Persidangan Umum
Adalah Kebijaksanaan dalam Tuhan Bahawa Kita Harus Memiliki Kitab Mormon
persidangan umum April 2024


Adalah Kebijaksanaan dalam Tuhan Bahawa Kita Harus Memiliki Kitab Mormon

Saya doakan semoga pembacaan Kitab Mormon tahun ini akan membawa kebahagiaan dan berkat bagi setiap kita.

Saudara dan saudari yang dikasihi, kami bersyukur atas usaha anda dalam membaca tulisan suci bersama Ikutlah Aku. Terima kasih atas segala usaha yang anda lakukan. Hubungan harian anda dengan Tuhan dan firman-Nya mempunyai akibat yang mendalam. “Kamu sedang meletakkan landasan bagi sebuah pekerjaan yang besar. Dan dari hal-hal yang kecil bermulalah hal yang besar.”1

Membaca ajaran Juruselamat dalam tulisan suci membantu mengubah rumah kita menjadi tempat kudus iman dan pusat pembelajaran injil.2 Ia menjemput Roh ke dalam rumah kita. Roh Kudus memenuhi jiwa kita dengan kebahagiaan3 dan mengubah kita menjadi pengikut Yesus Kristus seumur hidup.

Beberapa tahun berlalu, semasa membaca tulisan suci yang kudus, kita memerhatikan ajaran-ajaran Tuhan kepada anak-anak-Nya dalam semua zaman keagamaan injil utama.4

Dalam setiap zaman keagamaan, kita telah lihat satu pola yang sering berlaku. Tuhan memulihkan atau mengungkapkan injil Yesus Kristus melalui para nabi-Nya. Orang mengikut para nabi dan sangat diberkati Namun, selepas satu jangka masa, beberapa orang berhenti mengikuti kata-kata para nabi dan menjauhkan diri mereka daripada Tuhan dan injil-Nya. Inilah yang kita panggil kemurtadan. Injil diungkapkan pertama kalinya kepada Adam, tetapi beberapa anak Adam dan Hawa berpaling daripada Tuhan dalam kemurtadan.5 Kita melihat pola pemulihan dan kemurtadan yang diulangi dalam zaman keagamaan Henokh, Nuh, Abraham, Musa, dan yang lain.

Sekarang, hari ini, kita hidup dalam kegenapan zaman keagamaan.6 Inilah satu-satunya zaman keagamaan yang tidak akan berakhir dalam kemurtadan.7 Inilah zaman keagamaan yang akan mengalu-alukan Kedatangan Kedua Juruselamat Yesus Kristus dan pemerintahan Zaman Seribu Tahun-Nya.

Oleh itu, apakah yang berbeza tentang zaman keagamaan ini? Apakah yang Tuhan sediakan kepada kita hari ini, terutamanya di zaman kita, yang membantu untuk dekatkan kita kepada Juruselamat dan tidak akan meninggalkan Dia?

Satu jawapan di minda saya adalah tulisan suci—dan terutamanya Kitab Mormon: Satu Lagi Kesaksian Tentang Yesus Kristus.

Walaupun Tuhan Berjanji tidak ada satu lagi kemurtadan umum , kita perlu beri perhatian dan berhati-hati untuk mengelakkan kemurtadan peribadi —mengingat, sepertimana Presiden Russell M. Nelson telah ajarkan, “Kita masing-masing bertanggungjawab untuk perkembangan rohani individu kita.”8 Mengkaji Kitab Mormon, seperti kita lakukan tahun ini, sentiasa membawa kita lebih dekat kepada Juruselamat—dan membantu kita kekal rapat kepada Dia.

Kita memanggilnya “kaji,” dan itu baik kerana ia menandakan usaha. Tetapi kita tidak selalunya perlu belajar beberapa fakta baru. Kadangkala membaca Kitab Mormon adalah tentang perasaan berhubung dengan Tuhan hari ini—memelihara jiwa, diperkuatkan secara rohani sebelum keluar untuk menghadapi dunia, atau mencari kesembuhan selepas hari yang susah di dunia.

Kita mengkaji tulisan suci supaya Roh Kudus, pengajar yang agung, boleh memperdalamkan penukaran hati kita kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus dan membantu kita menjadi lebih seperti Mereka.9

Dengan fikiran ini, kita boleh pertimbangkan, “Apakah yang Roh Kudus telah ajarkan kita minggu ini ketika pengkajian Kitab Mormon?” dan “Bagaimanakah ia membawa kita lebih dekat kepada Juruselamat?”

Ini adalah soalan yang baik untuk kajian tulisan suci kita di rumah. Mereka juga merupakan soalan yang sangat baik untuk memulakan kelas hari Ahad di gereja. Kita memperbaiki pengajaran kita di gereja pada hari Ahad dengan memperbaikkan pembelajaran kita di rumah sepanjang minggu. Oleh demikian, dalam kelas hari Ahad kita, “dia yang berkhutbah dan dia yang menerima, saling memahami, dan kedua-duanya diteguhkan dan bersukacita bersama.”10

Berikut adalah beberapa ayat yang Roh telah bawa ke minda saya dari kajian Kitab Mormon minggu ini:

  • Nefi mengarahkan Yakub untuk “melindungi kepingan-kepingan ini dan menurunkannya … dari generasi ke generasi. Dan jika terdapat pengkhutbahan yang kudus, atau wahyu … , atau nubuat,” Yakub harus “mengukirkan… di atas kepingan-kepingan ini … demi kepentingan bangsa [mereka].”11

  • Yakub kemudian bersaksi, “Kita menyelidiki [ayat suci], … dan memiliki semua kesaksian ini kita mendapatkan harapan, dan iman kita menjadi tak tergoncang.”12

Sekarang, ayat-ayat ini mengingatkan saya kepada apa yang Nefi telah katakan sebelum ini tentang kepingan-kepingan loyang:

“Dan kami telah memperolehi catatan-catatan … dan menyelidiknya dan mendapati bahawa ia … sangat berharga kepada kami, supaya kami dapat memelihara perintah-perintah Tuhan untuk anak-anak kami.

“Oleh kerana itu, adalah kebijaksanaan dalam Tuhan bahawa kami patut membawanya dengan kami, sewaktu kami membuat perjalanan di dalam padang belantara menuju ke negeri yang dijanjikan.”13

Sekarang, jika ia adalah kebijaksanaan bagi Lehi dan keluarganya untuk memiliki tulisan suci, ia sama bijak bagi kita hari ini. Nilai hebat dan kuasa rohani tulisan suci adalah cahaya yang berterusan dalam kehidupan kita hari ini.

Tidak pernah ada orang dalam sejarah dengan akses Kitab Mormon dan tulisan suci lain seperti yang kita nikmati hari ini.14 Ya, Lehi dan keluarganya diberkati untuk membawa kepingan-kepingan loyang bersama mereka, tetapi mereka tidak mempunyai satu salinan untuk setiap khemah! Salinan Kitab Mormon yang paling penting ialah salinan peribadi kita. Ia adalah salinan yang kita baca.

Dalam penglihatan Lehi tentang pokok kehidupan, Lehi mengajar kita kepentingan pengalaman peribadi dengan kasih Tuhan. Selepas dia memakan buah itu, Lehi nampak isterinya, Saria, dan anak-anak lelakinya Nefi dan Sam jauh sedikit.

“Mereka berdiri seolah-olah mereka tidak tahu ke mana mereka patut pergi.

“… Aku memanggil kepada mereka,” kata Lehi, “dan aku juga berkata kepada mereka dengan suara yang kuat bahawa mereka patut datang kepadaku, dan makan buah itu, yang dihasrati melebihi segala buah lain.

“Dan … mereka datang kepadaku dan makan buah itu juga.”15

Saya suka teladan Lehi tentang keibubapaan yang sengaja. Saria, Nefi, dan Sam menjalani kehidupan yang baik dan soleh. Tetapi Tuhan ada sesuatu yang lebih baik, sesuatu yang lebih manis untuk mereka. Mereka tidak tahu di mana untuk mencarinya, tetapi Lehi tahu. Jadi dia memanggil kepada mereka “dengan suara yang kuat,” untuk datang ke pokok kehidupan dan makan buah itu dengan sendiri. Arahannya jelas. Tiada salah faham.

Saya adalah hasil keibubapaan sengaja yang serupa.16 Ketika saya kecil, mungkin 11 atau 12 tahun, ibu menanya saya, “Mark, tahukah kamu untuk diri sendiri, melalui Roh Kudus, bahawa injil adalah benar?”

Soalannya mengejutkan saya. Saya sentiasa cuba untuk menjadi “budak yang baik,” dan saya fikirkan itu cukup. Tetapi ibu saya, seperti Lehi, tahu bahawa sesuatu yang lebih diperlukan. Saya perlu bertindak dan tahu untuk diri sendiri.

Saya menjawab bahawa saya masih belum mengalami pengalaman itu. Dan dia tidak terkejut sama sekali dengan jawapan saya.

Dia kemudian mengatakan sesuatu yang saya tidak pernah lupakan. Saya masih ingat kata-katanya hingga ke hari ini: “Bapa Syurgawi ingin anda tahu untuk diri anda sendiri. Tetapi anda mesti berusaha. Anda perlu membaca Kitab Mormon dan berdoa untuk mengetahui melalui Roh Kudus. Bapa Syurgawi akan menjawab doa-doa anda.”

Saya tidak pernah membaca Kitab Mormon. Saya tidak fikir saya cukup umur untuk melakukan itu. Tetapi ibu saya tahu dengan lebih baik.

Soalannya mencetuskan keinginan saya untuk mengetahui bagi diri saya.

Jadi, setiap malam, di bilik tidur yang saya kongsi dengan dua adik-beradik saya, saya memasangkan lampu di atas katil saya dan membaca satu bab dalam Kitab Mormon. Kemudian, selepas memadamkan lampu, saya turun dari katil saya untuk berlutut dan berdoa. Saya berdoa dengan lebih ikhlas dan dengan keinginan yang lebih besar daripada sebelum ini. Saya meminta Bapa Syurgawi untuk tolong beritahu saya tentang kebenaran Kitab Mormon.

Sejak saya mula membaca Kitab Mormon, saya berasa bahawa Bapa Syurgawi sedar akan usaha saya. Dan saya merasakan bahawa saya penting kepada-Nya. Semasa saya membaca dan berdoa, saya merasai perasaan selesa dan damai. Bab demi bab, cahaya iman bertambah terang dalam jiwa saya. Lambat laun, saya sedar bahawa perasaan ini adalah penetapan kebenaran daripada Roh Kudus.17 Saya mengetahui bagi diri saya sendiri bahawa Kitab Mormon adalah benar dan bahawa Yesus Kristus ialah Juruselamat dunia. Betapa bersyukur saya atas jemputan yang diilhamkan oleh ibu saya.

Pengalaman membaca Kitab Mormon semasa muda memulakan satu pola pengkajian tulisan suci yang terus memberkati saya sampai hari ini. Saya masih membaca Kitab Mormon dan berlutut dalam doa. Dan Roh Kudus mengesahkan kebenarannya berulang kali.

Nefi berkata ia betul. Adalah kebijaksanaan dalam Tuhan bahawa kita harus membawa tulisan suci bersama kita sepanjang hidup kita. Kitab Mormon adalah “batu kunci” yang menjadikan zaman keagamaan ini berbeza dari zaman keagamaan yang lain. Semasa kita mengkaji Kitab Mormon dan mengikut nabi hidup, tidak akan ada kemurtadan peribadi dalam kehidupan kita.18

Jemputan untuk datang ke pokok kehidupan dengan memegang kuat kepada firman Tuhan bukan hanya satu jemputan daripada Lehi kepada keluarganya, dan ia bukan hanya jemputan daripada ibu saya untuk saya membaca dan berdoa tentang Kitab Mormon. Ia juga satu jemputan daripada nabi kita, Presiden Russell M. Nelson, kepada setiap kita.

“Saya berjanji bahawa semasa anda mengaji Kitab Mormon setiap hari, anda akan membuat pilihan-pilihan yang lebih baik—setiap hari. Saya janji bahawa apabila anda merenungkan perkara yang anda kaji, tingkap syurga akan buka, dan anda akan menerima jawapan kepada soalan dan arahan untuk hidup anda.”19

Saya doakan semoga pembacaan Kitab Mormon tahun ini akan membawa kebahagiaan dan berkat bagi setiap kita dan membawa kita lebih dekat kepada Juruselamat.

Bapa Syurgawi hidup. Yesus Kristus adalah Juruselamat dan Penebus kita. Kitab Mormon mengandungi kata-kata-Nya dan menyampaikan kasih-Nya. Presiden Russell M. Nelson ialah nabi Tuhan di bumi hari ini. Saya tahu hal-hal ini adalah benar kerana kesaksian pengesahan Roh Kudus, yang saya terima pertama kalinya semasa membaca Kitab Mormon sebagai seorang budak lelaki. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Ajaran dan Perjanjian 64:33.

  2. “Kurikulum bersepadu baru yang berpusat pada keluarga dan disokong oleh Gereja berpotensi untuk melepaskan kuasa kekeluargaan, apabila setiap keluarga melaksanakan ia dengan teguh dan cermat untuk mengubahkan rumah mereka kepada satu tempat perlindungan iman. Saya berjanji apabila anda berusaha secara tekun membentuk semula rumah anda kepada satu pusat pembelajaran injil, hari Sabat anda akan menjadi satu kegembiraan. Anak-anak anda akan suka belajar dan mematuhi ajaran-ajaran Juruselamat, dan pengaruh musuh dalam kehidupan dan rumah anda akan berkurangan. Perubahan dalam keluarga anda akan menjadi dramatik dan berterusan” (Russell M. Nelson, “Menjadi Orang Suci Zaman Akhir Yang Baik,” Liahona, Nov. 2018, 113).

  3. “Sesungguhnya, sesungguhnya, Aku berfirman kepadamu, Aku akan memberi kepadamu dari Roh-Ku, yang akan menerangi fikiranmu, yang akan mengisi jiwamu dengan sukacita” (Ajaran dan Perjanjian 11:13).

  4. “Zaman keagamaan ialah tempoh masa di mana Tuhan mempunyai sekurang-kurangnya seorang hamba yang berwewenang di bumi yang memegang imamat kudus dan kunci-kunci, dan yang mempunyai arahan ilahi untuk berkongsi injil kepada penduduk bumi” (Topics and Questions, “Dispensations,” Gospel Library).

  5. Lihat Musa 5:12–16.

  6. Nabi Daniel nampak zaman kita, zaman keagamaan kita, apabila dia takrifkan mimpi Nebukadnezar. Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir adalah batu dalam mimpi itu, jatuh dari gunung dengan sendirinya, bergerak ke hadapan memenuhi seluruh bumi (lihat Daniel 2:34–35, 44–45; Ajaran dan Perjanjian 65:2).

  7. “Tuhan Bapa dan Yesus Kristus memanggil Nabi Joseph Smith untuk menjadi nabi zaman keagamaan ini. Semua kuasa ilahi dari zaman keagamaan sebelumnya harus dipulihkan melalui dia. Zaman keagamaan untuk kegenapan zaman ini tidak akan dihadkan kepada masa atau lokasi. Ia tidak akan berakhir dalam kemurtadan, dan ia akan memenuhi dunia” (Russell M. Nelson, “The Gathering of Scattered Israel,” Liahona, Nov. 2006, 79–80).

  8. Russell M. Nelson, “Ucapan Pembukaan,” Liahona, Nov. 2018, 8.

  9. Lihat “Penukaran Hati ialah Matlamat Kita,” Ikutlah Aku—Untuk Rumah dan Gereja: Kitab Mormon 2024, v.

  10. Ajaran dan Perjanjian 50:22; lihat juga ayat 17–21.

  11. Yakub 1:3-4.

  12. Yakub 4:6.

  13. 1 Nefi 5:21–22.

  14. Baru-baru ini diumumkan bahawa 200 juta salinan Kitab Mormon telah diedarkan dalam zaman keagamaan ini. Itu benar-benar menakjubkan. Kitab Mormon diterjemahkan ke dalam 113 bahasa, dengan 17 dalam proses penterjemahan. Sungguh suatu berkat untuk memiliki Kitab Mormon dalam bentuk cetakan, digital, audio, video, dan format lain. (Lihat Ryan Jensen, “Church Distributes 200 Millionth Copy of the Book of Mormon,” Church News, Dec. 29, 2023, thechurchnews.com.)

  15. 1 Nefi 8:14–16; penekanan ditambah.

  16. “Pengaruh rohani yang paling kuat dalam hidup seorang anak ialah teladan soleh ibu bapa dan datuk nenek yang mentaati perjanjian kudus mereka. Ibu bapa ajar anak-anak mereka beriman kepada Tuhan Yesus Kristus, supaya mereka juga ‘dapat mengetahui kepada punca mana mereka dapat berpaling bagi pengampunan dosa-dosa mereka.’[2 Nefi 25:26]. Bersahaja dan tidak konsisten dalam mematuhi perjanjian membawa kepada rohani bersahaja. Kerosakan rohani sering kali lebih besar pada anak-anak dan cucu-cucu kita” (Kevin W. Pearson, “Adakah Anda Masih Sedia?,” Liahona, Nov. 2022, 69).

  17. Lihat Ajaran dan Perjanjian 6:22-24.

  18. Nabi Joseph Smith berkata, “Aku telah memberitahu para saudara bahwa Kitab Mormon adalah yang paling benar dari kitab apa pun di atas bumi, dan batu kunci agama kita, dan seseorang akan menjadi lebih dekat kepada Tuhan dengan menuruti ajaran-ajarannya, lebih daripada kitab lain apa pun” (dalam pengenalan Kitab Mormon).

  19. Lihat Russell M. Nelson, “Kitab Mormon: Apa Akan Terjadi Kepada Hidup Anda Tanpa Ia?,” Liahona, Nov. 2017, 62–63.