Bahagian 112
Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith kepada Thomas B. Marsh, di Kirtland, Ohio, 23 Julai 1837, mengenai Dua Belas Rasul Anak Domba. Wahyu ini diterima pada hari Elder Heber C. Kimball dan Elder Orson Hyde semasa Injil pertama kalinya dikhutbahkan di England. Thomas B. Marsh pada waktu ini merupakan Presiden Kuorum Dua Belas Rasul.
1–10, Dua Belas Rasul mesti mengutuskan Injil dan mengangkat suara peringatan kepada semua bangsa dan manusia; 11–15, Mereka mesti memikul salib mereka, mengikuti Yesus, dan memberi makan kepada domba-domba-Nya; 16–20, Mereka yang menerima Presidensi Utama menerima Tuhan; 21–29, Kegelapan menutupi bumi, dan hanya mereka yang percaya dan dibaptis akan diselamatkan; 30–34, Presidensi Utama dan Dua Belas memegang kunci-kunci kegenapan zaman.
1 Sesungguhnya demikianlah firman Tuhan kepadamu hamba-Ku Thomas: Aku telah mendengar doa-doamu; dan sedekahmu telah naik sebagai tanda peringatan di hadapan-Ku, demi kepentingan mereka, saudara-saudaramu, yang dipilih untuk memberikan kesaksian tentang nama-Ku dan untuk mengutuskannya ke luar negeri di kalangan semua negara, kaum, bahasa, dan bangsa, dan ditahbiskan melalui perantaraan para hamba-Ku.
2 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, terdapat beberapa hal dalam hatimu dan denganmu yang mana Aku, Tuhan, tidak senangi.
3 Walaupun demikian, sejauh engkau telah merendahkan dirimu engkau akan dipermuliakan; oleh kerana itu, semua dosamu diampuni bagimu.
4 Biarlah hatimu menjadi riang di hadapan muka-Ku; dan engkau harus memberikan kesaksian tentang nama-Ku, bukan hanya kepada bangsa bukan Israel, tetapi juga kepada bangsa Yahudi; dan engkau hendaknya mengutuskan firman-Ku ke hujung-hujung bumi.
5 Pertahankanlah engkau, oleh itu, dari pagi ke pagi; dan hari demi hari biarlah suara peringatanmu disebarkan; dan apabila malam tiba janganlah biarkan penduduk bumi terlelap, kerana pembicaraanmu.
6 Biarlah tempat tinggalmu diketahui di Sion, dan janganlah memindahkan rumahmu; kerana Aku, Tuhan, memiliki sebuah pekerjaan yang besar untuk engkau lakukan, dalam memberitakan nama-Ku ke kalangan anak-anak manusia.
7 Oleh kerana itu, sediakanlah dirimu bagi pekerjaan itu. Biarlah kakimu dialas juga, kerana engkau dipilih, dan jalanmu berada di antara gunung-ganang, dan di kalangan banyak bangsa.
8 Dan melalui perkataanmu banyak yang berkedudukan tinggi akan dijadikan rendah, dan melalui perkataanmu banyak yang berkedudukan rendah akan dimuliakan.
9 Suaramu akan menjadi herdikan kepada pelanggar; dan pada herdikanmu biarlah lidah pemfitnah menghentikan kejahatannya.
10 Jadilah engkau rendah hati; dan Tuhan Rajamu akan memimpin tanganmu, dan memberi engkau jawapan pada doa-doamu.
11 Aku mengetahui hatimu, dan telah mendengar doa-doamu tentang saudara-saudaramu. Janganlah berat sebelah terhadap mereka dalam kasih melebihi banyak orang yang lain, tetapi biarlah kasihmu kepada mereka menjadi seperti kasihmu kepada dirimu; dan biarlah kasihmu berlimpah ruah kepada semua orang, dan kepada semua yang mengasihi nama-Ku.
12 Dan berdoalah bagi saudara-saudaramu Dua Belas. Tegurlah mereka dengan tajam demi nama-Ku, dan biarlah mereka diberi teguran untuk semua dosa mereka, dan jadilah kamu setia di hadapan-Ku demi nama-Ku.
13 Dan selepas penggodaan mereka, dan banyak kesengsaraan, lihatlah, Aku, Tuhan, akan menyelami mereka, dan jika mereka tidak mengeraskan hati mereka, dan tidak berdegil menentang-Ku, mereka akan bertukar hati, dan Aku akan menyembuhkan mereka.
14 Sekarang, Aku berfirman kepadamu, dan apa yang Aku firmankan kepadamu, Aku firmankan kepada semua Dua Belas itu: Bangunlah dan sediakanlah dirimu, pikullah salibmu, ikutlah Aku, dan berilah makan kepada domba-domba-Ku.
15 Janganlah memuliakan dirimu; janganlah memberontak melawan hamba-Ku Joseph; kerana sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Aku bersertanya, dan tangan-Ku akan berada pada dirinya; dan kunci-kunci yang telah Aku berikan kepadanya, dan juga kepadamu, tidak akan diambil daripadanya sehingga Aku datang.
16 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, hamba-Ku Thomas, engkaulah lelaki yang telah Aku pilih untuk memegang kunci-kunci kerajaan-Ku, berkaitan dengan Dua Belas, di luar negeri di kalangan semua bangsa—
17 Agar engkau boleh menjadi hamba-Ku untuk membuka kunci pintu kerajaan di seluruh tempat di mana hamba-Ku Joseph, dan hamba-Ku Sidney, dan hamba-Ku Hyrum, tidak dapat datang;
18 Kerana pada mereka telah Aku letakkan beban semua jemaah gereja untuk suatu tempoh masa yang singkat.
19 Kerana itu, ke mana pun mereka akan mengutusmu, pergilah kamu, dan Aku akan bersertamu; dan di tempat mana pun kamu akan memaklumkan nama-Ku pintu jalan akan dibukakan bagimu, agar mereka boleh menerima firman-Ku.
20 Barang siapa menerima firman-Ku menerima-Ku, dan barang siapa menerima-Ku, menerima mereka, Presidensi Utama, yang telah Aku utuskan, yang telah Aku jadikan para penasihat demi kepentingan nama-Ku kepadamu.
21 Dan lagi, Aku berfirman kepadamu, bahawa barang siapa yang akan kamu utus dalam nama-Ku, melalui suara saudara-saudaramu, Dua Belas, yang dicadangkan dan diberikan kuasa olehmu seperti yang sepatutnya, akan berkuasa untuk membuka pintu kerajaan-Ku kepada mana-mana negara pun yang kepadanya akan kamu utuskan mereka—
22 Sejauh mereka akan merendahkan hati mereka di hadapan-Ku, dan berpegang dalam firman-Ku, dan mendengar suara Roh-Ku.
23 Sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, kegelapan menutupi bumi, dan kegelapan memekatkan fikiran manusia, dan semua manusia telah menjadi rosak di hadapan muka-Ku.
24 Lihatlah, pembalasan segera datang ke atas para penduduk bumi, suatu hari kemurkaan, hari pembakaran, hari kemusnahan, tangisan, kesedihan, dan ratapan; dan bagaikan puting beliung ia akan datang ke atas seluruh permukaan bumi, firman Tuhan.
25 Dan di atas rumah-Ku ia akan bermula, dan dari rumah-Ku ia akan menyebar luas, firman Tuhan;
26 Pertama sekali di kalangan mereka dari kalangan kamu, firman Tuhan, yang telah mendakwa bahawa mereka mengenali nama-Ku dan belum mengenali-Ku, dan telah menista terhadap-Ku di tengah rumah-Ku, firman Tuhan.
27 Oleh kerana itu, pastikanlah agar kamu tidak merisaukan dirimu tentang hal ehwal gereja-Ku di tempat ini, firman Tuhan.
28 Tetapi murnikanlah hatimu di hadapan-Ku; dan kemudian pergilah kamu ke seluruh dunia, dan khutbahkanlah Injil-Ku kepada setiap makhluk yang belum menerimanya;
29 Dan dia yang percaya dan dibaptiskan akan diselamatkan, dan dia yang tidak percaya, dan tidak dibaptiskan, akan dilaknat.
30 Kerana kepadamu, Dua Belas, dan mereka, Presidensi Utama, yang telah ditetapkan bersamamu untuk menjadi para penasihatmu dan pemimpinmu, kuasa imamat ini telah diberikan, untuk zaman akhir dan untuk kali terakhirnya, yang mana merupakan kegenapan zaman keagamaan,
31 Yang mana kuasa yang kamu pegang itu, bersama dengan mereka semua yang telah menerima tanggungjawab Injil pada bila-bila masa pun sejak dari permulaan penciptaan;
32 Kerana sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, kunci-kunci zaman keagamaan, yang telah kamu terima, telah diturunkan daripada nenek moyang, dan yang terakhir dari semuanya, diturunkan dari syurga kepadamu.
33 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, lihatlah betapa besar pemanggilanmu. Bersihkanlah hatimu dan pakaianmu, agar darah generasi ini tidak dituntut dari tanganmu.
34 Setialah sehingga Aku datang, kerana Aku datang dengan cepat; dan ganjaran-Ku bersama-Ku untuk mengganjar setiap orang menurut pekerjaannya. Aku ialah Alfa dan Omega. Amin.