Persidangan Umum
Dalam Perkongsian dengan Tuhan
Persidangan umum Oktober 2022


Dalam Perkongsian dengan Tuhan

Injil Yesus Kristus yang dipulihkan mengisytiharkan asas perkongsian penuh di antara wanita dengan lelaki, baik dalam kehidupan fana mahupun dalam keabadian.

Dalam beberapa bulan pertama perkahwinan kami, isteri saya menyatakan keinginannya untuk belajar muzik. Dengan niat untuk menggembirakan dia, saya akan buat kejutan besar dan tulus ikhlas bagi kekasih saya. Saya pergi ke kedai alat muzik dan beli sebuah piano sebagai hadiah. Saya meletakkan resit pembelian ke dalam kotak dengan tali yang cantik dan beri kepadanya, mengharapkan reaksi besar terhadap suaminya yang penyayang dan berprihatin.

Apabila isteri buka kotak dan lihat resit itu, dia dengan manis lihat saya dan berkata, “Oh, sayang, kamu sungguh hebat! Tetapi saya mahu tanya kamu satu soalan: Adakah ini sebuah hadiah atau hutang?” Selepas berunding bersama tentang hadiah itu, kami memutuskan untuk batalkan pembeliannya. Kami hidup dalam belanjawan pelajar, begitu juga dengan banyak pemuda yang baru berkahwin. Pengalaman ini bantu saya mengenali kepentingan asas perkongsian penuh dalam hubungan perkahwinan dan bagaimana ia dapat bantu isteri dan saya menjadi satu hati dan satu fikiran.1

Injil Yesus Kristus yang dipulihkan mengisytiharkan asas perkongsian penuh di antara wanita dengan lelaki, baik dalam kehidupan fana mahupun dalam keabadian. Walaupun setiap orang ada sifat tertentu dan ditugaskan tanggungjawab ilahi, wanita dan lelaki memenuhi peranan relevan dan sama penting dalam rancangan kegembiraan Tuhan bagi anak-anak-Nya.2 Ini terbukti dari permulaan ketika Tuhan mengisytiharkan “tidaklah baik bahawa lelaki itu harus bersendirian; kerana itu, [Dia] akan menjadikan seorang penolong yang memenuhi baginya.”3

Dalam rancangan Tuhan, “seorang penolong” ialah teman yang akan berjalan dengan Adam dalam perkongsian penuh.4 Sebenarnya, Hawa ialah berkat syurgawi dalam kehidupan Adam. Melalui sifat ilahi dan rohaninya, Hawa mengilhami Adam untuk bekerjasama dengannya untuk mencapai rancangan kegembiraan Tuhan bagi semua manusia.5

Marilah kita pertimbangkan dua asas yang memperkukuhkan perkongsian di antara lelaki dengan wanita. Asas pertama adalah kita semua adalah sama bagi Tuhan.6 Menurut ajaran injil, perbezaan di antara wanita dengan lelaki tidak menolak janji-janji abadi yang Tuhan ada untuk para putera dan puteri-Nya. Seseorang tidak ada kemungkinan lebih besar untuk kemuliaan selestial daripada yang lain dalam keabadian.7 Juruselamat Sendiri jemput kita, anak-anak Tuhan, “menjemput mereka semua datang kepada Dia dan mengambil bahagian dalam kebaikan-Nya; dan Dia tidak menolak sesiapa pun yang datang kepada dia.”8 Oleh itu, menurut konteks ini, kita semua dianggap setara di hadapan-Nya.

Apabila pasangan memahami dan mengamalkan asas ini, mereka tidak letakkan diri mereka sebagai presiden atau naib presiden keluarga mereka. Tiada orang tinggi atau rendah dalam hubungan perkahwinan, dan kedua-duanya tidak berjalan di hadapan atau di belakang yang lain. Mereka berjalan bersebelahan, setaraf, anak-anak ilahi Tuhan. Mereka menjadi satu dalam pemikiran, hasrat, dan tujuan bersama Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus,9 pimpin dan bimbing unit keluarga bersama.

Dalam perkongsian yang sama, “kasih bukanlah milik, tetapi penyertaan, … sebahagian penciptaan yang merupakan tanggungjawab manusia.”10 “Dengan penyertaan benar, suami dan isteri bersatu untuk membuatkan ‘rumah abadi’ ‘dengan rela hati’ sehingga kehidupan rohani mengalir kepada mereka dan keturunan mereka ‘selama-lamanya.’”11

Asas kedua yang berkaitan ialah Peraturan Emas, diajar oleh Juruselamat di Khutbah di atas Bukit: “Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka.”12 Asas ini menunjukkan satu sikap persahabatan, timbal balik, kesatuan dan kebergantungan dan berdasarkan perintah kedua yang besar: “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.”13 Ia bergabung dengan sifat-sifat Kristian lain seperti kepanjangsabaran, kelembutan hati dan kebaikan hati.

Untuk fahami dengan lebih baik penggunaan asas ini, kita boleh lihat ikatan kudus dan abadi yang ditubuhkan oleh Tuhan di antara ibu bapa pertama kita, Adam dan Hawa. Mereka menjadi satu,14 mewujudkan perpaduan yang membolehkan mereka berjalan bersama dengan hormat, kesyukuran dan kasih, tidak penting diri dan menjaga kesejahteraan satu sama lain dalam perjalanan keabadian.

Sifat-sifat yang sama itu adalah apa yang kita inginkan dalam perkahwinan hari ini. Melalui pemeteraian bait suci, seorang wanita dan seorang lelaki memasuki tarekat kudus perkahwinan dalam perjanjian yang baru dan kekal. Melalui tarekat imamat ini, mereka diberikan berkat abadi dan kuasa ilahi untuk mengarahkan urusan keluarga apabila mereka hidup menurut perjanjian yang telah dibuat. Sejak itu, mereka maju bersama dan dalam perkongsian penuh dengan Tuhan, terutamanya berkenaan tanggungjawab mereka yang ditetapkan untuk bela dan pimpin dalam keluarga mereka.15 Pembelaan dan kepimpinan saling berkaitan dan berulang-ulang, yang bermaksud bahawa ibu dan bapa “diwajibkan untuk membantu satu sama lain sebagai pasangan yang setaraf”16 dan berkongsi kepimpinan yang seimbang di dalam rumah mereka.

“Pembelaan bermaksud memelihara, mengajar, dan menyokong” ahli keluarga, dengan membantu mereka “belajar kebenaran injil dan mengembangkan iman dalam Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus” dalam ruang penuh kasih sayang. Untuk memimpin bermaksud “membantu memimpin ahli keluarga kembali hidup dalam hadirat Tuhan. Ini dilakukan dengan melayani dan mengajar secara lembut, dengan kelembutan hati, dan kasih murni.” Ia juga termasuk “memimpin dalam keluarga termasuk membimbing ahli keluarga dalam doa harian, pengkajian injil, dan aspek penyembahan yang lain. Ibu bapa bekerja dalam kesatuan,” mengikuti teladan Yesus Kristus, “untuk memenuhi [dua] tanggungjawab [besar] ini.”17

Ia penting untuk memerhatikan bahawa kerajaan dalam keluarga mengikuti pola bapa bangsa, berbeza dari aspek kepimpinan imamat dalam Gereja.18 Pola kebapabangsaan melibatkan isteri dan suami bertanggungjawab terus kepada Tuhan untuk menggenapi tanggungjawab kudus mereka dalam keluarga. Ia perlukan satu perkongsian penuh—pematuhan dengan rela hati untuk setiap asas kesolehan dan pertangggungjawaban—dan menyediakan peluang untuk perkembangan dalam persekitaran kasih sayang dan kebergantungan bersama.19 Tanggungjawab istimewa ini tidak bermaksud hierarki dan sama sekali mengecualikan sebarang jenis penganiayaan atau salahguna weweneng.

Pengalaman Adam dan Hawa, selepas mereka meninggalkan Taman Eden, dengan indah menggambarkan konsep kebergantungan di antara seorang ibu dengan bapa dalam pemeliharaan dan kepimpinan keluarga mereka. Seperti yang diajarkan dalam kitab Musa, mereka bekerjasama berpeluh-peluh mengolah bumi untuk menyediakan bagi kesejahteraan jasmani keluarga mereka;20 mereka membawa anak-anak ke dunia;21 mereka memanggil nama Tuhan bersama dan mendengar suara-Nya “dari jalan yang menuju ke Taman Eden”;22 mereka menerima perintah-perintah yang Tuhan berikan kepada mereka dan berusaha untuk mematuhinya.23 Mereka kemudian “memberitahukan segala hal kepada para anak-anak mereka”24 dan “tidak berhenti-henti memohon kepada Tuhan” bersama-sama menurut keperluan mereka.25

Saudara dan saudari yang dikasihi, pembelaan dan kepimpinan adalah peluang, bukan batasan yang eksklusif. Seorang mungkin bertanggungjawab untuk sesuatu tetapi mungkin bukan satu-satunya orang yang lakukannya. Apabila ibu bapa memahami dua tanggungjawab utama ini, mereka akan berusaha bersama untuk lindungi dan jaga kesejahteraan jasmani dan emosi anak-anak mereka. Mereka juga bantu anak-anak mereka hadapi bahaya rohani zaman kita dengan ajar mereka dengan firman Tuhan yang baik seperti yang diungkapkan kepada para nabi-Nya.

Walaupun suami dan isteri sokong satu sama lain dalam tanggungjawab mereka yang ditugaskan secara ilahi, “ketidakupayaan, kematian atau keadaan lain mungkin memerlukan penyesuaian individu.”26 Kadang-kadang seorang pasangan akan bertanggungjawab untuk bertindak dalam kedua-dua peranan secara serentak, sama ada untuk sementara atau secara kekal.

Baru-baru ini saya bertemu dengan saudari dan saudara yang hidup dalam keadaan ini. Sebagai ibu bapa tunggal, setiap daripada mereka, dalam lingkungan keluarga mereka dan dalam perkongsian dengan Tuhan, telah memutuskan untuk menumpukan kehidupan mereka kepada penjagaan rohani dan duniawi anak-anak mereka. Mereka tidak kehilangan penglihatan terhadap perjanjian bait suci yang dibuat dengan Tuhan dan janji-janji abadi-Nya walaupun telah bercerai. Kedua-duanya telah cari bantuan Tuhan dalam segala hal semasa mereka terus berusaha untuk menahan cabaran mereka dan berjalan dalam jalan perjanjian. Mereka percaya bahawa Tuhan akan jaga keperluan mereka, bukan saja dalam kehidupan ini, tetapi sepanjang keabadian. Kedua-duanya telah memelihara anak-anak mereka dengan mengajar mereka dengan kelembutan, kelembutan hati dan kasih suci walaupun mengalami keadaan yang sukar dalam hidup. Dari apa yang saya tahu, dua orang ibu bapa tunggal ini tidak salahkan Tuhan atas nasib malang mereka. Tetapi mereka menantikan dengan harapan cerah dan keyakinan teguh kepada berkat-berkat yang Tuhan sediakan untuk mereka.27

Saudara dan saudari, Juruselamat telah memberi teladan perpaduan dan keharmonian berkenaan tujuan dan ajaran dengan Bapa kita di Syurga. Dia berdoa demi para pengikutnya, dia berfirman, “Aku berdoa supaya mereka semua menjadi satu, sebagaimana Engkau bersatu dengan-Ku, dan Aku dengan … semoga mereka menjadi satu dengan Kita supaya mereka menjadi satu, seperti Engkau dan Aku satu juga;28

Saya bersaksi kepada anda bahawa apabila kita—wanita dan lelaki—bekerjasama dalam perkongsian yang benar dan setaraf, kita akan menikmati perpaduan yang diajar oleh Juruselamat apabila kita memenuhi tanggungjawab ilahi dalam perhubungan perkahwinan kita. Saya berjanji kepada anda, dalam nama Kristus, hati akan “terkait bersama dalam perpaduan dan dalam kasih terhadap satu sama lain,”29 kita akan temui lebih banyak kegembiraan dalam perjalanan kita ke kehidupan abadi, dan keupayaan kita untuk saling melayani satu sama lain akan bertambah banyak.30 Saya bersaksi tentang semua kebenaran ini dalam nama kudus Juruselamat Yesus Kristus, amin.