Persidangan Umum
Membina Kehidupan Yang Menentang Musuh
Persidangan umum Oktober 2022


Membina Kehidupan Yang Menentang Musuh

Saya berdoa agar kita boleh terus membina hidup kita mengikut pelan dan spesifikasi teknikal reka bentuk ilahi yang dicipta oleh Bapa Syurgawi kita.

Bertahun lamanya dari mimbar indah di Pusat Persidangan ini, kita telah menerima nasihat, ilham, arahan dan wahyu yang mengagumkan. Kadangkala, para pembicara menggunakan perumpamaan berkaitan dengan aspek pengetahuan dan pengalaman mereka untuk memberi gambaran jelas tentang asas injil Yesus Kristus.

Contohnya, kita telah belajar tentang kapal terbang dan penerbangan di mana penyimpangan yang kecil boleh membawa kita ke tempat yang jauh dari destinasi asal.1 Kita juga telah belajar dari perumpamaan fungsi hati jasmani kita dengan keperluan perubahan hati besar untuk menjawab jemputan Tuhan untuk mengikuti-Nya.2

Kali ini, saya ingin tambah perumpamaan yang diilhami dari aspek bidang profesional saya. Saya merujuk kepada bidang kejuruteraan awam. Sejak permulaan pengajian universiti saya, saya impikan hari apabila saya akan mengambil kelas yang akan mengajar saya cara untuk mereka bentuk bangunan dan struktur lain yang dianggap sebagai “anti-seismik.”

Tibanya masa untuk kelas pertama saya tentang subjek ini. Kata-kata pertama profesor adalah: “Anda pasti bersemangat untuk memulakan kursus ini dan belajar bagaimana untuk mereka bentuk struktur anti-seismik,” di mana ramai antara kami mengangguk kepala kami untuk setuju. Kemudian profesor itu berkata, “Saya sedih untuk beritahu anda bahawa ini tidak mungkin, kerana saya tidak dapat ajar anda bagaimana untuk mereka bangunan yang bertentangan, yang ‘anti-’ atau yang bertentangan dengan gempa bumi. Ini tidak masuk akal” dia berkata. “kerana gempa bumi tetap akan berlaku, sama ada kita mahu atau tidak.”

Kemudian dia menambah, “Apa yang saya boleh ajar anda ialah cara untuk mereka struktur yang menahan seismik, struktur yang dapat menentang impak gempa bumi, supaya struktur itu tetap berdiri tanpa kerosakan serius dan boleh terus beroperasi seperti tujuan ia dibina.”

Seorang jurutera membuat pengiraan yang menunjukkan dimensi, kualiti, dan ciri-ciri asas, tiang, rasuk, papak konkrit dan unsur-unsur struktur lain yang direka. Hasil ini diterjemahkan ke dalam pelan dan spesifikasi teknikal, yang mesti diikuti dengan tepat oleh pembina agar kerja itu dapat menjadi nyata dan memenuhi tujuan ia direka dan dibina.

Walaupun lebih daripada 40 tahun telah berlalu sejak kelas pertama dalam kejuruteraan penentangan seismik itu, saya jelas ingat ketika saya mula peroleh pemahaman yang lebih mendalam dan lengkap tentang kepentingan konsep ini dalam struktur yang saya akan reka di kehidupan profesional masa depan saya. Bukan sahaja itu, tetapi yang lebih penting—pemahaman itu kekal dalam peneguhan kehidupan saya dan bagi orang yang saya dapat pengaruhi dengan positif.

Kita sangat diberkati untuk bergantung pada pengetahuan rancangan keselamatan Bapa Syurgawi. Juga kepada injil Yesus Kristus yang dipulihkan dan arahan berilham para nabi hidup! Semua ini membentuk “pelan” yang dicipta secara ilahi dan “spesifikasi teknikal” yang jelas mengajar kita bagaimana untuk membina hidup gembira—kehidupan yang menentang dosa, menentang godaan, menentang serangan Setan, cuba menggagalkan takdir abadi kita supaya dapat bersama Bapa Syurgawi kita dan keluarga kita yang dikasihi.

Pada permulaan pelayanan Juruselamat, dia “ditinggalkan untuk digoda oleh iblis.”3 Tetapi Yesus berjaya dari percubaan besar itu. Bagaimanakah bersikap anti-Setan atau anti-godaan membantu-Nya? Apa yang membuat Yesus muncul sebagai pemenang dari saat sukar ini adalah persediaan rohani-Nya, yang membenarkan Dia menentang godaan musuh.

Apakah beberapa faktor yang membantu Juruselamat bersedia untuk saat yang penting itu?

Pertama, Dia telah berpuasa selama 40 hari dan 40 malam, satu puasa yang pasti disertai dengan doa berterusan. Walaupun Dia lemah secara jasmani, roh-Nya sangat kuat. Mujurlah, kita tidak diminta untuk berpuasa selama itu—hanya 24 jam dan sekali sebulan—puasa memberi kita kekuatan rohani dan menyediakan kita untuk menahan cubaan kehidupan ini.

Kedua, dalam kisah godaan yang Juruselamat alami, kita lihat Dia selalu menjawab Setan sambil memikirkan tulisan suci dalam minda-Nya, memetiknya, dan menggunakannya pada saat yang betul.

Apabila Setan menggoda-Nya untuk menukarkan batu-batu kepada roti supaya Dia dapat memuaskan kelaparan-Nya dari puasa yang lama, Tuhan berfirman kepadanya, “Di dalam Alkitab tertulis, Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang difirmankan oleh Tuhan.”4 Kemudian, apabila Tuhan berada di puncak bait suci, iblis cuba menggoda-Nya untuk menunjukkan kuasa-Nya, di mana Tuhan menjawab dengan wewenang, “Tetapi di dalam Alkitab tertulis juga, Janganlah cubai Tuhan Rajamu.”5 Dan pada percubaan ketiga Setan, Tuhan menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, Sembahlah Tuhan Rajamu dan abdikan diri kepada Dia sahaja.”6

Peristiwa gempa bumi membawa kemusnahan walaupun bangunan yang direka dan dibina dengan betul—kesan seperti retakan, perabot atau siling jatuh dan tingkap-tingkap pecah. Tetapi bangunan yang direka dan dibina dengan baik ini akan memenuhi tujuannya untuk melindungi penghuninya dan dengan beberapa pembaikan, ia akan pulih seperti asalnya.

Dalam cara yang sama, serangan musuh juga boleh sebabkan “retakan” atau kerosakan separa dalam hidup kita, walaupun kita berusaha untuk membina kehidupan kita menurut rancangan ilahi yang sempurna. “Retakan” ini boleh dilihat melalui perasaan kesedihan atau kekesalan kerana terbuat kesilapan, tidak melakukan segalanya dengan sempurna atau merasa kita tidak sebaik seperti yang kita inginkan.

Tetapi apa yang benar-benar relevan ialah kita telah mengikuti pelan dan spesifikasi yang dicipta secara ilahi, iaitu injil Yesus Kristus, kita masih di sini. Struktur kehidupan kita tidak dimusnahkan kerana usaha musuh atau situasi sukar yang kita perlu hadapi; sebaliknya, kita bersedia untuk maju ke hadapan.

Kebahagiaan tulisan suci janjikan untuk tujuan hidup7 tidak bermaksud kita tidak akan mengalami kesusahan atau kesedihan, bahawa kita tidak akan mengalami “retakan” akibat dari godaan, kesusahan, atau cubaan sebenar kehidupan fana kita.

Kebahagiaan ini berkaitan dengan perspektif hidup Nefi apabila dia berkata, “Kerana aku telah melihat banyak kesengsaraan dalam perjalanan hidupku, walaupun demikian, telah sangat dirahmati oleh Tuhan di sepanjang hidupku.”8 Sepanjang hidupnya! Bahkan hari-hari Nefi menderita semasa ketidakfahaman dan penolakan saudara-saudaranya sendiri, bahkan ketika mereka mengikatnya di atas kapal, bahkan hari bapanya, Lehi, meninggal, bahkan ketika Laman dan Lemuel menjadi musuh-musuh fana bangsanya. Bahkan pada hari-hari yang sukar itu, Nefi berasa sangat dirahmati oleh Tuhan.

Kita boleh tenang mengetahui bahawa Tuhan tidak akan membenarkan kita digoda melampaui daya tahan kita. Alma menjemput kita untuk “berjaga dan berdoa secara berterusan, agar kamu tidak digoda melebihi apa yang dapat kamu tanggung, dan dengan demikian dituntun oleh Roh Kudus, menjadi rendah hati, lembut hati, peserah, sabar, penuh dengan kasih dan segala panjang sabar.”9

Nasihat ini boleh digunakan bagi percubaan hidup. Amon mengingatkan kita tentang firman Tuhan: “Pergilah … dan tanggunglah dengan kesabaran kesengsaraanmu, dan aku akan memberi kepadamu kejayaan.”10

Tuhan sentiasa menyediakan bantuan apabila kita menghadapi kesukaran, godaan, ketidakfahaman, kelemahan dan juga kematian. Dia berfirman, “Dan sekarang, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, dan apa yang Aku firmankan kepada satu orang Aku firmankan kepada semuanya, cerialah, anak-anak kecil; kerana Aku berada di tengah-tengahmu, dan Aku tidak meninggalkanmu.”11 Dia tidak akan meninggalkan kita!

Saya berdoa agar kita boleh terus membina hidup kita mengikut pelan dan spesifikasi teknikal reka bentuk ilahi yang Bapa kita cipta dan dicapai melalui Juruselamat kita, Yesus Kristus. Oleh itu, kerana rahmat yang tesedia melalui Korban Tebusan Juruselamat, kita akan berjaya membina kehidupan yang menentang dosa, menahan godaan dan diperkuatkan untuk bertahan pada masa yang sedih dan sukar dalam hidup kita. Tambahan pula, kita akan dapat mengakses semua berkat yang dijanjikan melalui kasih Bapa dan Juruselamat kita. Dalam nama Yesus Kristus, amin.