Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 46


Bahagian 46

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith kepada Gereja, di Kirtland, Ohio, 8 Mac 1831. Pada waktu awal Gereja ini, sebuah panduan yang seragam untuk mengacarakan upacara-upacara Gereja belum dihasilkan. Meskipun demikian, suatu kebiasaan yang hanya mengizinkan para anggota dan penyelidik yang bersungguh-sungguh ke pertemuan sakramen dan pertemuan Gereja yang lain telah menjadi agak umum. Wahyu ini mengutarakan kehendak Tuhan yang berkaitan dengan pengurusan dan pengacaraan pertemuan serta arahan-Nya dalam mencari dan mengenali kurnia-kurnia Roh.

1–2, Para Penatua mesti mengacarakan pertemuan sebagaimana yang dibimbing oleh Roh Kudus; 3–6, Pencari kebenaran tidak harus dilarang memasuki upacara-upacara sakramen; 7–12, Mintalah kepada Tuhan dan carilah kurnia-kurnia Roh; 13–26, Penyebutan satu demi satu sebahagian daripada kurnia-kurnia ini diberikan; 27–33, Para pemimpin gereja diberikan kuasa untuk membezakan kurnia-kurnia Roh.

1 Dengarkanlah, Wahai kamu umat gereja-Ku; kerana sesungguhnya Aku berfirman kepadamu bahawa hal-hal ini difirmankan kepadamu untuk keuntungan dan pembelajaranmu.

2 Tetapi walau bagaimanapun hal-hal yang telah dituliskan itu, ia selalu diberikan kepada para penatua gereja-Ku sejak dari awal, dan akan sentiasa sedemikian, untuk mengacarakan semua pertemuan sebagaimana mereka diarahkan dan dibimbing oleh Roh Kudus.

3 Walaupun demikian kamu diperintahkan untuk tidak mengusir sesiapa pun dari pertemuan-pertemuan umummu, yang diadakan di hadapan dunia.

4 Kamu juga diperintahkan untuk tidak mengusir sesiapa pun yang masuk dalam gereja dari pertemuan sakramenmu; walaupun demikian, jika sesiapa pun telah melanggar, janganlah biarkan dia mengambilnya sehingga dia membuat pendamaian.

5 Dan lagi Aku berfirman kepadamu, janganlah kamu mengusir sesiapa pun dari pertemuan sakramenmu yang dengan bersungguh-sungguh mencari kerajaan—Aku memfirmankan ini tentang mereka yang bukan dari gereja ini.

6 Dan lagi Aku berfirman kepadamu, tentang pertemuan-pertemuan penetapanmu, bahawa jika ada sesiapa pun yang bukan dari gereja ini, yang dengan bersungguh-sungguh mencari kerajaan, janganlah kamu mengusir mereka.

7 Tetapi kamu diperintahkan dalam segala hal untuk meminta kepada Tuhan, yang memberikan dengan murah hati; dan apa yang Roh persaksikan kepadamu demikian juga Aku menghendaki agar kamu harus lakukan dalam seluruh kekudusan hati, berjalan dengan lurus di hadapan-Ku, mempertimbangkan kesan keselamatanmu, melakukan segala hal dengan doa dan kesyukuran, agar kamu tidak dapat digoda oleh roh jahat, atau ajaran-ajaran iblis, atau perintah manusia; kerana sebahagian adalah daripada manusia, dan yang lain daripada iblis.

8 Kerana itu, berhati-hatilah agar jangan kamu terpedaya; dan agar kamu tidak dapat diperdayakan kamu carilah dengan sungguh-sungguh kurnia-kurnia yang terbaik, selalu mengingati untuk apa ianya diberikan;

9 Kerana sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, ianya diberikan demi manfaat mereka yang mengasihi-Ku dan mentaati semua perintah-Ku, dan dia yang mencari juga melakukan demikian; agar semua orang boleh memperoleh manfaat yang mencari atau yang meminta daripada-Ku, yang meminta dan bukan untuk suatu petanda agar mereka boleh memuaskan hawa nafsu mereka.

10 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Aku menghendaki agar kamu harus selalu mengingati, dan selalu menyimpan dalam fikiranmu apakah kurnia-kurnia tersebut, yang diberikan kepada gereja.

11 Kerana kepada semua orang tidaklah diberikan setiap kurnia kepada mereka; kerana terdapat banyak kurnia, dan kepada setiap orang diberikan satu kurnia oleh Roh Tuhan.

12 Kepada segelintir diberikan satu, dan kepada segelintir diberikan yang lain, agar semua boleh dimanfaatkan olehnya.

13 Kepada segelintir diberikan oleh Roh Kudus untuk mengetahui bahawa Yesus Kristus ialah Putera Tuhan, dan bahawa Dia disalibkan bagi dosa-dosa dunia.

14 Kepada yang lain diberikan untuk percaya pada perkataan mereka, agar mereka juga boleh memperoleh kehidupan abadi jika mereka terus setia.

15 Dan lagi, kepada segelintir diberikan oleh Roh Kudus untuk mengetahui pengurusan yang berbeza, kerana ia akan menyenangkan Tuhan yang sama, menurut yang dikehendaki Tuhan, menyesuaikan belas kasihan-Nya menurut keadaan anak-anak manusia.

16 Dan lagi, diberikanlah oleh Roh Kudus kepada segelintir untuk mengetahui kepelbagaian cara kerja, sama ada ia daripada Tuhan, agar pernyataan Roh boleh diberikan kepada setiap orang untuk mengambil keuntungan darinya.

17 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, kepada segelintir diberikan, oleh Roh Tuhan, perkataan kebijaksanaan.

18 Kepada yang lain diberikan perkataan pengetahuan, agar semua boleh diajar untuk menjadi bijak dan untuk memiliki pengetahuan.

19 Dan lagi, kepada segelintir diberikan untuk memiliki iman untuk disembuhkan;

20 Dan kepada yang lain diberikan untuk memiliki iman untuk menyembuhkan.

21 Dan lagi, kepada segelintir diberikan pengerjaan mukjizat-mukjizat;

22 Dan kepada yang lain diberikan untuk bernubuat;

23 Dan kepada yang lain pembezaan roh-roh.

24 Dan lagi, diberikan kepada segelintir untuk berbicara dengan bahasa-bahasa;

25 Dan kepada yang lain diberikan penafsiran bahasa-bahasa.

26 Dan semua kurniaan ini datang daripada Tuhan, demi manfaat anak-anak Tuhan.

27 Dan kepada uskup gereja, dan kepada mereka yang Tuhan akan lantik dan tahbiskan untuk menjaga gereja dan untuk menjadi para penatua bagi gereja, akan diberikan kepada mereka untuk membezakan semua kurniaan itu agar jangan ada sesiapa pun di antara kamu mengakuinya namun bukannya daripada Tuhan.

28 Dan akan terjadilah bahawa dia yang meminta di dalam Roh akan menerima di dalam Roh;

29 Agar kepada segelintir dapat diberikan untuk memiliki semua kurniaan itu, agar adanya ketua, supaya setiap anggota boleh diuntungkan olehnya.

30 Dia yang meminta di dalam Roh meminta menurut kehendak Tuhan; kerana itu ia dilakukan bahkan seperti yang dia minta.

31 Dan lagi, Aku berfiman kepadamu, segala hal mesti dilakukan dalam nama Kristus, apa pun yang kamu lakukan di dalam Roh;

32 Dan kamu mesti berterima kasih kepada Tuhan di dalam Roh untuk apa pun berkat yang telah kamu diberkati dengannya.

33 Dan kamu mesti menjalankan kehemahan dan kekudusan di hadapan-Ku secara berterusan. Demikianlah. Amin.