Bahagian 61
Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di tepi Sungai Missouri, Selekoh McIlwaine, 12 Ogos 1831. Dalam perjalanan pulang mereka ke Kirtland, Nabi dan sepuluh orang penatua telah melakukan perjalanan menyusuri Sungai Missouri di dalam perahu. Pada hari ketiga perjalanan itu, banyak bahaya dialami. Elder William W. Phelps, dalam suatu penglihatan di siang hari, telah melihat si pemusnah bergerak dengan berkuasa di atas permukaan perairan.
1–12, Tuhan telah menetapkan banyak kehancuran di atas perairan; 13–22, Perairan dikutuk oleh Yohanes, dan si pemusnah bergerak di atas permukaannya; 23–29, Ada yang mempunyai kuasa untuk memerintah perairan; 30–35, Para penatua mesti melakukan perjalanan berdua-dua dan mengkhutbahkan Injil; 36–39, Mereka mesti bersedia bagi kedatangan Putera Manusia.
1 Lihatlah, dan dengarlah suara Dia yang memiliki segala kuasa, yang adalah dari kekekalan ke kekekalan, bahkan Alfa dan Omega, yang awal dan yang akhir.
2 Lihatlah, sesungguhnya demikianlah firman Tuhan kepadamu, Wahai kamu para penatua gereja-Ku, yang berhimpun di atas bidang tanah ini, yang mana dosa-dosamu sekarang diampuni, kerana Aku, Tuhan, mengampuni dosa, dan penuh berbelas kasihan kepada mereka yang mengakui dosa-dosa mereka dengan kerendahan hati;
3 Tetapi sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa tidaklah perlu bagi seluruh rombongan penatua-Ku ini untuk bergerak dengan cepat di atas perairan, sementara para penduduk di setiap sisi sedang binasa dalam ketidakpercayaan.
4 Walaupun demikian, Aku membenarkan agar kamu boleh memberikan kesaksian; lihatlah, terdapat banyak bahaya di atas perairan, dan terutama sekali selepas ini;
5 Kerana Aku, Tuhan, telah menetapkan dalam kemarahan-Ku banyak kehancuran di atas perairan; ya, dan terutamanya di atas perairan ini.
6 Walaupun demikian, semua manusia berada dalam tangan-Ku, dan dia yang setia di kalangan kamu tidak akan dihapuskan oleh perairan.
7 Kerana itu, adalah perlu bahawa hamba-Ku Sidney Gilbert dan hamba-Ku William W. Phelps memulakan tugasan dan misi mereka dengan segera.
8 Walaupun demikian, Aku tidak akan membiarkan bahawa kamu akan berpisah sehingga kamu dihukum bagi segala dosamu, agar kamu boleh menjadi satu, agar kamu tidak dihapuskan dalam kejahatan;
9 Tetapi sekarang, sesungguhnya Aku berfirman, adalah patut menurut-Ku bahawa kamu harus berpisah. Kerana itu biarlah hamba-Ku Sidney Gilbert dan William W. Phelps membawa rombongan mereka yang terdahulu, dan biarlah mereka melakukan perjalanan mereka dengan segera agar mereka boleh memenuhi misi mereka, dan melalui iman mereka akan mengatasi;
10 Dan sejauh mereka setia mereka akan dilindungi, dan Aku, Tuhan, akan bersama dengan mereka.
11 Dan biarlah yang selebihnya mengambil apa yang diperlukan untuk pakaian.
12 Biarlah hamba-Ku Sidney Gilbert mengambil apa yang tidak diperlukan bersamanya, seperti yang kamu persetujui.
13 Dan sekarang, lihatlah, demi kebaikanmu Aku memberi kepadamu sebuah perintah berkenaan hal-hal ini; dan Aku, Tuhan, akan berbincang denganmu seperti dengan orang-orang pada zaman dahulu.
14 Lihatlah, Aku, Tuhan, pada awalnya memberkati perairan; tetapi pada zaman terakhir ini, melalui mulut hamba-Ku Yohanes, Aku mengutuk perairan itu.
15 Kerana itu, masanya akan datang bahawa tidak ada manusia yang akan selamat di atas perairan.
16 Dan akan dikatakan pada masa yang akan datang bahawa tiada seorang pun yang dapat pergi ke negeri Sion di atas perairan, kecuali dia yang berhati soleh.
17 Dan, seperti Aku, Tuhan, pada, mulanya mengutuk daratan, demikian pula pada zaman akhir Aku telah memberkatinya, pada waktunya, untuk kegunaan para orang suci-Ku, agar mereka boleh mengambil hasilnya.
18 Dan sekarang, Aku memberi kepadamu sebuah perintah bahawa apa yang Aku firmankan kepada satu orang Aku firmankan kepada semuanya, bahawa kamu harus memperingatkan saudara-saudaramu dahulu tentang perairan ini, agar mereka tidak melakukan perjalanan di atasnya, agar jangan iman mereka gagal dan mereka terperangkap dalam jerat;
19 Aku, Tuhan, telah menetapkan, dan si pemusnah bergerak di atas permukaannya, dan Aku tidak menarik ketetapan itu.
20 Aku, Tuhan, marah denganmu kelmarin, tetapi hari ini kemarahan-Ku tiada lagi.
21 Kerana itu, biarlah mereka yang telah Aku firmankan, yang harus melakukan perjalanan mereka dengan segera—Aku berfirman kepadamu lagi, biarlah mereka melakukan perjalanan dengan segera.
22 Dan tiada halnya bagi-Ku, selepas seketika, jika sedemikian halnya bahawa mereka memenuhi misi mereka, sama ada mereka pergi melalui air atau melalui darat; biarlah ini menjadi seperti apa yang diberitahukan kepada mereka menurut pertimbangan mereka selepas ini.
23 Dan sekarang, menegenai hamba-hamba-Ku, Sidney Rigdon, Joseph Smith Jr. dan Oliver Cowdery, biarlah mereka tidak lagi datang melalui perairan, kecuali melalui terusan, semasa melakukan perjalanan menuju ke rumah mereka; atau dengan perkataan lain mereka tidak harus melalui perairan untuk melakukan perjalanan, kecuali melalui terusan.
24 Lihatlah, Aku, Tuhan, telah menetapkan sebuah jalan untuk perjalanan para orang suci-Ku; dan lihatlah, inilah jalannya—bahawa setelah mereka meninggalkan terusan mereka akan melakukan perjalanan melalui darat, sejauh mereka diperintahkan untuk melakukan perjalanan dan pergi ke negeri Sion;
25 Dan mereka haruslah melakukannya seperti anak-anak Israel, memasang khemah-khemah mereka dalam perjalanan.
26 Dan, lihatlah, perintah ini haruslah kamu berikan kepada semua saudaramu.
27 Walaupun demikian, kepada siapa diberikan kuasa untuk memerintah perairan, kepadanyalah diberikan oleh Roh untuk mengetahui semua cara-Nya;
28 Kerana itu, biarlah dia lakukan seperti mana Roh Tuhan yang hidup memerintahkannya, sama ada di atas daratan atau di atas perairan, seperti mana yang terserah kepada-Ku untuk melakukannya selepas ini.
29 Dan kepadamu diberikan laluan bagi para orang suci, atau jalan bagi para orang suci dari perkhemahan Tuhan, untuk melakukan perjalanan.
30 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, hamba-Ku, Sidney Rigdon, Joseph Smith Jr. dan Oliver Cowdery, tidak harus membuka mulut mereka di dalam jemaah-jemaah yang jahat sehinggalah mereka tiba di Cincinnati;
31 Dan di tempat itu mereka harus mengangkat suara mereka kepada Tuhan terhadap orang-orang itu, ya, kepada Dia yang kemarahan-Nya menyala terhadap kejahatan mereka, suatu umat yang hampir matang untuk kehancuran.
32 Dan dari sana biarlah mereka melakukan perjalanan untuk jemaah-jemaah saudara mereka, kerana pekerjaan mereka sekarang lebih banyak diperlukan di kalangan mereka daripada di kalangan jemaah-jemaah yang jahat.
33 Dan sekarang, tentang yang selebihnya, biarlah mereka melakukan perjalanan dan memaklumkan firman di kalangan jemaah-jemaah yang jahat, sejauh ianya diberikan;
34 Dan sejauh mereka melakukan ini mereka akan membersihkan pakaian mereka, dan mereka akan menjadi tanpa noda di hadapan-Ku.
35 Dan biarlah mereka melakukan perjalanan bersama, atau berdua-dua, seperti yang kelihatannya baik bagi mereka, hanya biarlah hamba-Ku Reynolds Cahoon, dan hamba-Ku Samuel H. Smith, kepada mereka Aku sangat berkenan, tidak dipisahkan sehingga mereka kembali ke rumah mereka, dan ini adalah untuk suatu tujuan yang bijak di dalam Aku.
36 Dan sekarang, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, dan apa yang Aku firmankan kepada satu orang Aku firmankan kepada semuanya, cerialah, anak-anak kecil; kerana Aku berada di tengah-tengahmu, dan Aku tidak meninggalkanmu;
37 Dan sejauh kamu telah merendahkan hatimu sendiri di hadapan-Ku, berkat-berkat kerajaan adalah milikmu.
38 Persiapkan dirimu dan berwaspada dan bersungguh-sungguh, menantikan-nantikan kedatangan Putera Manusia, kerana Dia datang pada waktu yang tidak kamu sangkakan.
39 Berdoalah selalu agar kamu tidak masuk dalam godaan, agar kamu boleh bertahan pada hari kedatangan-Nya, sama ada dalam kehidupan atau dalam kematian. Demikianlah. Amin.