Persidangan Umum
Kitaran Ajaran Kristus yang Berkuasa dan Mulia
persidangan umum April 2024


Kitaran Ajaran Kristus yang Berkuasa dan Mulia

Saya menjemput anda untuk menjalani ajaran Kristus dengan berulang kali dan sengaja serta membantu orang lain dalam perjalanan mereka.

Bertahun-tahun yang lalu, isteri saya, Ruth, anak perempuan kami, Ashley, dan saya menyertai pelancong lain dalam rombongan berkayak di Hawaii, Amerika Syarikat. Kayak ialah satu bot rendah di mana si pendayung duduk menghadap ke depan dan menggunakan dayung dua belah untuk mendayung dari depan ke belakang pada satu sisi dan kemudian pada sisi yang lain. Rancangannya adalah untuk mendayung ke dua pulau kecil di luar pantai Oahu dan kembali lagi. Saya berasa yakin kerana, semasa muda, saya pernah berkayak menyeberangi tasik gunung. Keangkuhan bukanlah petanda baik, kan?

Pembimbing kami memberi arahan dan menunjukkan kami kayak laut yang kami akan gunakan. Ia berbeza dari yang saya pernah gunakan sebelum ini. Saya sepatutnya duduk di atas kayak, dan bukannya di dalam. Apabila saya menaiki kayak, pusat graviti saya adalah lebih tinggi daripada biasa, dan saya kurang stabil di atas air.

Semasa kami bermula, saya mendayung lebih cepat daripada Ruth dan Ashley. Tidak lama kemudian saya berada jauh di hadapan mereka. Walaupun saya bangga dengan kecekapan saya, saya berhenti mendayung dan menunggu mereka. Ombak besar—sebesar kira-kira 13 sentimeter1—memukul tepi kayak saya dan terbalikkan saya ke dalam air. Pada masa saya betulkan kayak dan bergelut untuk naik semula, Ruth dan Ashley telah mendahului saya, tetapi saya terlalu semput untuk sambung mendayung. Sebelum saya sempat menarik nafas, satu lagi ombak, kali ini sangat besar—sekurang-kurangnya 20 sentimeter2—memukul kayak saya dan terbalikkan saya lagi. Apabila saya berjaya membetulkan kayak, saya telah kehabisan nafas dan takut saya tidak akan dapat memanjat ke atas.

Melihat situasi saya, pembimbing itu mendayung dan menstabilkan kayak untuk memudahkan saya menaiki kayak. Apabila dia melihat saya masih tercungap-cungap untuk mendayung, dia mengikat tali ke kayak saya dan mula mendayung, menarik saya bersamanya. Tidak lama kemudian, nafas saya stabil dan saya mula mendayung sendiri. Dia lepaskan tali itu, dan saya sampai ke pulau pertama tanpa bantuan lanjut. Apabila tiba, saya terjun ke pasir, kepenatan.

Selepas kumpulan berehat, pembimbing itu berkata kepada saya, “En. Renlund, jika kamu terus mendayung, kekalkan momentum kamu, saya rasa kamu akan baik-baik saja.” Saya ikut nasihatnya semasa mendayung ke pulau kedua dan kembali ke titik permulaan kami. Dua kali, pembimbing itu datang dan beritahu saya sedang buat dengan baik. Meskipun ombak yang lebih besar memukul kayak saya, tetapi saya tidak terbalik.

Dengan mendayung kayak secara konsisten, saya mengekalkan momentum dan kemajuan, mengurangkan kesan ombak yang memukul dari sisi. Asas yang sama digunakan dalam kehidupan rohani kita. Kita menjadi terdedah apabila kita perlahan dan terutamanya apabila kita berhenti.3 Jika kita kekalkan momentum rohani dengan terus “mendayung” ke arah Juruselamat, kita lebih selamat dan terjamin kerana kehidupan abadi kita bergantung pada iman kepada-Nya.4

Momentum rohani dicipta “sepanjang hidup apabila kita berulang kali memeluk ajaran Kristus.”5 Dengan itu, Presiden Russell M. Nelson mengajar, ia menghasilkan satu “kitaran yang paling berkuasa [dan] mulia.”6 Sesungguhnya, elemen ajaran Kristus—seperti iman kepada Tuhan Yesus Kristus, pertaubatan, memasuki hubungan perjanjian dengan Tuhan melalui pembaptisan, menerima kurnia Roh Kudus, dan bertahan sampai akhir6—tidak dimaksudkan sebagai peristiwa satu kali, peristiwa semak-kotak. Khususnya, “bertahan sampai akhir” bukanlah satu langkah yang berasingan dalam ajaran Kristus—seolah-olah kita menyelesaikan empat langkah pertama dan kemudian berhenti, mengetap gigi kita, dan menunggu untuk mati. Tidak, bertahan sampai akhir adalah mengulangi dan berulang kali menggunakan elemen lain dalam ajaran Kristus, [untuk] mencipta “kitaran yang berkuasa [dan] mulia” yang Presiden Nelson huraikan.8

“Mengulangi” bermaksud kita mengalami elemen ajaran Kristus berkali-kali sepanjang hidup kita. “Berulang kali” bermaksud kita berkembang dan bertambah baik dengan setiap pengulangan. Walaupun kita mengulangi elemen itu, kita bukan hanya berputar dalam bulatan tanpa maju ke hadapan. Sebaliknya, kita mendekati Yesus Kristus setiap kali melalui kitaran itu.

Momentum melibatkan kelajuan dan arah.9 Jika saya mendayung bersungguh-sungguh ke arah yang salah, saya boleh mencipta momentum yang besar, tetapi saya tidak akan tiba ke destinasi yang diinginkan. Sama juga, dalam kehidupan, kita perlu “mendayung” ke arah Juruselamat untuk datang kepada-Nya.10

Iman kita kepada Yesus Kristus perlu dipelihara setiap hari.11 Ia dipelihara semasa kita berdoa setiap hari, mengkaji tulisan suci setiap hari, merenungkan kebaikan Tuhan setiap hari, bertaubat setiap hari, dan mengikuti dorongan Roh Kudus setiap hari. Sama seperti ia tidak sihat untuk menangguhkan semua makanan kita sehingga hari Ahad dan kemudian makan berlebihan dalam satu masa, ia juga tidak sihat secara rohani untuk menyekat kelakuan yang memelihara kesaksian kita kepada hanya satu hari dalam seminggu.12

Apabila kita bertanggungjawab atas kesaksian kita sendiri,13 kita memperoleh momentum rohani dan mengembangkan iman secara beransur kepada Yesus Kristus, dan ajaran Kristus menjadi pusat dalam tujuan hidup.14 Momentum juga terbina semasa kita berusaha untuk mematuhi hukum Tuhan dan bertaubat. Pertaubatan membahagiakan dan membolehkan kita belajar dari kesilapan kita, itulah cara kita maju secara abadi. Pastinya ada masa kita akan terbalik dari kayak dan mendapati diri kita dalam air. Melalui pertaubatan, kita boleh naik ke atas dan teruskan, tidak kira berapa kali kita telah jatuh.15 Yang penting ialah kita tidak berputus asa.

Elemen ajaran Kristus seterusnya ialah pembaptisan, yang termasuk pembaptisan air dan, melalui penetapan, pembaptisan Roh Kudus.16 Walaupun pembaptisan hanya berlaku sekali, kita mengulangi pembaharuan perjanjian pembaptisan kita apabila kita mengambil sakramen. Sakramen tidak menggantikan pembaptisan, tetapi ia mengaitkan elemen awal dalam ajaran Kristus—iman dan pertaubatan—dengan penerimaan Roh Kudus.17 Apabila kita mengambil sakramen dengan cermat,18 kita menjemput Roh Kudus ke dalam hidup kita, sepertimana ketika kita dibaptiskan dan ditetapkan.19 Apabila kita mentaati perjanjian yang dihuraikan dalam doa sakramen, Roh Kudus menjadi teman kita.

Semasa Roh Kudus memberi pengaruh yang lebih besar dalam hidup kita, kita akan semakin maju dan berulang kali membentuk sifat-sifat seperti Kristus. Hati kita berubah. Kecenderungan kita untuk berbuat jahat berkurangan. Kecenderungan kita untuk berbuat baik meningkat sehingga kita hanya ingin “melakukan kebaikan secara berterusan.”20 Dan dengan itu kita dapat mengakses kuasa syurgawi yang diperlukan untuk bertahan sampai akhir.21 Iman kita telah bertambah, dan kita bersedia untuk mengulangi kitaran yang berkuasa dan mulia sekali lagi.

Momentum rohani ke hadapan juga mendorong kita untuk membuat perjanjian tambahan dengan Tuhan di rumah Tuhan. Pelbagai perjanjian mendekatkan kita kepada Kristus dan menghubungkan kita dengan lebih kuat kepada-Nya. Melalui perjanjian ini, kita mempunyai akses yang lebih besar kepada kuasa-Nya. Untuk menjadi jelas, perjanjian pembaptisan dan bait suci bukanlah sumber kuasa. Sumber kuasa adalah Tuhan Yesus Kristus dan Bapa Syurgawi kita. Membuat dan mentaati perjanjian mewujudkan saluran untuk kuasa Mereka dalam kehidupan kita. Apabila kita hidup menurut perjanjian ini, kita akhirnya menjadi pewaris kepada semua yang Bapa Syurgawi ada.22 Momentum yang dihasilkan dengan menjalani ajaran Kristus bukan sahaja menjana perubahan sifat ilahi kita ke dalam takdir abadi, tetapi ia juga mendorong kita untuk membantu orang lain dalam cara yang sesuai.

Pertimbangkan bagaimana pembimbing ekspedisi membantu saya selepas saya terbalik dari kayak. Dia tidak menjerit dari jauh dan bertanya soalan, seperti, “En. Renlund, apa yang kamu lakukan di dalam air?” Dia tidak mendayung dan mencaci saya, mengatakan, “En. Renlund, kamu tidak akan hadapi situasi ini jika kamu lebih cergas secara fizikal.” Dia tidak mula menarik kayak saya semasa saya cuba menaikinya. Dan dia tidak membetulkan saya di depan ahli kumpulan. Sebaliknya, dia memberi saya bantuan tepat pada masa saya memerlukannya. Dia berikan nasihat ketika saya ingin menerima. Dan dia berusaha untuk menggalakkan saya.

Semasa kita melayani orang lain, kita tidak perlu bertanya soalan yang tidak membantu atau menyatakan hal yang jelas. Kebanyakan orang yang sedang bergelut tahu bahawa mereka sedang bergelut. Kita tidak patut menghakimi; penghakiman kita tidak membantu atau dialu-alukan dan kerap kali kekurangan pengetahuan.

Membandingkan diri kita dengan orang lain boleh mengakibatkan kesilapan yang teruk, terutamanya jika kita rasa diri lebih soleh daripada mereka yang sedang bergelut. Perbandingan itu seperti seseorang yang sedang lemas dalam air sedalam tiga meter23 , melihat kenalan lemas dalam air sedalam empat meter24 , dan menghakimi dia sebagai seorang pendosa yang lebih besar, dan berasa baik tentang diri. Lagipun, kita semua bergelut dengan cara kita sendiri. Tiada seorang pun yang peroleh keselamatan.25 Kita tidak akan dapat. Yakub, dalam Kitab Mormon, mengajar, “Ingatlah, setelah [kita] telah berdamai dengan Tuhan, bahawa hanyalah dalam dan melalui rahmat Tuhan maka [kita] diselamatkan.”26 Kita semua perlukan Korban Tebusan Juruselamat yang tidak terhingga, bukan hanya sebahagian daripadanya.

Kita perlukan semua belas kasihan, empati, dan kasih kita apabila kita berinteraksi dengan orang di sekeliling kita.27 Mereka yang bergelut “perlu mengalami kasih suci Yesus Kristus yang dicerminkan dalam kata-kata dan tindakan [kita].”28 Semasa kita melayani, kita kerap menggalakkan orang lain dan menawarkan bantuan. Walaupun seseorang tidak menerimanya, kita terus melayani seperti yang mereka benarkan. Juruselamat mengajar bahawa “kerana untuk yang demikianlah kamu harus terus melayani; kerana kamu tidak tahu adakah mereka akan kembali dan bertaubat, dan datang kepada-Ku dengan niat hati yang sepenuhnya, dan Aku akan menyembuhkan mereka; dan kamu akan menjadi sarana untuk membawa keselamatan bagi mereka.”29 Tugas Juruselamat adalah untuk menyembuhkan. Tugas kita adalah untuk mengasihi—untuk mengasihi dan melayani dalam cara di mana orang lain mahu lebih mendekati Yesus Kristus. Ini adalah salah satu buah kitaran yang kuat dan mulia ajaran Kristus.

Saya menjemput anda untuk menjalani ajaran Kristus dengan berulang kali dan sengaja serta membantu orang lain dalam perjalanan mereka. Saya bersaksi bahawa ajaran Kristus adalah pusat rancangan Bapa Syurgawi; ia adalah ajaran-Nya. Semasa kita menjalankan iman kepada Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya, kita didorong di sepanjang jalan perjanjian dan bermotivasi untuk membantu orang lain menjadi pengikut Yesus Kristus yang setia. Kita boleh menjadi pewaris dalam kerajaan Bapa Syurgawi, yang merupakan kemuncak pengamalan ajaran Kristus dengan setia. Dalam nama Yesus Kristus, amin.