Persidangan Umum
Membantu Mereka yang Miskin dan Menderita
Persidangan umum Oktober 2022


Membantu Mereka yang Miskin dan Menderita

Gereja Yesus Kristus berkomitmen untuk melayani mereka yang berkeperluan, dan juga komited untuk bekerjasama dengan orang lain dalam usaha itu.

Saudara dan saudari sekalian, Presiden Russell M. Nelson akan berbicara kepada kita pada sesi ini. Dia telah minta saya untuk menjadi pembicara pertama.

Tajuk saya hari ini berkenaan apa yang ahli-ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir beri dan lakukan untuk orang miskin dan menderita. Saya juga akan berucap tentang pemberian serupa oleh orang baik yang lain. Memberi kepada mereka yang memerlukannya adalah satu asas dalam semua agama yang berasal dari Abraham dan juga agama lain.

Beberapa bulan lalu, Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir melaporkan buat kali pertamanya takat bantuan kemanusiaan kita di seluruh dunia.1 Perbelanjaan 2021 kita bagi mereka yang memerlukannya di 188 negara di seluruh dunia adalah $906 juta—hampir satu bilion dolar. Sebagai tambahan, ahli-ahli kita dengan sukarela bekerja sejumlah 6 juta jam untuk tujuan yang sama.

Jumlah itu, sudah tentunya, bukanlah satu laporan lengkap tentang pemberian dan bantuan kita. Ia tidak termasuk pelayanan peribadi yang ahli-ahli kita berikan secara individu semasa mereka melayani satu sama lain dalam jawatan yang dipanggil dan pelayanan sukarela sesama ahli gereja. Dan laporan 2021 kita tidak menyebut apa yang ahli-ahli kita lakukan secara individu melalui pertubuhan-pertubuhan amal yang tidak terkait secara rasmi dengan Gereja kita. Saya bermula dengan berikut.

Pada tahun 1831, kurang dari dua tahun selepas Gereja yang dipulihkan ditubuhkan, Tuhan memberi wahyu ini untuk membimbing ahli-ahlinya dan, saya percaya, semua anak-Nya, di seluruh dunia:

“Kerana lihatlah, adalah tidak wajar bahawa Aku harus memerintah dalam semua hal; kerana dia yang dipaksa dalam semua hal, orang yang sama ialah hamba yang malas dan tidak bijak. ….

“Sesungguhnya Aku berfirman, manusia seharusnya bersemangat terlibat dalam perkara yang baik, dan melakukan banyak hal dari keinginan bebas mereka sendiri, dan mendatangkan banyak kebenaran;

“Kerana kuasa ada pada mereka, di mana mereka ialah wakil bagi diri mereka. Dan sejauh manusia melakukan kebaikan mereka walau bagaimanapun tidak akan kehilangan ganjaran mereka.”2

Dalam 38 tahun lebih sebagai Rasul, dan 30 tahun lebih dalam pekerjaan profesional, saya telah melihat banyak usaha murah hati oleh pertubuhan dan individu yang digambarkan oleh wahyu ini sebagai “perkara yang baik” dan “mendatangkan banyak kebenaran.” Terdapat banyak contoh pelayanan kemanusiaan di seluruh dunia, di luar sempadan sendiri dan di luar pengetahuan umum kita. Merenungkan ini, saya fikirkan tentang nabi-raja Benyamin dalalm Kitab Mormon, yang mengkhutbahkan kebenaran abadi ini: “Apabila kamu berada dalam pelayanan sesamamu, kamu semata-mata dalam pelayanan Tuhan.”3

Banyak kebajikan dan pelayanan kemanusiaan sesama manusia telah diajar dan diamalkan oleh Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir dan kita sebagai ahli-ahlinya. Contohnya, kita berpuasa pada setiap awal bulan dan menyumbang jumlah bersamaan dengan makanan yang tidak dimakan untuk membantu mereka yang berkeperluan dalam jemaah kita sendiri. Gereja juga membuat sumbangan besar untuk kemanusiaan dan pelayanan lain di seluruh dunia.

Di samping semua yang Gereja kita lakukan secara langsung, kebanyakan pelayanan kemanusiaan kepada anak-anak Tuhan di seluruh dunia dijalankan oleh orang dan organisasi yang tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Gereja kita. Salah seorang Rasul kita telah berkata: “Tuhan menggunakan lebih daripada satu orang untuk mencapai pekerjaan-Nya yang menakjubkan dan agung. … Kerja ini terlalu besar, terlalu susah, bagi satu orang sahaja.”4 Sebagai ahli Gereja yang dipulihkan, kita perlu lebih sedar dan menghargai pelayanan orang lain.

Gereja Yesus Kristus berkomitmen untuk melayani mereka yang berkeperluan, dan juga komited untuk bekerjasama dengan orang lain dalam usaha itu. Baru-baru ini kita telah memberi satu dermaan besar kepada Program Makanan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu. Dengan usaha kemanusiaan sejak banyak dekad lalu, dua pertubuhan telah menjadi kolaborator utama: projek bersama agensi Palang Merah dan Bulan Sabit Merah di berpuluh-puluh negara telah menyediakan bantuan penting kepada anak-anak Tuhan semasa bencana alam dan konflik. Begitu juga, kita mempunyai rekod bantuan yang lama dengan Perkhidmatan Pertolongan Katolik. Pertubuhan-pertubuhan tersebut telah banyak mengajar kita tentang bantuan dunia yang terbaik.

Kita juga mempunyai kerjasama yang berhasil dengan pertubuhan lain, termasuk Muslim Aid, Water for People dan IsraAID, adalah beberapa contohnya. Walaupun setiap pertubuhan kemanusiaan mempunyai aspek pengkhususan, kita berkongsi matlamat untuk melegakan penderitaan di kalangan anak-anak Tuhan. Semua ini adalah sebahagian daripada pekerjaan Tuhan untuk anak-anak-Nya.

Wahyu moden mengajar bahawa Juruselamat kita, Yesus Kristus, adalah “cahaya sejati yang menerangi setiap orang yang datang ke dunia.”5 Maka, semua anak-anak Tuhan diterangi untuk melayani-Nya dan satu sama lain sebaik yang boleh menurut pengetahuan dan keupayaan mereka.

Kitab Mormon mengajarkan bahawa “setiap hal yang mengajak dan memujuk untuk melakukan kebaikan, dan untuk mengasihi Tuhan, dan untuk melayani-Nya, diilhami oleh Tuhan.”6

Seterusnya:

“Kerana lihatlah, Roh Kristus diberikan kepada setiap orang, agar dia boleh mengetahui kebaikan daripada kejahatan; oleh itu, aku menunjukkan kepadamu cara untuk menilai; kerana setiap hal yang mengajak untuk melakukan kebaikan, dan mendorong untuk percaya kepada Kristus, telah dihantar melalui kuasa dan kurnia Kristus; …

“Dan sekarang, saudara-saudaraku, … kamu mengenali cahaya yang melaluinya kamu dapat menilai, yang cahaya itu adalah cahaya Kristus.”7

Berikut adalah contoh anak Tuhan membantu anak-anak Tuhan yang lain dengan keperluan utama seperti makanan, penjagaan perubatan dan pengajaran.

Sepuluh tahun yang lalu, keluarga Kandhari, suami dan isteri Sikh dari Emirates Arab Bersatu, melancarkan satu usaha besar untuk memberi makan kepada orang yang lapar. Melalui kuil Sikh Guru Nanak Darbar, mereka kini menghidangkan lebih dari 30000 makanan vegetarian setiap hujung minggu kepada sesiapa yang memasuki pintu, tidak kira agama atau bangsa. Dr. Kandhari menjelaskan, “Kita percaya bahawa semuanya satu, kita adalah anak-anak satu Tuhan, dan kita berada di sini untuk melayani umat manusia.”8

Bekalan penjagaan perubatan dan gigi kepada mereka yang memerlukan ialah satu lagi contoh. Di Chicago, saya bertemu dengan seorang doktor penjagaan kritikal Orang Siria-Amerika, Dr. Zaher Sahloul. Dia adalah salah seorang pengasas MedGlobal, yang mengorganisasikan pakar perubatan sukarelawan bagi berkongsikan masa, kemahiran, pengetahuan dan kepimpinan mereka untuk membantu orang yang berada dalam krisis, seperti dalam perang Syria, di mana Dr. Sahloul merisikokan nyawanya merawat orang awam. Pertubuhan MedGlobal dan pertubuhan serupa (termasuk ramai ahli profesional Orang Suci Zaman Akhir) menunjukkan bahawa Tuhan mendorong para profesional yang beriman untuk memberi pertolongan kepada yang miskin di seluruh dunia.9

Ramai anak Tuhan yang tidak mementingkan diri terlibat dalam usaha mengajar, juga di seluruh dunia. Satu teladan baik, yang kita ketahui melalui usaha kemanusiaan kita, adalah aktiviti seorang lelaki yang bernama Encik Gabriel, yang telah menjadi pelarian dari pelbagai konflik beberapa kali. Baru-baru ini dia memerhatikan bahawa ratusan ribu kanak-kanak pelarian di Afrika Timur memerlukan bantuan untuk memupuk harapan dan fikiran aktif. Dia mengaturkan pengajar dalam populasi pelarian kepada apa yang mereka panggil “sekolah pokok,” di mana kanak-kanak dikumpul untuk belajar di bawah naungan pokok. Dia tidak menunggu orang lain untuk mengaturkan atau mengarah tetapi memimpin melalui usaha peribadi dan telah menyediakan peluang pembelajaran kepada ribuan kanak-kanak sekolah primer semasa tahun-tahun perpindahan terpaksa.

Sudah tentu, tiga contoh ini tidak bermaksud bahawa semua yang dikatakan atau dilakukan oleh organisasi atau individu yang bertujuan baik atau daripada Tuhan adalah benar. Contoh-contoh ini menunjukkan bahawa Tuhan mengilhami banyak organisasi dan individu untuk melakukan banyak kebaikan. Ia juga menunjukkan bahawa kita harus mengenali kebaikan yang dilakukan oleh orang lain dan menyokongnya apabila kita mempunyai masa dan cara untuk berbuat demikian.

Berikut adalah beberapa contoh pelayanan sokongan Gereja dan di mana ahli-ahli kita dan orang baik dan organisasi lain juga menyokong dengan dermaan masa dan wang secara individu:

Saya bermula dengan kebebasan agama. Sokongan itu akan menjaga kepentingan kita dan juga kepentingan agama lain. Presiden pertama kita, Joseph Smith telah mengajarkan, “Kami menuntut hak istimewa untuk menyembah Tuhan Yang Maha Kuasa menurut suara hati nurani kami sendiri, dan memperkenankan semua orang hak istimewa yang sama, biarlah mereka menyembah bagaimana, di mana, atau yang mereka kehendaki.”10

Contoh-contoh kemanusiaan Gereja lain yang dipulihkan dan bantuan lain yang juga disokong secara sukarela oleh ahli-ahli kita ialah sekola, kolej dan universiti terkenal kami dan yang kurang dikenali tetapi sekarang memberi dermaan besar untuk membantu mereka yang menderita kerana kehancuran dan dislokasi akibat bencana alam seperti puting beliung dan gempa bumi.

Aktiviti ihsan lain yang disokong oleh ahli-ahli melalui dermawan dan usaha sukarela mereka adalah terlalu banyak untuk disenaraikan, tetapi hanya menyebut beberapa contoh ini akan mencadangkan kepelbagaian dan kepentingan mereka: memerangi perkauman dan prasangka lain; menyelidik cara untuk mencegah dan menyembuhkan penyakit; menolong orang kurang upaya; menyokong pertubuhan muzik; dan memperbaiki persekitaran moral dan jasmani untuk semua.

Semua usaha kemanusiaan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir ingin mengikuti teladan orang-orang soleh yang digambarkan dalam Kitab Mormon: “Dan demikianlah, dalam keadaan mereka yang makmur, mereka tidak menyuruh pergi sesiapa pun yang telanjang, atau yang lapar, atau yang dahaga, atau yang sakit, … dan mereka … murah hati kepada semua orang, baik tua mahupun muda, baik tertawan mahupun bebas, baik lelaki mahupun perempuan, sama ada di luar gereja ataupun di dalam.”11

Saya bersaksi tentang Yesus Kristus, yang cahaya dan Roh-Nya membimbing kita semua anak-anak Tuhan dalam bantuan kepada yang miskin dan menderita di seluruh dunia. Dalam nama Yesus Kristus, amin.