Persidangan Umum
Panggil, Jangan Jatuh
persidangan umum April 2024


Panggil, Jangan Jatuh

Jika kita memanggil kepada Tuhan, saya bersaksi bahawa kita tidak akan jatuh.

Hari ini saya ingin bermula dengan bersaksi lengkap dalam hati saya bahawa Tuhan mendengar doa-doa kita dan menjawabnya dengan cara yang peribadi.

Dalam dunia yang melalui masa ketidakpastian, kesakitan, kekecewaan, dan kesedihan hati, kita mungkin lebih cenderung untuk bergantung pada kebolehan dan pilihan peribadi, serta pengetahuan dan keselamatan yang datang dari dunia. Ini boleh menyebabkan kita mengabaikan sumber bantuan dan sokongan sebenar yang boleh menentang cabaran-cabaran kehidupan fana ini.

Imej
Bilik hospital.

Saya ingat satu peristiwa ketika saya dimasukkan ke hospital kerana penyakit, dan menghadapi kesusahan untuk tidur. Apabila saya padamkan lampu dan bilik jadi gelap, saya lihat satu tanda memantulkan cahaya di hadapan yang berkata, “Panggil, jangan jatuh.” Keesokan harinya, saya dapati pesanan yang sama di beberapa sudut bilik.

Imej
Tanda panggil, jangan jatuh.

Mengapakah pesanan itu sangat penting? Apabila saya tanya jururawat, dia berkata, “Ini untuk mencegah kecederaan yang boleh meningkatkan kesakitan anda.”

Kehidupan ini, semula jadinya, membawa pengalaman yang menyakitkan, ada yang mungkin melibatkan badan jasmani kita, kelemahan atau kesengsaraan kita, cara orang lain menggunakan hak pilihan mereka, dan ada yang disebabkan oleh hak pilihan kita.

Adakah terdapat janji yang lebih berkuasa daripada yang Juruselamat isytiharkan, “Mintalah, maka kamu akan menerimanya; carilah, maka kamu akan mendapatkannya; ketuklah,” atau panggil, “dan akan [dibukakan] bagimu”?1

Doa adalah cara berkomunikasi dengan Bapa Syurgawi yang membenarkan kita untuk “panggil dan jangan jatuh.” Namun, terdapat keadaan di mana kita mungkin berfikir bahawa panggilan itu tidak didengar kerana kita tidak menerima jawapan segera atau menurut jangkaan kita.

Kadang-kala ini membawa kepada kegelisahan, kesedihan, atau kekecewaan. Tetapi ingatlah ungkapan iman Nefi kepada Tuhan ketika dia berkata, “Bagaimanakah Dia tidak dapat mengajarku, agar aku dapat membina sebuah kapal?”2 Sekarang, saya bertanya kepada anda, bagaimana Tuhan tidak dapat mengajar anda, bahawa anda tidak jatuh?

Keyakinan terhadap jawapan Tuhan bermaksud menerima bahawa jalan-Nya bukan jalan kita3 dan “segala hal mesti terjadi pada waktunya.”4

Mengetahui bahawa kita adalah anak-anak Bapa Syurgawi yang penuh kasih dan berbelas kasihan harus menjadi motivasi untuk “memanggil” dalam doa dengan sikap “berdoa selalu, dan janganlah melemah; … agar perbuatan [kita] adalah demi kesejahteraan jiwa [kita].”5 Bayangkan perasaan Bapa Syurgawi apabila dalam setiap doa kita merayu dalam nama Putera-Nya, Yesus Kristus. Saya percaya, kuasa dan kelembutan ditunjukkan apabila kita berbuat demikian!

Tulisan suci dipenuhi dengan contoh orang yang memanggil kepada Tuhan agar mereka tidak akan jatuh. Helaman dan tenteranya, semasa menghadapi kesengsaraan mereka, memanggil kepada Tuhan, mencurahkan jiwa mereka dalam doa. Mereka menerima kepastian, kedamaian, iman, dan harapan, memperoleh keberanian dan keazaman sehingga mereka mencapai matlamat mereka.6

Bayangkan bagaimana Musa akan memanggil dan berseru kepada Tuhan apabila dirinya berada di antara Laut Merah dan serangan orang Mesir, atau Abraham apabila mematuhi mandat untuk mengorbankan anak lelakinya Ishak.

Saya pasti setiap anda pernah ada dan akan ada pengalaman di mana memanggil akan menjadi jawapan kepada jangan jatuh.

Tiga puluh tahun yang lalu, semasa saya dan isteri saya sedang bersedia untuk perkahwinan sivil dan perkahwinan bait suci kami, kami menerima panggilan bahawa perkahwinan sivil itu dibatalkan kerana mogok. Kami terima panggilan itu tiga hari sebelum upacara yang dijadualkan. Selepas beberapa percubaan di pejabat lain dan tiada temu janji tersedia, kami mula rasa tertekan dan ragu jika kami boleh berkahwin seperti yang dirancangkan.

Saya dan tunang saya “memanggil,” mencurahkan jiwa kami kepada Tuhan dalam doa. Akhirnya, seseorang beritahu kami tentang sebuah pejabat kota kecil di pinggir bandar di mana seorang kenalannya adalah datuk bandar. Tanpa ragu-ragu, kami pergi menemuinya dan bertanya jika dia boleh mengahwinkan kami. Syukur, dia bersetuju. Setiausahanya menekankan bahawa kami perlu dapatkan sijil di kota itu dan serahkan semua dokumen sebelum tengah hari esok.

Keesokan harinya, kami pergi ke bandar kecil dan pergi ke balai polis untuk meminta dokumen yang diperlukan. Namun, pegawai polis itu menolak permintaan kami kerana ramai pasangan muda telah melarikan diri daripada keluarga mereka untuk berkahwin secara rahsia di bandar itu, dan itu bukanlah kes kami. Sekali lagi, ketakutan dan kesedihan memenuhi kami.

Saya ingat saya dengan senyap memanggil kepada Bapa Syurgawi supaya tidak jatuh. Saya menerima tanggapan berulang yang jelas dalam minda saya, berkata, “Kad rekomen bait suci, kad rekomen bait suci.” Saya segera mengeluarkan kad rekomen bait suci saya dan serahkan kepada pegawai itu, yang membingungkan tunang saya.

Kami terkejut apabila pegawai itu berkata, “Mengapa kamu tidak beritahu bahawa kamu dari Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir? Saya kenal gereja anda.” Dia segera menyediakan dokumen itu. Kemudian, pegawai itu meninggalkan balai tanpa berkata apa-apa.

Lima puluh minit berlalu, dan dia tidak kembali. Sudah pukul 11:55 pagi, dan kami hanya ada masa sehingga tengah hari untuk menyerahkan kertas-kertas itu. Tiba-tiba dia muncul dengan anak anjing yang cantik dan beritahu kami itu hadiah perkahwinan dan berikannya kepada kami berserta dokumen itu.

Kami berlari ke arah pejabat datuk bandar bersama dokumen dan anjing baharu kami. Kemudian kami lihat sebuah kenderaan rasmi datang ke arah kami. Saya berhenti di hadapannya. Kenderaan berhenti, dan kami lihat setiausaha di dalamnya. Melihat kami, dia berkata, “Maaf; Saya memberitahu kamu tengah hari. Saya mesti pergi ke tugasan yang lain.”

Saya dengan senyap merendahkan hati saya, memanggil dengan sepenuh hati kepada Bapa Syurgawi, meminta bantuan sekali lagi untuk “tidak jatuh.” Tiba-tiba, mukjizat itu berlaku. Setiausaha itu berkata kepada kami, “Cantiknya anjing kamu. Di mana saya boleh belikan itu untuk anak saya?”

“Ini untuk kamu” kami segera membalas.

Setiausaha itu terkejut dan berkata, “OK, mari ke pejabat dan membuat persediaan.”

Dua hari kemudian, Carol dan saya berkahwin secara sivil, seperti yang dirancangkan, dan kemudian kami dimeteraikan di Bait Suci Lima Peru.

Sudah tentu, kita perlu ingat bahawa memanggil perlukan iman dan tindakan—iman untuk mengenali adanya Bapa Syurgawi yang menjawab doa-doa kita menurut kebijaksanaan-Nya yang tidak terhingga, dan kemudian, tindakan yang selaras dengan apa yang kita minta. Berdoa—memanggil—boleh menjadi tanda harapan kita. Tetapi mengambil tindakan selepas berdoa adalah tanda bahawa iman kita adalah nyata—iman yang diuji dalam saat-saat kesakitan, ketakutan, atau kekecewaan.

Saya cadangkan anda mempertimbangkan yang berikut:

  1. Sentiasa fikirkan Tuhan sebagai pilihan pertama anda untuk bantuan.

  2. Panggil, jangan jatuh. Berpaling kepada Tuhan dalam doa yang ikhlas.

  3. Selepas berdoa, lakukan segalanya untuk mendapatkan berkat-berkat yang anda doakan.

  4. Rendahkan diri anda untuk menerima jawapan pada masa dan cara-Nya.

  5. Jangan berhenti! Terus maju pada jalan perjanjian sementara menunggu jawapan.

Mungkin ada seseorang yang sekarang, kerana keadaan, merasa seperti mereka hampir jatuh dan ingin memanggil seperti Joseph Smith ketika dia berseru, “Ya Tuhan, di manakah Engkau? … Berapa lamakah tangan-Mu akan ditahan?”7

Bahkan dalam keadaan seperti ini, berdoalah dengan “momentum rohani,” seperti yang Presiden Russell M. Nelson ajarkan,8 kerana doa-doa anda selalu didengari!

Ingat lagu rohani ini:

Seb’lum kau tinggalkan rumah,

Kau berdoakah?

Dalam nama Jurus’lamat,

T’lah mohon anug’rah-Nya

bagai p’risaimu

Doa menghibur yang letih,

doa menerangi g’lap.

Kalau hidup jadi sedih,

Kau berdoalah.9

Semasa kita berdoa, kita dapat merasa pelukan Bapa Syurgawi kita, yang mengutus Putera Tunggal-Nya untuk melegakan beban kita, kerana jika kita memanggil kepada Tuhan, saya bersaksi kita tidak akan jatuh. Dalam nama Yesus Kristus, amin.