Persidangan Umum
Integriti: Sifat seperti Kristus
persidangan umum April 2024


Integriti: Sifat seperti Kristus

Menjalankan kehidupan integriti memerlukan kita untuk setia kepada Tuhan, kepada satu sama lain, dan kepada identiti ilahi kita.

Pada masa terakhir pelayanan Juruselamat, Dia pergi ke Bukit Zaitun di sebuah taman yang dipanggil Getsemani dan menjemput para pengikut-Nya untuk menunggu.1 Bersendirian, Dia berdoa kepada Bapa-Nya, “Jika boleh jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku.”2 Dalam kesakitan, penderitaan-Nya menyebabkan Dia, “bahkan Tuhan, yang terbesar daripada semuanya, menggeletar kerana kesakitan, dan berdarah pada setiap liang roma, … dan menginginkan agar [Dia] boleh tidak meminum cawan yang pahit itu, dan menarik diri.”3 Namun pada saat kekecewaan, Juruselamat tidak menarik diri “tetapi meminumnya dan menyelesaikan persediaan[-Nya] bagi anak-anak manusia.”4

Sebagai Anak Tunggal Bapa Syurgawi, Yesus Kristus memiliki kuasa ke atas kematian, kesakitan, dan penderitaan tetapi tidak menarik diri. Dia memenuhi perjanjian dengan bapa-Nya dan, dengan itu, menyatakan sifat seperti Kristus yang penting dalam dunia kita—sifat integriti. Dia tetap setia kepada Tuhan, kepada kita, dan kepada identiti ilahi-Nya.

Integriti

Yesus Kristus ialah Teladan kita. Menjalankan kehidupan integriti memerlukan kita untuk setia kepada Tuhan, kepada satu sama lain, dan kepada identiti ilahi kita. Integriti datang daripada perintah utama iaitu untuk mengasihi Tuhan. Kerana anda mengasihi Tuhan, anda sentiasa setia kepada-Nya. Anda fahami bahawa ada betul dan salah, dan adanya kebenaran mutlak—kebenaran Tuhan. Integriti bermaksud kita tidak merendahkan standard atau tingkah laku untuk mengagumkan atau untuk diterima oleh orang lain.5 Anda “berbuat benar” dan “roh bersertamu.”6 Pembaharuan terbaru pada manual misionari Mengkhutbahkan Injil-Ku telah menambahkan integriti sebagai sifat seperti Kristus.7

Beberapa tahun lalu, Elder Uchtdorf ditugaskan untuk menyusun semula pancang kami. Semasa temu duga, dia tanya saya soalan yang tidak akan saya lupa: “Adakah apa-apa hal dalam kehidupan anda yang, jika diketahui umum, akan memalukan anda atau Gereja?’ Saya terkejut dan meneliti seluruh kehidupan saya, cuba mengingati masa ketika saya terjatuh dan bertanya sendiri, jika orang lain tahu perbuatan saya, apakah tanggapan mereka tentang saya atau Gereja?

Pada masa itu, saya fikir Elder Uchtdorf hanya bertanya tentang kelayakan, tetapi saya dapati ia sebenarnya adalah soalan tentang integriti. Adakah saya jujur dalam pengakuan saya? Adakah dunia akan melihat kata-kata dan perbuatan saya adalah selaras? Adakah orang lain akan nampak Tuhan melalui kelakuan saya?

Presiden Spencer W. Kimball mengajar, “Integriti” ialah “… kesediaan dan kebolehan untuk hidup menurut kepercayaan dan komitmen kita.”8

Benar kepada Tuhan

Kehidupan integriti memerlukan kita untuk menjadi benar kepada Tuhan.

Dari zaman kanak-kanak, kita belajar kisah Daniel di dalam gua singa. Daniel sentiasa benar kepada Tuhan. Rakan-rakannya yang cemburu “berusaha untuk mencari kesalahan [dia]”9 dan memberi perintah yang mewajibkan penyembahan kepada tuhan pagan mereka sahaja. Daniel tahu perintah itu tetapi pulang ke rumah dan—dengan “tingkap-tingkap yang terbuka”10—berlutut dan berdoa tiga kali sehari kepada Tuhan Israel. Akibatnya, Daniel dilemparkan ke dalam gua singa. Pada pagi hari, raja mendapati Tuhan Daniel telah melindungi dia dan mengeluarkan perintah baharu agar semua harus “menghormati serta takut kepada Tuhan yang disembah Daniel: Dia ialah Tuhan yang hidup.”11

Raja mula mengenali Tuhan melalui integriti Daniel. Orang lain nampak Tuhan melalui kata-kata dan perbuatan kita. Seperti Daniel, menjadi benar kepada Tuhan akan membezakan kita dari dunia.

Juruselamat telah mengingatkan kita, “Di dunia kamu akan menderita, tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia.”12 Presiden Russell M. Nelson menasihati: “[Mengatasi dunia] bermaksud mengatasi godaan untuk lebih mengambil berat tentang hal-hal dunia ini daripada hal-hal Tuhan. Ia bermaksud mempercayai ajaran Kristus lebih daripada falsafah manusia.”13 Begitu juga, kita mesti menentang godaan untuk berjalan “dalam jalan [kita] sendiri, dan menurut rupa tuhan [kita] sendiri, yang mana rupanya adalah serupa dengan dunia.”14

Tarikan bertentangan dari dunia ini adalah bahagian penting dalam rancangan penyelamatan Tuhan. Bagaimana kita bertindak balas terhadap tarikan itu adalah inti pati siapa kita—ukuran integriti kita. Tarikan duniawi boleh secara langsung menghancurkan kesetiaan dalam perkahwinan atau secara halus seperti menyiarkan komen tanpa nama yang mengkritik ajaran atau budaya Gereja. Berintegriti dalam setiap pilihan kita menunjukkan komitmen dalaman untuk mengikuti Juruselamat Yesus Kristus.

Benar kepada Orang Lain

Sama seperti integriti datang daripada perintah utama untuk mengasihi Tuhan, menjadi benar kepada satu sama lain adalah perintah kedua, untuk mengasihi sesama manusia seperti diri kita sendiri. Kehidupan integriti bukanlah kehidupan kesempurnaan; ia adalah kehidupan berusaha setiap hari untuk menjadi benar kepada Tuhan dan dalam konteks itu untuk menjadi benar kepada orang lain. Presiden Oaks mengingatkan kita, “Namun kesungguhan kita untuk mematuhi perintah kedua ini tidak harus menyebabkan kita lupa perintah pertama.”15

Dunia semakin bergelut dengan integriti dengan mengenakan kod kelakuan atau peraturan etika yang mengawal perhubungan antara manusia dan institusi. Walaupun baik, peraturan ini biasanya tidak bersauh pada kebenaran mutlak dan cenderung berkembang berdasarkan penerimaan budaya. Sama seperti soalan Elder Uchtdorf tanyakan, beberapa organisasi melatih kakitangan untuk mempertimbangkan bagaimana keputusan atau proses membuat keputusan mereka akan kelihatan jika diterbitkan dalam talian atau di muka depan akhbar utama. Apabila Gereja muncul dari keadaan yang tidak dikenali dan dari kegelapan,16 kita, seperti Daniel, mesti bangkit melebihi jangkaan duniawi dan menjadi wakil Tuhan yang hidup dan benar di segala waktu dan di segala tempat.17

Mengatakan bahawa kita mempunyai integriti tidaklah mencukupi jika tindakan kita tidak selaras dengan kata-kata kita. Begitu juga, kebaikan hati Kristian bukanlah pengganti integriti. Sebagai umat perjanjian, dan sebagai pemimpin Gereja-Nya, kita mestilah tanpa cela dan selaras dengan standard yang Tuhan telah tetapkan.

Bertindak dengan integriti membina iman dan kepercayaan dan meyakinkan orang lain bahawa kita hanya berusaha untuk melakukan kehendak Tuhan. Dalam majlis, kita menentang pengaruh luar dan mengikuti proses yang Tuhan ungkapkan untuk mencari pandangan daripada setiap wanita dan lelaki serta bertindak selaras dengan nasihat berilham yang diterima.18

Fokus kita adalah pada Juruselamat, dan kita berhati-hati untuk mengelakkan tindakan yang mementingkan diri, memanfaatkan keluarga kita, atau berat sebelah terhadap orang lain. Kita berusaha untuk mengelakkan sebarang persepsi bahawa tindakan kita mungkin dipengaruhi oleh penghormatan manusia19 untuk menerima pengiktirafan peribadi, mendapat lebih banyak suka, dipetik, atau diterbitkan.

Benar kepada Identiti Ilahi Kita

Akhirnya, kehidupan integriti memerlukan kita untuk menjadi benar kepada identiti ilahi kita.

Kita kenal beberapa orang yang tidak. Khususnya Korihor anti-Kristus, yang telah menyesatkan hati ramai orang, menguasai “fikiran badani” mereka.20 Namun, pada saat-saat terakhir kehidupannya, dia mengakui, “Aku selalu mengetahui bahawa ada seorang Tuhan.”21 Presiden Henry B. Eyring telah mengajarkan bahawa berdusta “adalah bertentangan dengan sifat roh kita,”22 identiti ilahi kita. Korihor menipu dirinya sendiri, dan kebenaran tidak ada padanya.23

Sebaliknya, Nabi Joseph Smith dengan yakin mengisytiharkan, “Aku mengetahuinya, dan aku tahu bahawa Tuhan mengetahuinya, dan aku tidak dapat menyangkalnya.”24

Abang Joseph iaitu Hyrum dikasihi oleh Tuhan “kerana integriti hatinya.”25 Dia dan Joseph setia sampai akhir—benar kepada identiti ilahi mereka, cahaya dan pengetahuan yang mereka terima, dan benar kepada apa yang mereka tahu mereka boleh menjadi.

Kesimpulan

Semoga kita mendamaikan diri kita “kepada kehendak Tuhan”26 dan membangunkan sifat integriti seperti Kristus. Semoga kita mengikuti teladan Juruselamat dunia kita, dan tidak menarik diri tetapi menjalani kehidupan yang benar kepada Tuhan, kepada satu sama lain, dan kepada identiti ilahi kita.

Seperti kata Ayub, “Biarlah Tuhan menimbang aku dengan penimbang yang sah, dan Dia akan tahu bahawa aku tidak bersalah.”27 Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.