Persidangan Umum
“Tenanglah Dan Ketahuilah Bahawa Aku Ialah Tuhan”
persidangan umum April 2024


“Tenanglah Dan Ketahuilah Bahawa Aku Ialah Tuhan”

Kita boleh tenang dan tahu bahawa Tuhan adalah Bapa Syurgawi kita, kita adalah anak-anak-Nya, dan Yesus Kristus ialah Juruselamat kita.

Semasa satu rumah terbuka dan hari media baru-baru ini untuk rumah baharu Tuhan, saya memimpin sekumpulan wartawan dalam satu lawatan melalui struktur kudus itu. Saya menjelaskan tujuan bait suci dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir dan menjawab banyak soalan baik dari mereka.

Sebelum memasuki bilik selestial, saya menjelaskan bahawa bilik khas ini secara simboliknya mewakili kedamaian dan keindahan rumah syurgawi yang kita boleh kembali kepada selepas kehidupan ini. Saya nyatakan kepada para pelawat bahawa kita tidak akan bercakap semasa berada di bilik selestial, tetapi saya gembira untuk menjawab sebarang soalan selepas kita ke perhentian seterusnya.

Selepas keluar dari bilik selestial dan semasa kami berkumpul di lokasi seterusnya, saya tanya tetamu kami jika mereka ada pemerhatian yang mereka ingin kongsi. Salah seorang wartawan dengan beremosi berkata, “Saya tidak pernah mengalami perkara seperti itu dalam kehidupan saya. Saya tidak tahu kesenyapan sedemikian wujud di dunia; saya tidak percaya ketenangan sedemikian boleh wujud.”

Saya terpegun dengan keikhlasan dan keterangan pernyataan orang ini. Dan reaksi wartawan menekankan satu aspek ketenangan yang penting—mengatasi dan menangani kekecohan persekitaran luaran kita.

Apabila saya merenungkan komen wartawan itu dan merenungkan tentang kesibukan kehidupan moden kita—kesibukan, kebisingan, pemesongan, gangguan, dan lencongan yang sering kali menuntut perhatian kita—satu tulisan suci datang ke minda: “Tenanglah dan ketahuilah bahawa Aku ialah Tuhan.”1

Saya berdoa agar Roh Kudus akan menerangi setiap kita apabila kita mempertimbangkan dimensi ketenangan yang lebih tinggi dan kudus dalam kehidupan kita—ketenangan rohani dalaman jiwa yang membolehkan kita untuk mengetahui dan mengingati bahawa Tuhan adalah Bapa Syurgawi kita, kita anak-anak-Nya, dan Yesus Kristus ialah Juruselamat kita. Berkat hebat ini tersedia bagi semua ahli gereja yang berusaha secara beriman untuk menjadi “umat perjanjian Tuhan.”2

Tenanglah

Pada tahun 1833, para Orang Suci di Missouri adalah sasaran penganiayaan yang kuat. Para perusuh telah menghalau mereka dari Jackson County, dan beberapa ahli Gereja telah cuba mendirikan rumah di daerah-daerah berdekatan yang lain. Tetapi penganiayaan berterusan, dan banyak ancaman kematian . Dalam keadaan yang mencabar ini, Tuhan mengungkapkan arahan berikut kepada Nabi Joseph Smith di Kirtland, Ohio:

“Oleh kerana itu, biarlah hatimu terhibur tentang Sion; kerana semua manusia berada dalam tangan-Ku; tenanglah dan ketahuilah bahawa Aku ialah Tuhan.”3

Saya percaya peringatan Tuhan untuk “tenanglah” adalah lebih daripada sekadar berdiam dan tidak bergerak. Mungkin Dia bermaksud bagi kita untuk mengingati dan bergantung kepada Dia dan kuasa-Nya “di segala waktu dan dalam segala hal, dan di segala tempat di mana [kita] boleh berada.”4 Jadi, “tenanglah” boleh menjadi satu peringatan bagi kita untuk bertumpu pada Juruselamat sebagai sumber ketenangan rohani jiwa yang memperkuatkan kita untuk melakukan dan mengatasi hal-hal yang susah.

Bina di atas Batu

Iman yang benar berfokus kepada Tuhan Yesus Kristus—terhadap Dia sebagai Ilahi dan Anak Tunggal Bapa Abadi dan melalui Dialah misi penebusan disempurnakan.

“Kerana Dia telah memenuhi tujuan hukum tersebut, dan Dia menuntut mereka semua yang memiliki iman kepada-Nya; dan mereka yang beriman kepada-Nya akan mendekatkan diri pada setiap hal yang baik; oleh itu Dia membela anak-anak manusia.”5

Yesus Kristus ialah Penebus kita,,6 Pengantara kita,,7 dan Pembela kita8 bersama Bapa Yang Abadi dan batu di mana kita harus membina landasan rohani kehidupan kita.

Helaman menjelaskan, “Ingatlah, ingatlah bahawa adalah di atas batu Penebus kita, iaitu Kristus, Putera Tuhan, bahawa kamu mesti membina landasan mu ; agar ketika iblis akan menghantarkan anginnya yang kuat, ya, penahan petirnya dalam puting beliung, ya, ketika semua hujan batunya dan badainya yang kuat akan melanda ke atas dirimu, ia tidak akan berkuasa ke atas dirimu untuk menyeretmu ke dalam jurang kegetiran dan kecelakaan tanpa akhir, kerana di atas batu yang kamu dibangunkan, yang merupakan suatu landasan yang kukuh, landasan yang mana jika manusia dibangunkan di atasnya mereka tidak dapat jatuh.”9

Lambang Kristus sebagai “batu” bagi kita membina landasan kehidupan adalah sangat membantu. Sila ambil perhatian dalam ayat ini bahawa Juruselamat bukanlah landasan. Sebaliknya, kita dipesan untuk membina landasan rohani peribadi kita di atas-Nya.10

Landasan adalah bahagian bangunan yang menghubungkannya ke tanah. Landasan yang kukuh menyediakan perlindungan daripada bencana alam dan banyak kuasa pemusnahan yang lain. Satu landasan yang baik juga mengedarkan beban struktur pada kawasan yang besar untuk mengelakkan terlebih beban pada tanah dan menyediakan permukaan yang rata untuk pembinaan.

Imej
Rumah dengan landasan yang kukuh.

Satu perhubungan yang kuat dan boleh dipercayai di antara tanah dan landasan adalah penting supaya struktur kekal kukuh dan stabil dari masa ke masa. Dan bagi jenis pembinaan tertentu, pin sauh dan batang besi boleh digunakan untuk memautkan landasan bangunan kepada “batuan dasar,” batu yang padat dan keras di bawah permukaan seperti tanah dan kerikil.

Imej
Rumah bersauh kepada batu.

Dalam cara yang sama, landasan kehidupan kita mesti dihubungkan dengan batu Kristus jika kita ingin tetap teguh dan tabah. Perjanjian kudus dan tatacara injil Juruselamat yang dipulihkan boleh dibandingkan dengan pin sauh dan batang besi yang digunakan untuk menghubungkan bangunan ke batuan dasar. Setiap kali kita menerima, kaji semula, mengingati, dan memperbaharui perjanjian kudus, sauh rohani kita menjadi lebih teguh dan tabah terhadap “batu” Yesus Kristus.

“Oleh itu, sesiapa yang percaya kepada Tuhan boleh dengan suatu kepastian berharap untuk dunia yang lebih baik, ya, bahkan sebuah tempat di sebelah tangan kanan Tuhan, iaitu harapan yang dilahirkan oleh iman, menjadi sauh bagi jiwa manusia, yang akan menjadikan mereka yakin dan tabah, selalu berlimpah ruah dengan kerja-kerja baik, dituntun untuk memuliakan Tuhan.”11

Secara berperingkat “dalam peredaran waktu,”12 “kehemahan mengisi fikiran [kita] tanpa henti,” “keyakinan [menjadi kuat] di dalam hadirat Tuhan,” dan “Roh Kudus [adalah] teman yang tetap.”13 Kita menjadi lebih teguh, berakar, bersungguh, dan kekal.14 Apabila landasan kehidupan kita dibina di atas Juruselamat, kita diberkati untuk “tenanglah”—untuk mempunyai jaminan rohani bahawa Tuhan adalah Bapa Syurgawi kita, kita anak-anak-Nya, dan Yesus Kristus ialah Juruselamat kita.

Waktu Kudus, Tempat Kudus, dan Rumah

Tuhan menyediakan kedua-dua waktu kudus dan tempat kudus untuk membantu kita mengalami dan belajar tentang ketenangan dalaman jiwa kita.

Contohnya, Sabat adalah hari Tuhan, masa kudus yang ditetapkan untuk mengingati dan menyembah Bapa dalam nama Putera-Nya, untuk mengambil bahagian dalam tatacara imamat, dan menerima dan memperbaharui perjanjian-perjanjian kudus. Setiap minggu kita menyembah Tuhan ketika kajian rumah dan juga sebagai “warga umat Tuhan”15 semasa sakramen dan pertemuan lain. Pada hari kudus-Nya, fikiran, tindakan, dan kelakuan kita adalah tanda-tanda yang kita beri kepada Tuhan dan penunjuk kasih kita kepada-Nya.16 Setiap hari Ahad, jika kita mahu, kita boleh tenang dan tahu bahawa Tuhan adalah Bapa Syurgawi kita, kita adalah anak-anak-Nya, dan Yesus Kristus ialah Juruselamat kita.

Ciri utama penyembahan Hari Sabat adalah untuk “pergi ke rumah doa dan mempersembahkan sakramen [kita] pada hari kudus [Tuhan].”17 “Rumah[-rumah] doa” di mana kita berkumpul pada hari Sabat adalah bangunan yang diluluskan—tempat kudus untuk ketakziman, penyembahan, dan pembelajaran. Setiap bangunan yang didedikasikan oleh wewenang imamat sebagai tempat di mana Roh Tuhan boleh berada dan di mana anak-anak Tuhan boleh datang “sampai pada pengetahuan tentang Penebus mereka.”18 Jika ingin, kita boleh “tenanglah” dalam tempat penyembahan kudus dan tahu dengan lebih pasti bahawa Tuhan ialah Bapa Syurgawi kita, kita anak-anak-Nya, dan Yesus Kristus ialah Juruselamat kita.

Bait suci adalah satu lagi tempat kudus yang ditetapkan untuk menyembah dan melayani Tuhan dan mempelajari kebenaran abadi. Kita berfikir, bertindak, dan berpakaian secara berbeza di rumah Tuhan dari mana-mana tempat lain. Dalam rumah kudus-Nya, jika kita mahu, kita boleh tenang dan tahu bahawa Tuhan adalah Bapa Syurgawi kita, kita anak-anak-Nya, dan Yesus Kristus ialah Juruselamat kita.

Tujuan utama masa kudus dan tempat-tempat kudus adalah sama: untuk sentiasa menumpukan perhatian kita kepada Bapa Syurgawi dan rancangan-Nya, Tuhan Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya, kuasa Roh Kudus yang meneguhkan, dan janji-janji yang berkaitan dengan tatacara kudus dan perjanjian injil Juruselamat yang dipulihkan.

Hari ini saya mengulangi satu asas yang telah saya tekankan sebelum ini. Rumah kita haruslah menjadi gabungan terbesar kedua-dua masa kudus dan tempat kudus di mana individu dan keluarga boleh “tenanglah” dan tahu bahawa Tuhan ialah Bapa Syurgawi kita, kita anak-anak-Nya, dan Yesus Kristus ialah Juruselamat kita. Meninggalkan rumah kita untuk menyembah pada hari Sabat dan di rumah Tuhan sememangnya penting. Tetapi hanya apabila kita kembali ke rumah kita dengan perspektif dan kekuatan rohani yang diperoleh di tempat-tempat kudus dan aktiviti-aktiviti itulah kita boleh menyokong fokus kita pada tujuan utama kehidupan fana dan mengatasi godaan-godaan yang begitu berleluasa di dunia kita yang terjatuh.

Sabat, bait suci, dan pengalaman rumah harus mengukuhkan kita dengan kuasa Roh Kudus, dengan perhubungan perjanjian yang berterusan dan lebih kuat dengan Bapa dan Putera, dan dengan “kecerahan harapan yang sempurna”19 dalam janji abadi Tuhan.

Apabila rumah dan Gereja bersatu dalam Kristus,,20 kita mungkin ditimpa masalah, tetapi kita tidak akan menyerah kalah dalam minda dan hati. Kita mungkin bingung dengan keadaan dan cabaran kita, tetapi kita tidak akan putus asa. Kita mungkin dianiaya, tetapi kita juga akan menyedari bahawa kita tidak bersendirian.21 Kita boleh menerima kekuatan rohani untuk menjadi dan tetap teguh, tabah, dan benar.

Janji dan Kesaksian

Saya berjanji bahawa apabila kita membina landasan kehidupan kita di atas “batu” Yesus Kristus, kita boleh diberkati oleh Roh Kudus untuk menerima kedamaian jiwa individu dan rohani yang membolehkan kita untuk mengetahui dan mengingati bahawa Tuhan ialah Bapa Syurgawi kita, kita anak-anak-Nya, Yesus Kristus ialah Juruselamat kita, dan kita boleh diberkati untuk melakukan dan mengatasi hal-hal yang susah.

Saya bersaksi dengan gembira bahawa Tuhan ialah Bapa Syurgawi kita, kita anak-anak-Nya, dan Yesus Kristus ialah Penebus kita dan “batu” keselamatan kita. Saya bersaksi demikian dalam nama kudus Tuhan Yesus Kristus, amin.