Bahagian 3
Wahyu yang diberikan kepada Nabi Joseph Smith, di Harmony, Pennsylvania, Julai 1828, berkaitan dengan kehilangan 116 halaman naskah yang diterjemahkan dari bahagian pertama Kitab Mormon, yang disebut kitab Lehi. Nabi keberatan untuk membenarkan halaman-halaman ini untuk dilepaskan dari jagaannya ke dalam jagaan Martin Harris, yang telah berkhidmat untuk tempoh yang singkat sebagai jurutulis dalam penterjemahan Kitab Mormon. Wahyu ini diberikan melalui Urim dan Tumim. (Lihat bahagian 10.)
1–4, Jalan Tuhan adalah satu kitaran abadi; 5–15, Joseph Smith mesti bertaubat atau kehilangan kurnia untuk menterjemah; 16–20, Kitab Mormon tampil untuk menyelamatkan benih keturunan Lehi.
1 Pekerjaan, dan rancangan, dan tujuan-tujuan Tuhan tidak dapat digagalkan, tidak juga ia dapat disia-siakan.
2 Kerana Tuhan tidak berjalan di jalan yang berliku-liku, tidak juga Dia belok ke kanan mahupun ke kiri, tidak juga Dia berubah dari apa yang telah Dia firmankan, oleh kerana itu jalan-Nya adalah lurus, dan jalan-Nya adalah satu kitaran abadi.
3 Ingatlah, ingatlah bahawa bukanlah pekerjaan Tuhan yang digagalkan, tetapi pekerjaan manusia;
4 Kerana walaupun seorang manusia boleh memperoleh banyak wahyu, dan memiliki kuasa untuk melakukan banyak pekerjaan yang hebat, namun jika dia bermegah-megah akan kekuatannya sendiri, dan memperlecehkan nasihat-nasihat Tuhan, dan mengikuti ketentuan dari kehendak dan hasrat badaniahnya sendiri, dia mesti jatuh dan mendatangkan pembalasan daripada seorang Tuhan yang adil ke atas dirinya.
5 Lihatlah, kamu telah dipercayai dengan hal-hal ini, tetapi betapa ketatnya perintah-perintahmu; dan ingatlah juga janji-janji yang dibuat kepadamu, sekiranya kamu tidak melanggarnya.
6 Dan lihatlah, betapa seringnya kamu telah melanggar perintah-perintah dan hukum Tuhan, dan telah meneruskan dalam pujukan manusia.
7 Kerana, lihatlah, kamu seharusnya tidak takut kepada manusia lebih daripada Tuhan. Walaupun manusia memperlecehkan nasihat-nasihat Tuhan, dan mengeji firman-Nya—
8 Namun kamu seharusnya setia; dan Dia akan menghulurkan lengan-Nya dan mendukungmu melawan semua panah berapi musuh; dan Dia akan bersertamu dalam setiap waktu kesusahan.
9 Lihatlah, engkau adalah Joseph, dan engkau dipilih untuk melakukan pekerjaan Tuhan, tetapi kerana pelanggaran, jika engkau tidak menyedarinya engkau akan jatuh.
10 Tetapi ingatlah, Tuhan penuh belas kasihan; oleh kerana itu, bertaubatlah terhadap apa yang telah engkau lakukan yang bertentangan dengan perintah yang Aku berikan kepadamu, dan engkau masih terpilih, dan dipanggil kembali untuk pekerjaan itu;
11 Kecuali engkau melakukan ini, engkau akan ditinggalkan dan menjadi seperti orang biasa, dan tidak lagi memiliki kurnia.
12 Dan apabila engkau menyerahkan apa yang telah Tuhan berikan kepadamu penglihatan dan kuasa untuk menterjemahkan, engkau menyerahkan hal yang kudus ke dalam tangan orang yang jahat,
13 Yang telah memperlecehkan nasihat-nasihat Tuhan, dan telah melanggar janji-janji paling kudus yang dibuat di hadapan Tuhan, dan telah bergantung pada pertimbangannya sendiri dan bermegah-megah akan kebijaksanaannya sendiri.
14 Dan inilah sebabnya engkau telah kehilangan hak istimewamu untuk suatu tempoh—
15 Kerana engkau telah membiarkan nasihat pengarahmu dipijak-pijak sejak dari awal.
16 Walaupun demikian, pekerjaan-Ku akan menyebar luas, kerana selagi pengetahuan tentang seorang Juruselamat telah datang ke dunia, melalui kesaksian bangsa Yahudi, demikian juga pengetahuan tentang seorang Juruselamat akan datang kepada para umat-Ku—
17 Dan kepada bangsa Nefi, dan bangsa Yakub, dan bangsa Yusuf, dan bangsa Zoram, melalui kesaksian nenek moyang mereka—
18 Dan kesaksian ini akan datang pada pengetahuan tentang bangsa Laman, dan bangsa Lemuel, dan bangsa Ismael, yang merosot dalam ketidakpercayaan kerana kederhakaan nenek moyang mereka, yang telah Tuhan biarkan untuk menghancurkan saudara-saudara mereka bangsa Nefi, kerana kederhakaan mereka dan kekejian mereka.
19 Dan untuk tujuan khusus ini kepingan-kepingan ini dipelihara, yang mengandungi catatan-catatan ini—supaya janji-janji Tuhan boleh digenapi, yang telah Dia buat kepada umat-Nya;
20 Dan agar bangsa Laman boleh datang pada pengetahuan tentang nenek moyang mereka, dan agar mereka boleh mengetahui janji-janji Tuhan, dan agar mereka boleh mempercayai injil dan bergantung pada jasa Yesus Kristus, dan dimuliakan melalui iman dalam nama-Nya, dan agar melalui pertaubatan mereka, mereka boleh diselamatkan. Amin.