Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 31


Bahagian 31

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith kepada Thomas B. Marsh, September 1830. Ini terjadi sejurus selepas sebuah persidangan Gereja (lihat pengenalan untuk bahagian 30). Thomas B. Marsh telah dibaptiskan pada awal pada bulan itu dan telah ditahbiskan sebagai penatua di dalam Gereja sebelum wahyu ini diberikan.

1–6, Thomas B. Marsh dipanggil untuk mengkhutbahkan Injil dan diyakinkan akan kesejahteraan keluarganya; 7–13, Dia dinasihati untuk bersabar, berdoa selalu, dan mengikuti Penolong.

1 Thomas, anak-Ku, diberkatilah engkau kerana imanmu pada pekerjaan-Ku.

2 Lihatlah, kamu telah mengalami banyak kesengsaraan kerana keluargamu; walaupun demikian, Aku akan memberkatimu dan keluargamu, ya, anak-anakmu yang kecil; dan masanya tiba bahawa mereka akan mempercayai dan mengetahui kebenaran dan menjadi satu bersamamu di dalam gereja-Ku.

3 Angkatlah hatimu dan bersukacitalah, kerana masa bagi misimu telah tiba; dan lidahmu akan dilembutkan, dan kamu akan memaklumkan khabar gembira tentang kebahagiaan yang besar kepada generasi ini.

4 Kamu haruslah memaklumkan hal-hal yang telah diwahyukan kepada hamba-Ku, Joseph Smith Jr. Kamu haruslah mula berkhutbah sejak dari waktu ini, ya, untuk menuai di ladang yang telah putih sedia untuk dibakar.

5 Oleh kerana itu, hayunkanlah sabitmu dengan segenap jiwamu, dan dosa-dosamu diampuni bagimu, dan kamu akan disaratkan dengan berkas-berkas gandum di belakangmu, kerana si pekerja layak akan upahnya. Kerana itu, keluargamu akan hidup.

6 Lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, pergilah daripada mereka hanya untuk waktu yang singkat, dan maklumkanlah firman-Ku, dan Aku akan sediakan sebuah tempat bagi mereka.

7 Ya, Aku akan membuka hati orang-orang ini, dan mereka akan menerimamu. Dan Aku akan menubuhkan sebuah jemaah gereja melalui tanganmu;

8 Dan kamu haruslah menguatkan mereka dan menyediakan mereka untuk waktu mereka akan dikumpulkan.

9 Bersabarlah dalam kesengsaraan, janganlah mencaci mereka yang mencaci maki. Aturlah seisi rumahmu dengan kelembutan hati, dan tabahlah.

10 Lihatlah, Aku berfirman kepadamu bahawa kamu haruslah menjadi tabib bagi gereja, tetapi tidak bagi dunia, kerana mereka tidak akan menerimamu.

11 Pergilah pada jalanmu ke mana pun Aku kehendaki, dan akan diberikan kepadamu oleh Penolong apa yang kamu harus lakukan dan ke mana kamu harus pergi.

12 Berdoalah selalu, agar jangan kamu masuk ke dalam godaan dan kehilangan ganjaranmu.

13 Setialah sampai akhir, dan lihatlah, Aku bersamamu. Firman-firman ini bukannya daripada manusia tidak juga dari manusia, tetapi daripada-Ku, bahkan Yesus Kristus, Penebusmu, melalui kehendak Bapa. Amin.