Bahagian 57
Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Sion, Jackson County, Missouri, 20 July 1831. Sebagai kepatuhan pada perintah Tuhan untuk melakukan perjalanan ke Missouri, yang Dia akan mendedahkan “negeri warisanmu” (bahagian 52), para penatua telah melakukan perjalanan dari Ohio ke sempadan Missouri Barat. Joseph Smith merenungkan keadaan bangsa Laman dan tertanya-tanya: “Bilakah padang belantara akan mekar seperti bunga mawar? Bilakah Sion akan dibangunkan dalam kemuliaannya, dan di manakah bait suci-Mu akan berdiri, iaitu tempat segala bangsa akan datang pada zaman terakhir?” Sesudah itu dia menerima wahyu ini.
1–3, Independence, Missouri, adalah tempat untuk Kota Sion dan bait suci; 4–7, Para Orang Suci mesti membeli tanah dan menerima warisan di kawasan itu; 8–16, Sidney Gilbert harus mendirikan sebuah kedai, William W. Phelps harus menjadi pencetak, dan Oliver Cowdery harus menyunting bahan untuk penerbitan.
1 Dengarkanlah, Wahai kamu para penatua gereja-Ku, firman Tuhan Rajamu, yang telah menghimpunkan dirimu bersama, menurut perintah-perintah-Ku, di negeri ini, iaitu negeri Missouri, yang merupakan negeri yang telah Aku tetapkan dan baktikan untuk pengumpulan para orang suci.
2 Kerana itu, inilah negeri yang dijanjikan, dan merupakan tempat untuk Kota Sion.
3 Dan demikianlah firman Tuhan Rajamu, jika kamu ingin menerima kebijaksanaan inilah kebijaksanaan. Lihatlah, tempat yang sekarang disebut Independence adalah tempat pusat; dan sebuah tempat untuk bait suci yang terletak di sebelah barat, di atas sebidang tanah yang tidak jauh dari mahkamah.
4 Kerana itu, adalah kebijaksanaan bahawa tanah itu akan dibeli oleh para orang suci, dan juga setiap bidang tanah yang terletak di sebelah barat, bahkan sehingga ke sempadan yang membentang betul-betul di antara antara bangsa Yahudi dan bangsa bukan Israel;
5 Dan juga setiap bidang tanah yang bersempadan dengan padang rumput, sejauh para pengikut-Ku dapat membeli tanah. Lihatlah, ini adalah kebijaksanaan, agar mereka boleh mendapatkannya untuk warisan abadi.
6 Dan biarlah hamba-ku Sidney Gilbert berdiri pada jabatan yang telah Aku tetapkan kepadanya, untuk menerima wang, untuk menjadi wakil bagi gereja, untuk membeli tanah di seluruh wilayah sekitarnya, sejauh yang dapat dilakukan dalam kebenaran, dan sebagaimana yang akan dibimbing oleh kebijaksanaan.
7 Dan biarlah hamba-Ku Edward Partridge berdiri pada jabatan yang telah Aku tetapkan kepadanya, dan membahagi-bahagikan kepada para orang suci warisan mereka, bahkan seperti yang telah Aku perintahkan; dan juga mereka yang telah dia pilih untuk membantunya.
8 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, biarlah hamba-Ku Sidney Gilbert menempatkan dirinya di tempat ini, dan mendirikan sebuah kedai, agar dia boleh menjual barang-barang tanpa penipuan, agar dia boleh mendapatkan wang untuk membeli tanah demi kebaikan para orang suci, dan agar dia boleh mendapatkan apa pun barang-barang yang para pengikut mungkin perlukan untuk menempatkan mereka di warisan mereka.
9 Dan juga biarlah hamba-Ku Sidney Gilbert mendapatkan surat kuasa—lihatlah inilah kebijaksanaan, dan barang siapa membaca biarlah dia memahami—agar dia boleh menghantarkan barangan juga kepada orang-orang ini, bahkan melalui sesiapa pun yang dia kehendaki bekerja sebagai kerani dalam pelayanannya;
10 Dan demikianlah menyediakan bagi para orang suci-Ku, agar Injil-Ku boleh dikhutbahkan kepada mereka yang duduk dalam kegelapan dan di wilayah dan bayangan kematian.
11 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, biarlah hamba-Ku William W. Phelps ditempatkan di tempat ini, dan ditetapkan sebagai pencetak bagi gereja.
12 Dan lihatlah, jika dunia menerima tulisannya—lihatlah inilah kebijaksanaan—biarlah dia mendapatkan apa pun yang boleh dia dapatkan dalam kesolehan, demi kebaikan para orang suci.
13 Dan biarlah hamba-Ku Oliver Cowdery membantunya, bahkan seperti yang telah Aku perintahkan, di mana-mana tempat pun yang akan Aku tetapkan kepadanya, untuk menyalin, dan untuk membetulkan, dan memilih, agar segala hal boleh menjadi benar di hadapan-Ku, seperti akan dibuktikan oleh Roh melalui dia.
14 Dan dengan demikian biarlah mereka yang telah Aku firmankan ditempatkan di negeri Sion, secepat yang boleh, bersama keluarga mereka, untuk melakukan hal-hal itu bahkan seperti yang telah Aku firmankan.
15 Dan sekarang, berkenaan dengan pengumpulan itu—Biarlah uskup dan wakil membuat persediaan untuk para keluarga yang telah diperintahkan untuk datang ke negeri ini, secepat yang mungkin, dan menempatkan mereka di warisan mereka.
16 Dan kepada para penatua dan anggota yang selebihnya petunjuk akan diberikan dengan lebih lanjut selepas ini. Demikianlah. Amin.