Persidangan Umum
Yesus Kristus sebagai Pusat Kehidupan Kita
persidangan umum April 2024


Yesus Kristus sebagai Pusat Kehidupan Kita

Soalan-soalan jiwa, yang muncul pada saat-saat paling gelap dan cubaan tertinggi kita, ditangani melalui kasih Yesus Kristus yang tidak tergoyah.

Semasa kita melalui kefanaan, kadang kala kita dilanda percubaan: kepedihan kehilangan orang tersayang, berjuang melawan penyakit, sengat ketidakadilan, pengalaman diganggu atau penganiayaan, pengangguran, kesengsaraan keluarga, rasa kesepian, atau akibat konflik senjata yang menyayat hati.1 Pada saat-saat ini, jiwa kita inginkan perlindungan.2 Kita tekun mencari untuk tahu: Di manakah kita dapat mencari ubat kedamaian?3 Kepada siapakah kita boleh letakkan kepercayaan untuk dapat keyakinan dan kekuatan untuk atasi cabaran ini?4 Siapakah yang memiliki kesabaran, penuh kasih, dan tangan yang maha kuasa untuk mengangkat dan menyokong kita?

Soalan-soalan jiwa, yang muncul pada saat-saat paling gelap dan cubaan tertinggi kita, ditangani melalui kasih Yesus Kristus yang tidak tergoyah.5 Dalam Kristus, dan melalui berkat-berkat injil-Nya yang dipulihkan,6 kita temui jawapan yang dicari. Melalui Korban Tebusan-Nya yang tidak terhingga kita diberi satu kurnia yang tidak terhingga— satu harapan, penyembuhan, dan jaminan kehadiran-Nya yang berterusan dalam hidup kita.7 Kurnia ini tersedia untuk semua yang menjangkau dengan iman, memeluk kedamaian dan penebusan yang Dia tawarkan.

Tuhan menghulurkan tangan-Nya kepada kita, satu tanda intipati kasih dan kebaikan ilahi-Nya. Jemputan-Nya kepada kita melampaui panggilan yang mudah; ia adalah janji ilahi, diperkukuhkan oleh kuasa rahmat-Nya yang bertahan. Dalam kitab suci, Dia dengan penuh kasih memberi jaminan kepada kita:

“Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu.

“Ikutlah perintah-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan.

“Perintah yang Aku berikan kepada kamu mudah diturut, dan beban yang Aku berikan mudah dipikul.”8

Kejelasan jemputan-Nya “Marilah kepada-Ku” dan “Ikutlah perintah-Ku” menegaskan sifat janji-Nya—satu janji yang begitu luas dan lengkap sehingga ia melambangkan kasih-Nya, menawarkan kita jaminan: “Kamu akan mendapat kesejahteraan.”

Semasa kita tekun mencari bimbingan rohani,9 kita memulakan pengembaraan transformatif yang menguatkan kesaksian kita. Semasa kita memahami kebesaran kasih sempurna Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus,10 hati kita dipenuhi kesyukuran, kerendahan hati,11 dan hasrat baharu untuk mengikuti jalan penganutan.12

Presiden Russell M. Nelson mengajar “apabila fokus kita berada pada rancangan keselamatan Tuhan … dan Yesus Kristus serta injil-Nya, kita boleh rasa kebahagiaan tidak kira apa yang berlaku—atau tidak berlaku—dalam hidup kita. Kebahagiaan datang dari Dia dan wujud kerana Dia.”13

Alma, bercakap kepada puteranya, Helaman: “Dan sekarang, Wahai anakku Helaman, lihatlah, kamu berada dalam masa mudamu, dan oleh itu, aku mohon daripadamu agar kamu mahu mendengar perkataan-perkataanku dan belajar daripadaku; kerana aku tahu bahawa barang siapa akan menaruh kepercayaannya kepada Tuhan akan didukung dalam percubaan mereka, dan kesusahan mereka, dan kesengsaraan mereka, dan akan diangkat pada hari terakhir.”14

Helaman, mengajar anak-anak lelakinya, tentang asas abadi untuk meletakkan Juruselamat sebagai pusat kehidupan kita: “Ingatlah, ingatlah bahawa adalah di atas batu Penebus kita, iaitu Kristus, Putera Tuhan, bahawa kamu mesti membina landasanmu.”15

Dalam Matius 14 kita belajar bahawa selepas mendengar tentang kematian Yohanes Pembaptis, Yesus ingin bersendirian. Namun, orang ramai mengikuti-Nya. Atas rasa kasihan dan kasih, dan tidak mahu kepiluan alihkan-Nya dari misi-Nya, Yesus menyambut mereka, menyembuhkan yang sakit di kalangan mereka. Apabila petang, para pengikut hadapi satu cabaran: ramai orang namun hanya sedikit makanan. Mereka cadangkan orang ramai untuk pergi, tetapi Yesus, dengan kasih dan harapan yang tinggi, meminta para pengikut beri orang ramai makanan.

Sementara para pengikut-Nya memenuhi cabaran itu, Yesus menunjukkan kepercayaan dan kasih Dia kepada Bapa-Nya, serta kasih yang tidak tergoyah terhadap orang ramai itu. Dia menyuruh orang ramai duduk di atas rumput, dan mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan, Dia bersyukur kepada Bapa-Nya, mengakui bantuan Tuhan atas wewenang dan kuasa-Nya.

Setelah bersyukur, Yesus memecahkan roti, dan para pengikut edarkan kepada orang ramai. Ajaibnya, makanan itu bukan sahaja mencukupi malah berlimpah, dengan lebihan 12 bakul. Kumpulan itu memberi makan kepad lima ribu lelaki, termasuk wanita dan kanak-kanak.16

Mukjizat ini mengajar satu pengajaran mendalam apabila menghadapi cabaran, ia mudah untuk tertumpu pada kesusahan kita. Namun, Yesus Kristus memberi contoh kuasa berfokus pada Bapa-Nya, bersyukur, dan mengakui penyelesaian kepada percubaan kita tidak selalu terletak pada diri kita tetapi pada Tuhan.17

Apabila menghadapi kesusahan, kita lebih cenderung untuk tertumpu kepada halangan yang kita hadapi. Cabaran kita adalah nyata dan perlukan perhatian kita, tetapi asas untuk mengatasinya adalah dalam fokus kita. Dengan Yesus sebagai teras fikiran dan perbuatan, kita selaraskan diri kita dengan pandangan dan kekuatan-Nya.18 Penyesuaian ini tidak mengecilkan pergelutan kita; sebaliknya, ia membantu kita untuk mengemudi dengan bimbingan ilahi.19 Hasilnya, kita temui penyelesaian dan sokongan dari kebijaksanaan yang lebih tinggi. Perspektif berpusatkan Kristus memberi kita kekuatan dan pandangan untuk ubah percubaan menjadi kemenangan,20 ingatkan kita bahawa dengan Juruselamat, masalah besar boleh mengarah kepada kemajuan rohani yang lebih besar.

Cerita Alma yang Muda dalam Kitab Mormon mempersembahkan penebusan dan kesan mendalam dalam memusatkan kehidupan pada Kristus. Pada mulanya, Alma adalah penentang Gereja Tuhan, menyesatkan banyak orang dari jalan kesolehan. Tetapi, dengan campur tangan ilahi, iaitu kunjungan malaikat, menyedarkan kesalahannya.

Dalam masa mencabar, diseksa rasa bersalah dan terdesak untuk keluar dari kepedihan rohaninya, Alma teringat ajaran ayahnya tentang Yesus Kristus dan kuasa Korban Tebusan-Nya. Dengan hati yang inginkan penebusan, dia bersungguh-sungguh bertaubat dan memohon belas kasihan Tuhan. Saat penting penyerahan sepenuhnya ini, membawa Kristus ke hadapan dalam pemikirannya ketika Alma bersungguh-sungguh mencari belas kasihan-Nya, mencetuskan perubahan yang luar biasa. Beban berat dosa dan putus asa lenyap dan digantikan dengan perasaan kebahagiaan dan kedamaian yang besar.21

Yesus Kristus ialah harapan kita dan jawapan kepada kesakitan hidup. Melalui pengorbanan-Nya, Dia membayar dosa-dosa kita dan mengambil semua penderitaan kita—kesakitan, ketidakadilan, dukacita, dan ketakutan—dan Dia mengampuni dan menyembuhkan kita apabila kita percaya kepada-Nya dan berusaha untuk memperbaiki hidup kita. Dialah Penyembuh kita,22 menghiburkan dan membaiki hati kita melalui kasih dan kuasa-Nya, seperti Dia menyembuhkan banyak orang pada masa-Nya di bumi.23 Dialah air hidup, memenuhi keperluan jiwa kita dengan kasih dan kebaikan-Nya yang berterusan. Ini seperti janji Dia kepada wanita Samaria di perigi itu, menawarkan “mata air yang memancar kepada kehidupan kekal.”24

Saya memberikan kesaksian khusyuk bahawa Yesus Kristus hidup, bahawa Dia memimpin, Gereja kudus-Nya, Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.25 Saya bersaksi Dialah Juruselamat dunia, Putera Kedamaian,26 Raja Yang Terutama, Tuhan Yang Agung,27 [dan] Penebus dunia. Saya menegaskan bahawa kita sentiasa di dalam minda dan hati-Nya. Sebagai kesaksian ini, Dia telah memulihkan Gereja-Nya pada zaman akhir ini dan telah memanggil Presiden Russell M. Nelson sebagai nabi-Nya dan Presiden Gereja pada masa ini.28 Saya tahu bahawa Yesus Kristus memberikan nyawa-Nya supaya kita boleh mendapat kehidupan abadi.

Semasa kita berusaha meletakkan-Nya sebagai pusat kehidupan kita, wahyu akan diungkapkan, kedamaian-Nya menyelubungi kita, dan Korban Tebusan-Nya yang tidak terhingga membawa pengampunan dan penyembuhan.29 Dalam Dialah kita temui kekuatan untuk mengatasi, keberanian untuk bertabah, dan kedamaian yang melampaui segala pemahaman. Semoga kita berusaha setiap hari untuk mendekati-Nya, sumber segala yang baik,30 menara api harapan untuk kita kembali ke hadirat Bapa Syurgawi. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.