Bahagian 82
Wahyu yang diberikan kepada Nabi Joseph Smith, di Independence, Jackson County, Missouri, 26 April 1832. Kejadiannya adalah sebuah majlis imam tinggi dan para penatua Gereja. Di majlis tersebut, Joseph Smith disokong sebagai Presiden Imamat Tinggi, yang mana dia telah ditahbiskan pada jabatan tersebut sebelumnya di sebuah persidangan imam tinggi, para penatua, dan para anggota, di Amherst, Ohio, 25 Januari 1832 (lihat pengenalan untuk bahagian 75). Wahyu ini mengulangi arahan diberi dalam wahyu terdahulu (bahagian 78) untuk menubuhkan sebuah syarikat—dikenali sebagai Syarikat Bersatu (dibawah arahan Joseph Smith, istilah “golongan” kemudian mengganti “syarikat”)—untuk mengatur kedai barangan Gereja dan usaha penerbitan.
1–4, Di mana banyak yang diberikan, banyak yang dituntut; 5–7, Kegelapan berkuasa di dunia; 8–13, Tuhan terikat apabila kita melakukan apa yang Dia firmankan; 14–18, Sion mesti meningkat dalam keindahan dan kekudusan; 19–24, Setiap orang harus mencari kepentingan sesama sendiri.
1 Sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, para hamba-Ku, bahawa sejauh kamu sudah saling mengampuni pelanggaranmu, demikian juga Aku, Tuhan, mengampunimu.
2 Walaupun demikian, ada mereka di antara kamu yang sangat berdosa; ya, bahkan semua kamu telah berdosa; tetapi sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, berhati-hatilah sejak dari sekarang, dan jauhkanlah diri dari dosa, agar jangan penghakiman yang parah jatuh ke atas kepalamu.
3 Kerana kepada dia yang banyak diberi banyak yang dituntut; dan dia yang berdosa terhadap cahaya yang lebih terang itu akan menerima penghukuman yang lebih besar.
4 Kamu memanggil nama-Ku untuk wahyu, dan Aku memberikannya kepadamu; dan sejauh kamu tidak menuruti firman-Ku, yang Aku berikan kepadamu, kamu menjadi pelanggar; dan keadilan dan penghakiman adalah hukuman yang telah dikaitkan pada hukum-Ku.
5 Oleh kerana itu, apa yang Aku firmankan kepada seorang Aku firmankan kepada semua: Berjaga-jagalah, kerana musuh menyebarkan kekuasaannya, dan kegelapan berkuasa;
6 Dan kemarahan Tuhan menyala terhadap para penduduk bumi; dan tiada seorang pun melakukan kebaikan, kerana semuanya telah tersesat dari jalannya.
7 Dan sekarang, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Aku, Tuhan, tidak akan meletakkan apa pun dosa pada tanggunganmu; pergilah pada jalanmu dan janganlah berdosa lagi; tetapi kepada jiwa yang berdosa itu, dosa-dosa yang terdahulu akan kembali, firman Tuhan Rajamu.
8 Dan lagi, Aku berfirman kepadamu, Aku memberi kepadamu sebuah perintah yang baru, agar kamu boleh memahami kehendak-Ku terhadap kamu;
9 Atau, dengan perkataan lain, Aku memberi kepadamu bimbingan bagaimana kamu harus bertindak di hadapan-Ku, agar ia boleh berpaling kepadamu untuk keselamatanmu.
10 Aku, Tuhan, terikat apabila kamu melakukan apa yang Aku firmankan; tetapi apabila kamu tidak melakukan apa yang Aku firmankan, kamu tidak mempunyai janji.
11 Oleh kerana itu, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa adalah perlu bagi para hamba-Ku Edward Partridge dan Newel K. Whitney, A. Sidney Gilbert dan Sidney Rigdon, dan hamba-Ku Joseph Smith, dan John Whitmer dan Oliver Cowdery, dan W. W. Phelps dan Martin Harris untuk terikat bersama dengan sebuah ikatan dan perjanjian yang tidak boleh dilanggar oleh pelanggaran, kecuali penghakiman akan segera mengikuti, dalam beberapa tugas pengawasanmu—
12 Untuk menguruskan hal-hal orang miskin, dan semua hal yang berkaitan dengan keuskupan baik di negeri Sion mahupun di negeri Kirtland;
13 Kerana Aku telah membaktikan negeri Kirtland pada waktu-Ku sendiri yang tepat demi manfaat para orang suci Yang Maha Tinggi, dan untuk sebuah pancang bagi Sion.
14 Kerana Sion mesti meningkat dalam keindahan, dan dalam kekudusan; sempadan-sempadannya mesti diperluaskan; pancang-pancangnya mesti diperkuatkan; ya, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Sion mesti bangkit dan mengenakan pakaiannya yang indah.
15 Oleh kerana itu, Aku memberi kepadamu perintah ini, agar kamu mengikatkan dirimu dengan perjanjian ini, dan ianya akan dilakukan menurut hukum-hukum Tuhan.
16 Lihatlah, inilah juga adalah kebijaksanaan di dalam Aku demi kebaikanmu.
17 Dan kamu mesti sama rata, atau dengan perkataan lain, kamu mesti memiliki tuntutan yang sama rata ke atas harta-harta itu, demi manfaat menguruskan urusan tugas pengawasanmu, setiap orang menurut keinginan dan keperluannya, sejauh keinginannya adalah adil—
18 Dan semua ini demi manfaat gereja Tuhan yang hidup, agar setiap orang boleh meningkatkan sumbernya, agar setiap orang boleh memperoleh sumber yang lain, ya, bahkan seratus kali ganda, untuk dimasukkan ke dalam gudang penyimpanan Tuhan, untuk menjadi harta milik bersama bagi seluruh gereja—
19 Setiap orang mencari kepentingan sesama sendiri, dan melakukan segala hal dengan tumpuan matamu hanya satu pada kemuliaan Tuhan.
20 Golongan Bersatu ini telah Aku tetapkan untuk menjadi sebuah golongan kekal bagimu, dan bagi para penggantimu, sejauh kamu tidak berdosa.
21 Dan jiwa yang berdosa terhadap perjanjian ini, dan mengeraskan hatinya terhadapnya, akan diurus menurut hukum-hukum gereja-Ku, dan akan diserahkan pada seksaan Setan sehingga hari penebusan.
22 Dan sekarang, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, dan inilah kebijaksanaan, dapatkanlah bagi dirimu rakan-rakan dari mamon ketidakbenaran, dan mereka tidak akan menghancurkanmu.
23 Biarkanlah penghakiman hanya pada-Ku, kerana ia adalah milik-Ku dan Aku akan membayarnya kembali. Kedamaian bersertamu; berkat-berkat-Ku berterusan bersamamu.
24 Kerana bahkan kini kerajaan adalah milikmu, dan akan menjadi milikmu selamanya, jika kamu tidak jatuh dari ketabahanmu. Demikianlah. Amin.