Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 60


Bahagian 60

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Independence, Jackson County, Missouri, 8 Ogos 1831. Pada kejadian ini para penatua yang telah melakukan perjalanan ke Jackson County dan menyertai pembaktian tanah dan tempat bait suci berhasrat untuk mengetahui bagaimana mereka harus melakukannya.

1–9, Para penatua mesti mengkhutbahkan Injil di dalam jemaah-jemaah orang jahat; 10–14, Mereka tidak harus membuang waktu mereka, tidak juga menguburkan bakat mereka; 15–17, Mereka boleh membasuh kaki mereka sebagai suatu kesaksian terhadap mereka yang menolak Injil.

1 Lihatlah, demikianlah firman Tuhan kepada para penatua gereja-Nya, yang harus kembali dengan secepatnya ke tanah dari mana mereka datang: Lihatlah, ia menyenangkan-Ku, bahawa kamu telah datang ke mari;

2 Tetapi dengan beberapa orang Aku tidak terlalu berkenan, kerana mereka tidak mahu membuka mulut mereka, tetapi mereka menyembunyikan bakat yang telah Aku berikan kepada mereka, kerana perasaan takut terhadap manusia. Celakalah kepada mereka, kerana kemarahan-Ku dinyalakan terhadap mereka.

3 Dan akan terjadi, jika mereka tidak lebih setia kepada-Ku, ia akan diambil, bahkan apa yang mereka miliki.

4 Kerana Aku, Tuhan, berkuasa di langit di atas, dan di kalangan pasukan tentera di bumi; dan pada hari apabila Aku akan menghimpunkan permata-permata-Ku, semua orang akan mengetahui apakah ia yang membuktikan kuasa Tuhan.

5 Tetapi, sesungguhnya, Aku akan berfirman kepadamu tentang perjalananmu ke tanah dari mana kamu datang. Biarlah ada sebuah kapal dibuat, atau dibeli, seperti yang kelihatannya baik bagimu, tiada masalah bagi-Ku, dan lakukanlah perjalananmu secepatnya ke tempat yang disebut St. Louis.

6 Dan dari sana biarlah hamba-hamba-Ku, Sidney Rigdon, Joseph Smith Jr., dan Oliver Cowdery, melakukan perjalanan mereka ke Cincinnati;

7 Dan di tempat ini biarlah mereka mengangkat suara mereka dan memaklumkan firman-Ku dengan suara nyaring, tanpa kemurkaan atau keraguan, mengangkat tangan-tangan yang kudus ke atas diri mereka. Kerana Aku mampu untuk menjadikanmu kudus, dan dosa-dosamu diampuni bagimu.

8 Dan biarlah yang selebihnya melakukan perjalanan mereka dari St. Louis, berdua-dua, dan mengkhutbahkan firman, bukan dengan tergesa-gesa, ke kalangan jemaah-jemaah orang jahat, sehingga mereka kembali ke jemaah-jemaah gereja dari mana mereka datang.

9 Dan semua ini demi kebaikan jemaah-jemaah gereja itu; untuk tujuan ini Aku telah mengutuskan mereka.

10 Dan biarlah hamba-Ku Edward Partridge memberikan wang yang telah Aku berikan kepadanya, sebahagiannya kepada para penatua-Ku yang diperintahkan untuk kembali;

11 Dan dia yang mampu, biarlah dia mengembalikannya melalui wakil; dan dia yang tidak mampu, tidak akan dituntut daripadanya.

12 Dan sekarang, Aku berfirman tentang mereka yang selebihnya akan datang ke tanah ini.

13 Lihatlah, mereka telah diutus untuk mengkhutbahkan Injil-Ku ke kalangan jemaah-jemaah orang jahat; kerana itu, Aku memberikan kepada mereka sebuah perintah, demikian: Janganlah engkau membuang waktumu, janganlah juga engkau menguburkan bakatmu sehingga ia tidak diketahui.

14 Dan selepas engkau datang ke negeri Sion, dan telah memaklumkan firman-Ku, engkau harus segera kembali, memaklumkan firman-Ku di kalangan jemaah-jemaah orang jahat, bukan dengan tergesa-gesa, tidak juga dalam kemurkaan tidak juga dengan persengketaan.

15 Dan kibaskanlah debu dari kakimu terhadap mereka yang tidak menerima engkau, bukan di hadapan mereka, agar jangan engkau membangkitkan kemarahan mereka, tetapi secara rahsia; dan basuhlah kakimu, sebagai suatu kesaksian terhadap mereka pada hari penghakiman.

16 Lihatlah, ini adalah cukup bagimu, dan kehendak Dia yang telah mengutusmu.

17 Dan oleh mulut hamba-Ku Joseph Smith Jr., ia akan diberitahukan tentang Sidney Rigdon dan Oliver Cowdery. Selebihnya selepas ini. Demikianlah. Amin.