3, 11; Ajaran dan Perjanjian 132:34.)

Sebagai satu berkat Tuhan, dan sebagai jawapan kepada iman Sarai,6 dia mengandung dalam usia tuanya supaya perjanjian itu akan terjadi melalui anaknya , Ishak (lihat Kejadian 17:19). Dia dilahirkan dalam perjanjian.

Tuhan memberi Sarai dan Abram nama baharu—Sara dan Abraham (lihat Kejadian 17:5, 15). Anugerahan nama baharu itu menandakan permulaan kehidupan dan takdir baharu bagi keluarga ini.

Abraham mengasihi Ismael dan Ishak. Tuhan memberitahu Abraham bahawa Ismael akan bertambah banyak dan menjadi sebuah bangsa yang besar (lihat Kejadian 17:20). Pada masa yang sama, Tuhan menjelaskan bahawa perjanjian abadi akan ditubuhkan melalui Ishak (lihat Kejadian 17:19).

Semua yang menerima injil menjadi sebahagian keturunan Abraham. Dalam Galatia kita baca:

“Kamu semua telah dibaptis dan disatukan dengan Kristus. Oleh itu, sekarang kamu sudah menerima sifat-sifat Kristus sendiri.

“… Kamu semuanya menjadi satu kerana Kristus Yesus.

“Jika kamu milik Kristus, maka kamu keturunan Abraham dan akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan” (Galatia 3:27–29).

Oleh itu, kita boleh menjadi pewaris perjanjian sama ada melalui kelahiran atau melalui pengangkatan anak.

Imej
orang ramai berkumpul untuk acara pembaptisan

Apabila kita membuat perjanjian dengan Tuhan, kita meninggalkan tanah neutral selamanya. Tuhan tidak akan tinggalkan hubungan-Nya dengan mereka yang menjalin ikatan itu dengan-Nya.

Anak lelaki Ishak dan Ribka, bernama Yakub dilahirkan dalam perjanjian. Tambahan pula, dia sendiri memilih untuk memasukinya. Seperti yang anda tahu, nama Yakub telah diubah kepada Israel (lihat Kejadian 32:28), bermaksud “membiarkan Tuhan menang” atau “orang yang menang dengan Tuhan.”7

Dalam Keluaran kita baca bahawa “[Tuhan] ingat akan perjanjian yang dibuat-Nya dengan Abraham, Ishak, dan Yakub” (Keluaran 2:24). Tuhan berfirman kepada anak-anak Israel, “Jika kamu taat kepada-Ku dan setia kepada perjanjian-Ku, kamu akan menjadi umat-Ku sendiri” (Keluaran 19:5).

Ungkapan “umat-Ku sendiri” diterjemah dari perkataan Ibrani segullah, bermaksud kepunyaan yang sangat berharga—“harta.”8

Kitab Ulangan menceritakan kepentingan perjanjian. Para Rasul Perjanjian Baru tahu tentang perjanjian ini. Selepas Petrus menyembuhkan seorang lelaki yang tempang di bait suci, dia mengajar para pemerhati tentang Yesus. Petrus berkata, “Tuhan yang disembah oleh Abraham, Ishak, Yakub, dan nenek moyang kita, sudah mempermuliakan Hamba-Nya, Yesus” (Kisah Rasul-Rasul 3:13).

Petrus menutup pesanannya dengan berkata, “Janji-janji Tuhan yang disampaikan oleh nabi-nabi itu untuk saudara-saudara juga. Dalam perjanjian yang dibuat oleh Tuhan dengan nenek moyang saudara-saudara, Tuhan berfirman kepada Abraham, ‘Melalui keturunanmu Aku akan memberkati semua bangsa di bumi.’ Perjanjian itu untuk saudara-saudara juga” (Kisah Rasul-Rasul 3:25). Petrus menjelaskan kepada mereka bahawa sebahagian misi Kristus adalah untuk memenuhi perjanjian Tuhan.

Tuhan memberi khutbah yang serupa kepada bangsa di benua Amerika. Di sana, Kristus yang telah bangkit memberitahu bangsa itu tentang siapakah diri mereka yang sebenar. Dia berfirman:

“Kamulah anak-anak para nabi; dan kamu adalah dari bani Israel; dan kamu adalah dari perjanjian yang telah Bapa buat dengan nenek moyangmu, yang berfirman kepada Abraham: Dan dalam keturunanmulah semua kaum di bumi akan diberkati.

“Bapa telah membangkitkan-Ku kepadamu terlebih dahulu, dan mengutus-Ku untuk memberkatimu dengan memalingkan setiap orang daripadamu dari kederhakaan [mu]; dan ini kerana kamulah anak-anak perjanjian” (3 Nefi 20:25–26).

Adakah anda nampak kepentingan ini? Mereka yang mentaati perjanjian dengan Tuhan akan dapat menahan dosa! Mereka yang mentaati perjanjian akan mempunyai kekuatan untuk menentang pengaruh dunia yang berterusan.

Imej
lelaki mengambil sakramen

Mereka yang mentaati perjanjian dengan Tuhan akan dapat menahan dosa! Mereka yang mentaati perjanjian akan mempunyai kekuatan untuk menentang pengaruh dunia yang berterusan.

Pekerjaan Misionaris: Berkongsi Perjanjian

Tuhan telah memerintahkan agar kita menyebarkan injil dan berkongsi perjanjian. Itulah sebabnya kita mempunyai misionari. Dia ingin setiap anak-Nya berpeluang untuk memilih injil Juruselamat dan memulakan jalan perjanjian. Tuhan ingin menghubungkan semua orang dengan perjanjian yang Dia buat pada zaman purba dengan Abraham.

Oleh itu, pekerjaan misionari adalah bahagian penting dalam pengumpulan Israel. Pengumpulan itu adalah hal paling penting yang berlangsung di dunia pada masa kini. Tidak ada yang dapat dibandingkan dengan kebesarannya. Tidak ada yang dapat dibandingkan dengan kepentingannya. Para misionari Tuhan—para pengikut-Nya—terlibat dalam cabaran terbesar, tujuan terbesar, pekerjaan terbesar di bumi hari ini.

Tetapi terdapat hal yang lebih besar. Terdapat keperluan besar untuk menyebarkan injil kepada orang-orang di sebelah tirai. Tuhan mahu semua orang, di kedua-dua belah tirai, untuk menikmati berkat-berkat perjanjian-Nya. Jalan perjanjian terbuka kepada semua. Kita memohon dengan semua orang untuk berjalan di jalan itu bersama kita. Tidak ada pekerjaan lain yang begitu menyeluruh secara universal. Kerana “Tuhan penuh berbelas kasihan kepada semua yang mahu, dalam ketulusan hati mereka, memanggil nama kudus-Nya” (Helaman 3:27).

Kerana Imamat Melkisedek telah dipulihkan, wanita dan lelaki yang mematuhi perjanjian mempunyai akses kepada “semua berkat-berkat rohani ” injil (Ajaran dan Perjanjian 107:18; penekanan ditambah).

Di pembaktian Bait Suci Kirtland pada tahun 1836, di bawah arahan Tuhan, Elia muncul. Tujuan-Nya? “Untuk memalingkan … anak-anak kepada nenek moyang” (Ajaran dan Perjanjian 110:15). Elias juga muncul. Tujuan-Nya? Untuk menganugerahkan Joseph Smith dan Oliver Cowdery “zaman keagamaan Injil Abraham, bahawa melalui kami dan keturunan kami semua generasi selepas kami akan diberkati” (Ajaran dan Perjanjian 110:12). Oleh itu, Tuhan menganugerahkan wewenang imamat kepada Joseph Smith dan Oliver Cowdery dan hak untuk menyampaikan berkat-berkat unik perjanjian Abraham kepada orang lain.9

Dalam Gereja, kita berjalan di jalan perjanjian secara individu dan bersama. Sama seperti perkahwinan dan keluarga berkongsi satu ikatan setara unik yang menciptakan kasih istimewa, begitu juga dengan hubungan baharu yang dibentuk apabila kita mengikat diri kita melalui perjanjian teguh kepada Tuhan kita!

Ini mungkin apa yang Nefi maksudkan ketika dia berkata Tuhan “menyayangi mereka yang mahukan Dia menjadi Tuhan mereka” (1 Nefi 17:40). Inilah sebabnya, sebagai sebahagian daripada perjanjian, belas kasihan dan kasih istimewa—atau hesed—tersedia bagi semua yang memasuki hubungan ikatan dan rapat ini dengan Tuhan, bahkan “kepada seribu generasi” (Ulangan 7:9).

Membuat perjanjian dengan Tuhan mengubah hubungan kita dengan Dia buat selamanya. Ia memberkati kita dengan kasih dan belas kasihan tambahan.10 Ia mempengaruhi siapa kita dan bagaimana Tuhan akan membantu kita menjadi apa yang kita boleh menjadi. Kita dijanjikan bahawa kita, juga, boleh menjadi “milik-Nya” (Mazmur 135:4).

Janji-janji dan Hak Istimewa

Mereka yang membuat perjanjian kudus dan mentaatinya dijanjikan kehidupan abadi dan permuliaan, “yang terbesar dari semua kurnia Tuhan” (Ajaran dan Perjanjian 14:7). Yesus Kristus ialah penjamin perjanjian-perjanjian itu (lihat Ibrani 7:22; 8:6). Penjaga perjanjian yang mengasihi Tuhan dan membenarkan-Nya menang ke atas segala hal lain dalam kehidupan mereka menjadikan Dia pengaruh yang paling kuat dalam hidup mereka.

Pada zaman kita, kita berpeluang untuk menerima berkat bapa bangsa dan belajar tentang hubungan kita dengan bapa bangsa kuno. Berkat-berkat itu juga menyediakan gambaran tentang apa yang akan datang.

Imej
Yesus berbicara dengan Petrus

Kerana perjanjian kita dengan Tuhan, Dia tidak akan pernah hentikan usaha-Nya untuk membantu kita, dan kita tidak akan menghabiskan kesabaran-Nya terhadap kita.

Lovest Thou Me More Than These? [Adakah Kamu Lebih Mengasihi Aku Daripada Semua Orang Ini Mengasihi Aku?] oleh David Lindsley

Panggilan kita sebagai umat perjanjian Israel adalah untuk memastikan setiap ahli Gereja sedar sukacita dan keistimewaan berkenaan membuat perjanjian dengan Tuhan. Ia adalah panggilan untuk menggalakkan setiap lelaki dan wanita yang mematuhi perjanjian, tua dan muda, untuk berkongsi injil dengan mereka yang berada di bawah jangkauan mereka. Ia juga satu panggilan untuk menyokong dan menggalakkan para misionari kita, yang dihantar untuk membaptis dan membantu mengumpulkan Israel, supaya kita sama-sama menjadi umat Tuhan dan Dia akan menjadi Tuhan kita (lihat Ajaran dan Perjanjian 42:9).

Setiap lelaki dan wanita yang terlibat dalam tatacara imamat dan yang membuat serta mentaati perjanjian dengan Tuhan mempunyai akses langsung kepada kuasa Tuhan. Kita mengambil nama Tuhan ke atas diri kita sebagai individu. Kita juga mengambil nama-Nya ke atas diri kita sebagai sebuah umat. Bersemangat untuk gunakan nama Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir yang betul adalah cara yang penting bagi kita sebagai orang yang mengambil nama-Nya ke atas diri kita. Sesungguhnya, setiap tindakan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir dan para ahlinya adalah ungkapan yang didorong oleh hesed Tuhan.

Mengapa bani Israel dicerai-berai? Kerana bangsa itu melanggar perintah-perintah dan merejam batu kepada para nabi. Seorang Bapa yang penuh kasih tetapi berdukacita bertindak dengan mencerai-beraikan Israel.11

Walau bagaimanapun, Dia mencerai-beraikan mereka dengan satu janji bahawa satu hari nanti Israel akan dikumpulkan semula ke dalam kawanan-Nya.

Suku Yehuda diberi tanggungjawab untuk menyediakan dunia untuk kedatangan pertama Tuhan. Dari suku itu, Maria dipanggil untuk menjadi ibu Putera Tuhan.

Suku Yusuf, melalui anak-anak lelakinya dan Asnat, Efraim dan Manasye (lihat Kejadian 41:50–52; 46:20), diberikan tanggungjawab untuk memimpin dalam pengumpulan Israel, untuk menyediakan dunia untuk Kedatangan Kedua Tuhan.

Dalam perhubungan abadi hesed, Tuhan ingin mengumpulkan Israel. Dia adalah Bapa Syurgawi kita! Dia mahu setiap anak-Nya—di kedua-dua belah tirai—untuk mendengar pesanan injil Yesus Kristus yang dipulihkan.

Satu Jalan Kasih

Jalan perjanjian adalah jalan kasih—yang hesed, menjaga dan menjangkau kepada satu sama lain. Merasakan kasih itu adalah perasaan yang membebaskan dan mengangkat. Sukacita terbesar yang anda akan alami adalah apabila anda dipenuhi kasih kepada Tuhan dan kepada semua anak-Nya.

Mengasihi Tuhan lebih daripada sesiapa pun atau apa-apa pun ialah syarat yang membawa kedamaian, ketenangan, keyakinan, dan sukacita yang sejati.

Jalan perjanjian adalah tentang hubungan kita dengan Tuhan—perhubungan hesed kita dengan Dia. Apabila kita memasuki perjanjian dengan Tuhan, kita membuat perjanjian dengan Dia yang akan selalu mematuhi firman-Nya. Dia akan melakukan semua yang Dia boleh, tanpa melanggar hak pilihan kita, untuk membantu kita.

Kitab Mormon bermula dan berakhir dengan rujukan kepada perjanjian abadi ini. Dari halaman judul sehingga kesaksian penutup Mormon dan Moroni, Kitab Mormon merujuk kepada perjanjian itu (lihat Mormon 5:20; 9:37). “Kemunculan Kitab Mormon merupakan satu tanda bagi seluruh dunia bahawa Tuhan telah memulakan pengumpulan Israel dan memenuhi perjanjian yang Dia buat kepada Abraham, Ishak, dan Yakub.”12

Saudara dan saudari yang dikasihi, kita telah dipanggil pada masa yang penting dalam sejarah bumi ini untuk mengajar dunia tentang keindahan dan kuasa perjanjian abadi. Bapa Syurgawi mempercayai kita untuk melakukan pekerjaan besar ini.

Pesanan ini juga disampaikan dalam pertemuan kepimpinan persidangan umum pada 31 Mac 2022.

Nota

  1. Lihat Russell M. Nelson, “Children of the Covenant,” Ensign, Mei 1995, 34.

  2. Perjanjian yang baru dan kekal adalah kegenapan injil Yesus Kristus. Ia termasuk semua tatacara dan perjanjian yang diperlukan untuk keselamatan kita (lihat Ajaran dan Perjanjian 66:2). Ia adalah “baru” apabila Tuhan memperbaharui atau memulihkannya, dan ia adalah “kekal (abadi)” kerana ia tidak berubah.

  3. Perbincangan menyeluruh mengenai hesed dan perjanjian abadi terdapat di Kerry Muhlestein, God Will Prevail: Ancient Covenants, Modern Blessings, and the Gathering of Israel (2021).

  4. Russell M. Nelson, dalam “Special Witnesses of Christ,” Liahona, Apr. 2001, 7.

  5. Istilah Ibrani Ismael bererti “Tuhan mendengar” (Bible Dictionary, “Ishmael”).

  6. “Kerana beriman, Abraham dapat menjadi bapa, meskipun dia sudah sangat tua dan Sara pun mandul. Abraham yakin bahawa Tuhan akan menepati janji-Nya.” (Ibrani 11:11).

  7. Panduan Tulisan Suci, “Israel.”

  8. Lihat Bible Dictionary, “Peculiar”; “Hebrew and Chaldee Dictionary,” Strong’s Exhaustive Concordance of the Bible (1984), 82, word 5459.

  9. Lihat Russell M. Nelson, “Thanks for the Covenant” (pertemuan rohani Brigham Young University, Nov. 22, 1988), 4, speeches.byu.edu.

  10. “Setiap perjanjian dengan Tuhan adalah peluang untuk mendekati-Nya. Kepada sesiapa yang merenungkan seketika tentang apa yang mereka telah rasakan tentang kasih Tuhan, untuk ikatan itu menjadi lebih kuat dan memiliki hubungan lebih dekat adalah tawaran yang tidak dapat ditolak” (Henry B. Eyring, “Making Covenants with God” [Brigham Young University fireside, Sep. 8, 1996], 3, speeches.byu.edu).

  11. “Tuhan juga menggunakan pencerai-beraian ini melalui umat pilihan-Nya di antara bangsa-bangsa dunia untuk memberkati bangsa-bangsa itu” (Panduan Tulisan Suci, “Israel,” scriptures.ChurchofJesusChrist.org; lihat juga Yakub 5:1-8, 20).

  12. Russell M. Nelson, “The Future of the Church: Preparing the World for the Savior’s Second Coming,” Liahona, Apr. 2020, 9.