Persidangan Umum
Ditahbiskan Sebelumnya untuk Melayani
persidangan umum April 2024


Ditahbiskan Sebelumnya untuk Melayani

Bapa Syurgawi kita berhasrat untuk mengungkapkan kepada anda pra-pentahbisan peribadi anda, dan Dia akan melakukannya semasa anda berusaha untuk belajar dan mengikuti kehendak-Nya.

Petang ini, saya berucap kepada remaja Gereja, generasi remaja putera dan remaja puteri yang menjadi pemegang standard bagi generasi akan datang.

Pada Oktober 2013, nabi terkasih kita, Presiden Russell M. Nelson mengisytiharkan: “Bapa Syurgawi anda telah mengenali anda untuk masa yang sangat lama. Anda, sebagai anak lelaki atau anak perempuan-Nya, telah dipilih untuk datang ke bumi pada saat ini, untuk menjadi pemimpin dalam pekerjaan agung-Nya di bumi.”1

Dua tahun lalu, Presiden Nelson meneruskan:

“Hari ini saya menegaskan lagi bahawa Tuhan telah meminta setiap lelaki muda yang layak dan sihat untuk bersedia dan melayani misi. Bagi lelaki muda Orang Suci Zaman Akhir, pelayanan misi adalah tanggungjawab imamat. Anda, lelaki muda telah disimpan bagi masa ini ketika pengumpulan bani Israel yang dijanjikan sedang berlangsung. …

“Bagi anda, wanita muda dan sihat, misi merupakan peluang hebat namun tidak wajib. … Berdoa untuk tahu jika Tuhan mahu anda melayani misi, dan Roh Kudus akan jawab dalam hati dan minda.”2

Rujukan nabi kita tentang Tuhan memelihara remaja zaman kita untuk masa pengumpulan Israel ini dan jemputan dia untuk berdoa untuk tahu apa yang Tuhan mahu anda lakukan, sebahagiannya merujuk kepada kehidupan yang anda telah jalani dan berkat yang anda telah terima daripada Tuhan sebelum anda dilahirkan di bumi ini.3 Kita semua yang dilahirkan di bumi ini dulunya hidup bersama Bapa Syurgawi kita sebagai anak-anak roh-Nya.4 Tuhan mengisytiharkan kepada Musa, “Aku, Tuhan Raja, telah menciptakan segalanya … secara roh, sebelum mereka berada secara fana di atas permukaan bumi.”5

Apabila Dia menciptakan anda secara roh, Dia mengasihi anda sebagai anak lelaki dan anak perempuan rohani-Nya dan menanam dalam setiap anda sifat ilahi dan takdir abadi.6

Semasa kehidupan pra-fana, anda “mengembangkan identiti [anda] dan meningkatkan keupayaan rohani [anda].”7 Anda diberkati dengan kurnia hak pilihan, kebolehan untuk membuat pilihan sendiri, dan anda membuat keputusan yang penting, seperti keputusan untuk mengikuti rancangan kegembiraan Bapa Syurgawi, iaitu untuk “memperolehi suatu tubuh fizikal serta mendapat pengalaman duniawi untuk maju … dan pada akhirnya mencapai takdir [anda] sebagai waris kepada kehidupan abadi.”8 Keputusan ini mempengaruhi kehidupan pra-fana anda, dan ia terus mempengaruhi kehidupan anda sekarang.9 Sebagai anak Tuhan di kehidupan pra-fana, anda, “bertumbuh dalam kecerdasan dan belajar untuk mengasihi kebenaran.”10

Sebelum anda dilahirkan, Tuhan telah mentahbis setiap anda untuk memenuhi misi tertentu semasa kehidupan fana anda.11 Jika anda kekal layak, berkat-berkat dari perintah pra-fana itu akan membolehkan anda ada pelbagai peluang dalam kehidupan ini, termasuk peluang untuk melayani dalam Gereja dan terlibat dalam pekerjaan terpenting yang berlaku di bumi hari ini: pengumpulan Israel.12 Janji dan berkat pra-fana itu dipanggil pra-pentahbisan anda. “Ajaran pra-pentahbisan digunapakai untuk semua ahli Gereja.”13 Pra-pentahbisan tidak menjaminkan anda akan menerima panggilan atau tanggungjawab tertentu. Berkat dan peluang ini datang dalam kehidupan ini sebagai hasil dari tindakan hak pilihan anda yang soleh, sepertimana pra-pentahbisan anda di kehidupan pra-fana yang datang hasil kesolehan.14 Semasa anda membuktikan diri anda layak dan maju di sepanjang jalan perjanjian, anda akan berpeluang untuk melayani dalam kelas Remaja Puteri atau kuorum imamat anda. Anda akan diberkati untuk melayani di bait suci, untuk menjadi pelayan saudara atau saudari, dan untuk melayani misi sebagai pengikut Yesus Kristus.

Mengapakah ia penting untuk mengetahui dan memahami pra-pentahbisan anda? Masa sekarang sering dipenuhi soalan, ramai berusaha untuk tahu identiti sebenar mereka, kenyataannya adalah Tuhan tahu dan telah memberkati kita secara individu sebelum kita dilahirkan di bumi ini dengan “sifat yang asas untuk … tujuan pra-fana, fana, dan abadi” membawa kedamaian dan jaminan yang manis kepada minda dan hati kita.15 Mengetahui siapakah anda bermula dengan memahami berkat-berkat Tuhan yang telah ditahbiskan sebelum anda dilahirkan di bumi ini. Bapa Syurgawi kita berhasrat untuk mengungkapkan kepada anda pra-pentahbisan peribadi anda, dan Dia akan melakukannya semasa anda berusaha untuk belajar dan mengikuti kehendak-Nya.16

Saya suka membaca pos Instagram Presiden Nelson. Salah satu kegemaran saya adalah pada 20 Julai 2022. Dia menulis:

“Saya percaya jika Tuhan berbicara langsung kepada anda, hal pertama yang Dia akan pastikan anda faham adalah identiti sebenar anda. Kawan-kawan terkasih, anda benar-benar adalah anak-anak roh Tuhan. …

“… Jangan silap tentangnya: Potensi anda adalah ilahi. Dengan pencarian anda yang tekun, Tuhan akan memberi anda gambaran tentang siapa anda boleh menjadi.”17

Bolehkah saya berkongsi bagaimana ayah saya telah ajar saya untuk kenali identiti saya dan rancangan Tuhan dalam hidup saya?

Pada satu pagi Sabtu semasa saya berumur 13 tahun, saya memotong rumput sebagai kerja rumah mingguan saya. Apabila saya selesai, saya dengar pintu belakang kami ditutup dan ayah memanggil saya untuk menyertai dia. Saya pergi ke beranda belakang, dan duduk bersamanya di anak tangga. Itu pagi yang indah. Saya masih ingat kami duduk dekat sehingga bahu kami bersentuhan. Dia mula dengan berkata dia mengasihi saya. Dia bertanya apakah matlamat hidup saya. Saya berfikir, “Itu mudah.” Saya tahu dua hal dengan pasti: saya ingin menjadi lebih tinggi, dan saya mahu kerap pergi berkhemah. Saya seorang yang berjiwa sederhana. Dia tersenyum, berhenti seketika, dan berkata: “Steve, saya ingin berkongsi sesuatu yang sangat penting bagi saya. Saya telah berdoa agar Bapa Syurgawi akan memahatkan kata-kata saya dalam fikiran dan jiwa kamu supaya kamu tidak akan lupa.”

Saya fokus penuh pada ayah masa itu. Dia berpaling dan melihat mata saya dan berkata, “Anak, lindungilah masa peribadi hidup kamu.” Masa terhenti lama semasa dia membiarkan maksud itu meresap ke dalam hati saya.

Dia kemudian meneruskan: “Maksudnya apabila kamu bersendirian dan tiada orang lain yang tahu apa yang kamu lakukan. Masa ketika kamu fikir ‘Apa sahaja yang saya lakukan sekarang hanya mempengaruhi saya, bukan orang lain’?”

Selepas itu dia berkata, “Berbanding masa lain dalam hidup kamu, apa yang kamu lakukan dalam masa peribadi hidup kamu akan ada kesan terbesar tentang bagaimana kamu menghadapi cabaran dan kepedihan; dan apa yang kamu lakukan dalam masa peribadi hidup kamu juga akan ada kesan yang lebih besar tentang bagaimana kamu menghadapi kejayaan dan kebahagiaan berbanding masa lain dalam hidup kamu.”

Hasrat hati ayah saya tercapai. Bunyi dan irama suaranya, dan kasih yang saya rasakan dalam kata-katanya, memang terpahat dalam minda dan jiwa saya pada hari itu.

Saya telah belajar bertahun-tahun bahawa mukjizat terbesar pada hari itu adalah, dalam masa peribadi hidup saya, saya boleh berdoa kepada Tuhan untuk menerima wahyu. Ayah saya mengajar bagaimana saya boleh belajar tentang berkat-berkat Tuhan yang telah ditahbiskan sebelumnya. Dalam masa peribadi itu, saya belajar Kitab Mormon adalah firman Tuhan. Saya belajar Tuhan telah mentahbiskan saya sebelumnya untuk melayani misi. Saya belajar bahawa Tuhan mengenali saya dan mendengar serta menjawab doa-doa saya. Saya belajar bahawa Yesus ialah Kristus, Juruselamat dan Penebus kita.

Walaupun saya telah membuat banyak kesilapan sejak hari perbincangan dengan ayah saya itu, berusaha untuk melindungi masa peribadi hidup saya telah kekal sebagai sauh di tengah-tengah ribut kehidupan dan membolehkan saya untuk mencari tempat selamat dan berkat-berkat penyembuhan dan pengukuhan daripada kasih dan korban tebusan Juruselamat kita.

Saudara dan saudari muda saya, semasa anda melindungi masa peribadi hidup anda dengan rekreasi yang baik, mendengar muzik yang bermanfaat; membaca tulisan suci; mempunyai doa yang tetap dan bermakna; dan berusaha untuk menerima dan merenungkan berkat bapa bangsa anda, anda akan menerima wahyu. Dalam kata-kata Presiden Nelson, mata anda akan menjadi “terbuka luas kepada kebenaran bahawa kehidupan ini benar-benar adalah masa apabila anda dapat memutuskan jenis kehidupan yang anda ingin hidup selamanya.”18

Bapa Syurgawi akan menjawab doa-doa anda, terutamanya doa-doa yang ditawarkan dalam masa peribadi hidup anda. Dia akan mengungkapkan kurnia dan bakat anda yang telah ditahbiskan sebelumnya, dan anda akan rasa kasih-Nya menyelubungi anda, jika anda dengan ikhlas meminta dan berhasrat untuk tahu. Semasa anda melindungi masa peribadi hidup anda, penyertaan anda dalam tatacara dan perjanjian injil akan menjadi lebih bermakna. Anda akan lebih sepenuhnya mengikat diri kepada Tuhan dalam perjanjian dengan-Nya, dan anda akan diangkat untuk mempunyai harapan, iman, dan jaminan yang lebih besar dalam janji-janji Dia. Adakah anda ingin mengetahui rancangan Tuhan untuk anda? Saya bersaksi bahawa Dia mahu anda tahu, dan Dia mengilhami nabi-Nya ke dunia untuk menjemput kita semua untuk berdoa dan menerima pengalaman yang membuka mata ini sendiri.19 Saya bersaksi tentang realiti dan kuasa korban tebusan Juruselamat yang membolehkan kita melayakkan diri dan menikmati semua berkat Tuhan yang telah ditahbiskan sebelumnya, dalam nama Yesus Kristus, amin.