Bahagian 94
Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Kirtland, Ohio, 2Â Ogos 1833. Hyrum Smith, Reynolds Cahoon, dan Jared Carter dilantik sebagai jawatankuasa bangunan Gereja.
1–9, Tuhan memberikan sebuah perintah berkaitan dengan pembangunan sebuah rumah untuk pekerjaan Presidensi; 10–12, Sebuah rumah pencetakan harus dibina; 13–17, Warisan-warisan tertentu ditentukan.
1 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, teman-teman-Ku, sebuah perintah Aku berikan kepadamu, bahawa kamu harus memulakan sebuah pekerjaan merancang dan menyediakan permulaan dan landasan kota di pancang Sion, di sini di negeri Kirtland, bermula di rumah-Ku.
2 Dan lihatlah, ia mesti dilakukan menurut panduan yang telah Aku berikan kepadamu.
3 Dan biarlah bidang tanah yang pertama di selatan dibaktikan kepada-Ku untuk pembinaan sebuah rumah untuk presidensi, untuk pekerjaan presidensi, dalam menerima wahyu-wahyu; dan untuk pekerjaan pelayanan presidensi, dalam segala hal berkaitan dengan gereja dan kerajaan.
4 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa ia haruslah dibina lima puluh lima kali enam puluh lima kaki lebar dan panjangnya, di bahagian ruangan dalamnya.
5 Dan haruslah ada tingkat bawah dan tingkat atas, menurut panduan yang akan diberikan kepadamu selepas ini.
6 Dan ia harus didedikasikan kepada Tuhan dari landasannya, menurut tarekat keimamatan, menurut panduan yang akan diberikan kepadamu selepas ini.
7 Dan ia harus didedikasikan bagi Tuhan sepenuhnya untuk pekerjaan presidensi.
8 Dan janganlah kamu membiarkan apa pun yang tidak bersih masuk ke dalamnya; dan kemuliaan-Ku akan berada di sana, dan kehadiran-Ku akan berada di sana.
9 Tetapi jika akan datang ke dalamnya apa pun yang tidak bersih, kemuliaan-Ku tidak akan berada di sana; dan kehadiran-Ku tidak akan datang ke dalamnya.
10 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bidang tanah yang kedua di selatan haruslah didedikasikan kepada-Ku untuk pembangunan sebuah rumah bagi-Ku, untuk pekerjaan pencetakan terjemahan tulisan suci-Ku, dan semua hal apa pun yang akan Aku perintahkan kepadamu.
11 Dan ia seharusnya lima puluh lima kali enam puluh lima kaki lebar dan panjangnya, di bahagian ruangan dalam; dan harus adanya tingkat bawah dan tingkat atas.
12 Dan rumah ini haruslah didedikasikan sepenuhnya kepada Tuhan dari landasannya, untuk pekerjaan pencetakan, dalam semua hal apa pun yang akan Aku perintahkan kepadamu, untuk menjadi kudus, tidak bernoda, menurut panduan dalam segala hal sebagaimana ia akan diberikan kepadamu.
13 Dan bidang tanah ketiga, hamba-Ku Hyrum Smith akan mewarisinya.
14 Dan bidang tanah pertama dan kedua di utara, hamba-Ku Reynolds Cahoon dan Jared Carter akan mewarisinya—
15 Agar mereka boleh melakukan pekerjaan yang telah Aku tetapkan kepada mereka, untuk menjadi sebuah jawatankuasa untuk membangunkan rumah-rumah-Ku, menurut perintah, yang telah Aku, Tuhan Raja, berikan kepadamu.
16 Dua buah rumah ini tidak akan dibina sehinggalah Aku memberi kepadamu sebuah perintah mengenainya.
17 Dan sekarang, Aku tidak memberikan lagi kepadamu pada waktu ini. Amin.