Persidangan Umum
Setia kepada Tuhan dan Pekerjaan-Nya
Persidangan umum Oktober 2022


Setia kepada Tuhan dan Pekerjaan-Nya

Kita semua perlu mencari kesaksian sendiri tentang Yesus Kristus, mengekang nafsu kita, bertaubat dari dosa-dosa kita dan setia kepada Tuhan dan pekerjaan-Nya.

Oktober lepas, saya telah ditugaskan, bersama Presiden M. Russell Ballard dan Elder Jeffrey R. Holland, untuk melawat United Kingdom, di mana kami bertiga telah melayan sebagai misionari muda. Kami mempunyai hak istimewa untuk mengajar dan bersaksi, dan juga mengenangkan sejarah awal Gereja di Kepulauan British di mana datuk moyang saya Heber C. Kimball dan rakan-rakannya merupakan para misionari pertama.1

Presiden Russell M. Nelson, bergurau dengan kami tentang tugas ini, menyatakan bahawa ia amat luar biasa untuk menugaskan tiga Rasul untuk melawat kawasan di mana mereka telah melayan sebagai misionari ketika muda. Dia mengakui bahawa semua ingin ditugaskan untuk melawat misi asal mereka. Dengan senyuman besar, dia menjelaskan jika ada sekumpulan tiga Rasul lain yang telah melayan dalam misi yang sama lebih dari 60 tahun yang lalu, maka mereka juga mungkin menerima tugas yang serupa.

Imej
Heber<nb/>C. Kimball

Sebagai persediaan untuk tugas itu, saya membaca semula Life of Heber C. Kimball, yang ditulis oleh cucu lelakinya, Orson F. Whitney. Cucunya kemudiannya dipanggil menjadi rasul. Jilid ini diberikan kepada saya oleh ibu ketika saya berumur hampir tujuh tahun. Kami sedang bersedia untuk menghadiri pembaktian monumen This Is the Place (Inilah Tempatnya) pada 24 Julai 1947 oleh Presiden George Albert Smith.2 Dia mahu saya ketahui lebih lanjut tentang nenek moyang saya, Heber C. Kimball.

Buku ini mengandungi satu pernyataan mendalam yang dikaitkan dengan Presiden Kimball yang penting bagi zaman kita. Sebelum berkongsi kenyataan itu, saya mahu berikan sedikit latar belakang.

Ketika Nabi Joseph Smith dipenjarakan di Penjara Liberty, para Rasul Brigham Young dan Heber C. Kimball mempunyai tanggungjawab untuk menyelia pemindahan para Orang Suci dari Missouri dalam keadaan huru-hara. Pemindahan itu adalah sebahagian besarnya kerana perintah penghapusan yang dikeluarkan oleh Gabenor Lilburn W. Boggs.3

Hampir 30 tahun kemudian, Heber C. Kimball, kemudian dalam Presidensi Utama, memikirkan sejarah ini dengan generasi baru, mengajar, “Saya mahu berkata kepada semua, bahawa ramai di antara anda akan melihat masa ketika anda akan mengalami segala masalah, percubaan dan penganiayaan yang anda boleh tahani, dan banyak peluang untuk menunjukkan bahawa anda setia kepada Tuhan dan kerja-Nya.”4

Heber meneruskan: “Untuk menghadapi kesusahan yang akan datang, adalah diperlukan bagi anda untuk mempunyai pengetahuan tentang kebenaran kerja ini untuk diri anda sendiri. Kesusahan-kesusahan itu akan mencabar lelaki atau perempuan yang tidak memiliki pengetahuan atau kesaksian peribadi. Jika anda belum memperoleh kesaksian, hiduplah dengan baik, berdoalah kepada Tuhan dan jangan berhenti [sehingga] anda [memperolehnya]. Jika tidak anda tidak akan bertahan. … Masanya akan tiba apabila tiada lelaki atau wanita yang dapat bertahan dengan cahaya yang dipinjam. Setiap orang harus dibimbing oleh cahaya di dalam dirinya. … Jika kamu tidak memilikinya kamu tidak akan bertahan; oleh kerana itu carilah kesaksian Yesus dan pautkanlah kepadanya, agar apabila masa yang mencabar datang kamu tidak akan tersandung dan jatuh.”5

Kita masing-masing memerlukan kesaksian peribadi tentang kerja Tuhan6 dan peranan penting Yesus Kristus. Bahagian ke-76 di Ajaran dan Perjanjian merujuk kepada tiga tingkat kemuliaan dan membandingkan kemuliaan selestial dengan matahari. Ia kemudian membandingkan kerajaan terestrial dengan bulan.7

Ia amat menarik bahawa matahari mempunyai cahayanya sendiri, tetapi bulan memantulkan cahaya atau “meminjam cahaya.” Berkenaan kerajaan terestrial, ayat 79 menyatakan, “Inilah mereka yang tidak berani dalam kesaksian tentang Yesus.” Kita tidak dapat memperoleh kerajaan selestial dan hidup bersama Tuhan Bapa melalui cahaya yang dipinjam; kita memerlukan kesaksian sendiri tentang Yesus Kristus dan injil-Nya.

Kita hidup dalam dunia di mana kederhakaan berlimpah ruah8 dan hati berpaling daripada Tuhan disebabkan ajaran-ajaran manusia.9 Salah satu contoh yang paling menarik dalam tulisan suci berkenaan dengan kebimbangan Heber C. Kimball terhadap pencarian kesaksian mengenai pekerjaan Tuhan serta Yesus Kristus ialah nasihat Alma kepada tiga anak lelakinya—Helaman, Siblon dan Korianton.10 Dua anak lelakinya telah pun setia kepada Tuhan dan kerja-Nya. Tetapi seorang anak lelaki telah membuat beberapa pilihan yang buruk. Bagi saya kepentingan terbesar dari nasihat Alma adalah dia menyampaikannya sebagai seorang bapa demi manfaat anak-anaknya sendiri.

Kebimbangan Alma pertama, seperti Heber C. Kimball ialah setiap orang mempunyai kesaksian tentang Yesus Kristus dan setia kepada Tuhan dan pekerjaan-Nya.

Dalam ajaran Alma yang menakjubkan kepada anaknya Helaman, dia membuat sebuah janji yang mendalam bahawa mereka yang “menaruh kepercayaannya kepada Tuhan akan didukung dalam percubaan mereka, dan kesusahan mereka, dan kesengsaraan mereka dan akan diangkat pada hari terakhir.”11

Walaupun Alma telah menerima satu pernyataan di mana dia melihat seorang malaikat, ini jarang berlaku. Tanggapan yang dibuat oleh Roh Kudus adalah lebih biasa. Tanggapan-tanggapan tersebut adalah sama penting seperti pernyataan dari malaikat. Presiden Joseph Fielding Smith mengajar: “Tanggapan yang mengena jiwa dari Roh Kudus adalah lebih penting daripada sebuah penglihatan. Apabila Roh Tuhan berkomunikasi kepada roh manusia, kesannya tertera pada jiwa dan lebih sukar untuk dilupakan.”12

Ini membawa kita kepada nasihat Alma kepada anak lelaki keduanya, Siblon. Siblon amat soleh seperti abangnya Helaman. Nasihat yang saya ingin tekankan adalah Alma 38:12, yang sebahagiannya membaca, “Pastikanlah bahawa kamu mengekang segala nafsumu, agar kamu boleh dipenuhi dengan kasih.”

Mengekang adalah satu perkataan yang menarik. Apabila kita menunggang seekor kuda, kita menggunakan kekang untuk mengendalinya. Sinonim lain bagi perkataan ini ialah mengarah, mengawal atau menahan. Perjanjian Lama menyatakan bahawa kita bersorak gembira apabila kita ketahui akan mempunyai tubuh jasmani.13 Tubuh badan tidak jahat—ia indah dan penting—tetapi beberapa nafsu, jika tidak digunakan dengan betul dan dikekang dengan sesuai, boleh memisahkan kita dari Tuhan dan pekerjaan-Nya dan memberi kesan buruk kepada kesaksian kita.

Marilah kita bercakap tentang dua jenis nafsu tertentu—pertama, kemarahan dan kedua, hawa nafsu.14 Ia adalah menarik bahawa kedua-duanya jika tidak dikekang atau dikawal boleh menyebabkan kelukaan hati yang besar, mengurangkan pengaruh Roh dan memisahkan kita daripada Tuhan dan kerja-Nya. Musuh mengambil setiap peluang untuk mengisi kehidupan kita dengan gambar-gambar keganasan dan yang tidak bermoral.

Dalam beberapa keluarga, ia tidak menghairankan untuk seorang suami atau isteri yang marah memukul pasangan atau seorang anak. Pada bulan Julai, saya menyertai forum Parlimen Seluruh Parti United Kingdom di London.15 Keganasan terhadap wanita dan remaja diserlahkan sebagai masalah yang penting di seluruh dunia. Sebagai tambahan kepada keganasan, orang lain juga terlibat dalam penganiayaan lisan. Perisytiharan keluarga menyatakan bahawa mereka yang “mendera isteri atau suami atau anak-anak, akan pada suatu hari dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan.”16

Presiden Nelson telah menegaskan pada pagi ini.17 Sila buat keputusan bahawa tidak kira ibu bapa anda telah mendera anda atau tidak, anda tidak akan mendera pasangan atau anak-anak anda dari segi fizikal, lisan atau emosi.

Pada zaman kita salah satu cabaran yang paling penting adalah pertikaian dan penganiayaan lisan yang berkaitan dengan isu-isu masyarakat. Dalam kebanyakan kes, kemarahan dan bahasa yang kesat telah menggantikan pertimbangan, perbincangan dan ketertiban. Ramai telah meninggalkan peringatan Rasul kanan Juruselamat, Petrus, untuk mencarikan sifat seperti Kristus seperti kesederhanaan, kesabaran, ketuhanan, kebaikan hati persaudaraan dan kasih ihsan.18 Mereka juga telah mengabaikan sifat seperti Kristus seperti kerendahan hati.

Selain daripada mengawal kemarahan dan mengekang nafsu lain, kita perlu menjalankan kehidupan yang bermoral dengan mengawal fikiran, pertuturan dan perlakuan kita. Kita perlu mengelakkan pornografi, menilai kesesuaian penstriman media di rumah kita dan mengelakkan setiap bentuk kelakuan yang berdosa.

Ini membawa kita kepada nasihat Alma kepada anaknya Korianton. Tidak seperti abang-abangnya, Helaman dan Siblon, Korianton terlibat dalam pelanggaran moral.

Kerana Korianton telah terlibat dalam ketidakmoralan, adalah perlu bagi Alma untuk mengajarnya tentang pertaubatan. Dia harus mengajar dia keberatan dosa dan kemudian cara untuk bertaubat.19

Jadi, nasihat Alma adalah untuk mengekang nafsu, tetapi bagi mereka yang telah buat melanggar adalah untuk bertaubat. Presiden Nelson memberi ahli-ahli nasihat yang mendalam tentang pertaubatan di persidangan umum April 2019. Dia menjelaskan bahawa pertaubatan harian adalah penting dalam kehidupan kita. “Pertaubatan bukanlah sebuah peristiwa tetapi sebuah proses. Ia merupakan kunci kepada kegembiraan dan kedamaian minda,” dia ajarkan. “Pertaubatan harian merupakan laluan kepada kesucian yang membawa kuasa.”20 Jika Korianton telah melakukan apa yang dinasihati oleh Presiden Nelson, dia akan bertaubat serta merta apabila dia mula berfikiran yang tidak suci. Pelanggaran besar tidak akan berlaku.

Nasihat terakhir yang diberikan oleh Alma ialah ajaran-ajaran yang paling penting dalam semua tulisan suci. Ia berkaitan dengan Korban Tebusan yang dikerjakan oleh Yesus Kristus.

Alma bersaksi bahawa Kristus akan mengambil dosa.21 Tanpa Korban Tebusan Juruselamat, asas abadi berkenaan keadilan wajib mempunyai hukuman.22 Kerana Korban Tebusan Juruselamat, belas kasihan boleh menang bagi mereka yang telah bertaubat dan membenarkan mereka kembali ke hadirat Tuhan. Adalah baik bagi kita untuk merenungkan ajaran yang menakjubkan ini.

Tiada seorang pun dapat kembali kepada Tuhan melalui perbuatan baiknya sendiri; kita semua memerlukan manfaat pengorbanan Juruselamat. Semua telah berdosa dan hanya melalui Korban Tebusan Yesus Kristus, kita boleh memperoleh belas kasihan dan hidup bersama Tuhan.23

Alma juga telah memberi nasihat yang menakjubkan kepada Korianton untuk kita semua yang mengalaminya atau akan melalui proses pertaubatan tidak kira sama ada dosa-dosa adalah kecil atau besar seperti yang dilakukan oleh Korianton. Ayat 29 dari Alma 42 tertulis, “Dan sekarang, anakku, aku berhasrat agar kamu hendaknya tidak membiarkan hal-hal ini menyusahkanmu lagi, dan hanya biarlah dosa-dosamu menyusahkanmu, dengan kesusahan itu yang akan merendahkanmu sampai pada pertaubatan.”

Korianton mengendahkan nasihat Alma dan kedua-duanya bertaubat dan melayani dengan hormat. Kerana Korban Tebusan Juruselamat, penyembuhan tersedia bagi semua.

Pada zaman Alma dan zaman Heber, dan pastinya pada zaman kita, kita semua perlu mencari kesaksian kita sendiri tentang Yesus Kristus, mengekang nafsu kita, bertaubat dari dosa-dosa kita, dan mencari kedamaian melalui Korban Tebusan Yesus Kristus dan setia kepada Tuhan dan kerja-Nya.

Dalam ucapan Presiden Russell M. Nelson baru-baru ini, dia berkata: “Saya mohon kepada anda untuk mengambil tanggungjawab atas kesaksian anda tentang Yesus Kristus. Berusahalah untuk ia. Bertanggungjawablah untuk ia. Jagalah ia. Peliharalah ia supaya ia boleh berkembang. Kemudian cari mukjizat-mukjizat yang akan berlaku dalam hidup anda.”24

Saya bersyukur kita sekarang akan mendengar daripada Presiden Nelson. Saya bersaksi bahawa Presiden Russell M. Nelson adalah nabi Tuhan untuk zaman kita. Saya mengasihi dan menghargai ilham dan bimbingan yang kita terima melalui dia.

Sebagai Rasul Tuhan Yesus Kristus, saya memberi kesaksian yang pasti tentang ketuhanan Juruselamat dan realiti Korban Tebusan-Nya dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat Ronald K. Esplin, “A Great Work Done in That Land,” Ensign, Julai 1987, 20: “Pada 13 Jun, Elder Kimball, Orson Hyde, Joseph Fielding, dan kawan Heber, Willard Richards, meninggalkan Kirtland untuk England. Di New York, pada 22 Jun, orang Kanada Isaac Russell, John Goodson, dan John Snyder menyertai mereka. Tujuh misionari itu kemudian menempah tiket untuk ke Liverpool di Garrick.” (Lihat surat-surat Heber C. Kimball , 1837–1866; jurnal dan surat Willard Richards, 1821–1854, Church History Library, Salt Lake City.)

  2. “This is the Place Monument” (Monumen Inilah Tempatnya) yang terletak di sebelah timur Salt Lake City, Utah, di mulut Emigration Canyon merayakan ulang tahun ke-100 apabila tibanya para Orang Suci ke Lembah Salt Lake pada 24 Julai, 1847. Monumen ini mempunyai patung Brigham Young, Heber C. Kimball, dan Wilford Woodruff.

  3. Antara 8,000 dan 10,000 orang Orang Suci Zaman Akhir melarikan diri dari Missouri pada awal 1839 untuk mengelak perbuatan ganas orang vigilante dan perusuh. Di bawah arahan Brigham Young dan Heber C. Kimball, sebuah jawatankuasa dibentuk untuk mengumpul bekalan, menilai keperluan, dan menentukan perjalanan keluaran musim sejuk yang mengerikan sejauh 200 batu (320km) ke Illinois. Para penghuni kota Quincy yang berbelas kasihan menyediakan perlindungan sementara bagi para Orang Suci yang menderita dengan memberi tempat perlindungan dan makanan. Lihat Saints: The Story of the Church of Jesus Christ in the Latter Days, vol. 1, The Standard of Truth, 1815–1846 [2018], 375–77; William G. Hartley, “The Saints’ Forced Exodus from Missouri,” dalam Richard Neitzel Holzapfel and Kent P. Jackson, eds., Joseph Smith, The Prophet and Seer (2010), 347–89.

  4. Dalam Orson F. Whitney, Life of Heber C. Kimball: An Apostle, the Father and Founder of the British Mission (1945), 449; penekanan ditambah.

  5. Dalam Orson F. Whitney, Life of Heber C. Kimball,450.

  6. Lihat Moses 1:39; lihat juga “Menyokong Individu dan Keluarga dalam Pekerjaan Penyelamatan dan Permuliaan,” bahagian 1.2 di Buku Panduan Umum: Melayani dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, ChurchofJesusChrist.org. Kita datang kepada Kristus dan membantu dalam kerja Tuhan dengan menjalani injil Yesus Kristus, menjaga mereka yang memerlukan, menjemput semua untuk menerima injil, dan menyatukan keluarga untuk keabadian. Lihat juga Ajaran dan Perjanjian 110, yang menetapkan kunci-kunci yang diberikan untuk pekerjaan keselamatan.

  7. Lihat juga 1 Korintus 15:40–41.

  8. Lihat Ajaran dan Perjanjian 45:27.

  9. Lihat Ajaran dan Perjanjian 45:29.

  10. Alma ialah anak lelaki nabi Alma. Dia adalah hakim utama negara dan imam tinggi dan nabi. Dia mengalami penukaran hati yang menakjubkan sebagai seorang lelaki muda.

  11. Alma 36:3.

  12. Joseph Fielding Smith, “The First Presidency and the Council of the Twelve,” Improvement Era, Nov. 1966, 979.

  13. Lihat Ayub 38:7.

  14. Lihat Alma 39:9. Alma mengarahkan Korianton, “Jangan lagi mengikut [nafsu] matamu.”

  15. Semua Kumpulan Parlimen, Sesi Parlimen, Selasa, 5 Julai 2022, “Preventing Violence and Promoting Freedom of Belief.”

  16. Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia,” ChurchofJesusChrist.org; lihat juga Patrick Kearon, “Dia Bangkit dengan Penyembuhan dalam Sayap-Nya: Kita Boleh Menjadi Lebih Daripada Penakluk,” Liahona, Mei 2022, 37–39.

  17. Lihat Russell M. Nelson, “Apa Yang Benar,” Liahona, Nov. 2022, 29.

  18. Lihat 2 Petrus 1:5–10.

  19. Lihat Alma 39:9.

  20. Russell M. Nelson, “Kita Dapat Melakukan Lebih Baik dan Menjadi Lebih Baik,” Liahona,, Mei 2019, 67, 68.

  21. Lihat Alma 39:15.

  22. Lihat Alma 42:16.

  23. Lihat 2 Nefi 25:23.

  24. Russell M. Nelson, Facebook, 1 Ogos 2022, facebook.com/russell.m.nelson; Twitter, 1 Ogos 2022, twitter.com/nelsonrussellm; Instagram, 1 Ogos 2022, instagram.com/russellmnelson; lihat juga “Choices for Eternity” (worldwide devotional for young adults, 15 Mei 2022), broadcasts.ChurchofJesusChrist.org.