Persidangan Umum
Tuhan Yesus Kristus Menjadi Pelindungmu
persidangan umum April 2024


Tuhan Yesus Kristus Menjadi Pelindungmu

Melalui menghormati perjanjian kita, kita membolehkan Tuhan mencurahkan banyak berkat untuk perjanjian itu.

Semasa dua anak bongsu saya membesar, saya temui buku yang menghiburkan dan menarik tetapi juga menggunakan lambang dalam cerita mereka. Semasa membaca bersama pada waktu petang, saya suka membantu anak-anak saya fahami lambang yang penulis gunakan untuk mengajar asas yang lebih mendalam, malah asas-asas injil.

Saya tahu ini difahami apabila anak bongsu saya di usia awal remajanya. Dia telah mula membaca buku baharu dan ingin menikmati cerita itu, tetapi fikirannya asyik cuba mencari makna yang lebih mendalam dalam semua yang dia baca. Dia kecewa, tetapi hati saya tersenyum.

Yesus mengajar melalui cerita dan lambang1—biji sawi untuk mengajar tentang kuasa iman,2 domba yang hilang untuk mengajar nilai jiwa,3 anak lelaki yang sesat untuk mengajar perwatakan Tuhan.4 Perumpamaan-Nya adalah lambang yang Dia gunakan untuk mengajar pelajaran yang lebih mendalam kepada mereka yang mempunyai “telinga untuk mendengar.”5 Mereka yang tidak mencari makna yang lebih mendalam tidak akan memahami,6 sepertimana ramai yang membaca buku sama seperti buku anak-anak saya, [tetapi] tidak pernah tahu makna yang lebih mendalam dan banyak lagi pengajaran dalamnya.

Apabila Tuhan Bapa mempersembahkan Putera Tunggal-Nya sebagai korban untuk kita, Yesus Kristus Sendiri menjadi lambang tertinggi kasih Bapa Syurgawi untuk setiap kita.7 Yesus Kristus menjadi Domba Tuhan.8

Kita mempunyai keistimewaan dan berkat untuk masuk ke dalam hubungan perjanjian dengan Tuhan, di mana kehidupan kita boleh menjadi lambang perjanjian itu. Perjanjian mencipta hubungan yang membolehkan Tuhan membentuk dan mengubah kita dari masa ke masa dan mengangkat kita untuk menjadi lebih seperti Juruselamat, mendekatkan kita kepada Dia dan Bapa kita9 dan akhirnya menyediakan kita untuk masuk ke hadirat Mereka.

Setiap orang di bumi adalah anak lelaki atau anak perempuan Tuhan yang dikasihi.10 Apabila kita pilih untuk menjadi sebahagian dalam perjanjian, ia meningkatkan dan memperdalamkan hubungan kita dengan-Nya. Presiden Russell M. Nelson telah mengajar bahawa apabila kita memilih untuk membuat perjanjian dengan Tuhan, hubungan kita dengan Dia boleh menjadi lebih erat berbanding sebelum perjanjian kita, dan ia membolehkan Dia memberkati kita dengan kasih dan belas kasihan, kasih perjanjian dirujuk sebagai hesed dalam Bahasa Ibrani.11 Jalan perjanjian adalah tentang hubungan kita dengan Tuhan—hubungan hesed kita dengan Dia.12

Bapa kita mahukan hubungan yang lebih mendalam dengan semua anak lelaki dan anak perempuan-Nya,13 tetapi Dia tidak akan paksa kita. Apabila kita pilih untuk mendekati-Nya melalui hubungan perjanjian, itu membolehkan Dia mendekati kita14 dan memberkati kita sepenuhnya.

Tuhan menetapkan syarat dan kewajipan perjanjian yang kita buat.15 Apabila kita pilih untuk memasuki hubungan itu, kita bersaksi kepada-Nya melalui tindakan lambang perjanjian bahawa kita bersedia untuk mematuhi syarat-syarat yang Dia tetapkan.16 Dengan menghormati perjanjian kita, kita membolehkan Tuhan mencurahkan berkat untuk perjanjian itu,17 termasuk peningkatan kuasa untuk berubah dan menjadi lebih seperti Juruselamat kita. Yesus Kristus adalah pusat semua perjanjian yang kita buat, dan berkat-berkat perjanjian dimungkinkan kerana korban tebusan-Nya.

Pembaptisan melalui pencelupan melambangkan pintu yang mana kita memasuki hubungan perjanjian dengan Tuhan. Dicelup dalam air dan naik semula melambangkan kematian dan Kebangkitan Juruselamat kepada kehidupan baharu.19 Semasa kita dibaptiskan, kita secara lambangnya mati dan dilahirkan semula ke dalam keluarga Kristus dan menunjukkan kita bersedia untuk mengambil nama-Nya ke atas kita20 Kita sendiri mewakili lambang perjanjian itu. Dalam Perjanjian Baru kita baca, “Kamu semua telah dibaptis dan disatukan dengan Kristus.”21 Dengan pembaptisan, kita secara lambangnya “memakai” Kristus.

Tatacara sakramen juga mengarah kepada Juruselamat. Roti dan air adalah lambang daging dan darah yang Kristus tumpahkan untuk kita.22 Kurnia Korban Tebusan-Nya secara lambang ditawarkan kepada kita setiap minggu apabila pemegang imamat, yang mewakili Juruselamat Sendiri, menawarkan kita roti dan air. Semasa kita makan dan minum lambang daging dan darah-Nya, Kristus secara lambangnya menjadi sebahagian daripada kita.23 Kita sekali lagi “memakai Kristus” apabila kita memperbaharui perjanjian setiap minggu.24

Semasa kita membuat perjanjian dengan Tuhan di bait suci, kita lebih mendalami hubungan kita dengan Dia.25 Segala yang kita lakukan di bait suci mengarah kepada rancangan Bapa untuk kita, yang berpusatkan Juruselamat dan korban tebusan-Nya.26 Tuhan akan mengajar kita baris demi baris27 melalui lambang tatacara dan perjanjian semasa kita membuka hati kita dan dengan penuh doa untuk memahami makna yang lebih dalam.

Sebahagian daripada anugerahan bait suci, kita diberi kuasa untuk memakai pakaian suci imamat kudus. Ia adalah kewajipan dan keistimewaan kudus.

Dalam banyak tradisi keagamaan, pakaian luar yang istimewa dipakai sebagai lambang kepercayaan dan komitmen seseorang kepada Tuhan,28 dan pakaian upacara sering dipakai oleh mereka yang memimpin penyembahan. Pakaian kudus itu membawa makna yang mendalam bagi mereka yang memakainya. Kita baca dalam kitab suci bahawa pada zaman dahulu, pakaian kudus upacara juga dipakai sempena upacara bait suci.29

Sebagai ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, kita yang telah memilih untuk membuat perjanjian dengan Tuhan di rumah Tuhan memakai pakaian kudus upacara semasa penyembahan bait suci, melambangkan pakaian yang dipakai dalam upacara bait suci dahulu. Kita juga memakai pakaian imamat suci, semasa penyembahan bait suci dan dalam kehidupan seharian kita.30

Pakaian suci imamat kudus juga miliki lambang mendalam dan juga mengarah kepada Juruselamat. Apabila Adam dan Hawa makan buah pohon kehidupan dan harus meninggalkan Taman Eden, mereka diberikan pakaian daripada kulit untuk dipakai.31 Berkemungkinan seekor binatang telah dikorbankan untuk membuat pakaian kulit itu—lambang pengorbanan Juruselamat sendiri untuk kita. Kaphar ialah perkataan Ibrani asas untuk penebusan, dan salah satu maknanya ialah “untuk menutup”.32 Pakaian suci bait suci mengingatkan kita bahawa Juruselamat dan berkat-berkat Korban Tebusan-Nya menyelubungi kita sepanjang hidup kita. Semasa kita memakai pakaian suci imamat kudus setiap hari, lambang yang indah itu menjadi sebahagian daripada kita.

Dalam Perjanjian Baru kitab Roma, kita baca: “Malam hampir berlalu, dan fajar akan menyingsing. Marilah kita berhenti melakukan perkara-perkara kegelapan [dan] lengkapi diri dalam terang. … Biarlah Tuhan Yesus Kristus menjadi pelindung[mu].”33

Saya bersyukur atas keistimewaan memakai pakaian suci imamat kudus untuk mengingatkan saya bahawa Juruselamat dan berkat Korban Tebusan-Nya yang tidak terhingga sentiasa menyelubungi kehidupan saya. Ia juga mengingatkan saya bahawa semasa saya mentaati perjanjian yang saya dengan Tuhan di rumah Tuhan, saya secara simbolik memakai Kristus, yang diri-Nya adalah perisai cahaya. Dia akan melindungi saya daripada kejahatan,34 memberi saya kuasa dan meningkatkan keupayaan saya35 dan menjadi cahaya dan pembimbing saya36 melalui kegelapan dan kesukaran dunia ini.

Terdapat makna simbolik yang mendalam dan indah dalam pakaian imamat suci dan hubungannya dengan Kristus. Saya percaya bahawa kesediaan saya37 untuk memakai pakaian suci menjadi lambang saya kepada-Nya.38 Ia adalah tanda peribadi saya sendiri kepada Tuhan, bukan tanda kepada orang lain.39

Saya sangat bersyukur untuk Juruselamat kita, Yesus Kristus.40 Korban tebusan-Nya untuk kita menjadi lambang terbesar kasih tidak terhingga Dia dan Bapa Syurgawi bagi kita semua,41 dengan lambang nyata tentang kasih dan pengorbanan itu—tanda di tangan, kaki, dan sisi Juruselamat—yang kekal walaupun selepas Dia dibangkitkan.42

Semasa saya mentaati perjanjian dan kewajipan bait suci saya, termasuk memakai pakaian suci imamat kudus, hidup saya boleh menjadi lambang peribadi akan kasih saya dan kesyukuran mendalam untuk Juruselamat saya, Yesus Kristus, dan hasrat untuk sentiasa bersama-Nya.

Jika anda belum berbuat demikian, saya menjemput anda untuk memilih hubungan mendalam melalui perjanjian dengan-Nya di rumah Tuhan. Kaji ucapan nabi kita (termasuk ajaran indah dalam nota kaki ucapannya, yang kebanyakan ucapan persidangan ada). Dia telah berucpa berulang kali mengenai perjanjian selama bertahun-tahun dan terutamanya sejak menjadi Presiden Gereja. Belajar dari ajarannya tentang berkat yang indah dan peningkatan kuasa dan keupayaan yang boleh menjadi milik anda melalui membuat dan mentaati perjanjian dengan Tuhan.43

Buku Panduan Umum menyatakan bahawa tidak perlu mempunyai panggilan misi atau bertunang untuk berkahwin demi membuat perjanjian bait suci.44 Seseorang mesti berumur sekurang-kurangnya 18 tahun, tidak lagi menghadiri sekolah menengah atau setaraf, dan menjadi ahli Gereja selama sekurang-kurangnya satu tahun. Terdapat juga standard kekudusan peribadi yang diperlukan.45 Sekiranya anda ada keinginan untuk memperdalam hubungan anda dengan Bapa di Syurga dan Yesus Kristus dengan membuat perjanjian suci di rumah Tuhan, saya menjemput anda untuk bercakap dengan uskup atau presiden cabang anda dan biarkan dia tahu keinginan anda. Dia akan membantu anda tahu bagaimana untuk bersedia untuk menerima dan menghormati perjanjian tersebut.

Melalui hubungan perjanjian dengan Tuhan, kehidupan kita boleh menjadi lambang hidup bagi komitmen dan kasih kita yang mendalam kepada Bapa Syurgawi, hesed kita terhadap Dia,46 dan hasrat kita untuk maju dan akhirnya menjadi seperti Juruselamat kita, disediakan untuk masuk ke hadirat Mereka satu hari nanti. Saya bersaksi bahawa berkat besar dari hubungan perjanjian itu sangat berbaloi. Dalam nama Yesus Kristus, amin.