Persidangan Umum
Bersukacita dalam Kurnia Kunci-kunci Imamat
persidangan umum April 2024


Bersukacita dalam Kurnia Kunci-kunci Imamat

Kunci-kunci imamat menentukan bagaimana imamat Tuhan boleh digunakan untuk mendatangkan tujuan Tuhan dan memberkati semua yang menerima injil yang dipulihkan.

Saudara dan saudari terkasih, hari ini adalah hari yang bersejarah bagi Presiden Dallin H. Oaks dan saya. 40 tahun yang lalu, pada 7 April 1984, kami disokong ke dalam Kuorum Dua Belas Rasul.1 Kami telah bersukacita dalam setiap persidangan umum semenjak itu, termasuk persidangan ini. Kami telah sekali lagi diberkati dengan pencurahan kudus Roh. Saya berharap anda akan mengkaji pesanan persidangan ini berulang kali sepanjang bulan-bulan yang akan datang.

Apabila saya lahir,2 terdapat enam bait suci Gereja yang beroperasi—di St. George, Logan, Manti, dan Salt Lake City, Utah; dan juga di Cardston, Alberta, Kanada; dan Laie, Hawaii. Dua bait suci awal telah berfungsi seketika di Kirtland, Ohio, dan Nauvoo, Illinois. Semasa jemaah Gereja berpindah ke barat, para Orang Suci terpaksa meninggalkan dua bait suci itu.

Bait Suci Nauvoo musnah dibakar oleh seorang perusuh. Ia dibina semula dan dibaktikan oleh Presiden Gordon B. Hinckley.3 Bait suci Kirtland dicemarkan oleh musuh Gereja. Kemudian Bait Suci Kirtland diperoleh oleh Komuniti Kristus, yang telah memilikinya selama bertahun-tahun.

Bulan lepas, kami mengumumkan bahawa Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir telah membeli Bait Suci Kirtland, serta beberapa tempat bersejarah yang penting di Nauvoo. Kami sangat menghargai perbincangan mesra yang saling bermanfaat dengan para pemimpin dari Komuniti Kristus yang membawa kepada persetujuan ini.

Imej
Bait Suci Kirtland.

Bait Suci Kirtland mempunyai kepentingan yang luar biasa dalam Pemulihan injil Yesus Kristus. Beberapa peristiwa yang berlaku di sana telah dinubuatkan sejak beribu-ribu tahun dan adalah penting bagi Gereja Tuhan yang dipulihkan untuk memenuhi misi zaman akhirnya.

Yang paling penting daripada peristiwa-peristiwa ini berlaku pada hari Ahad Easter, 3 April 1836.4 Pada hari itu, Joseph Smith dan Oliver Cowdery mengalami satu siri kunjungan yang luar biasa. Yang pertama, Tuhan Yesus Kristus muncul. Nabi Joseph Smith mencatat bahawa “mata [Juruselamat] bagaikan nyalaan api; rambut kepala-Nya putih bagaikan salji yang murni; air muka-Nya bersinar melebihi keterangan matahari; dan suara-Nya bagaikan bunyi deru perairan yang luas.”5

Semasa kunjungan ini, Tuhan mengesahkan identiti-Nya. Dia berfirman, “Akulah yang pertama dan yang terakhir; Akulah Dia yang hidup, Akulah Dia yang dibunuh; Akulah pembelamu dengan Bapa.”6

Yesus Kristus kemudian mengisytiharkan bahawa Dia telah menerima bait suci sebagai rumah Dia dan membuat janji yang menakjubkan ini: “Aku akan menyatakan diri-Ku kepada umat-Ku dengan belas kasihan di dalam rumah ini.”7

Janji penting ini berkaitan dengan setiap bait suci yang dibaktikan hari ini. Saya menjemput anda untuk merenungkan maksud janji Tuhan bagi anda secara peribadi.

Selepas kunjungan Juruselamat, Musa muncul. Musa menganugerahkan kepada Joseph Smith kunci-kunci pengumpulan Israel dan kepulangan sepuluh suku.8

Apabila penglihatan ini ditutup, “Elias menampakkan diri, dan menganugerahkan zaman keagamaan Injil Abraham” kepada Joseph.9

Kemudian nabi Elia muncul. Kemunculannya memenuhi janji Maleakhi bahawa sebelum Kedatangan Kedua, Tuhan akan menghantar Elia untuk “menyebabkan bapa dan anak bersatu hati.”10 Elia menganugerahkan kunci-kunci kuasa pemeteraian kepada Joseph Smith.11

Kepentingan kunci-kunci ini dikembalikan ke bumi oleh tiga utusan syurgawi di bawah arahan Tuhan tidak melebih-lebih. Kunci-kunci imamat membentuk wewenang dan kuasa presidensi. Kunci-kunci imamat menentukan bagaimana imamat Tuhan boleh digunakan untuk mendatangkan tujuan Tuhan dan memberkati semua yang menerima injil Yesus Kristus yang dipulihkan.

Adalah penting untuk perhatikan bahawa sebelum penubuhan Gereja, para utusan syurgawi telah menganugerahkan Imamat Harun dan Melkisedek kepada Nabi Joseph dan telah memberikannya kunci-kunci untuk kedua-dua imamat.12 Kunci-kunci ini memberi Joseph Smith wewenang untuk mengorganisasikan Gereja pada tahun 1830.13

Kemudian di Bait Suci Kirtland pada tahun 1836, penganugerahan tiga kunci imamat tambahan ini—iaitu, kunci-kunci pengumpulan Israel, kunci-kunci injil Abraham, dan kunci-kunci kuasa pemeteraian—adalah penting. Kunci-kunci ini membenarkan Joseph Smith—dan semua Presiden Gereja Tuhan seterusnya—untuk mengumpulkan Israel di kedua-dua belah tirai, untuk memberkati semua anak-anak perjanjian dengan berkat Abraham, untuk mengesahkan meterai pada tatacara imamat dan perjanjian, dan untuk memeteraikan keluarga secara abadi. Kuasa kunci-kunci imamat ini tidak terhingga dan menakjubkan.

Pertimbangkan bagaimana kehidupan anda akan berbeza jika kunci-kunci imamat tidak dipulihkan ke bumi.14 Tanpa kunci-kunci imamat, anda tidak boleh dianugerahi dengan kuasa Tuhan.15 Tanpa kunci-kunci imamat, Gereja hanya boleh melayani sebagai organisasi pengajaran dan kemanusiaan yang penting tetapi tidak lebih. Tanpa kunci-kunci imamat, kita tidak akan mempunyai akses kepada tatacara dan perjanjian penting yang mengikat kita kepada orang terkasih secara abadi dan untuk kita hidup bersama Tuhan.

Kunci-kunci imamat memisahkan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir daripada mana-mana organisasi lain di bumi. Banyak organisasi lain boleh dan benar-benar membuat kehidupan anda lebih baik dalam kefanaan. Tetapi tidak ada organisasi lain yang boleh dan akan mempengaruhi kehidupan anda selepas kematian.16

Kunci-kunci imamat memberi kita wewenang untuk melanjutkan berkat-berkat Abraham kepada setiap lelaki dan wanita yang mentaati perjanjian. Pekerjaan bait suci menjadikan berkat-berkat indah ini tersedia untuk semua anak Tuhan, tidak kira di mana atau bila mereka pernah hidup, atau kini hidup. Marilah kita bersukacita kerana kunci-kunci imamat sekali lagi berada di bumi!

Saya menjemput anda untuk mempertimbangkan dengan teliti tiga kenyataan berikut:

  1. Pengumpulan Israel adalah bukti bahawa Tuhan mengasihi semua anak-Nya di mana-mana pun.

  2. Injil Abraham adalah bukti lanjut bahawa Tuhan mengasihi semua anak-Nya di mana-mana pun. Dia menjemput semua orang untuk datang kepada-Nya—”hitam dan putih, terikat dan bebas, lelaki dan perempuan; … semua adalah sama bagi Tuhan.”17

  3. Kuasa pemeteraian adalah bukti ilahi tentang betapa Tuhan mengasihi semua anak-Nya dan ingin setiap mereka memilih untuk pulang kepada-Nya.

Kunci-kunci imamat yang dipulihkan melalui Nabi Joseph Smith membolehkan setiap lelaki dan wanita yang mentaati perjanjian untuk menikmati hak istimewa rohani yang peribadi dan luar biasa. Berbalik lagi, ada banyak kita yang boleh pelajari dari sejarah kudus Bait Suci Kirtland.

Doa pembaktian Joseph Smith untuk Bait Suci Kirtland adalah tutorial tentang bagaimana bait suci memberi anda dan saya kuasa secara rohani untuk menghadapi cabaran hidup pada zaman akhir ini. Saya menggalakkan anda untuk mengkaji doa yang dicatatkan dalam Ajaran dan Perjanjian bahagian 109. Doa pembaktian itu, yang diterima melalui wahyu, mengajar bahawa bait suci adalah “rumah doa, rumah puasa, rumah iman, rumah pembelajaran, rumah kemuliaan, rumah ketertiban, rumah Tuhan.”18

Senarai sifat-sifat ini lebih daripada sekadar gambaran bait suci. Ia adalah janji tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang melayani dan menyembah di rumah Tuhan. Mereka boleh berharap untuk menerima jawapan kepada doa, wahyu peribadi, iman yang lebih besar, kekuatan, penghiburan, peningkatan pengetahuan, dan peningkatan kuasa.

Masa yang diluangkan di dalam bait suci akan membantu anda untuk berfikiran selestial dan memahami siapa anda sebenarnya, siapa yang anda boleh menjadi, dan jenis kehidupan yang anda boleh miliki selamanya. Penyembahan bait suci yang kerap akan meningkatkan cara anda melihat diri anda dan tempat anda dalam rancangan hebat Tuhan. Saya menjanjikan itu.

Kita juga dijanjikan bahawa dalam bait suci kita boleh “menerima kegenapan Roh Kudus.”19 Bayangkan apakah maksud janji itu dari segi memiliki syurga terbuka untuk setiap pencari kebenaran abadi yang bersungguh-sungguh.

Kita diarahkan agar semua yang menyembah di dalam bait suci akan ada kuasa Tuhan dan para malaikat “menjaga mereka.”20 Betapa ia meningkatkan keyakinan anda untuk tahu bahawa, sebagai seorang wanita atau lelaki yang dianugerahi dengan kuasa Tuhan, anda tidak perlu menghadapi kehidupan bersendirian? Betapa ia memberi anda keberanian untuk tahu bahawa malaikat benar-benar akan membantu anda?

Akhirnya, kita dijanjikan bahawa “tidak ada komplot kejahatan” akan mengatasi mereka yang menyembah di rumah Tuhan.21

Memahami hak istimewa rohani yang diperoleh dalam bait suci adalah penting untuk setiap kita hari ini.

Saudara dan saudari terkasih, inilah janji saya. Tiada apa yang akan lebih membantu anda untuk berpegang kuat kepada batang besi22 daripada menyembah di bait suci dengan kerap mengikut keadaan anda. Tiada apa yang akan lebih melindungi anda apabila anda menghadapi kabut kegelapan dunia. Tiada apa pun akan lebih memperkukuhkan kesaksian anda tentang Tuhan Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya atau membantu anda lebih memahami rancangan hebat Tuhan. Tiada apa yang akan lebih menenangkan roh anda pada masa kesakitan. Tiada apa yang akan lebih membuka syurga. Tiada!

Bait suci adalah pintu gerbang kepada berkat-berkat terbesar yang Tuhan miliki untuk setiap kita, kerana bait suci adalah satu-satunya tempat di bumi di mana kita boleh menerima semua berkat yang dijanjikan kepada Abraham.23 Itulah sebab mengapa kami melakukan semua dalam kuasa kami, di bawah arahan Tuhan, untuk menjadikan berkat-berkat bait suci lebih mudah diakses oleh para ahli Gereja. Oleh itu, kami dengan sukacita mengumumkan bahawa kami merancang untuk membina bait suci baharu di setiap 15 lokasi ini:

  • Uturoa, French Polynesia

  • Chihuahua, Mexico

  • Florianópolis, Brazil

  • Rosario, Argentina

  • Edinburgh, Scotland

  • Kawasan selatan Brisbane, Australia

  • Victoria, British Columbia

  • Yuma, Arizona

  • Kawasan selatan Houston, Texas

  • Des Moines, Iowa

  • Cincinnati, Ohio

  • Honolulu, Hawaii

  • West Jordan, Utah

  • Lehi, Utah

  • Maracaibo, Venezuela

Saudara dan saudari terkasih, saya bersaksi bahawa inilah Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Dialah ketua Gereja. Kita ialah pengikut-pengikut-Nya.

Marilah kita bersukacita dalam pemulihan kunci-kunci imamat yang membolehkan anda dan saya untuk menikmati setiap berkat rohani yang kita sedia dan layak untuk terima. Saya bersaksi dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.