Persidangan Umum
Kata-kata Itu Penting
persidangan umum April 2024


Kata-kata Itu Penting

Kata-kata menentukan sikap. Kata-kata menyuarakan fikiran, perasaan, dan pengalaman kita, baik atau buruk.

Saudara, saudari, dan kawan-kawan di seluruh dunia, saya berbesar hati untuk berucap kepada penonton yang luas ini, ramai antaranya adalah ahli Gereja kita dan juga kawan dan pendengar baharu untuk siaran persidangan ini. Selamat Datang!

Pesanan-pesanan yang dikongsi dari mimbar ini disampaikan dalam kata-kata. Diucap dalam bahasa Inggeris dan diterjemahkan kepada hampir 100 bahasa yang berbeza. Asas itu selalunya sama. Kata-kata. Dan kata-kata sangatlah penting. Biar saya ulang. Kata-kata itu penting!

Ia adalah landasan bagaimana kita berhubung; ia mewakili kepercayaan, moral, dan perspektif kita. Kadangkala kita mengucap kata-kata, kadangkala kita mendengar. Kata-kata menentukan sikap. Kata-kata menyuarakan fikiran, perasaan, dan pengalaman kita, baik atau buruk.

Malangnya, kata-kata boleh menjadi lalai, tergesa-gesa, dan menyakitkan. Setelah diucap, kita tidak dapat menariknya semula. Ia boleh melukai, menghukum, menjatuhkan, dan bahkan menyebabkan tindakan yang memusnahkan. Ia boleh membebankan kita.

Namun, kata-kata juga boleh meraikan, memberi harapan dan menggalakkan. Ia boleh mendorong kita untuk fikir semula, mula semula, dan mengubah hala kita. Kata-kata boleh membuka minda kita kepada kebenaran.

Sebab itu, yang pertama, firman Tuhan adalah penting.

Dalam Kitab Mormon, nabi Alma dan rakyatnya di Amerika purba menghadapi peperangan tanpa akhir dengan mereka yang telah mengabaikan firman Tuhan, mengeraskan hati mereka, dan merosakkan budaya mereka. Orang yang beriman boleh berperang, tetapi Alma menasihati “Dan sekarang, sebagaimana kerana pengkhutbahan firman mempunyai kecenderungan besar untuk menuntun umat itu untuk melakukan apa yang adil—ya, itu telah mempunyai kesan yang lebih kuat pada fikiran orang daripada pedang, atau apa-apa pun yang lain, yang telah terjadi kepada mereka—oleh itu Alma berfikir adalah arif bahawa mereka patut menguji kuasa firman Tuhan.”1

“Firman Tuhan” melampaui segala ungkapan lain. Ia berlaku sejak Penciptaan bumi ketika Tuhan berfirman: “Hendaklah ada cahaya, lalu cahaya pun ada.”2

Dari Juruselamat datanglah jaminan ini dalam Perjanjian Baru: “Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.”3

Dan ini: “Sesiapa mengasihi Aku akan mentaati ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihi dia. Bapa-Ku dan Aku akan datang kepada orang itu dan tinggal dengan dia.”4

Dan dari Maria, ibu Yesus, datanglah kesaksian yang rendah hati ini: “Aku hamba Tuhan; biarlah berlaku kepadaku seperti yang engkau katakan.”5

Mempercayai dan mengindahkan firman Tuhan akan lebih mendekatkan kita kepada-Nya. Presiden Russell M. Nelson telah berjanji, “Jika anda akan mengkaji firman-Nya, kebolehan anda untuk menjadi lebih seperti Dia akan meningkat.”6

Tidakkah kita mahu menjadi, seperti lagu rohani katakan—, “lebih diberkati dan kudus—lebih, Juruselamat, seperti Engkau”?7

Saya bayangkan Joseph Smith yang muda berlutut mendengar kata-kata Bapa-nya di Syurga: “[Joseph,] Inilah Putera-Ku yang Ku kasihi. Dengarkanlah Dia!”8

Kita “mendengar Dia” dalam kata-kata tulisan suci, tetapi adakah kita hanya membacanya, atau adakah kita mengenali Dia sedang berbicara kepada kita. Adakah kita berubah?

Kita “mendengar Dia” dalam wahyu peribadi dan dorongan Roh Kudus, dalam jawapan kepada doa, dan dalam saat-saat itu ketika hanya Yesus Kristus, melalui kuasa Korban Tebusan-Nya, dapat mengangkat beban kita, memberi kita pengampunan dan kedamaian, dan memeluk kita “di dalam pelukan kasih-Nya.”9

Yang kedua, kata-kata para nabi penting.

Para nabi bersaksi tentang ketuhanan Yesus Kristus. Mereka mengajar injil-Nya dan menunjukkan kasih-Nya kepada semua.10 Saya bersaksi bahawa nabi hidup kita, Presiden Russell M. Nelson, mendengar dan mengucapkan firman Tuhan.

Presiden Nelson mempunyai cara istimewa menyatakan kata-kata. Dia telah berkata, “Setia kepada jalan perjanjian,”11 “Mengumpul Israel,”12 “Membiarkan Tuhan menang,”13 “Membina jambatan pemahaman,”14 “Bersyukurlah,”15 “Tingkatkan iman anda kepada Yesus Kristus,”16 “Bertanggungjawab atas kesaksian anda,”17 dan “Jadilah pendamai.”18

Baru-baru ini dia telah meminta kita untuk “berfikiran selestial.” “Apabila anda berhadapan dengan dilema,” dia berkata, “berfikiran selestial! Apabila diuji oleh godaan, berfikiran selestial! Apabila kehidupan atau orang yang dikasihi mengecewakan anda, berfikiran selestial! Apabila seseorang meninggal dunia pramatang, berfikiran selestial. …Apabila tekanan kehidupan mengelilingi anda, berfikiran selestial! … Semasa anda berfikiran selestial, hati anda akan berubah secara beransur-ansur, … anda akan melihat cubaan dan pertentangan dalam cahaya baharu, … [dan] iman anda akan meningkat.”19

Apabila kita berfikiran selestial, kita melihat hal-hal sebagaimana ia benar-benar wujud dan benar-benar akan terjadi.”20 Di dunia yang penuh kekeliruan dan pertikaian ini, kita semua perlukan perspektif itu.

Elder George Albert Smith, sebelum menjadi Presiden Gereja, bercakap tentang menyokong nabi dan mematuhi kata-katanya. Dia berkata: “Kewajipan yang kita buat apabila kita mengangkat tangan … adalah yang paling kudus. … Ia bererti … kita akan berdiri di belakang-Nya; kita akan berdoa untuk dia; … dan kita akan berusaha untuk melaksanakan arahan-Nya seperti yang Tuhan akan arahkan.”21 Dalam kata lain, kita akan bertindak dengan tekun pada kata-kata nabi kita.

Sebagai satu daripada 15 nabi, pelihat, dan pewahyu yang disokong kelmarin oleh Gereja sedunia kita, saya ingin berkongsi satu pengalaman saya menyokong nabi dan memeluk kata-katanya. Bagi saya ia seperti nabi Yakub, yang berkata, “Aku telah mendengar suara Tuhan berfirman kepadaku bahkan dalam firman pun.”22

Imej
Elder dan Sister Rasband di Thailand.

Oktober lepas isteri saya, Melanie, dan saya berada di Bangkok, Thailand, semasa saya bersedia untuk membaktikan bait suci Gereja yang ke-185.23 Bagi saya, tugas itu adalah nyata dan merendahkan hati. Inilah bait suci pertama di Semenanjung Asia tenggara.24 Ia direka dengan indah—enam tingkat, struktur sembilan menara, “tersusun rapi”25 untuk menjadi rumah Tuhan. Berbulan-bulan saya merenungkan pembaktian itu. Apa yang telah menetap di dalam jiwa dan fikiran saya adalah negara dan bait suci itu telah dipelihara dalam lengan para nabi dan rasul. Presiden Thomas S. Monson telah mengumumkan bait suci itu26 dan Presiden Nelson mengumumkan pembaktiannya.27

Imej
Bait Suci Bangkok Thailand.

Saya telah menyediakan doa pembaktian beberapa bulan sebelumnya. Kata-kata kudus itu telah diterjemahkan ke dalam 12 bahasa. Kami bersedia. Menurut andaian kami.

Malam sebelum pembaktian saya dibangunkan dari tidur dengan perasaan yang tidak selesai dan mendesak tentang doa pembaktian itu. Saya cuba ketepikan dorongan itu, berfikir doa itu sudah siap. Tetapi Roh tidak berhenti. Saya merasakan kata-kata tertentu hilang, dan melalui rancangan ilahi kata-kata itu datang kepada saya dalam wahyu, dan saya masukkan kata-kata ini di penghujung doa itu: “Semoga kita berfikiran selestial, membiarkan Roh-Mu menang dalam hidup kami, dan berusaha untuk menjadi pendamai selalu.”28 Tuhan mengingatkan saya untuk mengendahkan kata-kata nabi hidup kita: “Berfikiran selestial,” “biarlah Roh menang,” “berusaha untuk menjadi pendamai.” Kata-kata nabi penting kepada Tuhan dan kepada kita.

Yang ketiga, dan sangat penting, adalah kata-kata kita sendiri. Percayalah, dalam dunia yang penuh emoji29 , kata-kata kita penting.

Kata-kata kita boleh menyokong atau marah, gembira atau jahat, berbelas kasihan atau mengabaikan. Pada masa yang sangat beremosi, kata-kata boleh menyengat dan amat melukai jiwa—dan kekal. Kata-kata kita di Internet, sms, media sosial, atau tweet sangat berkuasa. Jadi berhati-hatilah apa yang anda katakan dan bagaimana anda mengatakannya. Dalam keluarga kita, terutamanya dengan suami, isteri, dan anak-anak, kata-kata kita boleh menyatukan atau memisahkan kita.

Biar saya cadangkan tiga frasa mudah yang kita boleh gunakan untuk mengeluarkan sengat kesusahan dan perbezaan, mengangkat, dan saling meyakinkan.

“Terima kasih.”

“Saya minta maaf.”

Dan “Saya sayang kamu.”

Jangan simpan frasa rendah hati ini hanya untuk peristiwa istimewa atau bencana. Gunakannya dengan kerap dan ikhlas, kerana kata-kata ini menghormati orang lain. Kata-kata semakin hilang nilainya; jangan ikuti pola itu.

Kita boleh ucap “terima kasih” di lif, di tempat letak kereta, di pasar, di pejabat, semasa beratur, atau dengan jiran-jiran atau kawan-kawan kita. Kita boleh ucap “Saya minta maaf” apabila kita membuat kesilapan, terlepas pertemuan, lupa hari jadi, atau melihat seseorang dalam kesakitan. Kita boleh ucap “Saya sayang kamu” dan kata-kata itu membawa pesanan “Saya berfikir tentang kamu,” “Saya mengambil berat tentang kamu,” “Saya di sini untuk kamu,” atau “Kamu segala-galanya bagi saya.”

Biar saya berkongsi satu contoh. Para suami, dengar baik-baik. Para saudari, ini akan membantu anda juga. Sebelum tugas Gereja sepenuh masa, saya melakukan perjalanan secara meluas untuk syarikat saya. Saya kerap kali berjalan ke tempat-tempat yang jauh di dunia. Pada penghujung hari saya, tidak kira di mana saya berada, saya selalu menelefon ke rumah. Apabila isteri saya, Melanie, menjawab telefon dan saya memberi laporan, perbualan kami selalu membawa kepada ungkapan “Saya sayang kamu.” Setiap hari, kata-kata itu menjadi sauh bagi jiwa saya dan kelakuan saya; kata-kata itu adalah perlindungan saya dari rancangan jahat. “Melanie, saya sayang kamu” mengungkapkan kepercayaan yang berharga di antara kami.

Presiden Thomas S. Monson berkata, “Ada kaki untuk dikuatkan, tangan untuk dipegang, minda untuk digalakkan, hati untuk diilhami, dan jiwa untuk diselamatkan.”30 Mengucapkan “terima kasih,” “Saya minta maaf,” “Saya sayang kamu” boleh melakukan demikian.

Saudara dan saudari, kata-kata itu penting.

Saya berjanji jika kita “berjamu dengan firman Kristus”31 yang membawa kepada keselamatan, kata-kata nabi kita yang membimbing dan menggalakkan kita, dan kata-kata kita sendiri yang mengungkapkan siapa kita dan apa yang kita hargai, kuasa syurga akan dicurahkan ke atas kita. “Firman Kristus akan memberitahu kamu segalanya yang kamu harus lakukan.”32 Kita adalah anak Bapa Syurgawi dan Dia adalah Tuhan kita, dan Dia mengharapkan kita untuk berbicara dengan “bahasa para malaikat”33 melalui kuasa Roh Kudus.34

Saya mengasihi Tuhan Yesus Kristus. Dia adalah, dalam kata-kata nabi Yesaya Perjanjian Lama, “Penasihat Bijaksana, Tuhan Perkasa, Bapa Kekal, Raja Damai.”35 Seperti yang Rasul Yohanes jelaskan, “Firman itu” ialah Yesus Kristus Sendiri.36

Saya bersaksi tentang ini sebagai seorang Rasul yang dipanggil untuk pelayanan ilahi Tuhan—untuk mengisytiharkan firman-Nya—dan dipanggil untuk berdiri sebagai saksi istimewa bagi-Nya. Dalam nama Tuhan Yesus Kristus, amin.