Persidangan Umum
Semua akan Menjadi Baik Kerana Perjanjian Bait Suci
persidangan umum April 2024


Semua akan Menjadi Baik Kerana Perjanjian Bait Suci

Tiada yang lebih penting daripada menghormati perjanjian yang telah anda buat atau boleh buat di bait suci.

Saudara dan saudari yang dikasihi, sesi persidangan umum ini telah menjadi suatu masa kudus bagi saya. Saya bersyukur atas tugasan untuk berucap kepada berjuta-juta Orang Suci Zaman Akhir dan kawan kita di seluruh dunia. Saya mengasihi anda, dan saya tahu Tuhan mengasihi anda.

Lebih 50 tahun yang lalu, saya berkesempatan untuk melayani sebagai presiden Ricks College di Rexburg, Idaho. Pada pagi 5 Jun 1976, isteri saya, Kathy, dan saya memandu dari Rexburg ke Bait Suci Idaho Falls untuk menghadiri pemeteraian kawan rapat. Sudah tentu, dengan empat budak lelaki di rumah kami pada masa itu, perjalanan bait suci kami dapat tercapai hanya dengan bantuan pengasuh yang berani! Kami tinggalkan anak-anak kami dalam jagaannya dan membuat perjalanan pendek selama 30 minit.

Pengalaman kami di dalam bait suci pada hari itu indah, seperti biasa. Namun, selepas tamatnya pemeteraian bait suci—dan ketika kami bersiap untuk pulang ke rumah—kami melihat banyak pekerja dan hadirin bait suci cemas berbual di lobi bait suci. Dalam beberapa saat, salah seorang pekerja bait suci memberitahu kami bahawa Empangan Teton yang baru dibina telah runtuh! Lebih daripada 80 bilion gelen (300 juta meter padu) air mengalir melalui empangan ke 300 batu persegi (775 km persegi) lembah-lembah jiran. Kebanyakan bandar Rexburg ditenggelami air, rumah dan kenderaan hanyut oleh air banjir. Dua pertiga daripada 9,000 penduduk tiba-tiba kehilangan tempat tinggal.1

Seperti yang anda bayangkan, fikiran dan kebimbangan kami segera beralih kepada keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kami, beratus-ratus pelajar kolej dan fakulti, dan komuniti yang kami kasihi. Kami lebih kurang 30 batu (50 km) dari rumah, namun pada hari ini, sebelum adanya telefon bimbit dan SMS, kami tiada cara untuk segera berkomunikasi dengan anak-anak kami, dan kami juga tidak dapat memandu dari Idaho Falls ke Rexburg, kerana semua jalan ditutup.

Satu-satunya pilihan kami ialah bermalam di motel tempatan di Idaho Falls. Kathy dan saya berlutut bersama di bilik hotel dan dengan rendah hati merayu kepada Bapa Syurgawi untuk keselamatan anak-anak terkasih kami dan beribu-ribu orang lain yang terjejas oleh peristiwa tragis itu. Saya ingat Kathy mundar-mandir di lantai pada awal pagi, bimbang tentang anak-anak dia. Walaupun saya juga bimbang, saya dapat tenangkan fikiran saya dan akhirnya tertidur.

Tidak lama selepas itu isteri saya membangunkan saya dan berkata, “Hal, bagaimana kamu boleh tidur pada masa seperti ini?”

Kata-kata ini kemudian datang dengan jelas ke hati dan fikiran saya. Saya berkata kepada isteri saya: “Kathy, tidak kira hasilnya, semuanya akan menjadi baik kerana bait suci. Kita telah membuat perjanjian dengan Tuhan dan telah dimeteraikan sebagai keluarga abadi.”

Pada masa itu, seolah-olah Roh Tuhan mengesahkan dalam hati dan fikiran kami apa yang kami berdua sudah tahu adalah benar: tatacara pemeteraian, hanya terdapat di rumah Tuhan dan dilaksanakan oleh wewenang imamat yang betul, telah mengikat kami bersama sebagai suami dan isteri, dan anak-anak kami telah dimeteraikan kepada kami. Tidak perlu takut, dan kami bersyukur kemudian mengetahui anak-anak lelaki kami selamat.

Kenyataan Presiden Thomas S. Monson terbaik menggambarkan apa yang Kathy dan saya rasakan pada malam yang tidak dapat dilupakan itu. “Apabila kita menghadiri bait suci, kita akan merasai satu dimensi kerohanian dan perasaan keamanan. … Kita akan dapat memahami erti sebenar kata-kata Juruselamat apabila Dia berkata: “Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu; kesejahteraan-Ku sendiri yang Aku berikan kepada kamu. … Janganlah kamu risau dan janganlah takut [Yohanes 14:27].’”2

Saya telah diberkati untuk merasakan kedamaian itu setiap kali saya masuk ke bait suci. Saya masih ingat hari pertama saya masuk ke Bait Suci Salt Lake. Ketika itu saya seorang dewasa muda.

Saya memandang ke siling putih tinggi yang menjadikan bilik itu sangat cerah sehinggakan ia seperti terbuka ke langit. Pada saat itu, satu fikiran jelas datang ke minda saya: “Saya pernah berada di tempat cerah ini.” Tetapi dengan serta merta, satu suara bukan kepunyaan saya, berkata: “Tidak, kamu tidak pernah datang ke sini. Kamu sedang mengingati masa sebelum kamu dilahirkan. Kamu berada di tempat kudus seperti ini di mana Tuhan boleh datang.”

Saudara dan saudari, saya dengan rendah hati bersaksi semasa kita menghadiri bait suci, kita boleh diingatkan tentang sifat abadi roh kita, hubungan kita dengan Bapa dan Putera ilahi-Nya, dan hasrat utama kita untuk kembali ke rumah syurgawi kita.

Dalam ucapan persidangan baru-baru ini, Presiden Russell M. Nelson mengajar:

“Tempat yang paling selamat secara rohani adalah kehidupan dalam perjanjian bait suci anda!”

Segala yang kita percaya dan setiap janji yang Tuhan telah buat kepada umat perjanjian-Nya berlaku di bait suci.”3

“Setiap orang yang membuat perjanjian … dalam kolam pembaptisan dan di bait suci—dan mentaatinya—telah meningkatkan akses kepada kuasa Yesus Kristus.”4

Dia juga mengajar bahawa “apabila kita membuat perjanjian dengan Tuhan, kita meninggalkan kehidupan sambil lewa selamanya. Tuhan tidak akan tinggalkan hubungan-Nya dengan mereka yang menjalin ikatan itu dengan-Nya. Semua yang telah membuat perjanjian dengan Tuhan memiliki akses kepada kasih dan belas kasihan yang istimewa.”5

Di bawah pimpinan berilham Presiden Nelson, Tuhan telah mempercepatkan, dan akan terus mempercepatkan, pembinaan bait suci di seluruh dunia. Ini akan membolehkan semua anak Tuhan menerima tatacara keselamatan dan kemuliaan dan membuat serta mentaati perjanjian kudus. Melayakkan diri untuk membuat perjanjian suci bukanlah usaha sekali tetapi pola seumur hidup. Tuhan berfirman bahawa ia memerlukan sepenuh hati, fikiran, dan kekuatan kita.6

Penglibatan kerap dalam tatacara bait suci boleh menciptakan pola pengabdian kepada Tuhan. Apabila anda mentaati perjanjian bait suci anda dan mengingatinya, anda menjemput penemanan Roh Kudus untuk menguatkan dan memurnikan anda.

Anda kemudian akan mengalami cahaya dan harapan yang bersaksi bahawa janji-janji itu adalah benar. Anda akan tahu bahawa setiap perjanjian dengan Tuhan adalah peluang untuk mendekatkan diri kepada-Nya, yang kemudiannya akan mewujudkan hasrat di dalam hati anda untuk mentaati perjanjian bait suci.

Kita telah dijanjikan, “Kerana perjanjian kita dengan Tuhan, Dia tidak akan hentikan usaha-Nya untuk membantu kita, dan kita tidak akan pernah menghabiskan kesabaran-Nya terhadap kita.”7

Melalui bait sucilah kita boleh menerima jaminan hubungan kekeluargaan yang akan berterusan selepas kematian dan bertahan untuk keabadian. Menghormati perjanjian perkahwinan dan perjanjian keluarga yang dibuat di bait suci Tuhan akan memberikan perlindungan daripada kejahatan mementingkan diri dan keangkuhan.

Penjagaan adik-beradik yang konsisten terhadap satu sama lain hanya datang dengan usaha berterusan untuk memimpin keluarga anda mengikut cara Tuhan. Berikan anak-anak peluang untuk berdoa untuk satu sama lain. Segera bezakan mulanya perselisihan, dan dengan positif memuji tindakan pelayanan yang tidak mementingkan diri, terutama kepada satu sama lain. Apabila adik-beradik berdoa untuk satu sama lain dan melayani satu sama lain, hati dilembutkan dan akan berpaling kepada satu sama lain dan kepada ibu bapa mereka.

Itulah yang Maleakhi gambarkan semasa dia menubuatkan tentang nabi Elia: “Dia akan menanamkan dalam hati anak-anak perjanjian yang dibuat kepada nenek moyang, dan hati anak-anak akan berpaling kepada nenek moyang mereka. Jika tidak demikian, seluruh bumi akan dibinasakan sepenuhnya semasa kedatangan-Nya.”8

Percubaan, cabaran, dan kesedihan pasti akan datang kepada kita semua. Tiada seorang pun yang kebal daripada “penyakit yang sangat menyakitkan.”9 Namun, semasa kita menghadiri bait suci dan mengingati perjanjian kita, kita boleh bersedia untuk menerima arahan peribadi dari Tuhan.

Apabila Kathy dan saya berkahwin dan dimeterai di Bait Suci Logan Utah, Elder Spencer W. Kimball melaksanakan pemeteraian kami. Dalam kata-katanya, dia menasihati: “Hal dan Kathy, jalani hidup agar ketika panggilan itu datang, kamu boleh tinggalkan segera.”

Pada mulanya, kami tidak memahami nasihat itu, tetapi kami melakukan yang terbaik untuk menjalani kehidupan kami sedemikian rupa sehingga kami bersedia untuk melayani Tuhan ketika panggilan itu datang. Selepas kami berkahwin hampir 10 tahun, panggilan yang tidak dijangka datang dari Pesuruhjaya Pendidikan Gereja, Neal A. Maxwell.

Nasihat penuh kasih Presiden Kimball untuk bersedia “tinggalkan segera” menjadi nyata. Kathy dan saya terima satu panggilan untuk meninggalkan kehidupan indah di California dan pergi melayani di satu tempat yang saya tidak kenali. Namun, keluarga kami bersedia untuk pergi kerana seorang nabi, di dalam bait suci, tempat yang berwahyu, telah melihat masa depan yang kami telah dipersediakan.

Saudara dan saudari terkasih, saya bersaksi bahawa tidak ada yang lebih penting daripada mematuhi perjanjian yang telah anda buat atau akan buat di bait suci. Tidak kira di mana anda berada di jalan perjanjian, saya menggesa anda untuk memenuhi syarat dan menjadi layak untuk menghadiri bait suci. Kunjungilah sekerap keadaan membenarkan. Buat dan taati perjanjian kudus dengan Tuhan. Saya dapat memberi jaminan kepada anda tentang kebenaran sama yang saya kongsi dengan Kathy pada tengah malam hampir lima dekad yang lalu di bilik kecil hotel Idaho Falls: “Tidak kira hasilnya, semuanya akan menjadi baik kerana bait suci.”

Saya dengan pasti bersaksi bahawa Yesus adalah Kristus. Dia hidup dan memimpin Gereja-Nya. Bait suci adalah rumah Tuhan. Presiden Russell M. Nelson ialah nabi Tuhan di bumi hari ini. Saya kasihi dia, dan saya kasihi anda. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.